1 CERITA PENDEK

TAJUK: RUSOD SINOMBIAKA

PENULIS: KUPA KERDIL

ZAPP!

Darah merah pekat merencit-rencit keluar pada leher Holina, dek dilibas pisau. Gadis jelita itu jatuh tersembam mencium tanah. Tubuhnya menggelupur seperti seekor ayam yang baru sahaja disembelih lehernya. Holina tewas serta-merta di hadapan seorang perempuan, yang berdiri bersama sebilah pisau digenggam erat dalam tangannya. Darah Holina masih segar mengalir di hujung bilah pisau itu. Perempuan itu menyeringai. Lantas meninggalkan jasad Holina yang sudah terpisah dari rohnya.

Inan Bolotok membuka matanya perlahan-lahan, diikuti dengan leretan senyuman di hujung bibir. Asap kemenyan berkepul-kepul memenuhi ruangan bilik kecilnya. Sepasang sinombiaka pusaka yang baru selesai diasap, diletak kemas ke dalam sebuah bakul rotan. Sudah sekian lama, dia menjaga sinombiaka tersebut.

"KAK... pertandingan Unduk Ngadau makin dekat sudah, akak tidak rasa gementar kah?" Delia mengambil posisi di sebelah kakaknya, yang sedang leka menonton rancangan televisyen. Jess mengerling adiknya sekilas.

"Mestilah bah gementar. Saya kan baru pertama kali ikut UN. Kebanyakan peserta sudah pernah ikut. Saya?" Jess mengacu jari telunjuk pada wajahnya sendiri.

"Ya kan... Sepatutnya, penganjur bagilah bah peluang sama muka-muka baru. Ini, tidak! Asyik muka yang sama ja." Delia mengeluh berat.

"Kalau bukan nenek yang suruh, saya pun tidak mahu ikut tu pertandingan bah. Tapi, kau tau juga kan, nenek tu macam mana. Kalau tidak diturut kemahuan dia, nanti merajuk pula."

"Nasib kaulah kak. Kau kan sudah cukup umur. Nasiblah... saya masih di bawah umur. Kalau tidak, mesti nenek suruh saya pergi masuk UN juga." Delia tergelak kecil.

"Oh, ya... malam tadi akak pergi mana? Tengah malam baru kau balik." Delia mengerutkan wajah dengan penuh tanda tanya. Malam tadi, Delia melihat, Jess senyap-senyap masuk ke dalam bilik yang dikongsi mereka berdua.

"Saya pergi rumah nenek. Dia suruh saya cuba tu pakaian baju tradisi pusaka kita," jawab Jess dengan tenang.

"Ohh... patutlah. Macam manalah, lawa juga kah tu baju. Mesti fesyen dulu-dulu kan?"

"Biasa saja bah. Tapi tu baju kan, ada aura yang tersendiri tau. Saya boleh rasa satu aura yang kasi bangkit semangat saya, bila pakai tu baju. Nanti petang, saya ambil. Nenek bilang mau cuci dulu, sebab lama sudah tidak kena pakai."

Tok! Tok! Tok!

Jess dan Delia, dikejutkan bunyi ketukan dari arah dapur. Mereka saling berpandangan.

"Jess! Delia! Buka ni pintu, cepat!"

"Ishhh... mama pula tu. Bagus-bagus tu pintu depan ternganga luas, mau juga pi ikut pintu dapur. Buat orang terkejut saja," keluh Jess.

"Delia, pi buka tu pintu," arah Jess. Delia bingkas berdiri dan pergi membukakan pintu.

Puan Kutina tergesa-gesa masuk ke dalam, sebaik pintu dibuka. Bakul plastik yang berisi sayur lemiding dan ikan basung, terus diletakkan ke dalam sinki. Lantas ditarik lengan Delia, yang masih tercegat di muka pintu dapur.

"Ma, kenapa ni?" tanya Delia. Hairan dengan tingkah pelik ibunya itu.

"Jess, Delia. Kamu ada dengar berita kah ni pagi?" soal Puan Kutina. Dua anak gadisnya itu serentak mengangkat bahu. Menandakan mereka tidak tahu apa-apa, tentang perkara yang diperkatakan ibu mereka.

