webnovel

Norman

Aku membaca draf e-mel yang aku tulis untuk Norman:

*******************

Hai Norman! Apa khabar? Diharap baik-baik sahaja di sana. Maaf kerana mengambil masa yang lama untuk menghubungi awak semula. Terlalu banyak urusan yang perlu diselesaikan sejak kebelakangan ini dan kini barulah ada kesempatan untuk saya menulis kepada awak. Untuk pengetahuan awak, saya sudah pun selamat sampai di Chicago dan pada minggu hadapan, saya akan memulakan tugas saya di Lataya.

Keterujaan untuk memulakan hari pertama di sana memang sukar digambarkan. Namun, kadang-kala saya terfikir sama ada ini semua realiti atau pun khayalan semata. Jujur saya katakan, saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dalam sekelip mata sahaja segala-galanya berubah. Rasanya kita baru sahaja melangkah ke tahun baru dan sekarang ini kita sudah berada di penghujung tahun. Pantasnya masa sehingga saya kadangkala takut untuk melelapkan mata di malam hari. Namun, itulah kehidupan. Ia satu realiti yang perlu dihadapi.

Kita sentiasa berusaha ke arah realiti yang lebih indah dan seperti kebanyakkan orang yang memburu impian ini, kita adalah antara yang terkesan dengan pantasnya masa. Norman, dalam diam tidak diam, sudah hampir sedekad kita berkenalan dan dalam tempoh itu, kita telah banyak mengenali antara satu sama lain. Banyak pengalaman yang kita kutip bersama dan semua itu merapatkan hubungan kita sehingga terjalinnya satu jalinan yang istimewa antara kita. Begitu istimewa sehingga ramai yang mencemburui kita.

Namun, langit tidak selalunya cerah, ikatan yang telah kita jalinkan telah terputus di tengah jalan dan sejak dari saat itu, kita cuba untuk melupakan tahun-tahun yang berlalu. Mencari arah yang berbeza. Melalui jalan-jalan asing yang tidak pernah kita temui sebelumnya dalam mencari dan mengenal diri yang selama ini terbuai di dalam mimpi.

Jujur saya katakan, apa yang berlaku memberi kesan yang mendalam kepada diri saya dan sehingga saat ini, saya masih lagi terkesan dengannya . Namun, ia telah banyak mengajar saya erti kehidupan dan dari situ, saya diberi kekuatan untuk membina semula hidup yang baru. Semua yang berlaku membuatkan saya sedar yang saya tidak boleh mengharapkan orang lain untuk menentukan hala tuju hidup saya. Jika dahulu, apa yang saya fikirkan adalah untuk gembira bersama orang yang tersayang. Tetapi selepas apa yang terjadi, saya sedar yang saya perlu menyayangi diri saya terlebih dahulu sebelum saya menyayangi orang lain agar saya lebih menghargai kehidupan dan orang-orang yang ada di dalam hidup saya.

Norman, saya pasti awak sudah dapat mengagak sebab utama saya menghantar mesej ini. Lain tidak bukan adalah untuk memberi jawapan kepada pertanyaan awak berkenaan dengan 'kita'.

Dahulu, tidak pernah tergambar di fikiran saya yang awak akan hilang dari hidup saya. Keberadaan awak cukup lama dalam hidup saya. Perkenalan kita bermula sejak umur kita belasan tahun, jadi manakan bisa saya melupakan begitu sahaja tahun-tahun berlalu yang dihiasi dengan kehadiran insan bernama Norman.

Perasaan ini cukup kuat mengatakan bahawa Norman adalah insan yang paling mengenali diri ini. Jiwanya saya rasakan begitu padan sampaikan sehingga kini kehadirannya masih dapat dirasai walaupun dia berada jauh beribu batu. Keberadaannya yang cukup lama dalam hidup saya juga membuatkan dirinya begitu berpengaruh dalam jiwa saya. Begitu kuat pengaruhnya sehingga apa yang saya buat dan putuskan berputar dalam persoalan sama ada ia akan membuatkan insan bernama Norman ini bangga atau pun tidak.

Ternyata bukan mudah untuk membuang sesuatu yang telah tersemat di dalam jiwa untuk sekian lama.

