10 She's my wife 2

"Jangan risau Encik Azam. Anak encik tak apa-apa. Jangkitan fungal thrush tidak membahayakan. Melihatkan kerisauan tuan dan puan, saya agak ini pertama kali kalian berdepan dengan situasi begini. Tapi, jangan risau. Fungal thrush hanya menyebabkan kesakitan pada mulut. Kerana itu bayi akan kerap menangis dan tidak mahu menyusu. Dan disebabkan kurangnya menyusu, menyebabkan berlakunya hidrasi. Sebab itu juga, bayi kalian mengalami demam. Saya akan berikan paracetamol dan ubat antifungal untuk legakan sakit anak puan."

Setelah mendengar penjelasan panjang lebar berkenaan keadaan Qalbi, mereka meninggalkan klinik selepas pembayaran dilakukan dan ubat diambil. Nur Husna kembali teringatkan pesan doktor supaya diberi perhatian untuk mengelakkan perkara yang sama berulang kepada Qalbi. Nur Husna boleh tahutentang thrush kerana pernah terbaca tentangnya sebab itu mudah diakesan pada mulut Qalbi tadi, tapi asbab terjadinya jangkitan itu Nur Husnatidak tahu. Kerana itu Nur Husna baru tahu, berikan air masak kepada bayi setelah menyusu itu penting sebab ianya akan menanggalkan saki-baki susu yang mungkin tertinggal di mulut kerana saki-baki itulah yang memudahkan jangkitan fungal. Rasa bersalah juga ada, kerana Nur Husna tidak cakna akan hal itu sepanjang menjaga Qalbi. Dan Nur Husna juga jarang membersihkan puting botol dengan air mendidih dua minggu sekali seperti yang dipesan doktor, kerana Nur Husna fikir botol itu sudah bersih kerana tidak pernah ditinggal di Darul Sakinah. Wajah Qalbi yang pulas lenanya diusap pipi merah si kecil.

"Maafkan ibu sayang. Ibu tak tahu hal sepenting itu. Tengok, dah sakit anak ibu sampai demam."

Perlahan Nur Husna menutur dengan nada sayu kerana sudah terbiasa berbual begitu dengan Qalbi. Tidak sedar apa yang dikatakan Nur Husna didengari Azam.

"It's okey Nur Husna. Kita belajar sama-sama uruskan anak. Saya belajar, awak pun belajar. Nanti kita dah ada anak sendiri, boleh bersedia lebih awal."

Azam berkata seperti cuba mengurangkan rasa serba salah Nur Husna. Azam tidak tahu mengapa, tapi melihatkan perubahan wajah Nur Husna sepanjang mendengar apa yang dikatakan doktor tadi dia turut terkesan. Tahulah dia, Nur Husna ada lakukan apa yang dilarang doktor hingga serba salah menghilangkan senyuman yang sentiasa di bibir Nur Husna.

Nur Husna memandang Azam yang fokus pada pemanduannya. Berlapis dahinya cuba menghadam apa yang dikatakan Azam. Tiba-tiba Nur Husna teringatkan situasi di klinik tadi ketika Azam mengaku Nur Husna itu isterinya.

"Kenapa Encik Azam buat macam tu?"

"Buat apa?"

"Mengaku saya isteri encik. Dan kata-kata encik seperti menganggap saya ni memang betul-betul isteri encik. Apa encik maksudkan 'kita' dah ada anak sendiri? Mind to explain? Atau ianya hanya omong kosong yang tidak bermaksud apa-apa?"

Azam mendiamkan diri apabila disergah dengan persoalan itu. Agak lama menanti, Azam masih begitu. Bisu. Nur Husna menghela nafas panjang, cuba menenangkan diri sendiri. Rasa tidak sukanya yang mula bergayut di hati cuba diusir pergi. Nur Husna kalau sudah mula tidak sukakan seseorang, lepas ini susah mahu berkata yang baik-baik. Dalam erti kata lain, Nur Husna akan bersikap dingin, sombong dan mahu bertikam lidah sahaja jadinya jika bertemu.

Nur Husna tak mahu itu terjadi. Kalau sampai ke telinga Puan Senah lagilah kronik jadinya, Nur Husna perlu berdepan dengan leteran Puan Senah yang tidak mahu berhenti. Kerana, sikap Nur Husna dahulu memang susah mahu sebulu dengan kaum satu lagi. Sebab bagi Nur Husna sikap lelaki itu menjengkelkan, suka memaksa dan bertindak sesuka hati mereka sahaja. Disebabkan sering bertekak jika bertemu lelaki yang tidak disukainya, Nur Husna terpaksa juga perlu tadahkan telinga mendengarkan amarah dan leteran Puan Senah. Jadi, untuk menghindari berdepan dengan Puan Senah lagi, Nur Husna mula lebih banyak positifkan diri dan tidak ambil peduli dengan sikap lelaki yang menyakitkan hati. Seperti lelaki di sebelahnya seorang ini.

