4 Tribulasi Guruh Alam Perolehan Tahap Tiga Bandar H

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Berfikir seketika, Song Shuhang menekan kekunci 'undur ruang' pada papan kekunci dan memadamkan teks yang telah ditaipnya sebelum ini.

Dia menganggap dengan keperibadian anggota kumpulan sembang grup itu, walaupun dia cuba memberitahu mereka, tiada siapa yang akan mendengar kata-katanya. Lagipun, memandangkan ada orang yang telah memakannya dan masih hidup sehingga ke saat ini, kemungkinan besar ubat itu tidak akan meracuni seseorang hingga menyebabkan kematian dalam masa yang singkat.

Walaupun itulah yang Song Shuhang fikirkan, dia tetap merasakan dia tidak boleh membiarkan mereka begitu sahaja. Setiap ubat mempunyai kesan sampingan dan mungkin cecair pembiru badan ini sejenis racun yang memberikan kesan yang lambat kepada pemakannya. Mungkinkah juga kesan daripada ubat itu hanya boleh dilihat dalam jangka masa panjang?

Oleh sebab itulah, dia perlu mengesahkan preskripsi ubat ini terlebih dahulu!

Dia masih bimbangkan ahli kumpulan sembang grup baharunya itu.

Secara ringkas, Song Shuhang juga layak dipanggil lelaki yang budiman.

Dia mencapai buku catatannya dan menulis lebih daripada tiga puluh nama ramuan ubat-ubatan biasa yang hanya boleh dicari di internet untuk 'cecair penyuai suhu badan' dari Mahaguru Ubat."

Seorang sepupu perempuannya yang bernama Zhao Yaya mempelajari sains perubatan. Zhao Yaya lebih tua dari Song Shuhang.

Terdapat fakulti perubatan tradisional Cina di universiti. Jadi, Song Shuhang mahu dia bertanya di fakulti pengajiannya dan melihat adakah ramuan ubat darah dan lebih daripada tiga puluh bahan tambahan qi akan menyebabkan kematian selepas penggunaan terutamanya selepas semua bahan tersebut dicampurkan sebelum dimasak.

Secara teori, ramuan ubat-ubatan ini yang menambah darah dan tenaga serta menyingkirkan rasa lemah tidak sepatutnya membunuh seseorang selepas sekali diambil. Walau bagaimanapun, dengan pelbagai jenis bahan yang dimasukkan ke dalam periuk untuk dimasak dan direneh itu, siapa tahu apa yang akan terjadi kepada hasil daripada campuran semua bahan tersebut.

Bagi bahan ubat-ubatan dengan nama seperti Ranting Dipertuan Segar dan Buluh Berapi Merah Menyala Sembilan Yang yang jelas menunjukkan pengaruh chuuni, Song Shuhang memilih untuk mengabaikan bahagian itu. Siapa yang tahu apakah maksud semua ini? Dia bukan orang yang mengalami penyakit mental chuunibyou ini kan?

Jika dia bertanya kepada sepupunya, mungkin sepupunya itu akan terfikir yang dia seorang yang sudah hilang akal. Selepas itu, ibu Song pasti akan terbang dari Jiangnan esok pagi dengan kapal terbang dan meminta dia pergi berjumpa dengan pakar neurologi dan otak.

'Aku akan bertanya secara senyap-senyap semasa aku balik ke rumah dua minggu lagi,' fikir Song Shuhang dalam hatinya. Dia berharap tidak ada golongan chuunibyou dari novel Xianxia yang akan mati dalam tempoh terdekat.

Semasa Song Shuhang sibuk menyalin resipi itu, grup sembang Kumpulan Satu Wilayah Nombor Sembilan juga telah mulai tenang. Nampaknya seolah-olah ahli kumpulan itu masing-masing sibuk dengan aktiviti seharian mereka sendiri kerana ramai yang tidak berada dalam talian semasa hari minggu.

