7 Kau Pernah Putus Cinta.

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa salah saya?"

Menyedari betapa marahnya lelaki tersebut, Zhang Xuan tergamam.

Nampaknya salah faham ini sudah di luar kawalan!

Tetapi, dia mengerti bagaimanakah salah faham ini boleh terjadi. Dia langsung tidak memberikan sedikitpun bimbingan dari segi pertapaan, tetapi dia masih berjaya membuatkan puan muda mereka memperakui dia sebagai guru, malahan wajah gadis tersebut menjadi kemerah-merahan menahan malu sewaktu membicarakan perkara tersebut. Tambahan pula, Kristal Rakaman juga telah dihancurkan. Jelas ternyata itu adalah sebuah tindakan memusnahkan bukti...

Kesemua perkara ini menunjukkan terdapat sesuatu yang tidak kena dengan keadaan sekarang.

Zhang Xuan serta merta dianggap sebagai lelaki miang, seorang yang gila seks, guru yang tidak tahu malu dan sebagainya.

"Pakcik Yao, apa yang pakcik fikirkan? Jika pakcik terus bersikap begini, saya tak akan mempedulikan pakcik lagi!"

Melihatkan kemarahan Yao Han dan mendengarkan kata-katanya, mengapakah gadis ini masih tidak mengetahui apa yang berlegar di fikiran Yao Han itu? Wajahnya muram setelah mengeluarkan kata-kata tersebut.

Dia hanyalah seorang gadis muda. Khabar angin sebegini pastinya akan mencemarkan reputasinya.

"Puan muda…"

Setelah Zhao Ya masuk campur, Yao Han hanya mampu menarik balik auranya.

"Sudahlah, ikut saya untuk mendapatkan tilam dan peralatan tidur. Jangan buang masa di sini, pelajaran saya akan bermula esok." Zhao Ya mendengus dan melangkah keluar dari bilik darjah tersebut.

Dia tidak rela membicarakan tentang kesakitan yang dialaminya. Jika dia bercerita kepada Yao Han, dia pastinya akan memaksa supaya Zhao Ya membongkarkan setiap satu perkara sehingga dia benar-benar mengerti. Tidak mungkin gadis tersebut mampu berbuat demikian di bawah keadaan ini.

Memandangkan dia tidak mampu untuk memikirkan alasan lain, dia hanya boleh berkata yang dia telah pun memperakui Zhang Xuan sebagai gurunya.

"Hmph!"

Melihatkan puan mudanya melangkah keluar, Yao Han merenung Zhang Xuan dengan dingin sambil matanya meliar. Dia terfikir untuk melakukan sesuatu. Tetapi akhirnya, dia hanya melibaskan lengannya dan melangkah keluar juga.

Pada saat ini, niat untuk membunuh lelaki muda tersebut berlegar-legar di mindanya. Jika bukan kerana akademi dan jika bukan kerana puan muda telah menghalangnya, sudah lama dia berbuat demikian.

"Siapa pulalah yang tidak puas hati dengan saya sekarang ini…"

Zhang Xuan berasa teramat pelik melihatkan pandangan dingin Yao Han.

Saya hanya menerima seorang anak murid, kamu tidak perlu berkelakuan sebegini...

Kemarahannya itu seolah-olah mengatakan bahawa saya adalah seorang penjenayah yang tidak boleh diampunkan, punca semua kejahatan di dunia ini. Masalahnya...saya tidak berbuat apa-apa kesalahan pun!

"Lupakan sahaja, masih banyak masa yang tinggal hari ini. Mari kita lihat jika saya boleh mendapatkan beberapa orang anak murid lagi! Lebih ramai anak murid, lebih banyak sumber pelajaran yang bakal saya terima!"

Terdapat pangkat yang berbeza-beza di kalangan guru-guru Akademi Hongtian. Setiap tahun, penilaian terhadap setiap guru akan diadakan, dan keputusannya adalah tergantung kepada keadaan anak murid mereka. Lebih ramai anak murid yang mereka ada, kepantasan kemajuan anak murid, keputusan yang dicapai anak murid mereka di dalam pertandingan… Seorang guru bergantung kepada semua faktor ini jika mereka ingin dinaikkan pangkat.

Lebih tinggi pangkat mereka, lebih banyaklah sumber pelajaran yang akan diperoleh. Sudah tentulah, sumber pelajaran yang diterima seorang murid akan bertambah juga.

