7 Tolong saya! 1

"Waalaikumussalam wbt. Sia –"

"Nur Husna kan? Can you help me please?" Cemas suara garau itu bertanya sebelum sempat Nur Husna bertanyakan gerangan di sana. Siapakah? Suaranya asing, bukan daripada kenalan lelaki yang dikenali Nur Husna.

"Ya saya Nur Husna. Siapa ya?" Kali ini soalan yang tak sempat dihabiskan tadi ditanya semula.

"You dekat mana sekarang? Boleh datang rumah I. I dah tak tahu nak buat apa. You kena tolong I juga. I... I buntu." Tanpa menjawab pertanyaan Nur Husna, persolan lain pula ditanya. Agak terdesak lirih suaranya. Nur Husna mula diserang rasa tidak puas hati.

"Sir! Would you please calm down?" Agak tegas suara Nur Husna cuba mengawal emosi daripada melepaskan rasa sebalnya. Serius air mukanya seperti sedang berdepan dengan lelaki misteri itu.

"Arghh! Macam mana nak tenangnya. I dont know what should I do. He keeps crying. Ah! Never mind. Your're not helping–"

Tut.. tut.. tut..

Kali ini Nur Husna benar-benar rasa nak meletup. Panggilan mereka tiba-tiba sahaja diputuskan lelaki itu. Terpinga-pinga Nur Husna dipersalahkan dengan nada meninggi kerana tidak membantu. Bagaimana mahu membantu, sedangkan letak duduk sebenar Nur Husna masih kabur. Siapa dia juga Nur Husna tidak tahu? Tiba-tiba sahaja minta tolong. Siapa yang menangisnya? Kalau menangis pujuklah. Kenapa minta tolong Nur Husna pula?

Jika ikutkan hati yang panas, mahu sahaja Nur Husna hubungi semula nombor tersebut. Kemudian akan dilepaskan ledakkan di hati. Biar sedar diri sikit. Sudahlah suka hati meninggi suara pada Nur Husna. Baru sahaja mahu lakukan apa yang difikirkan sebentar tadi, Xperia kembali berbunyi. Sangkanya nombor tadi tapi ternyata orang lain yang tertera namanya.

'Puan Iffah? Kenapa dia telefon hujung minggu begini?'

Tanpa melengahkan lagi, panggilan itu disambutnya. Nanti terjawablah persoalannya. Rasa marah kepada lelaki tadi diusir pergi. Tidak mahu dikesan bernada dingin dengan majikannya itu.

"Assalamualaikum Puan Iffah."

"Waalaikumussalam Husna. Husna sibuk ke hari ni?" Suara Puan Iffah juga kedengaran cemas. Kenapa semua orang cemas sangat hari ni?

"Tak sibuk pun puan. Hujung minggu macam ni, di rumah saja. Berkumpul dengan ahli keluarga yang lain. Ada apa ya puan?" Nur Husna terus bertanyakan tujuan dia dihubungi. Hatinya berat mengatakan apa yang bakal dikatakan Puan Iffah pasti ada kaitan dengan lelaki tadi.

"Sebenarnya saya nak minta tolong kamu ni. Tadi Encik Azam ada telefon saya. Dia minta tolong siapa-siapa datang ke rumah dia untuk tengokkan Qalbi. Memandangkan Qalbi anak asuhan Husna, boleh Husna ke sana? Katanya meragam sangat anak dia, dari pagi asyik menangis."

"Oh, kiranya yang telefon saya tadi Encik Azam la ye. Puan Rosnah dan Cik Bella tak ada ke?" Patutlah suara macam kucing hilang anak. Mengenangkan Qalbi, rindu pula Nur Husna pada bayi itu. Minggu ini hanya dua hari Qalbi dihantar ke Darul Sakinah iaitu pada hari Isnin dan Selasa. Selepas itu, Nur Husna diberitahu Qalbi demam. Jadi, tidak dihantar ke Darul Sakinah.

"Haah, dialah tu. Kalau fasal Puan Rosnah tak sempat pula saya tanya ke dia. Tapi, sudah diminta tolong mestilah Puan Rosnah tiada. Cik Bella pula masih di asrama. Dua minggu sekali baru boleh pulang ke rumah. Bolehkan Husna? Kamu pergilah tengokkan Qalbi tu. Kesian saya dengar suara cemas Encik Azam, mesti ada yang tak kena. Saya tak ada di rumah sekarang ni, sebab tu minta tolong kamu."