"Kalau encik tak mahu jelaskan, biar sayalah jelaskan. Untuk pengetahuan encik, saya tak suka encik suka-suka mengaku saya isteri encik. Dan saya juga tak suka bicara encik seolah kita akan ada apa-apa di masa hadapan. Ia mengganggu saya, dan akan buatkan saya salah faham. Lagipun, encik ni dah berkahwin. Jangan taburkan kata-kata yang membuatkan perempuan bujang seperti saya ni keliru dan tertanya-tanya. Kata-kata encik seperti menabur harapan. Saya tak tahu apa motif encik buat macam tadi. Jelasnya, saya tak suka. Jadi, saya harap encik tak ulang lagi perkara yang sama."

Usai meluahkan apa yang terbuku di hatinya, Nur Husna mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Azam pula tidak beriak, tiada langsung respon diberi pada yang dikatakan Nur Husna. Lebih menyakitkan hati, Nur Husna menangkap senyuman sinis lelaki itu. Setelah itu hanya pandangan tajam dan dingin diberikan kepada Nur Husna sekilas. Kenapa dengan lelaki sebelahnya ini?

Xperia yang berbunyi menarik Nur Husna daripada terus-terus memikirkan apa yang dimaksudkan Azam dengan kata-katanya. Tipikal perempuan. Suka terlebih fikir dan membuat spekulasi sendiri jika tidak mendapat penjelasan yang diinginkan. Melihatkan nama Faiz di skrin Xperianya, segera panggilan dijawab.

"Ateh ada dekat luar abang. Ke klinik tadi sebab Qalbi tak sihat."

"Balik? –hurmm.. lima minit. Kejap lagi Ateh telefon balik."

Setelah talian diputuskan, wajah dingin Azam kembali dipandang.

"Encik okey kan jaga Qalbi? Dah tahukan apa kena buat? Saya kena balik dah ni, dah petang sangat. Tak biasa saya balik lewat sampai ke malam. Mak saya pun dah tanya tadi."

Azam ditanya sambil memandang jam di dashboard. Sudah hampir 6.12 petang. Nur Husna belum tunaikan solat Asar lagi.

"Tak boleh ke you tinggal dekat rumah I untuk satu hari? I tak tahu apa nak buat kalau Qalbi menangis lagi."

Membulat mata Nur Husna mendengarkan permintaan Azam. Dia sedar tak apa yang dia cakap ni?

"Sudah tentulah tak boleh Encik Azam. Rumah tu tak ada sesiapa selain encik dan saya. Fitnah nanti encik."

"Kita bukan buat apa-apa pun. You cuma jagakan Qalbi. Nur Husna, please. Qalbi masih belum betul-betul sihat. Kalau dia menangis lagi macam mana?"

Nur Husna mengeluh geram. Aku rasa Encik Azam ni dah hidup dengan Qalbi dah tiga bulan. Dah sepatutnya tahu apa perlu buat.

"Tak boleh Encik Azam. Lagipun, doktor dah cakap kan tadi apa perlu buat. Macam mana bagi ubat dan waktu makannya. Rasanya itu sajalah tambahannya. Rutin lain-lain macam biasa dan saya rasa yang lain-lain Encik Azam dah lali nak uruskan macam mana. Jadi, saya tak diperlukan pun dekat sana. Kalau susah sangat, minta tolong isteri encik. Beritahu dia apa jadi pada Qalbi. Tahulah dia apa nak buat."

Walaupun Nur Husna nak sangat tanya di mana isteri Azam, ke mana dia? Kenapa dia tak ada di rumah? Kenapa Nur Husna tak pernah nampak dia? Tapi semua persoalan itu dikuburkan dalam benaknya. Tidak mahu masuk campur urusan orang lain. Walaupun pelik kerana tidak pernah nampak batang hidung isteri Encik Azam, tapi bukan urusan Nur Husna masuk sibukkan diri. Jadi, Nur Husna hanya bersangka baik sahaja. Mungkin isteri Encik Azam sedang kerja di luar negeri barangkali.

Melihatkan tiada respon daripada Azam, sekali lagi Nur Husna berpaling ke sisi mahu memandang Azam. Tertelan air liur Nur Husna kerana gerun melihatkan air muka Azam yang berubah rona merah padam, raut wajahnya seperti sedang menahan amarah. Melihatkan jelingan tajam Azam, Nur Husna menundukkan pandangannya melihat Qalbi. Takut. Rasa bersalah tiba-tiba menerpa. Nur Husna ada salah sebutkah? Mengapa setiap kali isterinya disebut, pasti Azam akan berubah bengis.

