8 Perbandingan Penilaian

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Semakin lama Ling Suren memikirkannya, semakin dia yakin dengan kecurigaannya. Dengan yakin, dia mencemuh dengan berkata, "Dengan keputusan yang dibuat oleh Puan Ling Xiao, keluarga Ling, tidak akan memaksa kamu berdua untuk tinggal di Doha. Tempat tinggal dan sebarang keputusan berkaitan masa depan Ling Lan, bukan lagi urusan kami."

"Sekiranya Ling Lan dipilih, keluarga Ling harus keluar dari Doha dalam masa sebulan. Pak Cik Ren, saya harap Pak Cik tak akan salahkan saya apabila perkara ini terjadi?" Lan Luofeng mengerutkan keningnya dan matanya memandang ke arah dua wakil itu, berniat mengingatkan Ling Suren pihak kerajaan dan tentera menjadi saksi perjanjian ini. Tidak mungkin keluarga Ling berpeluang memungkiri janji.

Berdepan dengan Lan Luofeng yang agresif, kemarahan Ling Suren meletup akhirnya, "Dan jika Ling Lan tidak dipilih, boleh saya minta kamu berdua juga tinggalkan Doha dalam masa sebulan?"

Lan Luofeng tersenyum dingin. "Kalau saya tak sanggup, saya tak akan beri cadangan ini. Mungkin keluarga Ling terlalu takut untuk mengambil risiko ini? Kamu semua ini lebih pengecut berbanding wanita seperti saya? Sudah tentu, jika kamu semua sanggup melepaskan perwarisan ini, saya boleh berlembut hati dan membenarkan kamu tinggal di Doha."

Tawaran Lan Luofeng mempunyai dua maksud. Pertama, dengan berundur , dia boleh memaksa Ling Suren untuk membuat keputusan dengan jelas, jadi keluarga Ling tidak boleh berpura-pura tidak tahu nanti. Kedua, dia juga mahu memberikan peluang terakhir kepada keluarga Ling. Kalau mereka boleh mengawal sifat tamak itu, mereka masih boleh tinggal di Doha selama lebih dua puluh tahun lagi. Lan Luofeng percaya tempoh itu cukup untuk mereka melatih pengendali mecha yang hebat dan menjamin kedudukan mereka di Doha.

Namun begitu, kata-kata Lan Luofeng cuma lebih meyakinkan kesangsian Ling Suren yang tindakan Lan Luofeng hanyalah tinndakan yang terdesak. Jadi tanpa berlengah dia berkata dengan dinginnya, "Oleh kerana kamu masih berdegil, baiklah. Keluarga Ling bersetuju dengan syarat-syarat kamu. Seperti yang kamu katakan, jika Ling Lan dipilih, ahli keluarga Ling akan meninggalkan Doha. Namun, jika bayi yang kami pilih, menjadi pewaris, maka Ling Lan harus meninggalkan Doha. Dia tidak boleh memasuki Doha lagi seumur hidupnya dan tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana sistem ketenteraan negara ini." Syarat-syarat ini sama sekali akan memusnahkan sebarang peluang untuk Ling Lan mendapatkan pangkat dan akan menghalang Ling Lan kembali membalas dendam setelah meningkat dewasa.

Mendengar perkara ini. Lan Luofeng kebencian membara dalam hatinya. Sia-sia sahaja dia berasa kasihan terhadap mereka dengan memberikan mereka peluang untuk mencari jalan keluar. Cadangan yang diberikan oleh keluarga Ling sangat kejam. Sekiranya Ling Lan benar-benar seorang budak lelaki, syarat yang diletakkan oleh keluarga Ling akan menghancurkan masa depannya dan memaksanya bekerja keras sebagai pekerja bawahan. Sedikit belas kasihan yang dirasakannya kini hilang begitu saja. Mata Lan Luofeng kelihatan dingin sambil dia berkata, "Bagus! Jika itu yang kamu semua mahukan."

Lan Luofeng memanggil orang gajinya untuk menyediakan alat penilaian tetapi dihalang oleh Ling Suren. Dia memandang wakil dari tentera itu dan berkata, "Pihak tentera sudah tentu membawa alat penilaian mereka ke sini. Boleh kita gunakannya?"

