9 Agen Perangsang Gen!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Lima bulan berlalu dan seperti bayi yang lain, Ling Lan yang kini berusia enam bulan sudah boleh menterbalikkan dirinya dan mula merangkak. Tetapi Ling Lan merasakan lidahnya masih lagi tidak memberi kerjasama kerana dia hanya boleh menyebut satu suku kata. Namun, ibunya, Lan Luofeng, sangat gembira. Berbanding dengan bayi lain, Ling Lan sudah petah dan Lan Luofeng merasakan dia boleh memahami apa yang ingin Ling Lan katakan.

Ling Lan menjadi sebak, akhirnya dia boleh memberitahu ibunya jika dia perlu ke tandas. Sepanjang tempoh ini, walaupun dia berusaha bersungguh-sungguh, dia masih mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan ibunya sehingga menyebabkan beberapa kejadian yang tidak diingini...yang membuatkan dia berasa sangat malu kerana masih kencing di atas katil setelah hidup selama dua puluh tujuh tahun.

Baiklah, lupakan saja perkara memalukan yang berlaku selama enam bulan itu. Terlalu banyak untuk disebutkan dan Ling Lan tidak mahu memikirkannya lagi. Dia membuat keputusan untuk melenyapkan perkara ini daripada memorinya.

Hari ini, sebaik dia terjaga, Ling Lan merasakan ada satu kelainan. Wajah Pak Cik Qin serius dan ibunya memakaikan Ling Lan seluar dalam khas yang akan membantu dia menyembunyikan rahsianya.

Ling Lan merasakan yang seluar dalam itu agak selesa juga, kalau dia tidak menghiraukan dua bulatan lembut testikel palsu di dalam seluar itu.

Tidak lama kemudian, beberapa orang asing berpakaian uniform tentera British tiba di hadapan kediaman Ling.

Ling Lan terkejut melihat mereka. Dia tidak tahu sama ada semua askar yang kembali dari peperangan mempunyai aura yang sama, tetapi Ling Lan dapat merasakan ketangkasan yang tersembunyi di bawah pakaian seragam itu. Mereka pastinya tentera veteran yang berpengalaman melawan musuh dan sudah banyak bermandikan darah.

Ling Lan menunjukkan muka bersahaja dan berpura-pura bermain sendirian tetapi dia memasang telinga. Dia amat bersyukur dia dilahirkan semula di dalam keluarga berketurunan Cina yang menggunakan bahasa Mandarin. Jadi dia tidak perlubelajar bahasa baru dan ini juga bermaksud dia boleh mengumpulkan maklumat melalui perbualan orang lain walaupun dia masih bayi.

Apabila angkatan tentera itu memperkenalkan diri mereka kepada ibunya, Ling Lan akhirnya faham. Mereka datang untuk menghantar faedah ketenteraan premium yang diwarisi Ling Lan dan akan datang setiap enam bulan mulai sekarang.

Hari ini juga Ling Lan mendapat tahu apa sebenarnya faedah ketenteraan premium . Sebahagian besar daripada faedah ketenteraan premium itu agen perangsang gen yang digunakan untuk meningkatkan statistik potensi dan fizikal.

Ada empat gred bagi agen perangsang gen yang terdapat di pasaran, gred -1 hingga gred-4. Agen gred-4 paling teruk manakala agen gred-1 yang terbaik. Penggredan ini berdasarkan keaslian agen perangsang gen itu. Agen perangsang gred-4 mempunyai 30% keaslian, gred-3 mempunyai 45%, gred-2 mempunyai 60% dan gred-1 mempunyai 75%. Semakin tinggi keaslian agen perangsang, semakin kurang kesan bahaya terhadap badan. Ini membolehkan pengguna menyerap kebanyakan agen itu dan menerima peningkatan lebih tinggi bagi statistik potensi dan fizikalnya.

