11 Sistem Pembelajaran Diaktifkan!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Petang itu, di Planet Doha, di pejabat ketua di ibu pejabat logistik rejimen tentera pertama Persekutuan, seorang pegawai muda melaporkan kepada Ketua Logistik Pusat mengenai berita penting yang disampaikan hari ini.

"Tuan, sudah disahkan tidak ada apa-apa yang salah dengan laporan Doktor Mu. Laporan enam pengiring juruterbang mecha itu padan dengan laporannya," kata pegawai muda itu sambil menyelak nota di tangannya sambil dia berdiri dengan hormat manakala ketuanya duduk.

Di belakang meja duduknya seorang Jeneral pertengahan umur yang bertenaga sedang membelek satu lagi set nota. Dia mengangguk ketika mendengar, sebelum bertanya, "Berapa ramai orang tahu tentang ini?"

Pegawai muda itu terdiam sebentar, terkejut dengan soalan yang tidak dijangka itu, tetapi dia cepat-cepat tenang dan menjawab, "Tuan, perkara ini diuruskan oleh saya secara peribadi. Selain saya dan pembantu saya, serta mereka yang terlibat secara langsung, tidak ada orang lain dalam tentera yang tahu akan butirannya."

"Bagus, berikan pangkat-S bagi maklumat mengenai pewaris Mejar Jeneral Ling Xiao. Sesiapa yang berada di bawah pangkat Jeneral tidak dibenarkan untuk mengaksesnya, dan arahkan mereka yang tahu tentang hal ini untuk mendiamkan diri. Pemeriksaan seterusnya terhadap pewaris itu harus dijalankan oleh kumpulan yang sama seperti sebelum ini."

"Baik Tuan!" Pegawai muda itu memberi tabik dan meninggalkan pejabat bersama arahan yang diterimanya.

Bersendirian di dalam pejabat yang kini kosong, Jeneral pertengahan umur itu mengeluh perlahan, "Ling Xiao, ini saja boleh saya lakukan untuk anak kamu. Semoga dia tidak menarik perhatian orang lain dari kalangan pihak tentera."

********

Ling Lan sangat bertuah. Tanpa dia sedari, ada seseorang telah berusaha melindungi dia supaya tidak dikawal oleh pihak tentera dan dipaksa menjadi mesin pertempuran. Tindakan ini membolehkan dia menikmati masa yang berharga untuk membesar dan menikmati zaman kanak-kanaknya.

Walau bagaimanapun, pada ketika ini, Ling Lan tidak terfikir bagaimana pihak tentera mahu menggunakannya. Walaupun dia bimbang kadar penyerapannya yang luar biasa akan menarik perhatian pihak tentera, setelah sepuluh hari tanpa sebarang kejadian berlaku, dia telah melupakannya dan meneruskan hidupnya.

Ling Lan sememangnya seorang gadis yang optimistik, sebab itulah dia mampu bertahan dan berjaya mengekalkan kewarasannya walaupun selepas dua puluh empat tahun menanggung kesakitan yang tidak terhingga.

Sudah tentu, satu lagi sebab Ling Lan melupakan kebimbangan terhadap pihak tentera kerana dia mendapat berita yang lebih menggembirakan.

Awal pagi ini, Empat Kecil telah mengumumkan, dengan penuh semangat, yang Ling Lan kini layak untuk mengakses ruang minda pembelajaran.

Dalam ruang minda Empat Kecil, dewan berbentuk bulat yang luas pintu masuk bagi Ling Lan. Di sekeliling dewan terdapat pintu-pintu yang tertutup rapat. Ling Lan cuba membuka beberapa pintu itu, tetapi setiap satunya ditutup rapi dan tidak akan berganjak walau apa yang dia lakukan.

Setelah puas memerhatikan Ling Lan meperbodohkan dirinya, Empat Kecil menjelaskan yang pintu tidak akan dibuka sehingga dia memenuhi keperluan pembelajaran tertentu. Bagi butiran keperluan tersebut, Empat Kecil enggan memberitahunya dan tidak memberikan Ling Lan sebarang petunjuk.

Walau bagaimanapun, Ling Lan dapat meneka keperluan yang dimaksudkan untuk membuka pintu-pintu tersebut tentu ada kena mengena dengan kecergasan fizikalnya, kerana Empat Kecil selalu mengingatkannya untuk tekun berlatih.