"Kalau macam tu, baiklah. Saya pergi. Lagipun masih belum Asar lagi. Sempatlah tengokkan kejap. Boleh puan hantarkan alamatnya? Saya siap kejap lepas tu terus ke sana."

"Okey, saya hantar mesej nanti. Terima kasih Husna. Maaflah mengganggu waktu cuti kamu."

"Tak apa puan. Saya tolong mana yang mampu."

Setelah memberi salam, Nur Husna mencari kelibat Puan Senah. Mahu minta izin untuk ke rumah Encik Azam. Lagi pun, Nur Husna perlu minta khidmat kakaknya atau abang iparnya untuk menghantarnya ke sana. Maklumlah, kenderaan yang Nur Husna boleh kendalikan hanya basikal. Dia belum ada lesen memandu lagi, kereta mahupun motosikal. Bukan sahaja lesen, belajar memandu pun tidak pernah. Sebelum ini jika mahu ke mana-mana Nur Husna hanya menunggang basikalnya. Kalau mahu keluar jauh dari kampung, selalunya menanti hujung minggulah. Tunggu Along dan Angahnya pulang. Jika urusan mustahak, barulah Nur Husna akan minta tolong jirannya, Long Fuad hantarkan dia.

"Mak, Ateh nak minta izin ni. Ateh kena pergi rumah anak asuhan Ateh. Puan Iffah minta tolong Ateh pergi tengokkan."

Nur Husna terus khabarkan tentang hal tadi kepada Puan Senah ketika melihat maknya masuk dari pintu belakang bersama dua biji buah kelapa yang sudah dikopek. Sudah dibelah dua, hanya perlu dikukur untuk diperah santannya nanti.

"Kenapa dengan anak asuhan kamu tu? Siapa namanya? Mak ayah dia mana?"

Bertalu-talu soalan ditanya sambil mengesat peluh di dahi dek berjemur mengopek kelapa tadi. Kerusi di meja makan ditenggek lalu menyambut huluran segelas air kosong yang dituang Nur Husna. Wajah anak bongsunya itu dipandang.

"Qalbi, baby yang Ateh selalu cerita tu. Ateh pun tak tahu kenapa. Katanya asyik menangis dari pagi. Maknya tak ada, yang ada cuma ayah dia. Sebab tulah kot tak tahu apa nak buat. Boleh ye mak?"

"Kamu tahu nak buat apa? Jauh ke tidak? Ateh nak pergi dengan siapa ni? Lama ke? Pukul berapa Ateh nak balik?"

Kalau minta izin dengan Puan Senah, beginilah dia. Akan ditanya habis-habis biar jelas segalanya. Lagipun mahu lepaskan anak daranya, mestilah kena tahu mahu ke mana. Mak mana tak risaukan anak. Lagi-lagi Nur Husna. Anaknya itu bukan betah mahu biasakan diri dengan tempat orang. Kalau tak diam, lain yang dibuat. Lagipun, Puan Senah masih dihantui kemalangan yang menimpa Nur Husna. Kerana itu banyak soalnya biar dia tahu semuanya.

"Ateh pun tak tahulah mak nak buat apa. Ala, kalau tak tahu Ateh telefon mak. Mak kan pakar. Puan Iffah cakap, rumah dia tak jauh mak. Taman depan sana je. Lama tak lama, Ateh pun tak tahu. Tengoklah dulu macam mana. Apa-apa nanti Ateh telefon mak ya. –Ha, Abang Ngah. Alang-alang dah jumpa, tolong hantarkan Ateh. Jap, Ateh nak siap."

"Pergi mana?" Menjerit suara lelaki itu bertanya apabila Nur Husna sudah berlari ke biliknya tanpa berikan sebarang penjelasan. Ibu mentuanya yang sedang membasahkan tekak dipandang meminta jawaban apabila tiada balasan daripada Nur Husna.

"Kamu hantarkan Ateh boleh? Dekat taman depan sana. Katanya nak pergi tengokkan anak asuhannya."

avataravatar
Next chapter