"Pasal kawan kamu bah, si Holina. Mayat dia, baru saja kena jumpa sana kawasan ladang getah bapa dia. Leher dia kena sembelih!" Membulat mata Puan Kutina memberitahu hal itu kepada, dua anak gadisnya.

"Biar betul, ma? Baru kelmarin saya jumpa dia, masa raptai Unduk Ngadau sana dewan," ujar Jess. Delia terkesima, dia seolah-olah tidak percaya akan cerita ibunya.

"Betul bah! Mayat dia sudah kena bawa pi hospital. Mau bedah siasat lagi," ujar Puan Kutina.

Jess dan Delia melopong, mendengar berita buruk itu. Holina telah mati dibunuh oleh seseorang yang tidak berperikemanusiaan. Dan pembunuhnya, masih belum diketahui.

PETANG itu, Jess bergegas ke rumah Inan Bolotok yang tidak jauh dari rumah mereka.

"Jess... ini baju pusaka, nenek kasi amanah sama kau. Jaga bagus-bagus dan jangan kasi pinjam sama orang lain, termasuk adik kau, Delia." Inan Bolotok berpesan. Dia menyerahkan sepasang baju tradisi yang dipanggil SINOMBIAKA. Alat aksesori untuk melengkapi baju tersebut, turut disertakan.

"Baik, nek. Jess janji, akan jaga baju ni. Nenek jangan risau, ya?" Jess menerima sinombiaka itu dengan senang hati.

Tinggal seminggu sahaja lagi, Malam Unduk Ngadau akan diadakan di dewan serbaguna, Kampung Sumilou. Semua peserta pertandingan, nampaknya sudah tidak sabar menanti detik masa itu.

"JOANNE, kasihan Holina kan? Orangnya cantik, putih dan berpelajaran tinggi. Tidak sangka pula dia jadi mangsa pembunuhan. Kalau tidak, mesti dia yang menang pertandingan ni nanti." Diana membetulkan aksesori bajunya di hadapan sebuah cermin besar.

"Memanglah kasihan, tapi ada bagusnya juga. Saingan kita pun berkurang. Saya yakin, juri-juri pasti pilih saya ni kali." Joanne tersengih. Dengan kecantikan dan kepintaran yang dimiliki, dia sangat yakin juri pertandingan akan memilihnya sebagai pemenang kelak.

Di sudut bilik persalinan itu, Jess hanya tersenyum mendengar perbualan dua peserta tersebut. Joanne dan Diana, sudah beberapa kali menyertai pertandingan itu. Namun mereka tidak pernah menggondol gelaran juara, Ratu Unduk Ngadau yang diidam-idamkan para peserta.

"Kamu semua sudah siap kah? Kalau sudah, cepat keluar sekarang. Itu jurugambar penat sudah tunggu kamu," ujar pengurus peserta.

Kesemua peserta yang mengenakan pakaian tradisi masing-masing, bergegas keluar. Mereka terus menuju ke lokasi penggambaran diadakan.

Mujurlah, cuaca pagi itu amat baik untuk menjalankan sesi bergambar. Semua peserta melakukan tugasan yang telah disusun atur oleh, pengurus pertandingan itu. Bermacam ragam dan gaya yang ditunjukkan, untuk mendapatkan hasil gambar yang terbaik.

"Oppss! Sorry, Jess..." Joanne dan Diana, terus sahaja berlalu keluar. Joanne sengaja menumpahkan air sirap, pada baju tradisi Jess.

Jess mengeluh berat. Kotak tisu yang elok tersimpan di atas meja solek dirembat kasar. Dia tahu, Joanne sengaja menumpahkan air sirap pada bajunya. Kemungkinan, Joanne cemburu. Kerana semasa sesi penggambaran tadi, Jess mendapat pujian daripada pengurus dan jurugambar.

"Jess, kami balik duluan ya," ujar seorang peserta, bersama dua lagi peserta yang lain. Jess sekadar mengangguk. Dia kini bersendirian di ruang bilik persalinan itu.