Jadi, lebih banyak agen yang dapat diserap oleh badan bayi, semakin bagus perkembangannya, dan ini akan membina asas kukuh yang diperlukan untuk berpotensi menjadi pengendali mecha IN.

Namun begitu, agen perangsang gen ini teramat mahal. Begini, duit simpanan orang biasa yang bertungkus lumus bekerja hanya mampu membeli agen perangsang gred paling rendah. Bagi mendapatkan agen yang satu gred lebih tinggi, harganya digandakan sebanyak sepuluh kali. Seperti yang dapat dibayangkan, agen perangsang gen gred-1 hanya mampu dimiliki oleh golongan berkuasa atau kaya raya. Manakala orang kebanyakan hanya mampu melihat dengan perasaan iri hati.

Namun, ini tidak bermakna tidak ada peluang langsung bagi rakyat biasa untuk menerima sumber yang lebih baik. Setiap bayi yang baru lahir boleh dinilai di pusat penilaian awam dan menerima satu daripada enam pangkat melalui penilaian itu.

Mereka yang dinilai sebagai pangkat [F] tidak akan menerima sebarang bantuan daripada kerajaan. Sehingga badan mereka tidak dapat menyerap apa-apa lagi agen, bayi berpangkat [D] akan menerima dua botol agen perangsang gen gred-4 setiap tahun, pangkat [C] boleh menerima dua botol agen gred-3 setiap tahun, dan pangkat [B] boleh menerima dua botol agen gred-2 setiap setahun.

Manakala, bayi berpangkat [A] mempunyai dua pilihan. Mereka boleh menerima dua botol agen gred-1 setiap tahun dan membesar secara bebas, atau menyertai tentera dan menerima latihan ketenteraan yang teratur serta bekalan agen gred-1 yang berterusan. Walau bagaimanapun, pilihan kedua ini bermaksud kanak-kanak itu perlu menghabiskan seluruh hidupnya berkhidmat kepada tentera.

Bayi berpangkat [S] akan segera diambil untuk latihan khusus oleh pihak tentera, tetapi kemungkinan ini berlaku sangat rendah. Seperti yang diberitahu tadi, pangkat ini amat jarang sekali dijumpai di kalangan kanak-kanak golongan biasa. Secara ringkas, genetik memutuskan segala-galanya.

Sementara itu, seseorang seperti Ling Lan yang mewarisi faedah ketenteraan premium berhak mendapat agen perangsang gen gred premium yang disimpan untuk kegunaan pihak tentera pusat. Agen-agen ini lebih asli daripada agen yang ada di pasaran, hampir mencapai keaslian 90%. Tahap keaslian ini yang terbaik dapat dihasilkan oleh pihak tentera buat masa sekarang kerana penyelidikan mengenai agen sudah mencapai tahap mendatar. Keaslian tepat-tepat 90% sudah hampir dicapai tetapi tiada siapa mampu meneruskannya.

Kali ini, pihak tentera menghantar sepuluh tiub agen bergred premium. Oleh kerana sepuluh tiub ini sama nilai seperti sebuah bandar, pihak tentera tiada pilihan selain menghantarnya dengan iringan sebahagian mecha terbaik mereka.

Dengan cepatnya, baju Ling Lan dibuka hingga hanya tinggal seluar dalam khasnya. Salah seorang daripada mereka yang kelihatan seperti doktor tentera mengeluarkan picagari panjang dengan jarum yang tajam daripada kotak yang dibawanya, dan kemudian menggunakan picagari itu untuk mengeluarkan agen perangsang gen daripada salah satu tiub.

Ling Lan tidak mempedulikan semua ini. Itu sahaja yang mampu dia lakukan. Manalah bayi berumur enam bulan tahu takut? Ketika ini, dia berterima kasih dengan pengalamannya menghadapi suntikan. Semasa menghadapi penyakitnya dahulu, dia telah menerima begitu banyak suntikan setiap hari sehinggakan dia sudah lali dengan jarum. Itulah sebabnya dia boleh menghadapi suntikan ini dengan tenang sekarang.

