5 Percayalah Pada Sains!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas makan tengah hari, Song Shuhang pergi ke kedai buku berdekatan untuk melihat buku-buku yang ada walaupun dia tidak membelinya.

Dia gemar membaca buku di kedai buku. Dia berbuat begitu bukan untuk menjimatkan kos menyewa buku, tetapi kerana itu merupakan hobinya pada masa lapang. Song sudah terbiasa dengan dirinya yang duduk mencangkung di sudut antara rak buku dan dia juga dapat membaca buku secara percuma!

Untuk mengelakkan pemilik kedai buku membencinya, dia akan menyewa sebuah buku selepas membaca di kedai untuk beberapa ketika. Dia percaya sebagai manusia, kita perlu bertimbang rasa dengan orang lain dan bijak menggunakan kesempatan yang ada agar tidak kerugian! Dengan cara menyewa sebuah buku, pemilik kedai buku itu tidak akan marah dan menghalaunya keluar dari situ.

Lagipun, sebuah kedai sewa buku yang besar dengan pelbagai genre buku yang ada dan tidak hanya terhad kepada novel sahaja sangat sukar untuk dijumpai sekarang ini.

Jika dia disenaraihitamkan di sini, mungkin tidak ada kedai buku lain yang lebih baik di sekitar Kolej Jiangnan ini.

Selain itu, dikatakan juga nama seseorang itu sangat penting. Nama yang diletakkan pada seseorang biasanya sepadan dengan pemiliknya. Song Shuhang dinamakan sempena "Buku" dan dia juga suka membaca, tidak mengira genre buku yang ada. [TL/N: Shu = Buku]

Dia suka membaca pelbagai jenis buku. Buku yang dia baca antaranya ialah novel, karya sastera, klasik atau bahkan pelbagai jenis teori membosankan yang membuatkan orang menjadi gila pada pandangan pertama.

Baru-baru ini, dia membaca buku-buku tentang kemahiran memandu dan tips memandu kenderaan di kedai buku ketika dia merancang untuk lulus ujian lesen memandu pada tahun pertamanya di universiti. Pada waktu ini, beban kerja Song Shuhang di universiti masih tidak terlalu berat. Mengambil peperiksaan di universiti juga jauh lebih murah dan dia berjaya menjimatkan wang sebanyak tujuh ke lapan ribu yuan.

Masa berlalu dengan pantas ketika dia membaca.

Dalam sekelip mata sahaja, jam menunjukkan sudah pukul tiga petang.

"Masa berlalu begitu cepat... Aku perlu balik ke rumah dan belikan makanan dari pasaraya berdekatan sebagai snek malam untuk menonton pertarungan pada malam Sabtu nanti," Song tertawa kecil

Kemudian, dia mengambil sebuah buku yang ada di hadapannya dan pergi ke kaunter untuk mengendalikan prosedur penyewaan.

Kaunter itu terletak di pintu keluar kedai buku. Pelindung matahari di tingkap kedai itu telah pecah. Jadi, pemilik kedai bersembunyi di tempat teduh untuk mengelakkan pendedahan secara langsung daripada sinaran matahari.

"Cuaca hari ini sangat panas. Rasanya seperti berada dalam pertengahan musim panas," kata Song sambil melindungi matanya dengan tangan. Dia memandang ke arah langit yang tidak berawan itu dan menyerahkan buku yang diambilnya kepada pemilik kedai.

Pemilik kedai dengan kulit wajah yang kelihatan mulus dan lembut itu membuatkan imej wanita-wanita cantik dari Selatan lebih terserlah.

Sama seperti Shuhang, dia juga suka membaca. Song Shuhang dan pemilik kedai buku itu kelihatan selalu memegang buku dan membacanya sepanjang hari. Daripada cara dia berpakaian, orang ramai pasti dapat meneka gaya hidup pemilik kedai yang mewah dan berada itu. Menguruskan kedai buku ini mungkin hanya sekadar hobi untuk dia lakukan pada masa lapang.

Pada waktu-waktu yang lain, ketika dia duduk di kaunter kedai sambil membaca buku dengan senyap, rupa dia kelihatan cantik seperti sebuah potret lukisan yang sangat menyenangkan untuk dilihat. Ramai lelaki muda yang tiba-tiba menukar hobi mereka daripada menjadi seorang lelaki yang bebas kepada peminat buku dengan sifat sentimental hanya untuk menikmati pemandangan indah dengan melihat pemilik buku ini sebanyak mungkin.

Tetapi ada yang mengatakan bahagian dirinya yang lembut dan indah ini hanya berlaku sewaktu dia berada dalam mod yang tenang...

Dengan mod damai, mungkin juga ada mod PK atau satu lagi mod kekerasan. Walau bagaimanapun, Song tidak pernah melihat pemilik kedai itu berada dalam mod lain selain mod tenang sejak pertama kali dia datang ke sini setengah tahun lalu.

