41 Latihan Belantara?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Ling Lan yang mabuk agak comel juga, dia tidak bercakap merepek dan dia juga tidak bertukar menjadi seorang yang pemarah. Dia hanya tertidur dengan senyap, air liur sekali-sekala muncul di pinggir bibirnya.

Keadaan Ling Lan yang menawan hati ini membuatkan Lan Luofeng ketawa walaupun dia berasa jengkel. Dia mengalihkan perhatiannya dari anaknya ini untuk seketika sahaja dan Ling Lan telah mabuk kerana minum wain merah. Namun, inilah satu-satunya masa Ling Lan kelihatan seperti kanak-kanak berusia enam tahun yang sebenar, tidur nyenyak tanpa mempedulikan hal-hal dunia.

Lan Luofeng tahu beberapa tahun kebelakangan ini sangat sukar bagi Ling Lan. Setiap hari dia menjalani latihan dan Lan Luofeng melihat sendiri sambil matanya bergenang kerana Ling Lan berlatih bersungguh-sungguh sehingga dia amat letih. (Sebenarnya, Empat Kecil telah memberitahu Ling Lan masa berlatih sudah tamat supaya dia boleh berehat. Bukannya Ling Lan malas, tetapi tubuhnya masih terlalu lemah. Memaksa tubuhnya bekerja terlalu keras sewaktu menjalani latihan hanya akan mengakibatkan kemudaratan, sehingga latihan Qi sekalipun tidak akan dapat memperbaikinya.)

Namun begitu, Lan Luofeng tidak dapat menghentikan latihan tersebut kerana dia tahu ini akan memberi manfaat yang besar kepada Ling Lan pada masa akan datang. Persekutuan ialah dunia di mana yang paling kuat akan selamat. Lebih kuat bermaksud lebih selamat. Demi masa depan Ling Lan, dia terpaksa keras hati.

Dengan cepat Lan Luofeng menyelimutkan Ling Lan dan mengangkatnya ke bilik. Sejak Ling Lan boleh berkomunikasi mengenai apa yang dimahukannya, dia mendesak untuk mempunyai bilik sendiri. Lan Luofeng seorang ibu yang suka memanjakan anaknya secara berlebihan, jadi bersetuju dengan mudah dan menyediakan bilik peribadi untuk Ling Lan.

Dengan berhati-hati, dia meletakkan Ling Lan di atas katilnya. Lan Luofeng mencium wajah tembam Ling Lan dan kemudian menutup pintu ketika dia melangkah keluar dari bilik tersebut. Tanpa pengetahuan Lan Luofeng, walaupun Ling Lan kelihatan seperti dia sedang tidur nyenyak, sebenarnya kesedarannya telah diseret tanpa belas kasihan ke ruang minda, oleh Jurulatih Nombor Satu.

********

Ling Lan berasa lembik lutut, merasakan agak sukar untuk berdiri dan penglihatannya mula kabur.

Dia berasa sedikit mual dan dengan segera dia mencangkung sambil memegang kepalanya. Ling Lan merasakan dia perlu mencangkung supaya dia tidak jatuh kerana hilang keseimbangan.

"Hmph. Berani kamu minum wain." Ekspresi wajah Nombor Satu semakin gelap dan dengan satu petikan jarinya, air sejuk disimbah ke atas Ling Lan. Kejutan secara tiba-tiba itu menyebabkan Ling Lan menggigil tidak terkawal dan derianya yang tadi celaru, menjadi semakin fokus.

"Jurulatih Nombor Satu, kamu nampak sihat!" Ling Lan tersenyum dengan janggal ketika dia mengangkat kepalanya. Raut wajahnya seperti merayu meminta belas kasihan.

"Saya tidak begitu sihat." Jurulatih Nombor Satu tidak mengendahkan rayuan Ling Lan, dia tidak memberi peluang langsung kepada Ling Lan dan jelas memberitahu Ling Lan yang dia amat marah.

Kata-kata Jurulatih Nombor Satu membuatkan itu Ling Lan berpeluh sejuk. Tanpa perlu bertanya, dia tahu ayat 'tidak sihat' yang dimaksudkan ada kaitan dengan dirinya. Mungkinkah dia telah menjengkelkan jurulatih yang menakutkan ini, tanpa disedari?