Jarum itu dengan pantas masuk menembusi lengannya. Doktor tentera itu sangat mahir kerana Ling Lan hanya merasakan sedikit sengatan dan gatal-gatal ketika jarum itu masuk, seperti gigitan nyamuk.

Doktor tentera menekan picu dan menolak agen itu ke dalam lengan Ling Lan secara beransur-ansur. Wajahnya serius sewaktu memerhatikan reaksi Ling Lan. Sesetengah bayi tidak serasi dengan agen itu, dan ada juga beberapa bayi yang telah menunjukkan reaksi alergi. Kesimpulannya, penjagaan terbaik harus diberikan ketika kali pertama menyuntik bayi dengan agen itu untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini.

Sebelum Ling Lan dapat merasakan apa-apa perbezaan, Empat Kecil telah bergegas ke hadapan fikirannya tanpa memberikan Ling Lan sebarang amaran.

'Saya dapat rasa sesuatu yang lazat! Saya kenal sangat rasa ni! Tidak, ini tidak betul, ada sesuatu yang berbeza ... yuck, apa sampah ini? Mengapa ada kekotoran? Rasanya sangat lain!' Empat Kecil sangat tidak gembira. Dia berasa seperti ditipu.

Mendengar suara Empat Kecil, Ling Lan cepat-cepat menutup matanya. Pepatah mengatakan mata tingkap kepada jiwa, bukan? Dia akan menyesal jika ada yang perasan sesuatu yang pelik melalui matanya. Ling Lan berkata dengan cemas, 'Kenapa kamu keluar?'

Empat Kecil rasa kecewa. Dia menyangkakan rasa yang hebat seperti dalam memorinya kini kembali tetapi dia hanya dapat sesuatu yang palsu. Dia berkata dengan sedih, 'Saya ingat ada benda hebat yang muncul tapi bukan pun. Ada terlalu banyak kekotoran di dalamnya ... jika dibiarkan, badan kamu akan berada dalam bahaya.'

Mendengar tentang bahayanya kekotoran itu, Ling Lan bertanya dengan cemas, 'Empat Kecil, bolehkah kamu bersihkan kekotoran itu untuk saya?'

Empat Kecil berseri-seri mendengarkan kata-kata Ling Lan, dan berkata dengan bangga, 'Sudah tentu boleh, kamu fikir saya siapa? Saya alat pembelajaran mecha raja paling bijak dari sistem bintang Mandora! Saya dapat membantu kamu melakukan banyak perkara, seperti mengeluarkan apa-apa bahan berbahaya dari badan.'

Ling Lan mengabaikan keangkuhan diri Empat Kecil , dan bertanya dalam nada keliru, 'Jika bahan ini membahayakan badan, mengapa orang di sini mahu menyuntiknya ke dalam badan bayi?'

'Bahan ini sebenarnya bagus dan mampu meningkatkan statistik dan potensi badan. Namun, teknologi di sini seolah-olah tidak dapat mencapai keaslian 100%, oleh itu ada sisa kekotoran yang akan merosakkan badan. Tapi masih lagi membawa lebih manfaat daripada bahaya. Kekotoran yang terkumpul akan menyebabkan agen tidak dapat diserap sepenuhnya oleh badan,' jelas Empat Kecil .

Ling Lan berasa lega. Selagi hasilnya bagus, dan tidak merbahaya untuk kesihatan dirinya, dia masih dapat menerimanya. Lagipun,Empat Kecil telah berjanji untuk membersihkan kekotoran itu.

Dengan cepat, tiub pertama agen telah diserap oleh Ling Lan, dan doktor tentera itu mula menyuntik masuk tiub kedua, dan kemudian yang ketiga... sampai saat doktor tentera itu mengambil tiub kelapan, dahinya sudah berpeluh, dan tangannya yang selama ini stabil, menggeletar sedikit.

avataravatar
Next chapter