48 Datuk Penjaga yang Psiko!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Kedengaran bunyi yang lembut, "Pop!", dan bom tangan asap dicampak keluar dari belukar. Lapan orang lelaki itu terkejut, lalu menembak secara rawak ke arah bom tangan asap itu. Kemahiran menembak mereka sangat bagus, hampir setiap tembakan mengenai sasaran. Namun, bom tangan asap tidak seperti bom tangan lain yang akan meletup atau menjadi tidak efektif apabila ditembak. Bom tangan jenis ini akan terus mengeluarkan asap. Lagi banyak diserang, lagi cepat asap dikeluarkan dan seluruh kawasan belukar akan dipenuhi dengan kepulan asap tebal. Walaupun topi keledar pelindung yang mereka pakai dapat melindungi mereka daripada asap hingga ke tahap tertentu, penglihatan mereka masih lagi terjejas.

Namun, lapan orang lelaki itu masih merupakan pembunuh profesional. Mereka tidak panik, sebaliknya tidak teragak-agak untuk menembak menggunakan senapang submesin partikel-cahaya. Partikel cahaya ditembak tak terkira banyaknya, sehinggakan kawasan belukar itu bertukar menjadi longgokan abu.

Ling Lan tidak begitu bimbang kerana dia nampak Penjaga Ling Qin cepat-cepat bergerak ke semak samun di sebelah kanannya, sebaik dia mencampak bom tangan asap itu.

Tetapi tindakan Ling Qin seterusnya telah mengejutkan Ling Lan. Ling Qin melonggarkan tali nipis yang melingkari pergelangan tangannya, dan dengan satu rentapan di bahagian hujung, tali yang pada awalnya kuat, terlerai menjadi beberapa helaian yang nipis seperti rambut.

Ling Qin memegang hujung tali itu dan cepat-cepat mengikatnya pada pemicu senapang partikel-cahaya jenis II. Kemudian dia memasang senjata itu di dalam semak. Bersembunyi di sebalik bunyi tembakan, Ling Qin menyelinap sekali lagi ke tempat persembunyian yang baru. Ling Lan dapat melihat dengan jelas yang Ling Qin masih memegang tali nipis yang hampir tidak dapat dilihat itu di tangannya.

Selepas satu pusingan tembakan, lapan orang lelaki tadi melihat kawasan belukar itu telah menjadi bara api. Sambil bertukar pandangan, dan beberapa isyarat tangan, dua daripada lelaki itu melangkah ke depan. Nampaknya mereka mahu memeriksa bara api di kawasan belukar itu untuk memastikan jika ada sebarang kesan sasaran mereka di situ. Bagus juga jika ada mayat di situ.

Kedua-dua orang lelaki itu perlahan-lahan mara ke hadapan, dan menggunakan hujung senjata mereka untuk menguis-nguis abu. Tepat ketika itu, tembakan meletus dari sebelah kanan dan satu gelombang partikel cahaya terpancar. Ling Qin yang sedang bersembunyi, telah menarik helaian tali pada tangannya, dan mengawal senapang jenis II di dalam semak itu.

Senapang jenis II dengan dahsyatnya melepaskan partikel cahaya yang lebih kuat daripada senjata pihak lawan, seperti yang dijangka daripada versi terbaru senapang submesin partikel-cahaya ini.

Serangan ini mensasarkan enam orang lelaki yang memberikan perlindungan kepada rakan-rakan mereka. Salah seorang dari mereka tidak dapat mengelak dan ditembak mati dengan kejam. Yang lain, termasuk dua orang lelaki yang memeriksa kawasan semak itu, cepat bertindak. Mereka mengalihkan tembakan ke arah semak dari mana datangnya tembakan itu. Mereka menembak tanpa henti, dan salah seorang daripada mereka akhirnya berjaya menembak senapang jenis II yang diletakkan dalam semak itu, meletupkannya lalu menukarkan kawasan semak itu menjadi lautan api.