Mungkin betul. Mereka juga masih perlu makan, bekerja dan menjaga anak-anak mereka. Mungkin juga sebahagian daripada mereka dalam kumpulan itu ialah pelajar seperti dia juga.

Setelah menyalin lebih daripada tiga puluh jenis ramuan ubat-ubatan dalam resipi, Song Shuhang meregangkan badan dan melihat perisian laporan cuaca di sebelah kanan bawah skrinnya.

1 Jun, cuaca cerah.

2 Jun, cuaca cerah.

"Cuaca nampaknya masih cerah, aku akan keluar untuk bersenam," Song Shuhang merasakan stamina tubuh badannya semakin lemah. Jadi dia memutuskan untuk bersenam dengan lebih kerap.

Walaupun dia berkata begitu, tangannya secara tidak sedar telah mengklik ikon permainan pada komputernya- Mungkin aku patut bermain satu atau dua pusingan dahulu!

Walaupun dia merancang untuk bermain satu ke dua pusingan sahaja, mustahil untuk dia berhenti sebaik sahaja dia mula bermain kerana permainan itu terus bergerak dari satu pusingan ke pusingan yang lain.

Tanpa dia sedar, sudah masuk waktu tengah hari.

'Masa pada hujung minggu berlalu dengan sangat cepat,' Song Shuhang memaksa dirinya tersenyum sambil menutup permainan itu. Sekali lagi, dia dengan bersahaja membuka perbualan sembang grup Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah kerana sudah menjadi kebiasaan buat dirinya.

Apabila dia melihatnya sekali selepas mengebut komputernya dan sekali lagi sebelum menutupnya menambahkan keceriaan sepanjang hari.

Dia menyedari Pertapa Malas Sungai Utara yang kerap berada dalam talian telahpun berada di dalam grup apabila dia membuka tetingkap sembang.

Terdapat banyak log bualan telah berada dalam grup sembang itu sebelum dia membukanya.

Pertapa Malas Sungai Utara: "Saudara Mahaguru Ubat, tahap penyediaan pil anda telah membuat saya berasa sangat kagum sehingga saya tidak mampu berkata apa-apa. Saya telah cuba menyediakan sepuluh relau cecair penyuai suhu badan yang disemak semula dan amat menghairankan apabila lapan daripadanya telah berjaya dihasilkan dan kesannya juga lebih baik daripada yang dijangkakan. Sayang sekali cecair penyuai suhu badan hanya berkesan buat ahli pertapa muda dalam satu sekta, tetapi tidak sesuai digunakan untuk pertapa seperti saya. Bagaimanapun, untuk Raja Agung Gerimis Rembulan dan beberapa orang ahli lain yang ada ramai penuntut di bawah mereka, kegunaannya mungkin akan lebih berkesan. Selepas Gerimis Tua and Kupu-kupu serta ahli yang lain menerima resipi ini, mereka pasti akan terhutang budi dengan Saudara Mahaguru Ubat!"

Sami Kelana Prinsip Pemikir juga muncul dan menghantar simbol ibu jari yang diangkat ke atas.

Pertapa Malas Sungai Utara tertawa. "Saya terlupa Ketua Agung Prinsip Pemikir juga telah mengajar sekumpulan sami muda. Mahaguru Ubatan, nampaknya bilangan orang yang terhutang budi kepada anda sudah semakin meningkat."

Ketua Agung sekali lagi menghantar simbol 🙂 dan pergi bersembunyi.

Pertapa Malas Sungai Utara membalas dengan simbol 😁. Dia merasakan meditasi senyap yang sedang dia lalui itu membuat dia sakit kepala. Sekiranya bukan dengan sembang grup itu, adakah Ketua Agung boleh menghantar tanda baca dan emotikon semasa dia berkomunikasi dengan orang lain? Amalan Buddha boleh menjadi satu keperitan buat individu yang tidak tahan dengan amalannya. Oleh sebab itulah semasa dia cuba pastikan yang dia tidak ditipu oleh seorang sami untuk menjadi seorang biarawan Buddha pada masa lalu ialah pilihan yang tepat!