Buat seketika, Jess gigih membersihkan sinombiaka yang masih kemas tersemat pada tubuhnya, di hadapan cermin meja solek.

"Alamak!"

Sebiji butang berbentuk butang cina, bergolek jatuh ke lantai. Jess tidak sengaja membuat butang itu terputus dari jahitannya.

"Kalau nenek tahu, matilah aku!" keluh Jess. Dia bingkas berdiri lalu mengutip butang tersebut.

"Ni semua salah Joanne lah! Tak pasal-pasal, baju ni rosak sudah." Jess bermonolog.

"Arghhhhh!"

Kedengaran suara perempuan menjerit nyaring. Diikuti dengusan dan deraman yang berbunyi seperti, nafas seekor kerbau sedang mengamuk.

Jess lantas berpaling ke belakang. Tiada sesiapa pun di sana. Lalu suara siapakah itu? Batang tengkuknya digosok berulang kali. Bulu romanya kian menegak. Ketakutan sudah mulai menyelubungi dirinya. Dia dapat merasakan kehadiran seseorang di dalam ruangan itu. Namun Jess tidak dapat melihat, di mana keberadaan makhluk tersebut. Sedangkan, entiti seakan asap nipis hitam itu sedang berlegar-legar mengelilingi sekitar tubuhnya.

Entiti yang tidak terlihat dengan mata halus itu segera menerpa, dan meresap masuk ke dalam tubuh Jess.

"Jess..." Suara perempuan itu menyeru halus.

Jess berpaling semula ke hadapan. Mengadap cermin yang memantulkan separuh tubuhnya. Dia duduk terpaku di hadapan cermin, melihat raut wajahnya yang perlahan-lahan mulai berubah.

Cermin itu, kini memaparkan wajah seorang perempuan tidak bermata. Kedua belah posisi matanya seperti lohong hitam. Rambutnya disanggul tinggi berbentuk gong, bunga hiasan tersemat menghiasi sanggulnya. Mahkota Unduk Ngadau bersalut darah bertakhta di atas kepala dan lehernya berlubang-lubang seperti kesan luka tikaman.

"Siapa kamu!" soal Jess dengan begitu berani. Dia bertanya kepada dirinya yang terpantul di dalam cermin. Dia tahu, gadis tidak bermata itu hanya menumpangi tubuhnya. Jess masih dalam keadaan separuh sedar.

"Sunduvan!" Suara garau itu bergema di segenap ruangan bilik persalinan.

"Cik... kamu tidak apa-apa kah?" Seorang lelaki tiba-tiba muncul di muka pintu, yang tidak ditutup rapat. Jess cepat-cepat menoleh ke arah lelaki itu.

"Ya, pakcik. Saya tidak apa-apa," jawab Jess seraya memandang cermin. Wajahnya sudah kembali seperti sediakala. Gadis tidak bermata itu entah hilang ke mana. Dia lesap begitu sahaja.

Jess lekas-lekas mengemas barangannya. Kemudian meninggalkan kawasan dewan serbaguna itu dengan kadar segera.

"Delia, ambilkan saya jarum dan benang," arah Jess sebaik memasuki bilik.

"Akak mau jahit apa?"

"Alaa... ambil ja lah. Jangan banyak tanya bolehkah?"

Delia mendengus kasar. Dia bangkit dari perbaringan dan pergi mengambil barang yang diminta kakaknya itu.

Jess membuka zip beg tangannya. Dia meraba-raba butang baju yang disimpan di dalam beg tersebut.

"Apa ni?" Jess merasakan sesuatu benda. Berbentuk bulat, lembik, berlendir dan melekit di dalam beg tangannya. Dia menarik benda itu keluar.

"Argghhh!" Jess melemparkan benda berwarna putih kemerahan itu ke dinding konkrit.

Jeritan Jess telah mengejutkan seisi rumah. Puan Kutina dan Delia bergegas melihat, apa yang telah berlaku kepada Jess.

"Jess! Kenapa ni?" Puan Kutina memandang setiap sudut bilik anaknya.

"M... ma... mata!" Jess menunding jari ke arah sebiji bebola mata kemerah-merahan, tergeletak di lantai bilik. Anak mata hitamnya bergerak-gerak melihat ke arah, Jess.