Melihat keadaan ini, tujuh orang lelaki itu menghentikan serangan dan keadaan mereka yang tadinya tegang, mula menjadi tenang. Mereka pasti dengan meletupnya senapang jenis II itu, penembak yang memegangnya juga pasti terkorban dalam letupan itu. Lagipun dengan api yang marak seperti ini, jika penembak itu tidak mati dalam letupan itu, dia tetap akan terbakar hidup-hidup dan bertukar menjadi abu.

Tapi pada ketika ini, sesuatu yang tak dijangka telah berlaku. Ling Qin melompat ke arah mereka dari tepi, sambil melancarkan suar isyarat keluarga Ling ke langit.

Tidak mengapa jika dia mati, namun Ling Lan mesti hidup. Tujuan serangan Ling Qin ialah untuk mengalihkan perhatian mereka semua, termasuk perhatian kereta apung yang berada di belakang. Dia berharap Ling Lan akan mengambil peluang ini untuk melarikan diri sementara perhatian mereka tertumpu kepadanya. Tambahan pula, dia percaya penyokong setia keluarga Ling dalam perjalanan untuk bertemu mereka. Dengan kekuatan keluarga Ling, menguruskan kumpulan pembunuh itu tidak menjadi masalah.

Kilauan isyarat suar yang berada tinggi di langit, mengejutkan beberapa kumpulan orang yang sedang panik mencari Ling Lan. Dengan perasaan penuh bersemangat, mereka berpusing ke arah suar itu dan pantas bergegas ke sana.

Serangan Ling Qin terlalu cepat dan tidak diduga. Hanya lelaki yang mengetuai kumpulan itu mempunyai masa yang cukup untuk bertindak balas. Dalam keadaan terdesak, dia menembak partikel cahaya untuk cuba menangkis serangan Ling Qin, manakala enam yang lain hanya berdiri kaku.

Sebelum sempat berkata apa-apa, tiba-tiba Ling Qin yang sedang meluru itu menjadi kabur, dan kemudian partikel cahaya ketua musuh itu berada di belakangnya.

Ketua itu menjerit, "Sinaran Gerila!" Ini ialah langkah mengelak tahap tinggi, yang sangat sukar untuk digunakan dengan baik dalam pertempuran. Biasanya, sesiapa yang boleh menggunakan langkah ini di dalam pertempuran, pasti merupakan pakar pejuang.

Satu senyuman dingin terukir di bibir Ling Qin. Pada saat ini, dia sudahpun menghampiri pembunuh upahan yang paling dekat dengannya.

"Cepat tembakkan meriam plasma!" Renungan ketua pasukan itu kelihatan bengis dan mempunyai keazaman yang tinggi. Dia menjerit sekuat-kuatnya melalui komunikator, sambil berundur dengan cepat pada masa yang sama.

Sebenarnya, lelaki-lelaki itu semuanya dijadikan umpan untuk membuatkan lawan mereka menyerang. Serangan membunuh yang sebenarnya terdapat pada kereta apung di belakang mereka. Sudah tentulah bagi orang-orang yang biasa beroperasi dari belakang tabir, mengorbankan beberapa orang bawahan ialah sangat normal, itulah sebabnya mengapa pemimpin pasukan itu telah mengorbankan orang bawahannya yang telah diserang oleh Ling Qin, tanpa sebarang keraguan.

Ketua pasukan itu telah bersiap sedia untuk mengelak, tetapi kereta apung di belakangnya tidak bertindak seperti yang diharapkan dan menembak meriamnya. Sebaliknya, kereta itu hanya mengekalkan kedudukan asal, dan komunikasi radio kini senyap.

Sebelum dia sempat menoleh ke depan, dia terdengar jeritan kesakitan. Orang bawahan yang telah ditinggalkannya dengan kejam tadi telah ditikam di kerongkong oleh Ling Qin menggunakan pisau belati, dan telah melaungkan satu jeritan akhir. Jeritan itu seolah-olah bergema dengan kemarahan dan kesedihan. Lagipun dia dia telah melihat sendiri bagaimana ketua pasukannya telah meninggalkannya pada saat sebelum dia mati.