"Baiklah, jangan lupa untuk pulangkan buku itu dalam masa dua hari. Satu yuan akan dikenakan bagi setiap hari yang tertunggak," pemilik kedai menyelesaikan prosedur sambil menyuruh dia pergi.

Walaupun mereka hanya bertemu sejak separuh semester lalu, pemilik kedai yang menawan itu sangat kagum dengan lelaki muda yang suka membaca di kedai dia dengan percuma. Lelaki itu juga akan berada di kedainya sekurang-kurangnya selama setengah hari setiap kali datang. Jika lelaki ini tidak menyewa buku setiap kali dia datang dan membantu pemilik kedai itu untuk memastikan perniagaannya masih berjalan, sudah lama dia mengusir lelaki itu dengan penyapu.

"Terima kasih," Shuhang mengambil buku dengan senyuman dan bersedia untuk keluar dari kedai buku itu.

"Boom!!!"

Pada ketika itu, bunyi kuat yang memekakkan telinga bergema seperti sebuah letupan.

Semua orang yang berada di kedai buku itu ketakutan. Shuhang yang baru sahaja melangkah satu kaki keluar dari kedai itu hampir tersembam dengan muka dahulu ke atas lantai!

"Oh, tidak!"

"Ah sikit lagi!"

"Apa yang berlaku ni?"

"Oh, aku hampir mati sebab terkejut!"

Di dalam kedai buku, jeritan, teriakan dan bunyi bising kedengaran bersilih ganti.

Song memandang ke arah langit dan dia ternampak langit tidak berawan tadi telah berubah. Awan gelap terbentuk secara perlahan-lahan dan kemudian menutup bahagian kecil langit di ufuk dalam masa yang singkat. Nampaknya seperti ribut akan melanda. 

"Atau mungkin hujan akan turun? Patutlah dulu ramai orang yang beritahu ramalan cuaca biasanya tidak boleh dipercayai dan orang ramai terpaksa memahaminya secara terbalik. Sekiranya ramalan cuaca mengatakan hari akan cerah, kita perlu membawa payung. Aku ingatkan ramalan cuaca telah berubah menjadi lebih baik. Tetapi, nampaknya masih sama macam dahulu," kata Song kepada dirinya sendiri.

Bahkan, ia tidak sebaik dahulu. Mungkin lebih teruk. Kalau pada masa dahulu, kita cuma perlu memahaminya secara terbalik. Kini, kita perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Sambil berfikir, Song Shuhang mengambil buku yang baru disewanya itu dan bergegas untuk pulang ke asrama sebelum hujan turun.

Walau bagaimanapun, sebelum kedua-dua kakinya sempat melangkah keluar dari kedai buku itu,

"Boom...."

Satu lagi guruh berdentum dan membuatkan telinganya berdengung.

Shuhang tidak jadi melangkah keluar.

Di bahagian ufuk, awan gelap tebal yang hitam menunjukkan kilat yang sabung-menyabung seperti ular yang berselirat dan turun dari awan. Kilat itu mengeluarkan bunyi guruh yang kuat sambil membentuk jejaring kilat di langit.

Shuhang pernah melihat panahan kilat sebelum ini, tetapi dia tidak pernah melihat kilat yang sebegini dalam seumur hidupnya. Panahan kilat yang dia lihat sebentar tadi menunjukkan seolah-olah dunia akan kiamat. Panahan petir di langit memanah serentak dan seakan-akan membentuk satu kepingan besar. Bukannya dalam selirat yang panjang.

Bunyi guruh yang diikuti oleh panahan kilat itu juga berbeza.

Bunyi petir di Daerah Jiangnan biasanya akan didengari dengan kuat dan diikuti oleh satu siri gema guruh yang menggegarkan kawasan itu. Tetapi kini, bunyinya seperti mercun yang diisi dengan serbuk letupan yang banyak. Bunyi letupan bagaikan mercun itu sangat kuat dan bising sehingga gema-gema guruh tidak dapat melawannya.

Sekiranya petir datang untuk memanah pendosa, sejauh manakah kejahatan yang dilakukan oleh pendosa itu untuk menarik begitu banyak panahan kilat padanya?

Apa yang mengejutkan Shuhang ialah, awan gelap dengan kilat itu tidak memanah di tempat lain tetapi hanya memanah di tempat yang sama di bahagian ufuk. Panahan petir dan kilat itu menyambar dengan laju dan kuat tanpa sebarang tanda-tanda ia akan menyebar ke arah lain.

Bunyi guruh yang diikuti dengan kilat itu berterusan selama sepuluh detik tanpa henti.

Nampaknya seperti ribut petir akan melanda kawasan itu.

