11 Keliru 1

Sedari pagi tadi, perhatian Nur Husna dipegunkan pada satu arah. Sedari lelaki itu menjejakkan kakinya di situ, Nur Husna membisu kata tidak percaya. Tidak banyak kata, Nur Husna hanya menurut segala arahan Puan Senah melayani tetamu yang sudah lama dinanti kunjungannya tapi tidak menyangka orang yang dinanti itu dia. Mulut becoknya jadi kelu mahu berkata apa-apa. Pagi ke tengahari dan hari sudah berganjak petang. Lelaki itu pula begitu, tidak menyapa malah berkata 'hai'. Seolah-olah mereka tidak kenal. Kerana itu Nur Husna rasa seperti tidak percaya membuatkan pandangannya terus-terusan dipakukan pada lelaki itu. Memastikan matanya tidak silap melihat. Di fikirannya usah ditanya, terlalu sesak dengan desakan persoalan yang menyerbu.

Diakah orangnya? Bukankah dia sudah berpunya? Punya zuriat lagi. Mungkinkah lelaki ini duda beranak satu? Kerana itu mahu mencari calon isteri untuk kebaikan anaknya. Atau mahu menambah cawangan yang kedua. Tapi mengapa tidak dinyatakan dalam kertas biodatanya jika benar itu hakikatnya? Lebih anehnya, seingat Nur Husna wajah jejaka itu lain benar miripnya dengan gambar yang pernah dilihat Nur Husna. Orang yang samakah? Atau Nur Husna salah teka.

Nur Husna didesak lagi dengan soalan lain. Adakah dia memang sudah tahu Nur Husna calon isterinya sedari awal pertemuan mereka? Jika benar, mengapa tidak pernah sekali dia suarakan hal itu setiap kali mereka bersua muka. Seolah-olah tiada apa-apa. Nur Husna merasakan calon yang ini sahaja yang aneh. Kerana Razman, Ammar, Muiz mahupun Badrul acapkali juga menyapa setiap kali bertemu dan bertanyakan hal Nur Husna. Seperti cuba memikat hati Nur Husna kononnya. Terutamanya Badrul. Lelaki itu lebih ketara usahanya mahu memenangi hati Nur Husna agar dia menjadi pilihan bakal suami Nur Husna. Tapi Nur Husna sentiasa sopan menjawab dan sering ingatkan. Pilihan keluarganya adalah pilihannya kerana Nur Husna tak mahu lelaki itu terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk memilikinya.

Nur Husna bukan tidak tahu. Calon-calon Nur Husna cuba mendekati Nur Husna bukan sekadar mereka itu tercalon bakal suaminya, tapi syarat yang dikenakan Rozaimah juga. Buatkan Nur Husna jatuh hati pada mereka supaya mudah ahli keluarga lain mahu buat keputusan siapa pilihan mereka kelak. Walaupun sememangnya ahli keluarga Nur Husna yang akan buat keputusan, tapi keputusan bergantung juga pada respon Nur Husna pada calon-calonnya. Jika ada yang sudah tersangkut di hati Nur Husna, itu lebih mudah. Nur Husna sendiri pening dengan ragam ahli keluarganya, terutama Rozaimah dan Puan Senah. Ada sahaja syarat dan rancangan yang direncanakan.

Berbalik kepada jejaka ini, Nur Husna bukan kemaruk sangat mahu dia turut menunjukkan diri cuba memenangkan hati Nur Husna. Sekurang-kurangnya, mereka yang lain mencuba. Tapi lelaki ini, dingin sahaja sepanjang pertemuan mereka. Tiba-tiba sahaja memunculkan diri di teratak kayu ini. Nur Husna sangat kesal dengan dirinya kerana tidak pernah perasankan lelaki ini ketika pertama kali bertemu. Mana mungkin Nur Husna perasan, wajahnya berbeza sekali daripada gambar yang pernah dilihat Nur Husna.

"You dah fikir siapa calon pilihan you?"

Tiba-tiba persoalan itu terngiang-ngiang di tepi telinga Nur Husna. Jadi, itukah maksudnya? Dia mahu sampaikan dirinya salah seorang calon pilihan Rozaimah. Jika benar, mengapa tidak berterus terang sahaja? Mengapa buru-buru pergi setelah persoalan itu diutarakan kepada Nur Husna, meninggalkannya terpinga-pinga dengan soalan yang tidak difahaminya?

Peristiwa dua minggu lalu kembali menerjah ingatan. Atau mungkinkah sebenarnya lelaki ini tidak rela? Mungkin kerana paksaan daripada uminya, sebab itu dingin sahaja riak wajahnya setiap kali bertemu muka? Mungkin persoalan itu ditanya kerana berharap dia bukan pilihan Nur Husna. Nur Husna masih ingat lagi pertama kali bertemu mata dengan lelaki ini, masamnya mengalahkan mangga putik.

