1 Cari Jodoh 1

"Kau tak payah pening la dengan siapa kau nak kahwin Ateh. Yang Along nak tahu kau setuju je kalau Along bawa calon untuk kau."

Nur Husna hanya mampu menggeleng kepalanya pasrah. Sambil menghabiskan lipatan pakaian yang baru dikutip dari ampaian, telinganya menadah segala macam cadangan yang dikemukakan Alongnya Rozaimah dan abang iparnya Fawwaz.

Petang hujung minggu begini memang menjadi kebiasaan mereka sekeluarga berkumpul di rumah pusaka peninggalan arwah abahnya Yusof. Walaupun Along dan Angahnya sudah berumahtangga dan mempunyai komitmen masing-masing, namun itu tidak menghalang mereka untuk sering berkunjung ke rumah kecil ini setidak-tidaknya dua minggu sekali.

"Ateh bukannya terdesak sangat Along sampai kau perlu tergesa-gesa carikan calon segera sekarang ni. Nanti dah sampai waktu sampailah jodohnya." Nur Husna cuba bermain kata.

Serius benar Alongnya seorang ini. Padahal isu jodohnya ni baru sahaja disebut maknya tidak kurang dua minggu lepas iaitu lima hari setelah majlis graduasinya di KUIPSAS, Pahang. Itupun hanya sekadar sebut, silapnya sebut depan Along. Ha, beginilah jadinya. Tak sudah-sudah dengan siapa yang nak dipadankan dengan adik bongsunya seorang ni. Mulut sahaja pot pet cadangkan orang itu, orang ini. Nur Husna belum sempat beri kata putus ya mahupun tidak Alongnya sudah datang calon baru. Kadang-kadang calon yang Rozaimah cadangkan itu sendiri ditolaknya tidak puas hati. Kurang berkenan katanya.

Hingga Nur Husna sendiri pelik. Alongnya ini bersungguh mahu cari jodoh untuknya ataupun tak? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Sudahnya Nur Husna hanya biarkan Alongnya itu mahu bertindak semahunya. Nanti penat, pandailah dia berhenti.

"Tak ada yang sesuai lagi ke Along?" Puan Senah yang baru datang dari dapur bersama bancuhan kopi baru menggantikan yang sudah habis diminum bersama sebalang roti kering gula buatan sendiri menanyakan anak sulungnya itu.

"Mak..." Nur Husna merengek. Tak suka maknya turut terlibat dengan misi cari jodoh Alongnya itu. Puan Senah kalau masuk campur, lagi rumit jadinya. Rozaimah itu sudah cerewet, Puan Senah dua kali ganda cerewetnya dari Rozaimah. Lagi beratus calonlah akan dicari Rozaimah kelak.

Nur Husna bukan nak menentang, tapi memikirkan lagi banyak calon, tak ke lagi pening kepala jadinya. Puan Senah tu, kalau dah berkenan nanti Nur Husna berani jamin. Bukan seorang dua sahaja. Kalau tak jadi nak dijodohkan dengan Nur Husna, bakal bertambahlah bilangan anak angkat Puan Senah yang sememangnya ramai. Maklumlah, anak kandungnya semuanya wanita sejati. Kempunan nak merasa ada anak teruna. Itulah sebabnya ramai benar anak angkat maknya itu.

"Eh, jangan nak menyampuk. Habiskan melipat tu. Lepas tu Ateh pergi cari pucuk ubi kat belakang, mak nak masak lemak makan malam nanti – Ha Along, apa cerita?" Sekali lagi Nur Husna menarik nafas dalam. Memang pasrah sungguh hatinya sekarang ni.

"Entahlah mak. Calonnya ramai. Tapi tak sesuai dengan Ateh mak. Nak cari orang kenalah sesuai dengan citarasa dia mak. Nanti kata zalim pula kalau tak kena orangnya. Tapi itulah, memikirkan si Ateh ni, merana hidup anak orang nak menghadap puteri raja seorang tu. Serba serbi tak lengkap nak jadi bini orang."

"Dah tahu Ateh ni tak sempurna, galak nak nikahkan orang juga kenapa?" Nur Husna mencelah tidak puas hati. Tahupun aku ni tak tahu segalanya, masih lagi terkejar-kejar nak cari suami untuk aku.

"Eh, mak cakap jangan menyampuk. Mak bukan apa. Lagi Ateh tak lepas, lagi tulah mak duk teringat pesan arwah ayah kamu. Ateh tu dah masuk 26 tahun ni. Ayah kamu ni selalu duk pesan. Anak dara bagi nikah cepat-cepatlah. Terkawal sikit. Ayah kamu dah tak ada ni, mak risau. Along dengan Angah pun umur 23 ayah dah bagi menikah. Kamu tu yang terlambat. Mak risau tak tenang dia kat sana selagi kamu tak menikah."

Puan Senah sudah mengesat air matanya yang mengalir memikirkan arwah suaminya yang meninggal empat tahun lalu dek dipatuk ular kapak ketika sibuk di ladang kelapa sawit. Tak pernah sangka ajalnya begitu, sedangkan arwah ketika itu masih sihat dan sangat rajin bekerja. Tak pernah duduk diam, pasti ada sahaja yang ingin dikerjakan.

Nur Husna menarik senyum kelat melihatkan Puan Senah sudah bersendu di samping Rozaimah. Hai la mak. Setiap kali disebut pasal arwah, begitulah dia. Berendam air mata sentiasa walaupun sekejap cuma. Pakaian yang sudah siap dilipat dimasukkan ke dalam almari di bilik sebelum kembali keluar mendapat Puan Senah di ruang tamu. Belakang maknnya itu diusap cuba mengurangkan sendu si ibu.

avataravatar
Next chapter