43 Pengalaman Kematian!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan pada mulanya menyangkakan dia harus tinggal di hutan maya ini selama dua atau tiga tahun, sebelum dia dapat membiasakan diri dan dapat melihat berlakunya peningkatan... tetapi pada hakikatnya, manusia sebenarnya sangat pintar dan dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Khususnya bagi mereka yang sudah dilengkapi dengan kebolehan menyerang dan pertahanan. Menyesuaikan diri dengan persekitaran berbahaya ini lebih mudah daripada yang disangkakan. Dalam masa sebulan, Ling Lan kini dapat bergerak bebas di dalam hutan itu.

Ling Lan bukanlah jenis orang yang melulu. Jadi apabila Jurulatih Nombor Satu berlalu pergi, Ling Lan sangat berhati-hati dengan setiap langkahnya. Lagipun, dia tidak pernah berada di dalam hutan sebelum ini. Baginya, kawasan hutan ibarat kegelapan yang tidak diketahui. Tambahan pula, dia sangat percaya hutan ini tempat yang menakutkan. Oleh itu, perkara pertama yang dia fikirkan bukanlah tentang memburu, tetapi bagaimana dia akan dapat bertahan untuk melihat cahaya pada esok hari.

Realiti membuktikan dia masih terlalu naif dan memandang rendah tentang bahaya di dalam hutan. Belumpun tiba malam hari pertama, dia sudah digigit oleh serangga berbisa yang tidak diketahui, yang tersembunyi di celah rumput. Ini pengalaman pertamanya menghadapi kematian. Boleh dikatakan seperti, 'kematian perawan'.

Terus terang, kematian perawan Ling Lan tidak begitu mudah. Kematian ini boleh digambarkan sebagai pertempuran berdarah, mampu memualkan sesiapa sahaja yang melihatnya. Keadaan kematian luar biasa yang mengerikan.

Sepanjang hidupnya, Ling Lan tidak mahu lagi mengalami kematian seperti itu. Racun serangga itu telah merebak dengan pantas, menyebabkan mangsa berada dalam kesakitan yang sangat dahsyat. Kesakitan ini lebih teruk daripada kesakitan yang dia pernah alami melalui penyakitnya dari kehidupan terdahulu, malah lebih dalam kesakitannya yang ditanggung semasa mandian perubatan. Ini kerana selain mengalami kesakitan, dia juga mengalami rasa gatal yang tidak terkawal. Dia tidak akan melupakan semua ini.

Selama tiga hari, Ling Lan menderita dan berada dalam keadaan teramat gatal. Dia memerhatikan dirinya sendiri menggaru-garu sehingga berdarah dan dagingnya terkopek dari badannya sedikit demi sedikit. Apa yang dirasakannya ketika itu ialah kelegaan dan keseronokan sehingga tubuhnya hampir tinggal sisa kulit pada rangka yang kosong. Hanya selepas itu dia menarik nafas terakhirnya.

Pada masa itu, dia fikir itulah pengakhirannya, dia akhirnya bebas dari seksaan hutan ini, bebas untuk kembali ke realiti. Tetapi apabila dia membuka matanya sekali lagi, dia kembali ke saat di mana Jurulatih Nombor Satu pertama kali membuangnya di dalam hutan yang sama. Pada masa itu, Ling Lan baru menyedari dunia maya yang dicipta untuk ruang pembelajaran itu tidak mudah seperti yang dijangka. Dia tidak akan dapat kembali ke dunia realiti dengan hanya dengan menunggu sahaja.

Semuanya berkaitan dengan misi. Selagi misi itu tidak selesai, dia akan berada di sini dan tidak dapat kembali ke dunia realiti.

Walaupun dia masih trauma akibat kecederaan yang mengakibatkan kematiannya yang pertama, demi kembali ke realiti, Ling Lan tidak mempunyai pilihan selain memaksa dirinya dan terus meneroka hutan supaya dapat menyelesaikan misinya. Ling Lan tidak melupakan apa yang telah dikatakan oleh Jurulatih Nombor Satu. Kata-katanya sangat jelas menunjukkan yang Ling Lan perlu belajar bagaimana untuk memburu.

