"Sudahkah kamu mendengarnya? Guru Cao Xiong baru sahaja bertanding dengan guru di tempat tercorot, Guru Zhang Xuan!"

"Mereka bertanding? Jadi, bukankah sudah pasti Guru Zhang Xuan yang kalah?"

"Tanpa disangka, tidak sama sekali. Guru Zhang Xuan yang menang! Dia telah memberikan tunjuk ajar kepada seorang murid dengan senang-lenang, dan kekuatan murid tersebut meningkat dua kali ganda!"

"Meningkat dua kali ganda? Melalui tunjuk ajar pertama? Guru Lu Xun pun takkan mampu untuk berbuat demikian! Benarkah kata-kata kamu ini?"

"Ramai yang telah menyaksikannya sendiri, sudah tentu ianya benar!"

...

Mereka yang telah menyaksikan pertandingan di kantin tersebut sedang berbincang tentangnya dengan girang sekali.

"Kekuatan murid tersebut meningkat dua kali ganda melalui tunjuk ajar kali pertama?" Cemuh Zhao Ya. "Sudah tentu dia hanya bernasib baik!"

Bandar Baiyu merupakan bandar ketiga terbesar dalam Kerajaan Tianxuan, dan Zhao Ya adalah anak perempuan kepada Datuk Bandar. Sejak kecil, dia telah menerima pelajaran yang terbaik dan motifnya datang ke Akademi Hongtian adalah untuk diterima sebagai anak murid Guru Lu Xun.

Tetapi, dia tidak menyangka akan mendengar khabar bahawa Lu Xun tidak sehebat Zhang Xuan sebelum sempat bertemu dengannya pun. Sudah tentu dia tidak mempercayai khabar angin tersebut.

"Nasib baik? Saya tak fikir begitu. Peningkatan kekuatan dua kali ganda! Ia tidak dapat dicapai jika hanya bergantung pada nasib!" Seorang murid yang duduk berhampiran dengannya membalas kata-kata Zhao Ya tersebut.

"Kamu fikir ianya bukan sekadar nasib baik? Jangan fikir saya tidak kenal siapakah Guru Zhang Xuan. Dialah orangnya yang telah mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru dan hampir dipecat! Kebolehan apakah yang dimiliki orang seperti itu? Jika kamu tidak percayakan kata-kata saya, saya boleh mendedahkan tipu dayanya sekarang juga!"

Zhao Ya adalah seorang yang panas baran semenjak kecil lagi. Apabila mendengar seseorang memuji guru paling teruk di dalam akademi, dia serta-merta menjadi berang.

"Baiklah! Kami juga ingin tahu sama ada guru tersebut hanyalah tong kosong semata-mata!"

Dua orang murid lain terus berdiri.

Ketiga-tiganya melangkah keluar dari kantin, dan setelah bertanyakan jalan, mereka menemui bilik darjah Zhang Xuan. Mereka menolak pintu dan melangkah masuk.

"Kamu ini Guru Zhang Xuan?"

Setelah masuk ke bilik darjah tersebut, mereka melihat seorang lelaki muda duduk di kerusi guru sambil tersenyum pada dirinya sendiri. Tidak kira jika dilihat dari sudut mana sekalipun, dia tidak kelihatan seperti seorang guru yang hebat. Malahan, mereka mula berasa tidak selesa.

"Sayalah orangnya!"

Setelah menyedari akan kehadiran beberapa orang anak murid, Zhang Xuan berhenti meneliti Perpustakaan Jalan Syurga dan berpaling untuk memandang ke arah mereka.

"Kami dengar yang kamu telah menang dalam pertandingan menentang Guru Cao Xiong, dan murid yang telah dibimbing kamu berjaya meningkatkan kekuatannya sebanyak dua kali ganda." Zhao Ya berkata dengan nada yang penuh ketidakpercayaan. "Bagus sekali. Kalau begitu, saya ingin kamu memberikan tunjuk ajar pada saya juga. Saya ingin lihat sama ada kekuatan saya boleh meningkat dua kali ganda ataupun tidak!"

"Saya tidak lapang!"

Zhang Xuan menghalau mereka.

Guru juga mempunyai maruah sebagai pendidik. Mereka bukanlah penghibur yang bertanggungjawab untuk menggembirakan penonton. Mana mungkin mereka sewenang-wenangnya membimbing orang lain hanya kerana mereka inginkannya?

