10 Helo

Apabila aku dan Diane datang ke TNS dan mendengar sesi taklimat ringkas yang diberi oleh James, salah seorang penyelia yang bertugas. Di situ, barulah aku tahu apa itu TNS dan maksud 'penemuramah' yang diberitahu oleh Diane ketika kami bertemu di Kafe Dr Love. TNS Research International merupakan sebuah syarikat penyelidikan pasaran global. Sebelum itu, aku tidak pernah tahu akan kewujudan syarikat seperti TNS. Ia tidak menjual apa-apa produk tetapi mengambil tender untuk membuat kajian pemasaran. Konsep kajian dan set soalan yang berkaitan dengan tren pasaran semasa akan disusun oleh penyelidik. Para penemuramah pula akan ditugaskan untuk menemubual orang ramai bagi mendapatkan data untuk kajian itu dengan menggunakan dua cara iaitu indoor dan outdoor. Penemuramah indoor akan melakukan sesi temuramah dengan menggunakan telefon manakala penemuramah outdoor akan melakukan sesi temuramah secara face-to-face. Setiap penemuramah akan dibayar mengikut bilangan set-set soalan yang berjaya dilengkapkan. Harga bagi setiap set soalan adalah dari RM 6 hingga RM 20. Kelulusan yang tinggi tidak diperlukan untuk melakukan kerja ini. Hanya perlu tahu cara berkomunikasi yang betul dan mahir bertutur dalam bahasa-bahasa yang digunakan untuk sesi temuramah. Kedua-dua cara menemuramah nampak menyeronokkan. Jadi pada permulaannya, aku berbelah bahagi sama ada untuk memilih outdoor atau pun indoor.

Selepas berbincang dengan Diane, aku membuat keputusan untuk menjadi penemuramah indoor. Menjadi penemuramah outdoor sememangnya lebih bebas, menyeronokkan dan bayaran yang diberikan juga lebih lumayan berbanding penemuramah indoor. Akan tetapi, ada faktor-faktor lain yang perlu difikirkan seperti kenderaan dan keselamatan yang menjadi perkara penting sekiranya aku bercadang untuk menjadi penemuramah outdoor.

Hidupku yang baru, bermula sebaik sahaja aku menandatangani persetujuan untuk bekerja di TNS.

Setiap pagi, aku bergerak menuju ke pusat temuramah TNS yang terletak di tingkat 32. Tiba sahaja di pejabat, aku akan berjumpa dengan Mary atau pun James yang akan memberitahu projek mana yang patut aku fokuskan. Sama ada servis kereta, restoran makanan segera, syarikat insurans dan lain-lain lagi.

Pada mulanya, sukar juga untuk aku menyesuaikan diri. Namun selepas beberapa minggu bekerja, aku mula menyukainya. Tiada tekanan yang perlu aku tangani seperti mana di La Nona. Aku tidak perlu menjual apa-apa barang. Tiada data-data yang memeningkan kepala dan tiada dokumen yang perlu aku bawa pulang ke rumah.

Cuma, ada beberapa ketika yang membuatkan aku rasa ingin mencekik orang yang aku hubungi apabila permintaanku untuk menemuramah ditolak dengan kasar. Walaupun yang ditemuramah tidak dapat dilihat wajahnya, tetapi kesannya kadang-kadang cukup mendalam. Bak kata orang, kata-kata itu lebih tajam dari mata pedang.

Namun begitu, aku bernasib baik kerana orang-orang di pejabat sentiasa dapat meneutralkan kembali perasaan dan keadaan diriku. Rani, Sosila, James, Rohani dan juga Mary yang mana rambutnya selalu mengingatkan aku tentang Anna Wintour adalah teman rapatku di pejabat. Mereka sentiasa membuatkanku tersenyum. Aku berasa seronok sekali dapat berkenalan dengan mereka.

Sedikit demi sedikit, pekerjaan dan teman-teman baruku itu menarik aku keluar dari duniaku yang terdahulu. Aku sudah tidak terlalu memikirkan tentang perkara-perkara buruk yang terjadi kepadaku. Perlahan-lahan memori di La Nona dan bayangan Norman menjadi pudar. Walaupun aku tidak berjaya memadamkan sepenuhnya memori dan bayangan itu, namun aku cukup gembira dengan apa yang aku ada dan aku tahu sesuatu yang baik akan datang di dalam hidupku.

Tambahan pula, kesemua rakan sekerjaku itu rata-ratanya lebih tua daripadaku dan tidak dapat aku nafikan, lebih berpengalaman. Aku berasa sangat beruntung kerana dapat mengenali mereka. Berkenalan dengan mereka menyedarkanku yang aku sentiasa mempunyai harapan dalam hidup selagi mana aku kekal positif.