Mengetahui perkara ini bukan suatu kebetulan, Ling Lan menyimpan rasa ingin tahunya yang semakin meningkat dan menumpukan perhatian kepada latihan biasanya. Latihan ini bukan sahaja membantu Ling Lan menghapuskan ancaman tersembunyi di dalam badannya, tetapi juga mungkin memberikannya kunci untuk mengakses bahan-bahan yang tersembunyi di sebalik pintu ruang pembelajaran Empat Kecil.

Sebenarnya, Ling Lan hanya berusaha keras dalam perkara ini kerana dia benar-benar bosan. Setiap hari dia hanya berbaring di tempat tidur, makan dan tidur, tidur dan makan...atau dia bermain sendirian. Hari-hari sebagai bayi terlalu membosankan untuk dihadapi. Bahkan ketika dia terlantar sakit di atas katilnya pada kehidupannya yang lalu, dia sekurang-kurangnya dapat melayari internet atau membaca novel atau apa sajalah...

Sebab lain Ling Lan berasa lemas, ibunya semakin berhati-hati kerana takut rahsianya akan terbongkar. Ibunya tidak berani membawa dia keluar apatah lagi membawa dia berkunjung. Ling Lan malangnya hanya menghabiskan masa tujuh bulan sejak dia dilahirkan di tiga tempat sahaja iaitu bilik tidur, ruang tamu besar dan balkoni. Dia tidak berpeluang untuk menerokai dunia baru yang pelik ini.

Sebaik Ling Lan fikir dia akan menjadi gila akibat kebosanan, Empat Kecil muncul dengan berita baik itu dan membuatkannya sangat gembira sehingga ingin menangis.

Maka Ling Lan menjadi bayi yang baik hari ini. Selepas diberi makan oleh ibunya, dia tidak meminta untuk dibawa keluar seperti biasa, tetapi sebaliknya kembali tidur (yang sebenarnya dia mahu memasuki ruang minda yang dicipta oleh Empat Kecil).

Kali ini, apabila Ling Lan memasuki ruang minda, dia menyedari ruang itu telah berubah sedikit sejak kali terakhir dia berada di sana. Perubahan kecil ini merupakan sumber kegembiraan kepada Ling Lan.

Di antara banyak-banyak pintu yang tertutup rapat, satu pintu bersinar dengan cahaya merah yang terang. Di permukaan pintu, tertulis dua perkataan Cina yang besar iaitu 'Kemahiran Fizikal'!

Empat Kecil menerangkan, "Saya telah memperbaharui sistem bahasa supaya dapat diselarikan dengan sistem penulisan semasa dan bahasa lisan kamu, jadi kamu tidak akan menghadapi masalah untuk memahaminya."

Ling Lan begitu tersentuh dengan usaha Empat Kecil. Dia menarik si kecil itu dan memberi kucupan di pipinya sebagai tanda terima kasih.

Empat Kecil berasa malu dan mukanya menjadi kemerah-merahan. Dia mulai bergumam dengan malunya, "Jangan fikir kamu boleh memenangi hati saya dengan bersikap baik! Saya seorang yang berpendirian teguh, saya tidak akan menentang prinsip saya tidak kira apa berlaku..."

Oh, Empat Kecil. Semasa kamu bercakap, bolehkah kamu tidak menggoyangkan punggung kamu? Bibir kamu juga tersenyum, bukan...? Kata-kata Empat Kecil tidak mempunyai kredibiliti langsung.

Ling Lan tidak menyedari Empat Kecil sedang bercakap. Kesemua perhatiannya tertumpu pada pintu di hadapannya. Dia berjalan perlahan-lahan ke arah pintu itu dan menolaknya sehingga terbuka.

Ling Lan tidak teragak-agak. Dia terus berjalan masuk dan pintu yang terbuka tadi terus tertutup di belakangnya.

Tiba-tiba, bilik itu menjadi gelap. Ling Lan terkejut dengan kegelapan ini dan menjerit, "Empat Kecil, di mana kamu?"

