14 Tertanya-tanya 1

Semenjak kedatangan Azam ke rumahnya tempoh hari, Nur Husna tak dapat menahan bibirnya dari terus-terusan tersenyum. Kerana semenjak daripada peristiwa itu juga, tiada lagi riak dingin yang terpamer pada wajah Azam yang menyapa Nur Husna setiap kali bertemu di Pusat Asuhan Darul Sakinah. Membuatkan Nur Husna semakin berseri-seri setiap kali bersua muka dengan Azam, kerana lelaki itu semakin pandai bergurau mengambil hatinya dan tak kurang juga semakin kuat menyakat orangnya. Malah, semenjak itu juga batang hidung Azamlah yang sering muncul untuk menghantar Qalbi ke Darul Sakinah. Berbeza dari sebelumnya, boleh dibilang dengan jari sahaja berapa kali mereka bertemu kerana tugas menghantar Qalbi ke situ sering diambil alih oleh Puan Rosnah.

Nur Husna sendiri tidak tahu mengapa mendadak sekali perubahan karakter lelaki itu. Anehnya, dengan Nur Husna sahaja Azam bersikap begitu. Kalau datang rakan sekerjanya yang lain datang menyambut Azam dan anaknya, bukan sahaja senyuman tidak ditayangkan, pandang pun tak mahu. Gara-gara itu juga, puas Nur Husna menepis segala usikan yang Azam itu punya hati dengan Nur Husna. Tersentak jugalah hatinya saat pertama kali mendengarkan seloroh dari mulut Kak Zaitun. Entah dari mana datangnya auta itu hingga boleh dijadikan gosip hangat di Darul Sakinah.

Tapi mustahil sekali, Azam itu kan bakal abang ipar Nur Husna. Eh, dah setuju ke? Dah datang ke rombongan merisiknya? Er.. er.. er.. Arh, pokoknya mustahillah Azam itu sukakan Nur Husna. Lelaki itu sudah berumah tangga, punya anak lagi. Jadi, Nur Husna hanya pekakkan telinganya setiap kali gurauan tak berasas daripada rakan sekerjanya semakin melampau mengusik.

Tapi, lain pula sikap lelaki itu hari ini. Walaupun sikap dinginnya tidak pernah ditunjukkan lagi setelah peristiwa itu, namun senyuman Azam hambar sekali pagi ini. Qalbi terus diserahkan kepada Nur Husna tanpa banyak cakap selain bertanyakan keberadaan Puan Iffah. Selepas mengiringi Azam ke bilik Puan Iffah, lelaki itu hanya mengucapkan terima kasih dan terus masuk ke dalam. Mahu ditanya, nanti dikata sibuk menjaga tepi kain orang pula. Jadi, lebih baik Nur Husna terus ke atas menyambung kerjanya yang sedia menanti.

Ketika mana Nur Husna sibuk uruskan Sara; anak asuhannya yang baru sudah dimandikan, Kak Maisarah datang memaklumkan Puan Iffah mahu bertemu dengannya. Segera Nur Husna menyudahkan kerjanya lalu disuruh Sara menyertai yang lain bermain di tingkat bawah. Bilik Puan Iffah dituju, serentak itu Nur Husna bertembung dengan Azam yang baru keluar meninggalkan bilik Puan Iffah. Tergesa-gesa sekali langkahnya meninggalkan situ hingga tidak perasankan Nur Husna yang tidak jauh mana jaraknya. Tangan Nur Husna sudah diangkat, mulut juga sudah dibuka mahu memanggil, tapi melihatkan susuk Azam sudah hilang dipadamkan sahaja niatnya lalu mengetuk pintu bilik majikannya.

"Masuk."

"Puan cari saya?" Baru sahaja pintu dibuka, langsung Nur Husna tanyakan tujuan dia dipanggil ke bilik Puan Iffah. Jarang sekali pekerja-pekerja di situ dipanggil menghadap hingga ke dalam bilik Puan Iffah melainkan jika ada perkara yang benar-benar penting. Tiba-tiba rasa cuak bergayut di hati, dia ada buat salahkah?

"Duduk dulu Husna."

Lembut sahaja panggilan Puan Iffah sambil tersenyum. Teragak-agak Nur Husna melabuhkan punggungnya di hadapan Puan Iffah. Benaknya disesak dengan pelbagai kemungkinan apakah dia dipanggil. Puas diperah otaknya, jika ada kesalahan yang tidak sengaja mahupun sengaja dia lakukan hingga berkerut-kerut dahinya.

"Hai Husna, sampai berkerut dahi tu dah kenapa?"

Sergahan Puan Iffah membuatkan Nur Husna hanya mampu tayang senyuman kerang busuknya. Sudah tertangkap, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana lagi.

"Ada apa puan panggil saya. Saya ada buat salah ke puan? Encik Azam ada adukan apa-apa ke fasal saya? Saya ada salah laku ke dekat anak dia?"