Melihat wajah Ling Ling yang bingung, dengan berangnya Jurulatih Nombor Satu berkata, "Dalam pertempuran hari ini, apa yang kamu buat? Begitukah cara kamu menggunakan apa yang telah diajar oleh Nombor Sembilan?"

Ling Lan sangat marah, "Saya berjaya memukul pemeriksa itu."

"Kamu boleh memukulnya secara terus tanpa perlu guna muslihat! Jika hal ini berlaku lagi, jangan salahkan saya kerana menghukum kamu." Jurulatih Nombor Satu tetap yakin, kekuatan yang jujur ​​ialah jalan yang benar. Penggunaan muslihat ialah cara yang tidak jujur serta tidak boleh dipercayai.

Ling Lan langsung tidak memberi perhatian pada hukuman yang disebutkan tadi, tetapi bertanya dalam keadaan terkejut, "Maksud Tuan, saya sebenarnya boleh memukul pemeriksa menggunakan kekuatan saya sekarang?" Sekiranya itu berlaku, mengapa dia berasa terlalu lemah? Seolah-olah kekuatan pihak lawan itu jauh lebih tinggi daripada kekuatannya? Adakah ini satu ilusi?

Tetapi ketiga-tiga mereka telah menggunakan semua kekuatan dan kemahiran mereka untuk melawan pemeriksa itu dalam tempoh masa yang lama. Hanya apabila mereka kehabisan kekuatan barulah mereka memikirkan untuk menggunakan tipu helah bagi memukul pemeriksa. Sudah tentulah Ling Lan tidak merasakan penggunaan tipu helah ialah salah atau tidak adil. Satu-satunya prinsip di medan pertempuran ialah, kebolehan untuk terus hidup.

"Benar, dalam pertempuran hari ini, kamu terlepas tiga peluang. " Jurulatih Nombor Satu memetik jarinya lagi dan rakaman pertempuran tadi muncul di depan mata Ling Lan.

"Serangan menyelinap pertama dilakukan dengan baik pada mulanya. Kamu ingat apa yang Nombor Sembilan beritahu kamu, dan menyembunyikan niat membunuh kamu. Tetapi sewaktu kamu hampir berjaya, hati kamu pula teragak-agak." Jurulatih Nombor Satu menunjukkan bagaimana sewaktu pukulan Ling Lan hampir kena pada pemeriksa itu, dia mempunyai auranya menjadi tidak stabil. Ketidakstabilan aura ini telah membolehkan pemeriksa itu mengesan serangan Ling Lan, oleh itu dia dapat menghalang serangan itu pada saat akhir.

"Bagi serangan kedua, kamu membuat kesilapan yang sama, kehilangan perhatian pada saat kritikal." Suara Jurulatih Nombor Satu semakin dingin dan dia kelihatan seperti mahu mengheret Ling Lan untuk memukulnya sekarang ini. Dia telah mempelajari segala-galanya dengan betul, mengapa dia masih membuat kesilapan yang memalukan dalam pertempuran sebenar? Sekiranya Ling Lan berlawan seperti sewaktu latihannya, pemeriksa itu pasti dapat dipukul pada langkah pertama lagi.

"Apa yang membuatkan saya paling marah, kamu tidak tahu mengubah cara serangan kamu sendiri. Menggunakan langkah yang sama berulang kali, selepas gagal sebanyak dua kali. Orang yang bodoh sekalipun berhati-hati dengan serangan kamu. Kamu masih lagi meneruskan cara serangan yang sama! Kamu ini otak udangkah?" Kemarahan Jurulatih Nombor Satu semakin marak selepas dia memerhatikan cubaan ketiga Ling Lan untuk melakukan serangan.

"Selepas serangan kamu diketahui, tidak mengapa jika kamu bertarung seperti biasa dengan pihak lawan. Tetapi apa yang kamu fikirkan sehingga menggunakan seluruh kekuatan kamu untuk setiap langkah? Kalau begitu, apa yang kamu akan gunakan untuk mempertahankan diri sendiri? Lagipun, tidakkah kamu tahu bagaimana untuk menggunakan gerak keliru dalam serangan kamu? Lihat sini, apabila siku kanan kamu disekat dan kamu berterusan menggunakan siku kiri, kedua-dua belah lengan pihak lawan digunakan untuk pertahanan dan kerana serangan rakan kamu di pinggangnya, kakinya juga tidak boleh digunakan. Mengapa kamu tidak mengambil peluang ini untuk menyerang bahagian bawah badannya? Bukankah kamu belajar Pukulan Ekor Kala Jengking? Ini peluang terbaik untuk membolehkan kamu memukulnya. Apa yang paling mengecewakan saya ialah kamu tidak menyedari kesilapan yang kamu buat semasa pertarungan mahupun peluang yang terlepas. Kamu sememangnya pelatih kombat yang bodoh."