Lan Luofeng membiarkan kelakuan Ling Suren itu. Dia tidak pernah berniat untuk mensabotaj alat itu, dan jika dia mahu lakukannya sekalipun dia tidak bodoh untuk berbuat begitu di hadapan wakil ketenteraan.

Wakil dari tentera itu tidak menolak permintaan Ling Suren. Permintaan ini menepati agenda mereka juga akhirnya. Bagi mendapatkan data yang tepat, alat penilaian tentera lebih dipercayai daripada alat yang digunakan oleh orang biasa.

Sebentar kemudian, alat penilaian yang terbaik dibawa masuk oleh angkatan tentera.

Sementara itu, Ling Lan yang masih didukung ibunya sedang berbicara dengan Empat Kecil.

'Bolehkah mereka meneka jantina saya? Atau menemui kewujudan kamu?' tanya Ling Lan dengan cemas. Jika salah satu rahsia itu terbongkar, dia dan ibunya perlu meninggalkan tempat ini. Walaupun dia tidak tahu keadaan dunia di luar sana, tetapi berdasarkan perbualan Ling Suren dan Lan Luofeng, kehidupan di luar sana tidak setanding kehidupan di sini.

Tambahan pula, walaupun Ling Lan tidak takut hidup susah, dia merasakan tentulah dia sepatutnya mewarisi faedah ketenteraan premium ayahnya kerana dia darah daging ayahnya. Masakan seorang budak yang entah dari mana datangnya boleh mewarisi haknya?

Betul itu, Ling Lan masih berfikir berdasarkan logik yang dia perolehi dari Bumi, sepuluh ribu tahun dahulu. Perwarisan melalui darah daging sesuatu yang tidak dapat disangkal, jadi dia tidak memahami situasi sekarang. Walaupun begitu, dia tidak akan berputus asa. Dialah pewaris sah bagi faedah ketenteraan premium Ling Xiao.

Empat Kecil mencemuh . 'Macamlah alat yang belum mampu hasilkan kecerdasan buatan mampu menandingi saya? Jangan risau, walaupun alat itu boleh mengesan jantina, saya boleh mengubah datanya supaya menunjukkan kamu lelaki.'

Ling Lan terkejut dengan nada sombong Empat Kecil. 'Kamu ada kebolehan untuk mengubah keputusan penilaian sesuka hati?'

Empat Kecil menjadi semakin berlagak. "Sudah tentu! Sewaktu kali pertama kamu dinilai, jika saya tidak membantu kamu, kuasa spiritual kamu pasti meletupkan alat penilaian itu."

Meletup? Kenapa perkataan ini kedengaran kurang menyenangkan bagi Ling Lan? Sebelum Ling Lan dapat berfikir lebih lanjut, dia terdengar wakil dari tentera itu bertanya, "Siapa dulu?"

Lan Luofeng semakin erat memeluk Ling Lan. Dengan wajah bersahaja dia berkata, "Biar bayi pilihan keluarga Ling diuji dahulu."

Ling Suren menyangka Lan Luofeng sengaja mahu melambatkan keputusan yang tidak dapat dielakkan itu, jadi dia tidak mahu membuang masa bertengkar dengannya. Dia mengangguk dan mengarahkan wanita di sisinya meletakkan bayi yang didukungnya ke dalam alat itu.

Tidak lama selepas itu, keputusan bayi itu dipamerkan:

Kecergasan Fizikal: Pangkat [S]!

Kuasa Spiritual: Peringkat-1!

Potensi: Pangkat [A+]!

Penilaian keseluruhan: Cemerlang. Latihan pemupukan yang berat disyorkan.

Melihat keputusan ini, kelakuan wakil tentera itu berubah. Bayi ini sememangnya layak menerima latihan pemupukan berat oleh pihak tentera. Kanak-kanak yang mempunyai potensi berpangkat [A+] mempunyai peluang tertentu untuk menjadi pengendali mecha IN. Walaupun peluang itu kecil, sebarang kebarangkalian lebih baik daripada tiada.