Inilah maksudnya apabila dikatakan 'guru dan anak murid maju bersama-sama.'

Buat waktu ini, dia hanya berjaya mendapatkan tiga anak murid. Dia mungkin berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai guru, tetapi jika dibicarakan tentang pencapaian, dia masih berada di tempat terakhir dalam seluruh akademi!

Jika dia ingin maju, satu-satunya cara adalah dengan mendapatkan lebih banyak murid.

............

"Zhang Yang, janganlah sedih sangat! Guru Wang Chao adalah satu-satunya guru yang telah menolak kamu, kamu tak perlu kecewa!"

Dua orang anak muda sedang berjalan di kaki lima akademi. Anak muda di depan kelihatan sedang memujuk yang berjalan di belakangnya.

"Mo Xiao, kamu telah pun diterima, sudah tentulah kamu tidak berasa apa-apa dengan berkata sedemikian. Cubalah kamu merasakan sendiri perasaan ditolak!" Wajah Zhang Yang berkerut, sedikit pun tidak gembira mendengar pujukan rakannya itu.

"Jangan berkata sedemikian. Masih terdapat ramai guru yang bagus di seluruh akademi, kamu tidak perlu memilih Guru Wang Chao pun!"

Anak muda di bahagian depan menggaru kepalanya dengan rasa malu.

"Saya tidak perlu memilih dia? Senanglah kamu cakap. Sejak kecil, kita telahpun berlatih seni lembing, dan lembing telahpun menjadi sebahagian daripada tubuh kita. Kita tidak mampu untuk berpisah dengan lembing buat seumur hidup. Guru terbaik dalam seni bela diri lembing di Akademi Hongtian adalah Guru Wang Chao. Sekarang, kamu sudahpun diterima olehnya manakala saya ditolak, macam mana saya tidak kecewa?"

Zheng Yang dipenuhi kemarahan.

Dalam Akademi Hongtian, setiap guru mempunyai kepakaran masing-masing. Ada antaranya yang merupakan pakar dalam seni tumbukan, ada pakar dalam seni pedang… Guru Wang Chao pula terkenal dengan kebolehannya mengajar seni bela diri berasaskan lembing. Dia dianggap sebagai antara guru terbaik di seluruh akademi.

Mereka berdua telah menjalani peperiksaan dengan harapan untuk menjadi anak muridnya bersama-sama. Malangnya, seorang daripada mereka telalh lulus manakala seorang lagi pula gagal. Sudah pastilah murid yang gagal tersebut bermuram durja.

Tidak pasti bagaimana hendak menyelesaikan situasi yang tidak menyenangkan ini, Mo Xiao tiba-tiba terlihat sebuah bilik darjah tidak jauh dari tempat mereka berdiri dan menunjuk ke arahnya.

"Hmm, ada bilik darjah di situ. Apa kata kita cuba lihat!"

"Saya tak nak masuk…" Zheng Yang menggelengkan kepalanya.

"Marilah kita cuba tengok. Bagaimana jika guru ini juga cukup mahir dalam mengajar seni lembing?" Mo Xiao cuba untuk memujuk lagi. "Apa-apapun, kamu tidak rugi apa-apa hanya dengan melawatnya!"

"Baiklah!" Sungguhpun dia tidak rela, Zheng Yang tetap mengekori Mo Xiao memasuki bilik darjah tersebut.

Orang yang berada di dalam bilik darjah tersebut tidak lain tidak bukan adalah Zhang Xuan. Dia baru sahaja hendak keluar mencari anak murid baru apabila dua orang anak muda tersebut melangkah masuk.

"Selamat bertemu, guru!" Mo Xiao tunduk hormat.

"Ya!" Mata Zhang Xuan terbeliak sedikit. "Adakah kamu ke mari untuk mencari seorang guru?"

"Betul, ini adalah adik saya. Dia sangat kuat dan hebat, lebih-lebih lagi dalam seni lembing. Di kalangan generasi muda, tidak ramai yang mampu bersaing dengannya. Saya harap guru boleh membimbing dia!" Kata Mo Xiao dengan pantas.

"Mo Xiao..." Zheng Yang menarik lengan baju abangnya.