Nur Husna tiba-tiba menyentuh dahinya. Otaknya terasa berdenyut kerana terlalu banyak yang difikirkan dalam satu masa. Hatinya terasa tidak sedap. Calon yang paling ditunggunya ternyata tidak mengujakan. Malah terasa seperti ada yang tidak kena. Seolah ada yang disembunyikan. Benarkah lelaki ini, dia orangnya? Azami Norhakim itu adalah dia. Jadi tujuan sebenar dia di sini, untuk apa sebenarnya? Mahu menarik diri daripada menjadi calon suami Nur Husna? Atau menyampaikan kebenaran dia itu duda atau mahu pasang cawangan lain. Kerana itu tidak pernah mengaku kepada Nur Husna dia itu Azami Norhakim. Kalau itu kebenarannya, sungguhlah itu penyesalan terbesar Nur Husna memilih dia salah seorang calonnya. Sekarang juga Nur Husna akan singkirkan dia. Nur Husna tak peduli kalau ada tentangan dari keluarganya. Keputusannya muktamad. Wajah lelaki itu kembali dipandang.

"Ateh, jaga mata. Tengok orang macam nak terkam."

Nur Husna ditarik kembali ke dunia realiti saat Puan Senah menepuk lembut pahanya. Baru Nur Husna sedar, semua mata sedang terarah padanya kecuali dia yang sedang membuang pandang ke arah pintu yang terbuka luas menikmati pandangan luar rumah. Masing-masing mengukir senyuman sumbing penuh makna dan harapan. Tapi Nur Husna tidak terpengaruh dengan senyuman itu, pandangannya kembali memandang lelaki itu. Fikirannya masih bermain-main dengan persoalan yang tidak terjawab. Lelaki itu pula hanya memandang Nur Husna sekilas sebelum menyambung perbualannya dengan yang lain. Tidak dingin tapi tiada senyuman seperti tadi. Seperti ketika dia berbual mesra dan ceria dengan ahli keluarganya yang lain. Terutamanya dengan Abang Long Fawwaz dan maknya, Puan Senah.

"Jadi Encik Azam ni Azami Norhakim?"

Akhirnya suara emasnya yang terbisu kelu disuarakan. Perhatian Azam kembali terarah ke wajah keliru Nur Husna, bertemu mata dengan gadis yang berdepan dengannya di sofa single. Kali ini wajah itu penuh kerutan, senyuman yang selalu terukir di bibir itu serius seharian ini. Nur Husna tidak melarikan anak matanya seperti selalu setiap kali bertemu mata dengan pandangan tajam lelaki itu. Tidak gentar seperti biasa kerana sekarang ini dia sangat-sangat perlukan jawaban. Lama mereka berlawan pandang sebelum Azam bersuara.

"Actually, Azami used to be my younger brother name."

Kening Nur Husna bersatu. Tidak faham dengan ayat penyata lelaki di depannya itu. Ahli keluarganya semua mengunci mulut, membiarkan Nur Husna bersoal jawab dengan Azam tanpa gangguan.

"Maksud awak tekaan saya salah? Apa yang saya fikirkan semuanya salah?"

Nur Husna tiba-tiba terasa mahu tersenyum. Lega rasanya telahannya salah belaka. Azam itu Azam bukan Azami. Hanya kebetulan hampir sama namanya. Ya, nama juga adik beradik. Tapi kenapa digunakan perkataan 'used'.

"Apa yang you fikirkan?"

"Tak penting. Yang penting, bukan awak bakal suami saya kan? Adik awak kan?"

"Perhaps."

Kali ini Nur Husna benar-benar menghembus nafas lega. Benarlah salah kata hatinya tadi. Tak ingin Nur Husna menjadi isteri kedua Azam. Kalau tak isteri kedua sekali pun, Nur Husna tetap tak mahu. Mungkin Azam duda, tapi kerana bercerai. Bekas isterinya masih hidup. Lainlah Badrul, lelaki itu duda kerana isterinya sudah meninggal. Azam pula, Nur Husna tidak tahu. Walaupun Nur Husna sangat tergugat kalau Qalbi yang masuk campur. Nur Husna menggeleng-geleng kepalanya, mengusir fikirannya yang sudah ke situ. Mengapa Azam pula yang difikirkan. Biarlah lelaki itu dengan hidupnya. Yang penting, bukan Azam orangnya.

Nafas lega dihembus lagi. Penat sahaja memerah otak mahu menyelesaikan persoalan di fikirannya. Mahunya dia tidak salah teka. Kata Puan Senah, Azami Norhakim akan datang petang ini. Nur Husna jadi teruja tanpa sebab, kerana Azami Norhakim merupakan orang yang paling dia mahu bersua muka. Katanya, datangnya sengaja mahu bersilaturrahmi. Lagipun sudah sering kali dijemput Puan Senah untuk datang ke rumah selain mahu bertemu Fawwaz, teman lama yang hanya berhubung melalui talian sahaja.

Tapi..

avataravatar
Next chapter