Ekspresi wajah Ling Qin kelihatan sangat tidak berpuas hati. Ada kesan darah terpercik ke wajahnya, dan bau darah yang kurang menyenangkan memenuhi ruang udara, cukup kuat untuk menyebabkan orang biasa muntah. Walau bagaimanapun, Ling Qing nampak tenang, sambil perlahan-lahan menjilat darah di sudut bibirnya. Dia sememangnya seorang Datuk Penjaga yang psiko! Melihatkan apa yang berlaku, Ling Lan tidak dapat menahan tangisan di dalam hatinya. Apa yang tidak kena dengan semua orang di sekelilingnya ini...?

Ketika menjilat darah tersebut, ekspresi wajah Ling Qin berubah menjadi obses, dia kelihatan seperti hampir khayal. Sudah lama dia tidak mengecapi rasa darah ini.

Dua bola api ynag sedang menyala, terpancar di mata Ling Qin. Pada zaman mudanya, dialah yang merangkak melalui longgokan mayat di medan perang dengan bapa Ling Xiao. Jadi pembunuhan seperti ini, normal baginya. Malangnya, selepas Ling Xiao telah dinaikkan taraf kepada kelas-tuhan, pemerintahan ganas dan berdarah mereka telah ditolak ke masa lalu. Bukannya Ling Qin mahu meninggalkan pembunuhan, tetapi pengendali kelas-tuhan ialah simbol kekuatan sejati dalam Persekutuan, jadi tiada siapa yang mahu menyebabkan kemurkaan pengendali kelas-tuhan.

Ling Qin berpendapat bertahun-tahun dia banyak bermeditasi dan menjalani kehidupan yang senang, telah menyebabkan dia melupakan sifat ganasnya. Tidak disangka-sangka, sewaktu sekali lagi menghadapi pertempuran hari ini, darahnya masih panas dan kebolehan membunuhnya kembali dengan mudah. Ini membuatkan dirinya gembira, dan terasa seperti makhluk ganas di dalamnya akhirnya telah dibebaskan.

Ling Qin ketawa dengan penuh kegilaan. Nampaknya membunuh itu masih lagi sesuatu yang menyeronokkan.

Sambil memerhatikan semua ini, Ling Lan dalam diam mengelap peluh sejuknya. Siapa sangka Datuk Penjaga yang tegas dan serius, yang melayannya dengan baik, ialah seorang yang berperwatakan ganas. Cara pembunuhannya sangat teratur, dan senyuman yang mengerikan itu membuatkan sesiapa yang mahu memintasnya berfikir dua kali.

Ling Lan merasakan jantungnya berdebar-debar. Habislah, nampaknya selepas ini dia tidak boleh membuatkan Datuk Penjaga marah! Ling Lan dengan tegasnya melabel Penjaga Ling Qin sebagai 'seorang yang tidak boleh dipermainkan'.

Sewaktu Ling Qin melancarkan serangannya, dia tidak memikirkan yang dia akan mampu bertahan. Jadi dia tidak berhenti selepas membunuh musuh yang pertama, sebaliknya berani berdepan dengan musuh seterusnya.

Terdapat jurang yang jelas di antara keupayaan bertempur kedua-dua belah pihak. Walaupun pada usia tuanya, Ling Qin masih kuat, dan kehebatan pertempurannya masih hebat, sama seperti ketika dia masih muda. Sebaik Ling Qin telah menumpaskan lawannya yang ketiga, jelas kedengaran jeritan marah ketua pasukan itu daripada alat komunikatornya, "Bajingan, saya cakap tembak! Tembaklah, celaka..."

Ternyata ketua pasukan itu masih belum berputus asa dengan kereta apung itu. Sewaktu Ling Qin bersedia untuk membunuh dua orang lagi, ketua pasukan itu masih berusaha untuk menghubungi kereta apung itu dan mahu memerintahkan mereka untuk menembak. Tetapi ternyata, tiada jawapan diberikan padanya, dan kesunyian ini membuatkan dia berputus asa.

Akhirnya, dia faham yang langkah penyudah mereka, iaitu kereta apung itu, pastinya telah dikalahkan, dan mereka tidak boleh lagi bergantung harap padanya. Dengan marah, dia melemparkan komunikator itu dari tangannya dan mengangkat senjatanya sambil menjerit, "Serang!"

avataravatar
Next chapter