"Apa dia?" Mo Xiao bertanya dengan nada keliru

"Cuba lihat di sekeliling kita…"

Zheng Yang berkerut.

Bilik darjah tersebut teramat sempit, ia dianggarkan hanya mampu memuatkan 10 orang anak murid sahaja. Sememangnya ia adalah kelas yang kecil.

Saiz bilik darjah melambangkan keupayaan seorang guru. Guru yang berkedudukan paling tinggi mempunyai bilik darjah sebesar sebuah padang, membolehkan lebih dari seratus orang anak murid untuk dilatih dan dipupuk pada masa yang sama. Jika dibandingkan, saiz bilik darjah ini hanyalah seperti tapak tangan. Besar kemungkinan bahawa guru kelas ini hanyalah seorang yang biasa-biasa sahaja.

"Memang agak kecil…" Mo Xiao sedar akan saiz bilik darjah tersebut dan hatinya berdegup kuat.

Pada asalnya, dia hanya berniat untuk menenangkan emosi adiknya. Tetapi, dia sampai ke tempat sebegini pula. Jika kebolehan guru ini hanyalah sekadar biasa-biasa sahaja, bukan sahaja emosi adiknya tidak akan pulih, malah akan menjadi bertambah teruk.

Tidak menyedari akan perbualan rahsia antara dua orang anak muda tersebut, dengan tenangnya Zhang Xuan berkata,

"Tunjukkan kebolehan kamu dalam menggunakan lembing!"

Melihatkan keraguan pada wajah Zheng Yang, Mo Xiao cuba memujuknya. "Memandangkan kita sudahpun berada di sini, izinkan sahajalah guru ini membimbing kamu, kita tidak akan rugi apapun. Jika kebolehan mengajarnya teruk, kita boleh beredar dan memilih untuk tidak memperakui dia sebagai guru!"

"Baiklah!" Angguk Zheng Yang.

Murid-murid juga mempunyai hak untuk meneliti kemahiran seorang guru sewaktu proses pemilihan, tetapi kebiasaannya ini tidak diperlukan apabila melibatkan guru yang teramat popular dan sering menjadi sasaran utama para pelajar.

Setelah memikirkannya, Zheng Yang serta-merta menghunuskan lembing yang tergantung di belakangnya dan mencantumkan bahagian-bahagian lembing tersebut.

Weng!

Apabila lembing panjang tersebut digenggam, ekspresi wajah Zheng Yang segera berubah. Ianya seakan-akan bahagian tajam sebilah senjata yang mengerikan.

Sou sou sou sou!

Lembing panjang tersebut ditikam ke hadapan dan gelombang bunyi yang kuat terhasil. Keseluruhan bilik darjah tersebut bergema dengan bunyi koyakan dan angin kencang memenuhi seluruh pelusuknya.

Pakar senjata dapat dikenali dari saat mereka menunjukkan jurus pertama lagi. Sungguhpun Zheng Yang tidaklah dianggap sekuat mana, tetapi kemahirannya menggunakan lembing agak hebat juga!

Hu!

Mata lembingnya bergegar dan menghentak tiang batu yang tidak jauh dari situ. Tiang tersebut bergema dan angka pun mula terhasil.

"110!"

Kekuatannya melebihi seratus kilogram!

Kuasa pemusnahan yang terhasil itu tidak akan mampu ditahan oleh Pejuang Alam Juxi berpangkat 1-dan sekalipun!

"Tok guru, tolong berikan saya tunjuk ajar!"

Dengan lembingnya didirikan tegak di sebelahnya, Zheng Yang berdiri dengan megah tanpa sebarang rasa gugup mahupun penat, sambil dia merenung Zhang Xuan tanpa perasaan.

Berdasarkan saiz bilik darjah tersebut, dia sebenarnya tidak meletakkan harapan tinggi pada guru ini. Dia berfikir bahawa kebolehannya pasti biasa-biasa sahaja.

Seakan-akan membuktikan tanggapannya, guru tersebut mengecilkan pandangan matanya sendiri. Sukar untuk diteka apakah yang sedang difikirkannya. Perlahan-lahan dia membuka mata setelah mendengar kata-kata Zheng Yang tersebut. Dia memandang ke arah murid itu dengan senyuman di bibir.

"Adakah kamu terluka dari segi emosi? Maksudnya… kau putus cinta sebelum ini?"

avataravatar
Next chapter