Tambahan pula, mengapakah dia menunjukkan sikap yang kasar itu? Bukannya saya berhutang dengan dia.

"Tidak lapang? Bukankah kamu sangat lapang sekarang ini?" Zhao Ya tahu bahawa guru tersebut tidak ingin melayannya. Dia mengetap gigi kemarahan.

Dia telah memberitahu kawan-kawannya bahawa dia akan mendedahkan penipuan guru ini, tetapi sekarang dia pula dihalau tanpa sebarang peluang untuk menyaksikan kemampuan guru tersebut. Dia berasa sangat malu.

"Saya perlu mencari anak murid. Saya tidak ada masa untuk bermain-main seorang gadis muda yang sombong!" Kata Zhang Xuan dengan tenang.

"Kamu…" Zhao Ya cukup marah sehinggakan berputar-putar matanya yang cantik itu.

Dia adalah anak perempuan kepada Datuk Bandar, dan dia juga dikurniakan rupa paras yang cantik. Tidak kira ke manapun dia pergi, kesemua orang akan memandangnya dengan penuh kekaguman. Tetapi sekarang ini, bukan sahaja dia ditolak, malahan dia dituduh sedang bermain-main. Bencinya!

Walaupun dia seorang guru, ini tidak boleh dimaafkan!

"Apa yang harus kami buat untuk kamu membimbing kami?" Zhao Ya bertanya sambil mengetap giginya yang persis batu jed.

"Akui saya sebagai guru kamu!" Zhang Xuan menjawab dengan tenang, sambil memandang Zhao Ya dengan raut wajah yang pelik.

Memandangkan Zhang Xuan menganggapnya sebagai seorang yang bodoh, Zhao Ya menjadi tidak stabil dan berdiri dengan terhuyung-hayang. "Baik, saya akan mengakui kamu sebagai guru saya. Tetapi… Jika kamu mengajar saya dengan cara yang salah ataupun mengarut-ngarut dengan ajaran kamu, saya akan mendedahkan penipuan kamu!"

"Zhao Ya!"

"Tak boleh! Jika kamu memperakui dia sebagai guru, kamu takkan dapat berguru dengan Guru Lu Xun…"

Dua orang kawannya yang datang bersamanya hampir sahaja pengsan mendengarkan Zhao Ya menerima permintaan guru tersebut. Serta-merta mereka cuba untuk memujuknya.

Mendengarkan pujukan dua orang kawannya tersebut, Zhao Ya mula ragu-ragu.

Dia faham akan peraturan sekolah. Setelah menjadi anak murid seorang guru, seseorang itu harus berhenti menerima ajaran gurunya terlebih dahulu jika ingin memperakui guru yang lain. Tetapi, dengan berbuat demikian, guru yang lain akan menolak permintaan murid tersebut. Apatah lagi guru yang terkenal seperti Lu Xun.

"Adakah kamu tidak berani? Jika tidak berani, segeralah beredar. Jangan bazirkan masa saya...Saya perlu mencari anak murid baru!" Zhang Xuan menghalaunya sekali lagi.

"Siapa kata saya tak berani?"

Dia masih ragu-ragu pada asalnya, tetapi kemarahannya serta-merta meletus setelah mendengar kata-kata Zhang Xuan tersebut. Keningnya berkerut dan dia berkata, "Saya akan memperakui kamu sebagai guru saya sekarang juga! Mari kita mengesahkan hubungan kita!"

"Perangai kamu terlalu teruk. Sungguhpun kamu ingin bergurukan saya, saya tidak ingin menerima kamu!" Sekali lagi Zhang Xuan cuba untuk mengusirnya.

Seorang guru pastinya menginginkan anak murid yang taat seperti Wang Ying sebelum ini. Tetapi, anak murid yang ini boleh diibaratkan seperti serbuk letupan. Biarpun kekurangan anak murid, dia tidak rela untuk menerimanya.

"Kamu…"

Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Zhang Xuan akan menolak permintaannya untuk menjadi anak murid beliau. Zhao Ya dapat merasakan api kemarahan semakin marak di dalam dirinya.