"Butang baju bah tu, kak." Delia mengutip butang itu lalu memberikan kepada, Jess.

"Butang baju dia bilang mata. Kau sudah rabun ka ni, Jess. Itu butang Sinombiaka bah, kan? Macam mana boleh tercabut itu?" Puan Kutina memandang Jess.

"Saya tidak sengaja bah ma... Tu semua gara-gara si Joannelah, dia sengaja kasi tumpah air sirap di baju saya. Lepas tu, saya kasi bersihlah dan tidak sengaja bikin tu butang tercabut. Nanti saya kasi pasang balik juga bah tu." Jess menundukkan wajah. Dia takut dimarahi Puan Kutina, kerana telah merosakkan baju tradisi tersebut.

Puan Kutina menggeleng perlahan, seraya melangkah keluar dari bilik dua anak gadisnya itu.

"Kak, mari saya tolong jahitkan. Kau penat betul bah ni, tu lah lain-lain kau nampak. Bagus kau pi rehat-rehatlah dulu." Delia menggapai bakul plastik tempat, Jess menyimpan sinombiaka. Butang cina itu mulai dipasangkan semula.

Jess sekadar mengangguk. Dia berbaring dan cuba melelapkan mata. Mungkin benar kata adiknya itu, dia cuma kelelahan.

'Lawa juga bah ni baju tradisi. Si Joanne mesti cemburu sama si kakak. Tidak boleh jadi ni,' getus Delia. Dia memandang Jess yang sudah terlena dibuai mimpi. Tanpa menunggu lama, Delia menyarungkan sinombiaka itu pada tubuhnya.

"Wah! Cantiknya..." Delia menggayakan sinombiaka itu di hadapan cermin.

Puan Kutina baru sahaja hendak masuk ke dalam bilik. Terdetik pula di hati kecilnya untuk singgah sebentar, menjenguk anak-anak perempuannya sebelum masuk tidur. Dia melihat, Delia berpusing-pusing melaram bersama sinombiaka yang dipakai pada tubuhnya. Air muka Puan Kutina tiba-tiba berubah saat melihat, Delia memakai baju itu. Dia cepat-cepat masuk ke dalam biliknya.

'Joanne patut minta maaf sama si kakak! Berani betul dia kasi kotor baju pusaka kami,' bentak hati Delia. Dia mendengus kasar. Kunci motor yang tergeletak di sudut meja disambar laju.

TOK! TOK! TOK!

Bunyi ketukan pintu mengejutkan Joanne dari tidurnya. Dia yang tinggal bersendirian ketika itu, bergegas pergi membukakan pintu dalam keadaan yang masih mamai.

"Kau siapa?" tanya Joanne pada perempuan yang sedang berdiri tercegat di depan pintu.

Pertanyaan Joanne tidak dijawab. Sebaliknya, tubuh Joanne terus dirempuh kasar. Joanne jatuh terbaring di lantai.

Zapp! Zapp! Zapp!

Perempuan itu menikam batang leher Joanne, bertubi-tubi sehingga tamat riwayat Joanne.

"SELAMAT PAGI, puan. Delia Roger anak puan kah?" soal pegawai polis yang mendatangi rumah Puan Kutina seawal pagi.

"Ya, dia anak saya. Kenapa dengan anak saya, tuan?"

"Anak kamu berada dalam tahanan polis. Dia disyaki membunuh seorang gadis bernama, Joanne. Pagi tadi, kawan baik mangsa, Diana telah menemui anak puan terbaring di sisi mangsa. Kemungkinan besar, dia juga ada kaitan dengan kes pembunuhan yang berlaku baru-baru ini," ujar pegawai polis.

Puan Kutina hampir pengsan ketika mendengar berita yang disampaikan oleh pegawai polis tersebut. Mujurlah, Jess sempat menyambut tubuh ibunya sebelum jatuh tersungkur.

"Puan dan cik, boleh ikut kami ke balai untuk membantu kertas siasatan kes ini?"

Jess mengangguk setuju dan mereka segera ke balai polis.