Selepas sepuluh minit atau lebih, Pendekar Berang Melulu Tiga masuk dalam talian. "Pari-pari Berbulu Lembut ~~ Pari-pari Berbulu Lembut, jika anda berada di sini, silalah jawab seruan saya!"

Pada masa yang sama, dia liar menghantar deretan simbol 😭 dan 🙇 di situ.

"Wahai kenalan dao Pendekar Berang yang tidak berada dalam talian beberapa hari ini, ke mana awak berlari untuk bermeditasi?" Pertapa Malas Sungai Utara dengan tegas bertanya walaupun sudah mengetahui jawapannya.

"Meditasilah sangat!" Pendekar Berang menghantar mesej suara, suaranya kedengaran seperti tercekik dengan esakan tangisnya sendiri. "Tiga hari yang lalu, Roh Kupu-kupu yang hebat itu datang untuk melawat saya dan telah tinggal di sini selama tiga hari! Selepas itu, anda semua mesti tahu... Ahhhhh... "

"Keke." Pertapa Malas menunjukkan dia sememangnya tidak bersimpati dengan Pendekar Berang itu. Orang yang mengundang kematian diri sendiri tidak layak untuk mendapat simpati daripada orang lain!

"Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu, si cantik, sila keluar dan berjumpalah dengan saya! Saya ada sesuatu untuk bertanya kepada anda! " Pendekar Berang memekik dengan bunyi yang bingit. 'Melulu' ialah nama aslinya. Nama modennya adalah Melulu Tiga. [1]

"?" Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu masuk ke dalam talian dan menghantar tanda tanya.

"Pari-pari, akhirnya anda muncul juga. Saya cuma meminta bantuan anda untuk membawa bapanya yang sayangkan anak perempuannya untuk pulang ke rumah! Malah saya akan melutut dan merayu! Pendekar Berang menghantar simbol 🙇 lagi.

"Keke." Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu menghantar simbol 😊 dan beberapa saat kemudian, satu ayat muncul. "Jadi lelaki tua ini sangat sayangkan anak perempuannya?"

Eh? Tunggu, nampaknya ada sesuatu yang tak kena, betulkan?

Lelaki tua? Oh habislah, nampaknya ayahnya masih menggunakan akaun anak perempuannya lagi?

Retak... ada sesuatu yang retakkah? Itu seperti bunyi dari hati Pendekar Berang yang rapuh.

Memang benarlah lelaki tua ini sangat menyayangi anak perempuannya itu. Dia mengakses akaun anak perempuannya dengan kerap. Adakah masih seorang ayah yang sebegitu di dunia ini?!

"..." Pertapa Malas Sungai Utara merasakan gerakan di mulutnya tidak dapat dihentikan. Akhirnya, dia berkata. "Oh, betullah begitu wahai Saudara Pendekar Berang Melulu Tiga. Mungkinkah Saudari Bulu Lembut sedang sibuk menyediakan cecair penyuai suhu badan yang baharu? "

Oleh sebab itulah dia tidak akan berada dalam talian dalam masa terdekat ini.

Selepas itu... tidak ada lagi selepas itu.

Pendekar Berang memutuskan talian... ya, terputus, tidak 'keluar daripada talian'.

Chi Song Shuhang tertawa kuat.

Dia berasa gembira.

Selepas melihat log perbualan selama lebih dari sepuluh hari, dia merasakan anggota dalam kumpulan itu tidak kelihatan seperti golongan chuunibyou yang biasa. Kandungan perbualan mereka terlalu nyata untuk dibuat-buat begitu sahaja.

Dia terfikir begitu dalam sekali imbas.

'Atau mungknkah aku telah membaca terlalu banyak log perbualan mereka dan sudah mula terbiasa dengan mereka semua?' Song Shuhang tiba-tiba ketakutan sehingga seluruh bahagian tubuhnya berpeluh dan peluh sejuk mula mengalir saat dia terfikir akan kemungkinan tersebut.