Dia datang dengan tujuan untuk membongkarkan penipuan lelaki ini. Jika dia beredar dengan penuh kemarahan sekarang, bukankah dia akan terjerumus ke dalam perangkapnya?

Mungkin lelaki ini sengaja untuk menghalaunya supaya penipuannya tidak dapat dibongkarkan.

Dia berkeras untuk tidak membenarkan lelaki ini menang!

"Hmph, kalau begitu saya mengaku ini adalah salah saya. Selepas saya membongkarkan rahsia kamu, saya akan pastikan kamu dihukum!"

Dengan berfikir sebegitu, Zhao Ya berjaya mengekang kemarahan di dalam hatinya. Dia tersenyum, menunjukkan giginya yang putih bersih. "Guru, janganlah marah. Benar, saya ini kurang ajar! Saya ikhlas ingin menjadi anak murid guru, saya merayu supaya guru menerima saya!"

"Beginilah baru betul!" Melihatkan perubahan perangainya, Zhang Xuan menganggukkan kepala. "Saya boleh menerima kamu sebagai anak murid. Tapi sebelum itu, saya hendak kamu membersihkan bilik darjah ini. Saya tidak ingin melihat walau setompok debu sekalipun. Tolong bersihkan tandas di luar juga. Sental mangkuk tandas sehingga bersih. Saya akan memeriksanya kemudian. Jika saya berpuas hati dengan hasil kerja kamu, saya akan menerima kamu sebagai anak murid!"

"Jangan melampau!"

Zhao Ya hampir sahaja mengamuk.

Dia adalah anak perempuan kepada Datuk Bandar, anak perempuan seorang yang mulia. Sejak kecil, dia tidak pernah melakukan sebarang kerja rumah, tetapi lelaki ini mahukan dia menyapu bilik darjah? Malahan...membersihkan tandas? Menyental mangkuk tandas?

Adakah lelaki ini gila?

"Jika tugas semudah ini pun tidak dapat kamu lakukan, kamu boleh pergi sekarang. Saya tidak memerlukan murid yang malas dan tidak berguna!" Kata Zhang Xuan.

Hehe, gadis kecil. Kamu nak bermain-main dengan saya? Kamu masih terlalu mentah!

"Siapa kata saya tidak berguna! Saya akan membersihkan sekarang juga, saya akan sental sekarang!" Zhao Ya mengetap giginya sekali lagi. Dia mengambil penyapu dan mop lalu mula membersihkan bilik darjah tersebut.

"Zhao Ya, apa kata kita lupakan sahaja…"

"Saya fikir dia bukanlah hebat sangat. Dia cuma hendak menyusahkan kamu sahaja…"

Dua orang kawan yang mengekorinya menjadi cemas apabila melihat anak perempuan kepada Datuk Bandar membersihkan bilik darjah. Mereka segera cuba untuk memujuknya supaya berhenti melakukan perkara itu.

"Kamu berdua tunggu di luar dahulu. Sejak kecil, saya, Zhao Ya, tidak pernah kalah. Hari ni, saya akan berjuang bermati-matian menentang dia!" Zhao Ya mengerutkan dahi.

"Itu…"

Kedua orang kawannya sangat mengerti akan sifat panas baran Zhao Ya. Memandangkan dia tidak dapat dipujuk, mereka hanya mampu melihat satu sama lain, tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Setelah merenung antara satu sama lain buat beberapa ketika, salah seorang daripada mereka mencadangkan sebuah jalan penyelesaian.

Untuk seseorang yang mempunyai pangkat seperti Zhao Ya, sungguhpun tidak terdapat sebarang bahaya dalam perjalanan ke akademi, tetap akan ada seorang yang ditugaskan untuk mengiringinya. Orang tersebut adalah Pelayan Yao. Pada waktu ini, dia sepatutnya berada di persekitaran akademi.

"Beritahu Pelayan Yao, dia telah datang sekali kan? Jika dia dapat tahu bahawa guru yang mendapat kosong markah dalam Peperiksaan Kelayakan Guru telah mengarahkan puan muda untuk menyental mangkuk tandas, dia pasti akan menghalangnya!"

"Baik, mari kita mencarinya sekarang juga!"

Tanpa berlengah lagi, mereka berdua berlari keluar daripada akademi.