Nur Husna tidak mahu menuduh, tapi entah kenapa wajah Azam yang kelat hari ni menari-nari di ruang mindanya. Malah hatinya yakin, panggilan Puan Iffah pasti ada kena-mengena dengan Azam. Kalau tak, mana mungkin Nur Husna terus dipanggil sejurus sahaja lelaki itu bertemu Puan Iffah. Sudahlah lama sekali pertemuan mereka. Hampir satu jam juga. Entah apalah yang dibincangkan mereka. Ada kena-mengena dengan Nur Husnakah?

"Ish kamu ni Husna. Ke situ pulak. Tak baik tau sangka buruk dengan orang. Sebenarnya Encik Azam mengadu..."

"Haaa, saya dah agak dah. Mesti Encik Azam ada mengadu yang tak baik tentang saya kan? Kenapa puan? Saya ada dera anak dia ke? Dia tak puas hati ke cara saya jaga anak dia?"

"Kamu ni kan Husna, cuba bawa bersabar sikit. Saya belum habis cakap lagi."

Terkebil-kebil Nur Husna melihatkan wajah serius Puan Iffah. Kecut juga perutnya melihatkan perubahan wajah majikannya seorang itu. Perlahan wajahnya menunduk memandang hujung kaki serba salah dengan lakunya tadi. Itulah Nur Husna, tak sabar langsung. Kau ingat ni dekat rumah, suka hati kau nak mencelah cakap orang. Depan kau ni bos kau tahu!

"Maafkan saya puan."

"Baiklah. Sebenarnya Encik Azam bagitahu tadi, dia tak boleh hantar Qalbi minggu ni."

"Kenapa?"

"Dia ada kerja outstation."

"Puan Rosnah kan ada. Bukan selalunya macam tu ke. Kalau Encik Azam tak ada, Puan Rosnah yang hantarkan?"

"Itulah masalahnya sekarang ni. Bakal mak mentua awak tu baru keluar wad semalam sebab kena serang darah tinggi tempoh hari. Esok pula Azam sudah perlu ke tempat kerjanya. Jadi, tak ada orang boleh jagakan Qalbi."

Bercantum kening Nur Husna saat Puan Iffah membahaskan bakal mak mentuanya. Siapa pula? Puan Rosnah?

"Maksud puan, Puan Rosnah?"

"Ai, nak jadi mak mentua pun berpuan lagi?"

Mahu tak berubah tomato wajah Nur Husna saat diusik begitu. Jangan cakap Puan Iffah pun terkena virus gosip hangat tentangnya yang sedang galak merebak di Darul Sakinah sekarang ini. Tersengih-sengih Nur Husna membalas usikan Puan Iffah yang sudah tersenyum manis itu.

"Ma, ma –mana ada puan. Eh, apa tadi. Ah, jadinya puan nak minta tolong saya jagakan Qalbi ke? Macam mana?"

Cepat-cepat Nur Husna alihkan topik perbualan yang sudah melencong itu. Tergelak Puan Iffah melihatkan Nur Husna yang sudah kelam-kabut itu. Nur Husna hanya mampu menayang senyum nipis. Iyalah, setahu Nur Husna belum dimaklumkan kepada siapa-siapa pun tentang misi cari jodoh Alongnya itu. Apatah lagi, adik Azam itu salah satu calonnya. Tup-tup dikatakan Puan Rosnah itu ibu mentuanya. Ini tak lain tak bukan penangan virus gosip dia dan Azam tentunya. Ah, tak guna punya gosip. Jangan kau jadi fitnah sudah.

"Itulah saya nak cakap. Encik Azam tu minta tolong. Memandangkan dia tak ada, Puan Rosnah pula sakit, dia minta izin saya nak ambil awak bekerja di rumahnya untuk dua hari sahaja."

"Pembantu rumah dia tak ada ke?"

Amboi kau Nur Husna, nak tolong orang pun mengelat. Susah benar mahu minta tolong dengan kau. Apa susah, tolong sajalah dah orang minta tolong.

"Kalau kamu nak tahu, Puan Rosnah tu memang dari dulu lagi tak nak ambil pembantu rumah. Semua nak buat sendiri katanya. Jadi, Encik Azam tu susah hati nak tinggalkan Qalbi dan uminya tanpa ada yang jagakan. Cik Bella pula masih di asrama sekarang ni. Dia cakap, nak cari pembantu rumah sekarang macam tak sempat sebab itulah dia minta tolong ni. Boleh ke Husna?"

"Anak asuhan saya macam mana?"

"Itu tak apa, boleh bahagikan kepada yang lain. Encik Azam sanggup bayarkan dua kali ganda gaji kamu kalau kamu setuju."

Terbuntang mata Nur Husna mendengarkan tawaran itu. Terdesak benar Azam sampai begitu tawarannya. Nur Husna menggeleng perlahan sambil tersenyum.

"Tak perlulah sampai macam tu puan. InsyaAllah saya boleh je nak bantu. Kalau puan dah cakap macam tu, tak akanlah saya nak bantah pula. Macam mana kerja saya dekat sana?"

avataravatar
Next chapter