Walaupun dia telah lama melepasi usia untuk menjadi seorang chuunibyou, siapa yang tidak pernah mengalami situasi mengimbas kembali cerita lama sebegitu?"

Pengalaman yang dibawa oleh mimpi kepahlawanannya yang dahsyat, impian wuxia dan adiwira sejarah hitam yang dia tidak mahu hadapi sepanjang hidupnya. Dia berasa sangat malu dengan dirinya dahulu sehingga dia mahu melupakan semua cerita lama itu dari ingatannya! Lupakan!!!

Oleh sebab itulah dia pasti tidak mahu disamakan dengan ahli-ahli yang berada dalam kumpulan itu.

"Aku perlu makan." Dia sedang bersedia untuk menutup perbualan sembang grup itu.

Saat dia bersedia untuk menutupnya, Pertapa Malas Sungai Utara tiba-tiba bertanya, "Tujuh, adakah ahli baharu di rumahmu mengatasi kesengsaraannya? Mengapa tidak ada berita?

Tujuh Suku Su: "Enam belas sedang menyediakannya, ia akan bermula dalam beberapa jam lagi."

Pertapa Malas Sungai Utara: "Di mana Enam belas akan lalui kesengsaraan itu? Adakah anda perlukan apa-apa bantuan?

"Ia akan dibuat di daerah pinggir kota Bandar H. Tenang, Enam belas dari suku saya mempunyai kemahiran sejadi yang luar biasa dan kemajuan kesengsaraan guruh Alam Perolehan Tahap Tiga itu cuma hal kecil sahaja. Ia mungkin semudah petikan jari buatnya. Anda semua sepatutnya menunggu sehingga Enam belas dari suku saya untuk maju ke Alam Sejadi Tahap Empat sebelum dia mencari peluang untuk mencabar anda! Hahaha." Tujuh Suku Su ketawa dengan santai.

"Saya lega selepas mendengar kata-kata anda. Bakat dari si kecil itu, memang hebat. Tribulasi guruh kemajuan Alam Perolehan Sejadi Tahap Tiga tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuknya. " Pertapa Malas bersetuju.

Selepas itu, keadaan dalam sembang grup itu kembali sunyi.

Song Shuhang menggaru rahangnya, Bandar H?

Bukankah tempat itu berdekatan dengan Daerah Jiangnan? Selain itu, Pekan Universiti tempat dia berada ialah di Bandar Jiangnan, antara Bandar H dan Bandar J.

Bandar H ialah sebuah bandar kecil di China. Walaupun kawasannya kecil, ekonominya sangat maju. Ia dikenali sebagai syurga membeli-belah yang terkenal di China dengan reputasinya yang dikatakan mempunyai semua jenis barang untuk dijual. Semestinya tidak termasuk barangan haram.

Sekiranya Enam Belas mengalami kesengsaraan di Bandar H, bukankah dia dapat melihatnya di Daerah Jiangnan?

"Adakah aku bodoh?" Song Shuhang ketawa. Bagaimanakah dia boleh menganggap setiap perkara yang dikatakan oleh ahli-ahli dalam kumpulan itu ialah betul?

Lebih-lebih lagi dengan tribulasi guruh. Matahari sekarang ini sedang bersinar terang tanpa dilitupi awan dalam jarak sepuluh ribu batu dan hampir mustahil untuk ribut petir berlaku. Bukankah begitu?

Selain itu, laporan ramalan cuaca semasa ialah tepat, tidak seperti beberapa tahun yang lalu. Ramalan juga menunjukkan yang cuaca cerah sehingga tiga hari akan datang tanpa sebarang ribut petir atau hujan lebat.

"Memandangkan cuaca baik, aku akan pergi ke kedai buku selepas makan!" Song Shuhang berkata pada dirinya sendiri.

avataravatar
Next chapter