Untuk Zhao Ya yang degil dan panas baran seperti kebanyakan anak perempuan yang berasal dari keluarga kaya, sungguhpun dia tidak pernah melakukan kerja rumah sebelum ini, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri. Dengan cepatnya, bilik tersebut telahpun bersih. Malah, tandas di luar turut bersinar-sinar.

"Boleh tahan!" Zhang Xuan mengangguk kepalanya tanda puas.

"Kamu seharusnya puas hati sekarang. Kamu boleh menerima saya sebagai anak murid dan memberi tunjuk ajar tentang pertapaan saya sekarang, betul?"

Setelah menyelesaikan tugasnya, Zhao Ya mengetap giginya sekali lagi. Wajahnya yang persis batu jed menjadi berkerut-kerut kerana menahan keinginan untuk menumbuk lelaki di depannya ini.

"Baik, ini token pengenalan kamu!"

Tanpa mempedulikan renungan penuh kemarahan daripada gadis tersebut, dengan selamba Zhang Xuan melempar sebuah token jed kepadanya.

Menarik nafas panjang, Zhao Ya menitiskan setitik darah ke atasnya, mengesahkan hubungan mereka.

Dia telahpun hampir menyempurnakan objektifnya iaitu membongkar wajah sebenar lelaki yang cukup dibenci ini. Zhao Ya mengekang rasa girang di dalam hatinya dan bertanya.

"Guru Zhang, memandangkan saya telahpun menjadi anak murid kamu, bolehkah kamu memberikan saya satu ataupun dua tunjuk ajar?"

"Tunjukkan dulu teknik pertarungan kamu, supaya dapat saya mengukur kemampuan asas kamu!" Arah Zhang Xuan.

"Baik!"

Tanpa berlengah, Zhao Ya merapatkan kedua belah tangannya dan tunduk sebelum menunjukkan kebolehannya.

Huhuhuhu!

Angin kencang berhembus. Tumbukannya penuh dengan tenaga. Sungguhpun dia dan Wang Ying adalah sama-sama wanita, pukulan Zhao Ya adalah lebih pantas dan kuat. Dengan sekilas pandang, jelas ternyata yang dia telah berusaha keras untuk melatih dirinya.

Sementara memerhatikan Zhao Ya menunjukkan kebolehannya, minda Zhang Xuan berada di Perpustakaan Jalan Syurga. Seperti yang dijangka, dengan sedikit gegaran, sebuah buku jatuh dari rak.

Dua patah perkataan, "Zhao Ya", tertulis di muka hadapannya.

"Zhao Ya, anak perempuan Datuk Bandar, Bandar Baiyu. Pejuang berpangkat 1-dan Puncak Alam Juxi!.

"Teknik Pertapaan: Kemahiran Perawan Suci Jed Putih!"

...

Kelemahan: 27 kekurangan. Nombor 1, personalitinya terburu-buru dan mudah naik marah. Ini bertentangan dengan sifat Kemahiran Jed Putih yang berasaskan ketenangan dan kehalusan, maka dia tidak mampu untuk menunjukkan kekuatan penuh. Nombor 2…"

Buku ini sama dengan apa yang dilihat sebelumnya. Ia merekodkan kesemua kekurangan dan kecacatan dalam pertapaan Zhao Ya.

Peng! Peng! Peng!

Setelah beberapa ketika, Zhao Ya telahpun menyelesaikan keseluruhan rutin tumbukan. Menggenggam tangannya yang lembut, dia berpaling dan mengenakan satu tumbukan terhadap tiang batu yang digunakan untuk mengukur kekuatan pukulan seseorang di dalam bilik darjah tersebut!

Bunyi yang garing kedengaran. Beberapa angka muncul di permukaannya.

110!

"Boleh tahan, boleh tahan!" Zhang Xuan mengangguk.

Dia sudahpun mempunyai kekuatan sebegini sebelum datang ke akademi, nampaknya memang benarlah dia adalah anak perempuan kepada Datuk Bandar, mempunyai kekuatan luar biasa.

"Baiklah, berikan saya tunjuk ajar!"

Setelah menunjukkan kemahirannya, wajah Zhao Ya tidak sedikitpun kemerah-merahan mahupun dia tercungap-cungap. Dia berpaling dan melihat Zhang Xuan.

avataravatar
Next chapter