'Habislah!' Song Shuhang mengeluh dan berfikir, 'Patutkah aku terus membaca buku di sini?'

Sekiranya hujan lebat selepas ribut petir turun juga, ia biasanya akan turun sekejap sahaja. Tetapi sekiranya hujan turun lebih lama, mungkin dia dapat membaca sebuah buku lagi.

Jadi dia masuk semula ke kedai buku dan bersedia untuk duduk mencangkung di satu sudut dan meneruskan bacaannya.

Walau bagaimanapun, kelihatan seperti Tuhan sedang cuba untuk mengusik Song Shuhang.

Apabila dia berpusing dan melangkah masuk ke kedai buku, bunyi guruh di yang dia dengar sebentar tadi tiba-tiba berhenti!

Awan gelap yang merebak luas dengan panahan kilat bagaikan ular yang dahsyat di bahagian ufuk tadi menghilang pada masa yang sama! Ia berlaku bagaikan tangan gergasi yang berada di langit menghapuskan awan gelap dan kilat yang sabung-menyabung kerana ia sudah bosan mendengar dan melihat bunyi guruh dan petir itu.

Langit bertukar menjadi tidak berawan lagi dengan sinar matahari yang kembali bersinar! Panahan petir dan guruh yang menutupi langit sebentar tadi bagaikan satu halusinasi visual dan bunyi buat mereka yang menyaksikannya.

Seseorang dari dalam kedai buku itu bertanya, "Apa yang sudah berlaku?"

"Betulkah ada seorang pendosa yang dipanah kilat?"

"Tahayul! Panahan petir yang kita tengok sebentar tadi hanyalah fenomena semula jadi…"

Pada masa ini, seorang kanak-kanak lelaki di sebelah Song mengangkat kepalanya, tangan kirinya memegang sebuah watak kartun kanak-kanak dan tangan kanannya diangkat tinggi ke arah langit. Dia menyanyi dengan nada kuat dan berani: "Ah, saya tidak mahu langit menutup pandangan saya, saya mahu bumi tidak pernah menguburkan hati saya! Saya mahu awan gelap lenyap tanpa jejak!"

Song memandang ke arah kanak-kanak itu, sudut mulutnya menggerenyet. Dia yakin apabila kanak-kanak itu besar nanti, dia akan berasa malu apabila dia teringat semula apa yang dilakukannya hari ini. Dan kenangan yang memalukan itu akan menghantui dia seumur hidupnya. Walaupun dia mengambil masa yang lama untuk melupakannya, mungkin suatu hari nanti ia akan muncul kembali dari sudut mindanya dan seterusnya akan membuat dia hampir gila kemudian dia akan menjerit, Pergi matilah, memang memalukan! atau dia berharap yang dia akan mengembara dari masa depan dan memukul diri dia sendiri yang bodoh itu.

Dia yakin.

Tetapi atas sebab-sebab tertentu, apabila Shuhang melihat ke arah kanak-kanak lelaki yang lucu ini, dia tiba-tiba teringatkan rakan-rakan chuunibyou dalam sembang grup Kumpulan Satu Wilayah Nombor Sembilan itu.

'Bandar H, mengatasi Tribulasi Guruh untuk Alam Perolehan Tahap Tiga.'

Log perbualan kumpulan itu muncul dalam fikirannya.

Dia menganggarkan kembali posisi petir yang muncul di balik ufuk itu. Kawasan ribut petir itu nampaknya seperti berada... di tempat Bandar H, bukan?

Walaupun Song Shuhang seorang yang agak cuai, dia merasakan dirinya terkedu seketika.

Betulkah... semua itu?

Ramalan cuaca mengatakan yang cuaca hari ini akan cerah, tetapi tiba-tiba ada guruh yang menggegar kawasan bandar itu.

'Hahaha! Tak mungkinlah! Mustahil ada sesuatu seperti tribulasi syurgawi di dunia ini. Ini semua cuma satu kebetulan sahaja! ' Song Shuhang berkata dalam hatinya.

Tetapi, apabila dia teringatkan tentang perkara itu, dia tidak dapat mengalihkan perhatiannya kepada perkara lain. Adakah wujud kebetulan sebegitu di dunia ini? Kilat yang menyambar seperti ular nampak sangat aneh sehingga ia tidak kelihatan seperti fenomena semula jadi.

Bandar H, mengatasi tribulasi... kata-kata ini bergema dalam fikirannya.

Dia menggelengkan kepalanya dan cuba untuk membuang kemungkinan yang tidak masuk akal itu dari fikirannya.

Pandangan dunia yang dia telah bina selama lapan belas tahun pertama dalam hidupnya memberitahu dia untuk mempercayai sains dan menolak perkara tahayul. Dan kilat yang dia saksikan sebentar tadi hanyalah fenomena semula jadi, bukannya satu tribulasi guruh!

avataravatar
Next chapter