819 Yu, Kamu Tak Dibenarkan Mati

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Telefon bimbitnya terus berdering seakan membuainya. Yu Lili semakin hilang kesedarannya dan matanya sudah sukar untuk dibuka.

"Yu Lili, Yu!" Ou Ming terus menjerit dengan mata kemerahan. Setelah merasakan tiada guna untuk terus memukul pintu itu, dia beralih ke pintu rumah 402. "Buka pintu ini! Kalau dia seorang diri di dalam, dia pasti dalam bahaya!"

Teman wanita saya ada di dalam, cepatlah buka pintu!

Walau bagaimanapun, isteri tuan rumah itu tidak mengendahkannya. Wanita itu memerhatikan Ou Ming dari sebalik tingkapnya seperti melihat orang gila. Ou Ming berasa tertekan dan buntu.

Apa patut saya lakukan? Apa patut saya lakukan?

Yu Lili mempunyai satu tabiat iaitu dia mesti ada wang tunai di dalam dompetnya atau sekurang-kurangnya wang di dalam akaun banknya. Tidak kira berapa banyak yang dibelanjakannya, dia akan meninggalkan baki. Tetapi hari ini Yu Lili mengeluarkan semua wang yang ada… Tambahan lagi, Yu Lili jarang mengambil swafoto atau memuat naik gambar di akaun WeChatnya, tetapi hari ini dia memuat naik gambar wajahnya yang tersenyum gembira. Semua perkara ini sangat pelik dan kini Yu Lili berada di dalam rumahnya seorang diri. Pasti dia sedang bersedia untuk melakukan perkara yang buruk.

Ou Ming tidak berani membayangkan atau memikirkan perkara yang mungkin dilakukan Yu Lili sekarang.

Xue memanjat pagar yang memisahkan rumah mereka. Dia dapat mendengar bunyi nada dering klasik Iphone yang jelas. Sebaik mengintai melalui tingkap ke dalam rumah Yu Lili, dia melihat sepasang kaki yang putih dan mulus yang dicemburuinya di hujung sebuah sofa.

Xue mengetuk tingkap itu dan memanggil, "Yu!"

Walau bagaimanapun, dia tidak menerima sebarang tindak balas. Tingkap itu terkunci dan Yu Lili yang berada di dalam tidak menyahut panggilannya. Xue terus mengetuk tingkap itu dan memanggil nama Yu Lili berkali-kali sebelum akhirnya berputus asa dan kembali ke rumahnya.

"Mak, saya rasa Yu pengsan di atas sofa. Telefonnya asyik berdering tapi dia langsung tak bergerak."

Ou Ming dapat mendengar kata-kata Xue dari luar. Matanya semakin merah dan dia menjerit, "Pasti ada perkara buruk sedang berlaku! Buka pintu ini!"

Isteri tuan rumah itu juga dapat merasakan sesuatu yang buruk telah berlaku dan mencari kunci rumah Yu Lili. Dia bergegas ke pintu 403, namun terpaksa memeriksa satu-persatu gugusan kunci yang dipegangnya untuk mencari yang betul.

Ou Ming yang sudah tidak dapat bersabar mengambil gugusan kunci itu, membeleknya dan segera menemui kunci rumah 403. Namun selepas membuka pintu pertama, dia mendapati terdapat sebuah lagi pintu di dalamnya.

Ou Ming hampir menjadi gila dan segera mencari kunci pintu kedua. Tetapi sebaik sahaja pintu itu berjaya dibuka, mereka dapat menghidu bau gas yang amat kuat. Isteri tuan rumah terkejut dan berundur sambil memandang ke dalam rumah Yu Lili dengan wajah tidak percaya. Namun Ou Ming terus berlari masuk ke dalam dan ternampak Yu Lili yang terbaring di atas sofa.

Wajah Yu Lili merah seakan terbakar. Malah bibir dan tubuhnya mempunyai warna merah yang luar biasa.

Ou Ming melangkah dengan tubuh yang menggeletar dan air mata terus bergenang di tubir matanya. Hatinya seakan direntap, hampir hancur berkecai dan amat pedih. Penyesalan yang tidak terungkap menyelubungi dirinya dan membuatkan dadanya terasa amat sesak.

Ou Ming berada dalam keadaan panik dan tidak tahu bagaimana mahu bertindak. Selepas akhirnya mengangkat tubuh Yu Lili, dia segera berlari keluar dengan nafas yang kencang dan membawa Yu Lili turun. Yu Lili diletakkan di dalam kereta sebelum Ou Ming terus memandu dengan laju.

"Yu, kamu tak dibenarkan untuk mati!"

avataravatar
Next chapter