webnovel

Syam

Aku mencapai telefon bimbitku dan mencari nombor telefon milik Syam yang masih aku simpan di dalam memori telefonku. Namun, tiba-tiba satu nombor asing menghubungiku. Daripada nombor yang tertera, aku tahu itu adalah panggilan dari Malaysia.

"Hello?" aku menjawab. Nadaku perlahan dan penuh hati-hati.

"Hello Marina..." sapa pemanggil dengan lembut. Aku kenal benar dengan suara itu. Lebih-lebih lagi cara dia menyebut namaku.

"Syam?" soalku terkejut dan tidak percaya akan kebetulan yang berlaku.

"Ya Marina. Ini saya... Syam"

"Syam. Saya baru sahaja teringat untuk menelefon awak" kataku teruja seolah-olah baru sahaja menyaksikan satu keajaiban berlaku di hadapan mataku.

"Saya tidak percayalah. Entah-entah awak langsung tidak ingat pada saya"

"Betul Syaq. Saya sedang cari nombor awak tadi"

Syam hanya ketawa kecil. Aku tahu dia sukar untuk mempercayai kata-kataku. Bukan senang untuk membuatkan seseorang itu percaya kepada kebetulan.

"Jadi apa yang sedang awak buat di sana Marina?"

"Bukankah saya cakap dengan awak tadi yang saya sedang cari nombor awak..." aku mengulang. Cuba meyakinkannya Syam.

"Oh ya! Maaf saya terlupa pula. Baguslah kalau begitu. Tidak sangka ada orang masih ingat pada saya lagi"

Aku hanya ketawa apabila mendengar kata-kata Syam. Sebenarnya aku keliru dengan emosi yang cuba ditonjolkannya. Aku tidak tahu sama ada ianya rajuk, tawa atau duka? Sukar bagiku untuk menafsir kata-katanya.

"Awak ada di mana sebenarnya Syam?" aku sengaja mengubah topik perbualan.

"Saya sekarang di Pulau Pinang. Baru sahaja habis seminar. Bosan duduk dalam hotel ini. Sebab itulah saya telefon awak."

"Awak seorang sahaja di sana?"

"Tidak, saya ditemani netbook kesayangan. Sepanjang hari saya menghadap netbook"

"Tengok youtube ya?"

"Ya. Sambil-sambil"

"Sambil-sambil? Hmm... Jadi apa yang awak hadapkan sepanjang hari?"

"Tengok benda-benda 'menarik'... " jawabnya ringkas diakhiri dengan tawa nakal.

"Ha? Ish takut saya dengar. Apa yang awak buat sebenarnya Syam?"

"Cubalah teka..."

"Awak baca blog Obefiend?"

"Tidak"

"Blog Jumie Samsudin?"

"Tidak"

"Zalora.com?"

"Lagi salah!"

"Awak baca manga?"

"Salah..."

"Awak baca berita?"

"Baca berita?" Syam ketawa terbahak-bahak. Tekaanku yang akhir benar-benar melucukannya.

"Alah. Malaslah hendak teka lagi. Semuanya salah!" aku mengaku kalah. Syam pula masih lagi mentertawakan aku.

"Sebenarnya saya sedang tengok-tengok website MIT dan Oregon State Uni.."

"Wow! Awak rancang untuk sambung belajar?"

"Ya. Itulah hasrat di hati. Tetapi tidak tahu lagi bila. Saya sedang cari topik tesis yang sesuai"

"Lepas sambung master, awak sambunglah PHD. Boleh saya panggil awak Doktor Syam"

"Doktor Syam? Jauh betul awak fikir Marina"

"Yalah. Kita mesti berfikiran jauh. Siapa tahu nanti awak boleh bekerja di MIT"

"Saya tidak pernah pula terfikir sejauh itu Marina. Tetapi jika itu yang awak doakan. Amin"

"Harap-harap begitulah Syam"

"Kalau betul saya dapat kerja di MIT. Awak hendak ikut saya Marina?" tanya Syam. Kali ini nadanya serius, seperti benar-benar dia mahu bekerja di sana.