Setelah selesai memberi keterangan, Jess meminta kebenaran untuk melihat adiknya yang berada dalam tahanan lokap sementara.

"Delia, apa sudah jadi. Betulkah kau yang bunuh si Joanne?" soal Jess dalam nada sebak. Betapa luluhnya hati Jess, melihat adiknya terkurung di dalam jeriji besi tersebut.

"Tidak kak! Bukan saya yang bunuh. Saya tidak tahu apa-apa. Saya memang pergi rumah Joanne malam tadi, tapi bukan saya yang bunuh dia. Masa saya sampai sana, Joanne sudah mati. Saya pitam nampak tu darah dia, lepas itu saya bangun-bangun saja tangan saya sudah kena gari." Delia menangis teresak-esak. Dia berharap, Jess akan mempercayai kata-katanya.

"Delia... bertenang ya. Saya percaya, kau tidak akan buat benda macam tu." Jess memandang pakaian yang dipakai adiknya.

"Delia, itu baju saya, kan? Kenapa kau pakai. Kau tau ka, nenek tidak kasi izin sesiapa pun pakai tu sinombiaka, kecuali saya."

"M...maaf kak. Saya cuma mau cuba-cuba pakai ni baju."

"Habis tu, malam tadi kau keluar pakai tu baju kah?"

Delia mengangguk perlahan.

'Macam ada benda ja... yang tidak kena sama tu sinombiaka,' bisik hati Jess.

"Hmm... Delia, kami balik dulu arr. Saya tidak boleh bercakap lama-lama sama kau. Mama pun ada di luar tengah menunggu. Nanti kami datang lagi, ya?"

"Ya, kak..."

Jess dan ibunya segera pulang ke rumah. Tetapi, Jess hanya menghantar ibunya di depan pintu. Kemudian dia keluar semula pergi ke rumah neneknya, Inan Bolotok. Sempat lagi, Puan Kutina menyeroti langkah Jess dengan pandangan hiba.

"Nek, apa sebenarnya yang sedang berlaku? Kenapa banyak betul perkara pelik yang berlaku selepas, saya mulai memakai tu sinombiaka. Mula-mula, saya nampak perempuan lain di dalam badan saya. Lepas itu, saya tidak sengaja tercabut itu butang sinombiaka yang nenek bagi. Saya nampak jelas nek, itu butang sebiji macam bola mata. Malam tadi, Delia pakai tu baju. Delia sudah kena tangkap, nek. Dia kena tuduh membunuh! Saya yakin, sinombiaka yang nenek kasi saya tu, ada kaitan dengan semua perkara yang berlaku ni!"

"Kan nenek sudah bilang... jangan bagi Delia pakai tu sinombiaka. Yang kau nampak dalam badan kau tu, rusod sinombiaka. Si Sunduvan. Sinombiaka yang nenek bagi kau, diperbuat daripada kulit sama, darah si Sunduvan yang mati kena bunuh. Gara-gara satu orang peserta Unduk Ngadau yang iri hati sama dia. Siapa-siapa saja yang pakai tu sinombiaka, mesti mau kasi korban satu orang sumandak yang menyertai Pertandingan Unduk Ngadau. Sebagai syarat untuk rusod sinombiaka, bersatu dengan si pemakai. Kalau tidak... nyawa si pemakai jadi taruhan." Inan Bolotok mengambil nafas sejenak. Panjang lebar dia menjelaskan perkara sebenar kepada, Jess.

"Sunduvan? Siapa sebenarnya Sunduvan, nek? Dan kalau Delia bunuh, Joanne. Jadi siapa pula yang bunuh si Holina? Polis bilang, Delia terkait dalam kes pembunuhan Holina." Jess memandang Inan Bolotok dengan penuh tanda tanya.

"Sunduvan bekas seorang, Ratu Unduk Ngadau. Kes pembunuhan Joanne dan si Holina sebenarnya dilakukan oleh, orang yang bertanggungjawab sama tu sinombiaka."

"Jadi, bukan Delia yang bunuh dia orang? Siapa orangnya, nek? Bagitahu saya."

Inan Bolotok menggeleng perlahan.

