webnovel

Prolog

"Beta mahu kamu sediakan santapan yang sama seperti yang kamu pernah hidangkan pada beta tempoh hari." Suara Raja bergema didalam balairung seri dengan lantangnya; ada nada tak puas hati didalam suaranya. Seluruh isi balairung itu kelihatan ketakutan dengan nada Raja mereka ketika itu.

"Tapi Tuanku…" Tukang masak yang juga kelihatan ketakutan memberanikan diri untuk bersuara tapi terbantut apabila disergah raja mereka.

"Berani kamu mahu mengingkari perintah beta?"

"Ampun beribu ampun Tuanku, patik tak berani, Tuanku. Akan patik tunaikan perintah tuanku dengan segera."

"Kamu boleh pergi sekarang."

"Hamba menurut perintah." Dalam keadaan menggeletar, lelaki yang kelihatan dalam lingkungan 30an itu mengundurkan diri tanpa sekalipun mengangkat kepala dihadapan Rajanya sehingga dia menghilangkan diri ke arah dapur istana.

"KRINNGGG!!!!!" Jam loceng yang kedengaran nyaring memekik ditelingaku; lantas mengejutkan aku dari mimpi tadi. Aku cuba mencapai jam loceng itu sebelum mematikannya; ku tenung jarum jam itu sambil menggesek-gesek mataku untuk beberapa kali sebelum bangun dari situ dengan langkah malas menuju ke bilik mandi.

'Sekali lagi…mimpi yang sama; dan masih mengikut urutan.' Aku bermonolog selari menggosok gigi dihadapan cermin didalam bilik mandi rumah sewaku. Kini sudah hampir 3 bulan selepas hari lahirku; aku mengalami mimpi yang sama secara mengiku urutan.

Mimpi malam pertama; aku akan mimpi Raja berhajat dihidangkan santapan; malam kedua, raja makin kelihatan pucat dan memerintahkan untuk dibunuh tahanan dalam penjara dan diambil darah untuk persediaan santapannya.

Malam ketiga… malam yang paling mengerikan buatku apabila Raja sudah kehilangan rupa manusianya dan kini bersiong; dengan warna kulit yang pucat dan warna bibir yang bertukar gelap.

Dia mulai menjadi makin hilang perikemanusiaan apabila bekalan manusia didalam tahanan penjaranya telah habis dibunuh lalu diperintahkan orang bawahannya untuk mula membunuh kanak-kanak sebagai bekalan darah buatnya. Raja itu telah ketagihan untuk menjamah darah manusia.

"Kenapalah aku kena hadap semua ni?" Aku melepaskan keluhan yang terasa berat didadaku sambil merebahkan tubuhku ke katil empuk berhadapan bilik mandi.

Sudah hampir 3 bulan aku tak dapat untuk tidur dengan nyenyak dek kerana mimpi aneh yang senantiasa bermain didalam tidurku tiap kali memejamkan mata. Pernah juga aku cuba untuk mentafsir mimpiku itu, tapi semuanya berakhir dengan mitos melayu; Raja Bersiong.

Next chapter