Walau bagaimanapun, apabila Ling Lan berjaya membunuh salah satu makhluk hutan yang lebih lemah daripadanya, ruang pembelajaran tidak bertindak balas sama sekali. Ini menyedarkan Ling Lan yang dia tidak akan dapat menyelesaikan misi ini secara teknikal. Kemungkinan besar dia perlu membunuh seekor haiwan yang berkali ganda lebih kuat daripadanya, barulah pencapaiannya dikira.

Jadi dia mula mencabar hutan belantara ini. Dia mengharungi banyak bahaya di sepanjang perjalanannya. Ada keadaan di mana dia berjaya melarikan diri, tetapi kebanyakannya telah mengakibatkan kematiannya.

Dia telah dimakan oleh sekumpulan semut, dimakan hidup-hidup sehingga tidak tinggal apa-apa melainkan tulang. Dia telah diserang hendap oleh haiwan yang kelihatan comel, kecil tetapi ganas, dan berakhir sebagai makanan haiwan itu. Dia juga telah mati akibat makan buah-buahan beracun secara tidak sengaja dan juga berpengalaman digigit oleh nyamuk-nyamuk pembawa wabak, dan akhirnya mati akibat pelbagai penyakit.

Walau bagaimanapun, semua kematian ini bukanlah sia-sia. Ling Lan secara perlahan-lahan mempelajari bagaimana untuk terus hidup di hutan belantara ini. Dia belajar semua pengetahuan yang diperoleh daripada kematiannya. Membuang semua perasaan baik hati dan lembut yang tidak perlu di tempat ini dan hanya menumpukan pada ketangkasan dan kekejamannya. Sejak daripada itu, semua makhluk di hutan itu hanya mempunyai dua kegunaan padanya. 'Ancaman' atau 'makanan'.

Melalui segala pengalaman ini, Ling Lan beransur-ansur berubah daripada seorang yang pemalu dan tidak yakin pada diri sendiri, kepada seorang yang tenang dan yakin. Dia kini boleh menghadapi pelbagai bahaya tanpa rasa takut dan keyakinannya dapat dilihat pada dirinya. Seluruh hutan belantara itu seperti halaman rumahnya sekarang. Dia sangat arif mengenai binatang dan bahaya yang ada dalam hutan ini.

Kali ini, dia telah memutuskan untuk memburu raja paya setelah banyak berfikir dan mempertimbangkannya. Walaupun kawasan di sini lebih berbahaya daripada kawasan lain di dalam hutan ini , ini juga bermaksud raja paya kurang berhati-hati berbanding haiwan yang lain di hutan ini. Disebabkan kekurangan saingan, raja paya itu juga lemah dan meskipun habitatnya memberi kelebihan pada raja paya, itu tidak semestinya sesuatu yang merugikan Ling Lan.

Jadi Ling Lan telah memasang perangkap. Beberapa percubaan pertamanya yang berakhir dengan kegagalan. Dia sering berakhir sebagai makanan raja paya, hanya berjaya melarikan diri beberapa kali sahaja. Walau bagaimanapun, setiap kegagalan hanya menambah pengalamannya dan Ling Lan secara perlahan-lahan mula memahami tabiat pemburuan raja paya. Demi memberikan ketenangan palsu pada raja paya, walaupun Ling Lan telah bersedia untuk membuat serangan hendap setiap hari, dia tidak mengambil sebarang langkah selama lebih seminggu...

Ling Lan masih ingat Jurulatih Nombor Satu dengan tegas mengatakan Ling Lan tidak tahu bagaimana untuk menggabungkan gerak keliru ke dalam serangannya, dan serangan menyelinap yang berterusan tidak boleh dianggap sebagai serangan yang tersembunyi. Ling Lan tidak mahu membuat kesilapan yang sama berulang kali.