"Nek... tolonglah. Kesian si Delia, dia yang kena tuduh membunuh." Jess merayu pada, Inan Bolotok.

Namun, jawapan Inan Bolotok tetap sama. Dia tidak mahu membuka mulut tentang pembunuh sebenar.

"Ok. Kalau nenek tidak mau kasi tau siapa pembunuh sebenar, saya bakar tu sinombiaka! Sebab itu sinombiakalah punca semua masalah." Jess bingkas berdiri.

"Jess, jangan bakar tu sinombiaka! Dengar cakap nenek," jerkah Inan Bolotok.

"Argh! Saya tidak peduli. Saya tetap akan musnahkan. Termasuklah roh si Sunduvan, yang nenek abadikan di dalam sinombiaka tu!" Jess berpaling melangkah keluar.

Zapp!

Sebilah pisau tajam melintas laju di leher Jess. Jess menekup luka lehernya yang membuak-buak memuntahkan darah di serata tempat.

"M...mama?" Kata terakhir meniti di bibir Jess.

Jess tersembam ke lantai. Matanya celik memandang Puan Kutina bersama sebilah pisau di tangan.

"Maafkan mama, Jess. Mama tidak boleh biarkan kau musnahkan, satu-satunya kenangan mama bersama kakak kamu!" Puan Kutina terduduk melihat jasad anaknya bermandi darah. Kisah lampau yang merobek seluruh jiwanya, mulai bermain di dalam kotak fikiran.

18 TAHUN dahulu...

"Mak! Buatlah apa sahaja. Asalkan Sunduvan terus kekal bersama saya." Puan Kutina yang sedang sarat mengandung anak kedua, melutut dan merayu kepada ibunya, Inan Bolotok.

Sunduvan baru sahaja menerima gelaran, Ratu Unduk Ngadau buat julung kalinya. Tetapi, malang tidak berbau. Kerana iri dan hasad dengki seorang peserta pertandingan tersebut, nyawa Sunduvan telah tergadai. Peserta itu telah menikam leher Sunduvan menggunakan mahkota, yang dimenangi oleh Sunduvan. Namun, pembunuh itu berjaya diberkas sebaik sahaja dia menikam Sunduvan di atas pentas.

Inan Bolotok merenung jasad cucunya yang terbaring kaku, tidak bernyawa di atas hamparan tikar mengkuang.

"Kutina, saya tidak boleh kasi balik nyawa si Sunduvan. Tapi... saya boleh kasi kekal roh dia supaya, dia sentiasa bersama kau."

Puan Kutina menyeka air matanya. "Saya tidak kisah apa pun yang mak mau lakukan, yang penting semangat Sunduvan sentiasa dekat sama saya."

"Itu saja yang saya boleh buat, Kutina. Roh si Sunduvan, saya kasi masuk sana sinombiaka. Nanti, tu sinombiaka akan menjadi turunan keluarga kita. Tapi... kau mesti menjalankan satu tanggungjawab besar untuk kasi kekal roh si Sunduvan tinggal di dalam sinombiaka. Dan jikalau ada keturunan kita yang memakai baju itu, kau harus mengorbankan seorang gadis di kalangan peserta Unduk Ngadau. Kalau tidak, nyawa si pemakai akan menjadi galang gantinya!"

Tanpa berfikir panjang, Puan Kutina bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Asalkan dia dapat merasakan kehadiran, roh Sunduvan di sampingnya selalu.

Inan Bolotok segera menyediakan alatannya. Kulit tubuh Sunduvan disiat-siat untuk dijadikan lapisan dalam sinombiaka yang dipakai oleh Sunduvan, ketika dia menghembuskan nafas terakhirnya. Inan Bolotok gigih menjahit cebisan kulit cucunya, pada sinombiaka tersebut bersama mantera yang tidak henti-henti dibacakan. Setelah itu, sinombiaka tersebut direndam selama 7 hari, 7 malam bersama darah Sunduvan untuk mengikat roh Sunduvan di dalam sinombiaka itu. Manakala, jasad Sunduvan telah ditanam di belakang rumah, Inan Bolotok.

  - TAMAT -

avataravatar