Suara Empat Kecil tidak kedengaran dalam kegelapan itu. Kesunyian menyelubungi ruang itu dan bilik itu masih gelap gelita. Kombinasi kegelapan dan kesunyian yang menakutkan itu menyebabkan jantung Ling Lan berdegup kencang tetapi dia melawan perasaan itu, berdiri diam dan memutuskan untuk terus menunggu. Dia percaya Empat Kecil tidak akan mengapa-apakannya.

Ling Lan tidak tahu berapa lama dia menunggu, kerana dalam keheningan yang gelap, masa berlalu dengan perlahan dan membuatkan penantian itu terasa lebih lama. Selepas beberapa ketika, kegelapan itu mengingatkan Ling Lan semasa dia menjadi janin dan degupan jantungnya mula perlahan sehingga kembali normal. Dia menutup matanya dan cuba mengingati bagaimana perasaannya berada di dalam badan ibunya, dan dia mula merasakan ketenangan. Ketakutan dan kegelisahannya pudar dan dia memasuki keadaan separa bermimpi, separa sedar...

Selepas seketika, Ling Lan tiba-tiba merasakan kegelapan di sekelilingnya telah diterangi cahaya. Dia mengecilkan matanya kerana kecerahan yang tidak disangkakan itu dan dia perlahan-lahan muncul semula daripada ketenangan dalamannya.

Ketika penglihatannya kembali normal dengan cahaya, Ling Lan mendapati dia berdiri di dalam kawasan terbuka. Kawasan ini sama besarnya dengan padang bola sepak, tidak, lebih besar lagi. Ling Lan merasa sangat kecil di dalam ruang luas ini.

Ketika itu, suara mekanikal bercakap dari belakangnya, "Psikologi ketahanan Pangkat [SSS]. Tahap tertinggi latihan kemahiran fizikal dibenarkan."

Rupa-rupanya, permulaan tadi juga merupakan satu ujian. Sistem ini telah menilai daya tahan psikologinya berdasarkan tindak balasnya. Jika dia bertindak balas dengan teruk, sistem itu akan mengeluarkannya dan dia perlu cuba sekali lagi. Sebaliknya, jika dia lulus dengan baik, sistem akan memberikan kedudukan berdasarkan skornya yang digunakan untuk menentukan tahap latihan yang akan diberikan kepadanya.

Sudah tentu, kalau prestasi Ling Lan teruk sekalipun, sistem itu masih membolehkannya untuk mula belajar tahap latihan kemahiran fizikal yang paling asas, namun latihannya itu akan melambatkan kesemua proses latihannya. Harus diingat, semakin cepat seseorang mempelajari kemahiran yang ada di ruang minda, maka lebih baik. Itulah sebabnya sistem bintang Mandora memilih bayi baru lahir untuk menjalin ikatan dengan alat pembelajaran ini.

Namun, pencapaian seorang bayi juga bergantung pada sifat-sifat semula jadinya. Seorang genius akan dapat mencapai lebih banyak lagi dengan melengkapkan kursus-kursus yang disediakan oleh sistem pembelajaran, menjadi lebih cemerlang, sementara bakat yang biasa-biasa saja sekadar berada di tahap biasa. Jika sistem pembelajaran lambat diaktifkan, maka perbezaan tahap mustahil untuk diatasi.

Tidak dapat dinafikan, Ling Lan mempunyai kelebihan yang besar kerana mempunyai pengalaman hidup selama dua kali, mendapatkan kedudukan ketahanan psikologi tertinggi [SSS] dari sistem pada cubaan pertama. Tetapi kita juga harus bersimpati dengannya kerana tahap latihan kemahiran fizikal yang paling tinggi bukan mudah untuk dikuasai. Nampaknya tidak lama lagi Ling Lan akan menjalani kehidupan yang sengsara kerana diseksa oleh sistem.

Ling Lan tercari-cari sumber suara itu dan terlihat seorang askar lelaki beruniform berdiri di situ sambil memerhatikannya dengan tajam.

Jangan tanya bagaimana Ling Lan tahu lelaki itu seorang askar. Dia cuma meneka berdasarkan perasaannya. Ling Lan berpendapat lelaki itu ibarat sebilah pedang bersarung, tajam dan tepat. Ling Lan berasa sukar untuk bernafas, tertekan dengan pandangan tajam lelaki itu.

avataravatar
Next chapter