Akhirnya, pada hari ini, Ling Lang melihat peluang yang jarang didapatinya. Mungkin kerana Ling Lan tidak melakukan serangan sepanjang minggu, raja paya itu seolah-olah telah membunuh semua binatang yang berani mengancamnya. Tambahan pula, raja paya itu baru sahaja berjaya menangkap snek kegemarannya iaitu ular air yang mempunyai daging yang lembut dan berjus. Ini membuatkan angin raja paya itu begitu baik sehingga menjadi kurang waspada...

Ketika itulah Ling Lan menyerang. Kali ini, Ling akhirnya berjaya memberikan serangan membunuh yang sangat hebat. ini juga menjadi bukti yang Ling Lan sudah menguasai seni menyembunyikan niat membunuhnya kerana dia berjaya menangkap mangsanya.

Ketika raja paya itu sedang mati, Ling Lan menutup matanya dan memikirkan kembali bagaimana perasaannya ketika dia melakukan pembunuhan itu. Tiada kegelisahan, keseronokan, kesabaran. Hanya perasaan tenang dan fokus sahaja. Ling Lan menikmati perbezaan di antara serangannya yang terdahulu dan yang sekarang. Dia faham yang dia terlalu tergesa-gesa sebelum ini, terlalu memikirkan tentang pengakhirannya sehingga tidak dapat kekal tenang. Sebaik tasik ketenangannya berkocak, niat membunuhnya tersebar keluar.

Ling Lan ketawa sambil menggenggam erat penumbuknya. Mungkin dia boleh kembali sekarang dan meninggalkan tempat jahanam ini. Walaupun Ling Lan tidak lagi takut dengan hutan belantara, ini tidak bermakna dia suka berada di sini. Keadaan di sini terlalu sunyi sepi, tiada sesiapa untuk berbual. Tiada sesiapa yang menemaninya. Dia hampir mengalami tekanan perasaan disebabkan kesunyian. Nasib baiklah dia mempunyai kekuatan mental yang hebat, jika tidak, dia pasti sudah menjadi gila.

Pada ketika itu, Ling Lan merasakan perubahan pada persekitarannya, datang dari arah belakangnya. Dia tidak berpaling tetapi posturnya beralih dengan pantas, supaya dia dapat bersedia untuk mempertahankan dirinya dan melawan balik, pada bila-bila masa.

"Boleh tahan!" Suara yang amat dikenali, kedengaran dari belakangnya. Ling Lan merasakan kemarahan yang meluap-luap, walaupun dalam masa yang sama, dia berasa lega.

Tanpa berfikir, dia melompat ke belakang dengan pantas, melayang ke udara, membuat balik kuang dan kemudian sambil menghadap lelaki itu, dia dengan penuh semangat membuat satu tendangan ganas ke arah lelaki itu...

Celaka Nombor Satu, bangsat! Saya akan tendang kamu sampai mati! Ling Lan yang sudah lama menderita, tidak dapat kekal tenang.

Jurulatih Nombor Satu itu tiada ekspresi di wajahnya seperti biasa. Melihat serangan Ling Lan, dia langsung tidak menggerakkan kakinya. Dia hanya menunjukkan dua jarinya ke arah kaki Ling Lan.

"Bam!" Kedua-duanya bertembung, menghasilkan bunyi yang perlahan dan Ling Lan merasakan gelombang tenaga yang besar merebak dari bahagian bawah kakinya. Seluruh badannya tercampak ke belakang. Kakinya yang lembut, yang berjaya menghancurkan raja paya, menjadi sedikit kebas dan dia kehilangan semua kemampuan untuk bertarung buat seketika.

Ling Lan mengawal badannya sewaktu sedang melayang di udara dengan memusingkan pinggangnya. Gerakan ini membolehkan dia mendarat pada tempat dia bermula tadi, iaitu di atas kepala bangkai raja paya itu.

avataravatar
Next chapter