"I hantar you balik. Barang you tak ada tinggal dekat rumah I kan?"

"Tak ada. Tapi tak apa, kita baliklah dulu rumah encik. Saya tidurkan Qalbi dulu. Lagipun abang ipar saya akan ambilkan saya nanti."

"I tak nak dengar alasan you. I hantar." Sedingin musim salji suaranya.

"Tapi –"

"I hantar you balik."

Kali ini suara Azam sudah meninggi. Nur Husna sudah menikus, takut mahu bertentang mata dengan Azam yang sedang menikam Nur Husna dengan pandangan tajamnya. Sudahnya, Nur Husna hanya menurut kemahuan Azam. Pemanduan mula bertukar arah. Tanpa bertanyakan Nur Husna di mana rumahnya, Azam memandu dengan yakin seperti sudah tahu arah tujuannya.

Nur Husna pula membisu sambil menepuk-nepuk Qalbi yang masih pulas di ribanya. Sempat mesej dihantar kepada abang iparnya untuk beritahu dia pulang dengan Azam. Di benak Nur Husna didesak dengan pelbagai soalan yang merunsingkannya. Nur Husna rasa bersalah tapi tidak tahu apa salahnya. Lebih buatkannya tertanya-tanya, mengapa Azam bersikap sedemikian rupa. Nur Husna ada tersalah katakah hingga mengguris hatinya? Apa dia marah kerana Nur Husna bertegas tidak mahu tinggal di rumahnya untuk semalaman demi menjaga anaknya?

Tapi kan sudah dijelaskan, mustahil Nur Husna menuruti kemahuan Azam itu. Bukan Nur Husna tidak mahu, malah kalau ikutkan hati, Nur Husna nak sangat tinggal di sana memikirkan keadaan Qalbi. Tapi, mereka hanya berdua, bahaya! Pesan Tuan Yusof juga kerap kali terngiang-ngiang di telinganya. Jangan berdua-duaan dengan lelaki bukan mahram. Ada yang ketiga akan membisik untuk melakukan perkara yang dilarang Allah. Sekarang sahaja Nur Husna berdoa panjang sepanjang dia hanya berdua dengan Azam. Moga segalanya baik-baik sahaja. Dibetulkan niatnya hanya atas urusan kerja. Hanya mahu membantu anak kecil yang tidak sihat.

Sibuk dengan dunianya hingga tidak sedar, Proton Perdana sudah terparking di perkarangan rumahnya. Jika tidak ditegur Azam, sampai ke sudah Nur Husna dalam dunianya. Azam keluar membukakan pintu untuk Nur Husna. Setelah itu, Qalbi bertukar tangan. Pintu belakang dibuka lalu Qalbi diletakkan di kerusi bayi yang sememangnya ada di tempat duduk belakang.

"Terima kasih encik hantarkan saya. Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan encik. Encik tak mahu masuk dulu?"

Azam yang sudah membuka pintu pemandu hanya menggeleng menjawab perlawaan Nur Husna. Air mukanya sudah agak tenang daripada tadi. Cumanya masih dingin.

"Kalau Qalbi meragam sangat encik telefon saya ye. Saya akan ke rumah encik. Saya boleh saja minta kakak saya teman. Ataupun, encik tunggu kejap. Saya minta izin daripada mak saya. Kalau mak izinkan, saya ikut encik balik. Tapi dengan kakak saya sekalilah."

Nur Husna sudah berura-ura untuk berlari masuk ke dalam rumah mahu mendapatkan Puan Senah. Tapi dihalang dengan tegahan Azam.

"Tak perlu. It's okey Nur Husna. Macam you cakap, doktor dah terangkan apa perlu buat. I je yang risau terlebih. Masuklah. I balik dulu."

Kali ini suaranya sudah lembut sedikit. Seperti mahu hilangkan serba-salah Nur Husna.

"Saya minta maaf encik sebab tak dapat bantu."

Nur Husna meluahkan rasa bersalahnya. Azam tidak menjawab. Matanya terus memandang Nur Husna tanpa berkelip. Terlalu lama hingga Nur Husna tidak selesa jadinya. Pipinya sudah kebas dan panas, segan ditenung begitu sekali. Seperti mahu telan ada juga. Nur Husna yang cuba melarikan pandangan daripada bertemu mata dengan Azam, akhirnya beranikan diri untuk bersuara.

"Encik..?"

"You dah fikir siapa calon pilihan you?"

Tanya Azam tiba-tiba. Dan apa yang dimaksudkan dengan calon tu? Calon suami aku ke? Macam mana dia tahu?

Rujukan: http://drzubaidi.com/blog/jangkitan-fungal-di-mulut-bayi/ 

avataravatar
Next chapter