Kebanyakan pelatih yang bijak dapat melihat kelemahan mereka sendiri semasa dalam pertarungan. Tetapi malangnya, Ling Lan langsung tidak menyedari apa-apa sehingga ke akhirnya. Malahan, sekarang dia masih lagi gembira dengan dirinya sendiri kerana tipu helahnya berjaya. Ini yang menyebabkan Jurulatih Nombor Satu sangat marah. "Sekiranya bukan kerana pihak lawan ingin tahu apa yang boleh kamu lakukan, kamu sudah pasti akan dibunuh pada ketika ini." Jurulatih Nombor Satu memainkan kembali saat Ling Lan mula berdepan secara terus dengan pemeriksa itu. Dia menunjukkan bagaimana pemeriksa itu telah menghentikan banyak gerakannya pada pertengahan jalan bagi mengelakkan Ling Lan cedera.

Analisis terperinci daripada Jurulatih Nombor Satu membuatkan Ling Lan berasa semakin malu. Dia benar-benar fikir dia telah melakukan yang terbaik dalam pertarungan itu, tetapi sebenarnya prestasinya sangat teruk. Dia membuat kesilapan demi kesilapan. Kegembiraan Ling Lan kerana berjaya memukul pemeriksa pada hari ini terus lenyap. Dia hanya dipenuhi perasaan malu dan belakang badannya dibasahi peluh.

"Nampaknya kita perlu mengadakan latihan belantara. Kita akan lihat apa yang perlu dilakukan selepas kamu belajar bagaimana untuk memburu! " Jurulatih Nombor Satu dengan tenang memberitahu nasib Ling Lan.

Sebelum Ling Lan dapat bertanyakan apa-apa soalan mahupun merayu meminta belas kasihan, Jurulatih Nombor Satu sudahpun memetik jarinya sekali lagi. Ling Lan melihat ada perubahan berlaku pada pemandangan di sekelilingnya. Kemudian dia mendapati dirinya berdiri di dalam hutan purba bersama-sama Jurulatih Nombor Satu. Dia dapat mendengar bunyi arus yang mengalir dari jauh serta bunyi yang menakutkan daripada binatang liar yang tidak diketahui.

Jantung kecil Ling Lan berdegup kencang, seolah-olah hampir melompat keluar dari dadanya. Walaupun dia tidak pernah menghabiskan banyak masa di dalam hutan sebelum ini, dia tahu tempat ini penuh dengan bahaya. Bukan sahaja terdapat binatang liar yang berkeliaran, alam sekitar itu sendiri menakutkan. Terdapat juga elemen menggerunkan yang lain, tersembunyi di dalamnya.

Raut wajah Ling Lan berubah dengan cepat. Walau bagaimanapun, dia tahu misi memburu ini pasti tidak dapat dielakkan. Tahun ini telah mengajarnya apabila Jurulatih Nombor Satu telah membuat keputusan, tiada apa yang akan mengubahnya.

Namun, dia masih bercadang untuk cuba memujuk dan merayu pada Jurulatih Nombor Satu untuk memberikannya sedikit masa persiapan, supaya dia boleh kembali dan meminta Empat Kecil memberikan beberapa tips menghadapi hutan belantara. Malangnya, Jurulatih Nombor Satu dapat mengesan rancangannya dan tanpa memberi peluang kepada Ling Lan untuk bercakap, dia meminta Ling Lan berseronok, kemudian dia lenyap sepantas cahaya.

Celaka! Jurulatih Nombor Satu, kamu sangat kejam!

Ling Lan terus menunjukkan jari tengahnya ke tempat di mana Nombor Satu berdiri tadi, dalam keadaan marah yang tidak berguna.

avataravatar
Next chapter