Ling Suren amat berpuas hati melihat reaksi wakil tentera itu. Seperti yang dijangkakan, bayi ini sememangnya akan menjadi rebutan pihak tentera. Walau bagaimanapun, perasaan itu tidak terpancar di wajahnya dan dia memandang Lan Luofeng dengan tenang sambil berkata, "Puan Ling Xiao masih ada masa, jika Puan menarik balik kata-kata tadi dan menyerahkan perwarisan itu, keluarga Ling akan menjaga Ling Lan dengan sebaik-baiknya."

Berpura-pura menjadi lelaki yang baik setelah cuba sedaya upaya mencuri perwarisan anak ini? Mimpilah!

Lan Luofeng berkata dengan nada mengejek, "Tak perlu. Saya cuma harap kamu semua akan keluar dari Doha secepat mungkin."

Dia berjalan ke arah alat penilaian itu dan meletakkan Ling Lan dengan berhati-hati.

Pada ketika ini, Ling Lan dan Empat Kecil sudah mencapai persetujuan untuk mengekalkan keputusan penilaian yang asal. Pada mulanya, Empat Kecil masih sedikit risau kalau-kalau keputusan bayi itu mungkin lebih baik daripada keputusan Ling Lan dan memikirkan bagaimana dia boleh cuba menaikkan status Ling Lan secara sembunyi. Namun setelah melihat keputusan itu, Empat Kecil gembira.

Keputusan Ling Lan diumumkan.

Kecergasan Fizikal: Pangkat [S]!

Kuasa Spiritual: Peringkat-2!

Potensi: Pangkat [S]!

Penilaian keseluruhan: Cemerlang. Latihan pemupukan paling tinggi disyorkan.

Akhirnya, Empat Kecil masih tidak dapat menahan dirinya untuk menukar sedikit keputusan itu. Penilaian asal pemupukan 'berfokus', dinaik taraf menjadi pemupukan 'paling tinggi'. Empat Kecil sangat berpuas hati dengan dirinya sendiri. Latihan 'Paling tinggi' jauh lebih hebat daripada latihan 'berat'!

Sebenarnya kalaupun Empat Kecil tidak mengubah apa-apa, keputusannya masih lagi sama. Sebaik keputusan ini diumumkan, wakil dari kedua-dua pihak tentera dan kerajaan bersetuju untuk memberikan faedah ketenteraan premium Ling Xiao kepada Ling Lan.

Keputusan muktamad kedua-dua wakil itu disebabkan oleh penilaian potensi Ling Lan. Walaupun statistik lain juga penting, statistik tersebut dapat diperbaiki kemudian, sementara statistik potensi terbentuk secara semula jadi dan mempunyai kaitan dengan pertumbuhan kanak-kanak. Walaupun jurang di antara pangkat [A+] dan pangkat [S] nampak kecil, dalam jangka masa panjang, perbezaan itu menjadi sangat penting. Pangkat [S] mempunyai kemungkinan 5 hingga 10 peratus lebih tinggi untuk menjadi pengendali mecha IN.

Berdasarkan perkara ini sahaja, Ling Lan sememangnya berhak menerima latihan pemupukan paling tinggi daripada pihak tentera.

Lan Luofeng akhirnya menghela nafas lega. Walaupun dia yakin dengan Ling Lan, dia masih tidak senang duduk sebelum keputusan itu disahkan.

Ketika ini, Ling Suren akhirnya sedar yang dia telah termasuk perangkap Lan Luofeng. Wajahnya membara dengan kemarahan dan dia ingin mencencang Lan Luofeng menjadi cebisan kecil. Namun, Lan Luofeng berhadapan dengannya tanpa rasa gentar. Keluarga Ling tidak akan berani berbuat apa-apa kerana kedua-dua wakil rasmi masih berada di situ.

Lan Luofeng kemudian berkata, "Ling Suren, kamu tahu jalan keluar!" Oleh kerana dia sudah membuat keputusan untuk memutuskan pertalian darah dengan keluarga Ling, dia tidak perlu berbaik-baik dengan mereka lagi.

"Hmph, mari kita pergi!" Melihatkan kejijikan pada wajah kebanyakan tetamu di situ, Ling Suren tahu kehadiran mereka tidak lagi dialu-alukan. Tiada sebab untuk dia terus berada, jadi dia dan pengikut-pengikutnya beredar dari situ.

avataravatar
Next chapter