"Mestilah! Boleh jumpa Prof Chomsky!" aku bercanda. Cuba mengelak dari soalan penuh helah yang aku sendiri sukar menjawabnya.

"Pening kepala kita kalau jumpa dia nanti...." jawab Syam.

"Tidak mengapa Syam, kalau pening, awak minum sahajalah jus gembira awak itu"

"Kalaulah semudah itu." kata Syam. Dia ketawa kecil dan kemudian dia mengeluh sendirian.

"Mungkin juga awak patut cipta resipi jus yang baru" cadangku kepadanya. Namun, Syam tidak memberi apa-apa respon. Malah, topiknya diubah.

"Oh ya Marina. Bagaimana semuanya di sana? Awak sudah bersedia untuk bekerja di tempat baru?"

"Bersedia? Saya tidak tahu apa yang perlu disediakan. Kadang-kadang saya teruja sangat. Kadang-kadang saya rasa gementar. Harap-harap saya okey minggu hadapan"

"Alah. Bertenang. Tidak perlu risau sangat. Segala-galanya akan okey. Percayalah cakap saya. Dalam masa empat minggu sahaja awak sudah boleh biasakan diri."

"Harap-harap begitulah. Terima kasih Syam sebab sudi hubungi saya dan beri kata-kata semangat"

"Saya anggap itu sebagai satu tanggungjawab walaupun... Hmmm..." Syam terhenti seketika. Teragak-agak untuk berkata.

"Oh. Awak tidak ada apa-apa rancangan malam ini Syam?"

"Tidak ada apa-apa pun. Saya rancang hendak duduk bersendirian di bilik hotel. Mengenang nasib diri" kata Syam. Gayanya seperti bintang filem komedi enam puluhan.

"Lain betul bunyinya? Mengenang nasib diri apa pula ini ha?"

"Mengenangkan impian cinta yang tidak kesampaian" jawab Syam.

"Hahahahaha" kami hanya mampu ketawa.

Syam pernah berkata kepadaku, "When things get too painful, you either avoid them or we laugh"

"Prince of Tides?" aku meneka.

"Ya" jawab Syam. Teruja kerana aku dan dia berkongsi minat filem yang sama.

"Jadi awak jadikannya sebagai prinsip hidup awak?"

"Kadang-kadang. Terutama sekali bila kenyataan itu betul-betul menyakitkan" jawab Syam.

Beberapa hari sebelum aku berlepas ke Chicago, aku bertemu dengan Syam. Aku memberitahunya tentang pemergianku dan jawapan untuk soalan yang pernah diajukannya kepadaku. Jawapan yang aku beri sememangnya mengecewakan Syam. Alasanku untuk tidak mahu terburu-buru dalam soal cinta dan rumah tangga diterima Syam dengan tenang. Daripada saat itu, kami tidak lagi berhubung. Saat aku cuba untuk menghubungi Syam, aku sebenarnya teragak-agak untuk bercakap dengannya. Risau kalau-kalau Syam bersikap dingin terhadapku.

"Jangan begitu Syam. Saya rasa masa yang tidak sesuai. Mungkin kalau tercapai pun, tidak bagus untuk awak dan tidak bagus untuk orang yang satu lagi"

"Mungkin juga saya yang bertepuk sebelah tangan"

"Itu susah saya hendak kata"

"Mungkin juga saya yang terburu-buru. Yalah. Sudah lama tidak jumpa. Selepas itu dua tiga kali berjumpa terus ajak kahwin. Mungkin si dia itu takut agaknya"

"Itulah awak. Gelojoh sangat"

"Mungkin saya kena tunggu. Saya perlu beri dia masa. Mana tahu, nasib menyebelahi saya untuk kali yang kedua"

Aku hanya mampu mengiakan apa yang dikatakan oleh Syam. Kami berbual untuk seketika dan aku mengakhiri perbualan kami dengan ucapan selamat.

Tidak lama selepas itu, aku menerima satu mesej.

"Norman.." perlahan aku menyebut nama pengirim dan segera membaca isi kandungan mesej itu.

'Saya faham maksud awak. Maaf jika selama ini saya membuat awak terumbang-ambing mencari diri di sebalik bayang saya.'

Yang Ikhlas,

Norman

Next chapter