*****

Aku semakin kerap menghabiskan masa di Dr Love. Seperti biasa, aku dan Ally akan berbual tentang banyak perkara. Masih segar dalam ingatan ketika aku sedang bersedih dengan pencapaianku di TNS. Pada hari itu, Mary menyuruh aku melakukan kajian restoran makanan segera yang sangat panjang. Aku hanya memperoleh RM 20 sahaja pada hari itu kerana aku hanya satu panggilan sahaja yang berjaya. Aku faham, bukan semua orang mahu melayan kajian yang mengambil masa selama empat puluh minit dengan soalan yang berulang-ulang.

Pada saat itu, dalam diam tidak diam, sudah lima bulan aku bekerja di TNS dan itu bukan kali pertama aku mengalaminya dalam tempoh lima bulan tersebut. Aku baru sahaja bergembira pada hari sebelumnya menyambut kejayaan memperoleh RM120 kerana berjaya melengkapkan sepuluh kajian berkenaan dengan pusat servis kenderaan dan menyangkakan hari itu aku juga akan mendapat jumlah yang sama. Tetapi sayang sekali. Aku tidak boleh menjangkakan setiap hari adalah hari aku bukan?

Sejak dari itu, aku tidak menjadi terlalu ambitious dan hanya menetapkan sasaran sebanyak RM60 sahaja sehari seperti mana yang dicadangkan oleh Ally.

Apa yang menariknya tentang aku dan Ally adalah apabila kami memulakan perbualan ianya pasti akan diakhiri dengan sesuatu yang mendalam. Contohnya, apabila aku bercerita mengenai apa yang berlaku di TNS kami pun mula berbincang tentang bagaimana setiap perkara yang sulit itu pasti ada cara untuk memudahkannya. Kami bersetuju dan percaya walau apapun kesukaran yang dihadapi atau bagaimana ianya diatasi, pasti ada jalan keluar yang tersedia untuk kita. Berita gembira dan kemudahan pasti ada buat kita yang sedang menghadapi kesulitan selagi kita sabar. Jalan yang luas akan terbuka untuk kita. Yang penting, janganlah kita berhenti berharap dan berdoa.

Apa yang pasti perbualan dengan Ally buat aku yakin yang aku mampu menempuhi saat-saat yang mengelirukan itu. Dalam litar ujian,kalah atau menang bukanlah persoalannya. Yang penting kita mampu meneruskannya sehingga ke titik akhir''

Kadang-kadang kita mampu mengawal situasi. Kadang- kadang kita hilang arah kerana tiba-tiba sahaja situasi mengawal kita.

Konklusi itu pantas mengingatkan aku tentang kisah Rohani yang aku kongsikan juga kepada Ally.

Pada minggu sebelumnya, aku, Rani, Rohani dan Sosila keluar menonton wayang. Selepas itu kami berempat menghabiskan masa menjamu selera di Flamming Steamboat yang terletak berdekatan dengan Sunway Pyramid.

Banyak yang kami bualkan ketika itu terutama sekali tentang kehidupan kami. Malam itu juga aku dikejutkan dengan cerita hidup Rohani.

Rohani mempunyai dua orang anak. Dia berkahwin pada usia yang muda. Ketika itu, dia masih lagi di kolej. Suaminya mati dibunuh setahun yang lalu di hadapan matanya. Arwah ditembak oleh seorang perompak yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka. Perompak itu cuba mencabul Rohani dan suaminya menyelamatkan Rohani dari perompak itu. Ketika mereka sedang bergelut, suaminya terkena tembakan.

Siapa tahu di sebalik senyuman yang dilemparkan kepada kami, tersimpan satu cerita yang tragis seperti itu. Rohani baru sahaja menghabiskan pelajarannya tahun lepas. Seperti mana-mana graduan, dia juga perlu berhadapan dengan situasi-situasi yang mencabar. Mencari pekerjaan yang sesuai, mengukuhkan ekonomi, memikirkan bagaimana untuk menguruskan hutang pendidikan, memenuhi tuntutan diri, keluarga, masyarakat dan macam-macam lagi. Apa yang berbeza bagi Rohani adalah dia perlu memikirkan mengenai anak-anaknya.

Aku cuba membayangkan situasi Rohani. Aku cuba membayangkan bagaimana rasanya bila tanggungjawab diletakkan seratus peratus dibahu kita. Bagaimana rasanya perlu merayu meminta tolong pada orang. Bagaimana rasanya terperangkap di dalam situasi. Dalam kata lain, situasi yang sedang mengawal hidupnya bukan dia yang mengawalnya. Bangun setiap pagi digerakkan oleh situasi.

Setiap hari, cerita Rohani mendorong aku untuk berhenti merungut tentang kehidupanku yang aku rasakan lebih baik berbandingnya. Situasi membantu aku untuk mengawal kehidupan. Aku tidak perlu bangun di pagi hari dengan kepala yang berat memikirkan bagaimana untuk menyara dua orang anak. Hanya perlu percaya sesuatu yang baik akan datang dalam hidup kita sekiranya kita tidak berhenti berusaha dan berharap.

avataravatar
Next chapter