Kita punyai akal untuk berfikir. Kita diberi emosi untuk merasa. Jika kedua-duanya diimbangi dengan baik, kita pasti dapat melalui kehidupan penuh mencabar ini dengan tenang. Lalu, dengan kewarasan yang diberi dan anugerah emosi yang stabil, saya telah pun bersedia untuk memberitahu awak bahawa pengaruh yang ada pada insan bernama Norman ini tidak cukup kuat untuk membuatkan saya mengatakan 'ya' dan menyambung semula ikatan yang pernah terjalin suatu ketika dahulu seperti mana yang diharapkan.

Berat untuk saya membuat keputusan ini. Jauh di lubuk hati, saya cukup sedih kerana buat kali kedua, hubungan istimewa ini terpaksa dibiarkan berlalu tanpa sebarang hasil. Dalam hal ini, janganlah pernah ada rasa kesal kerana apa yang berlaku menjadikan kita lebih baik dari semalam. Ini semua telah ditakdirkan dan kita perlu menerima kenyataan bahawa cinta pernah wujud antara kita. Tetapi kita tidak ditakdirkan untuk bersama.

Saya berharap agar satu hari nanti, awak memperolehi apa yang awak inginkan selama ini. Semoga awak akan bertemu dengan seseorang yang dapat mencintai awak sepenuh jiwa dan menumpukan sepenuh hidupnya kepada awak.

Namun, janganlah hubungan kita terputus di sini. Harapan saya agar persahabatan kita akan terus berkekalan dan semoga kita beroleh bahagia yang diimpikan.

Yang Ikhlas,

Marina

*******************

Setelah berpuas hati, aku menekan butang 'send'

"Fuhhh! Lega! Sekarang, ada baiknya jika aku hubungi Syam" kataku sendirian.

"Apa?" tiba-tiba Michelle bersuara.

"Aku tidak kata apa-apa pun" jawabku.

"Rasanya sebentar tadi aku dengar kau ada sebut nama Syam"

"Haish! Kau pasang telinga ya Michelle?" kataku diikuti dengan gelak tawa dari Michelle. "Hmmm... Bukan main suka lagi kau ya Michelle? Memang aku ada sebut nama dia sebentar tadi"

"Jadi apa yang kau fikirkan sebenarnya?"

"Entahlah. Aku rasa aku patut hubungi dialah Michelle"

"Baguslah kalau begitu. Elakkan situasi panas dalam apa jua cara" kata Michelle. "bercakap tentang situasi panas, kau ada padam apa yang aku suruh kau padam semalam?"

"Oh ya!" kataku sambil menyemak semula beberapa perenggan yang telah aku potong dari emel asal yang ingin aku hantar kepada Norman.

'Norman, saya tidak membenci awak. Tetapi, secara jujurnya cinta yang awak janjikan bakal meragut jati diri saya. Saya sanggup berkorban tetapi kehidupan ini terlalu pendek untuk disia-siakan.'

"Sudah! Aku sudah buang perenggan perenggan yang tidak sedap dibaca itu"

"Bagus. Jadi apa yang kau tunggu lagi? Telefonlah dia" gesa Michelle.

"Sekarang?" tanyaku ragu-ragu.

"Ya! Kenapa macam teragak-agak sahaja ini? Kau malu ya?"

"Malu? Eh tidaklah!"

"Kalau begitu apa lagi? Telefon sahajalah si Syam itu"

"Kau pasti aku patut guna telefon?"

"Ya! Guna telefon"

"Skype? Emel?"

"Oh tidak. Tidak sesuai sama sekali. Gunakan telefon sebab dramanya lebih umphhh!"

"Ada 'umphhh' ? Ada-ada sahajalah kau ini Michelle. Hmmm. Entahlah. Aku pun tidak tahu apa yang kau cuba maksudkan. Tetapi aku pun rasa aku patut telefon dia. Lebih dramatik. Lebih umphhh!"

"Jadi apa kau tunggu lagi? Jangan buang masa. Telefon syam sekarang juga!"

"Okey. Tiada masalah. Tetapi..."

"Tetapi apa lagi Marina?"

"Tolong jauhkan diri dari aku. Aku perlukan privasi"

"Bila bab-bab macam ini kau buang kawan ya. Tidak mengapalah. Biar aku bawa diri ke dapur. Sob... Sob... Sob" kata Michelle. Dia berlari ke dapur. Aku pula hanya tertawa melihat gelagatnya.

Next chapter