webnovel

Tuduhan Membuta-Tuli

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Dah tentu. Biar saya tengok dulu." Su Qianci cepat-cepat menamatkan panggilan itu lalu membuka Weibo dan melihat bahagian topik terhangat. Topik-topik teratas berkaitan dengan pelakon-pelakon filem. Di bawah sedikit, Su Qianci melihat gambarnya terpampang bersama satu hantaran Weibo. Tajuk hantaran itu amat menonjol: "Kebahagiaan Atau Mementingkan Diri? CEO Wanita Menerima Lamaran Kekasih Yang Menggilainya Kemudian Kembali Ke Sisi Suaminya".

Su Qianci merasakan dirinya hampir muntah darah sebaik membaca tajuk itu. Tajuk jenis apa ini? Kekasih yang menggilainya? Lu Yihan? Okey, memang lelaki itu agak tergila-gilakannya. Walau bagaimanapun, ketika itu dia sebenarnya bukan menerima lamaran Lu Yihan, tetapi bersetuju dengan pertaruhan yang dicadangkan oleh lelaki itu. Waktu mereka sepatutnya bertemu tempoh hari, Lu Yihan telah pun meninggalkan nota: 'Kamu dah menang'. Selepas itu, dia tidak pernah melihat Lu Yihan lagi.

Bekas suami? Hanya yang sudah bercerai boleh dipanggil bekas suami, bukan?

Su Qianci merasakan dadanya sesak dan membaca hantaran itu: [Presiden LS @SuQianci menerima lamaran Presiden Qianle @LuYihan, tetapi setelah bekas suaminya muncul, Su Qianci memungkiri janjinya. Hari ini dia membawa tiga orang anaknya ke Pantai Kingstown bersama bekas suaminya. Memiliki seorang lelaki simpanan dan seorang bekas suami, bahagia betul hidup wanita ini!]

"Bodoh…" Su Qianci berasa amat marah sehingga hampir menghempaskan telefon bimbitnya.

Bagaimana mereka boleh membuat tuduhan membuta-tuli sebegitu? Malah khabar angin itu menerima ratusan ribu tanda suka dan beratus-ratus komen? Ya Tuhan! Apa semua ini?!

Gambar pertama yang diletakkan bersama hantaran itu ialah tangkap layar hantaran Weibo Su Qianci beberapa hari lalu. Gambar sebentuk cincin berlian di jarinya dan separuh wajah Lu Yihan bersama tulisan 'Doakan saya [emoji senyum]'. Gambar kedua ialah tangkap layar hantaran Lu Yihan. Hantaran itu dimuat naik pada waktu yang hampir sama seperti hantaran Su Qianci, tetapi ini ialah kali pertama Su Qianci melihatnya.

[Lu Yihan]: Hari ini tinggi saya mencapai 10 kaki! [emoji ketawa][emoji ketawa]

Gambar yang diletakkan pada hantaran itu ialah gambar satu meja kristal yang panjang dan cantik. Di atas meja itu terhidang makanan yang bertutup dan lilin yang cantik. Terdapat juga satu kotak cincin dan sejambak bunga ros tanpa sesiapa di meja itu. Ia jelas diambil sebelum Su Qianci tiba. Hantaran itu tidak mempunyai banyak tanda suka atau komen, malah kurang daripada 10 peratus berbanding tanda suka dan komen pada hantaran Su Qianci.

Di bawah pula terdapat tujuh lagi gambar yang kesemuanya diambil sewaktu mereka sekeluarga berada di pantai hari ini. Wajahnya dan Li Sicheng serta anak-anak mereka langsung tidak dikaburkan sebelum dimuat naik secara umum di situ. Su Qianci berasa amat berang sehingga tubuhnya menggeletar. Dia membaca komen dan mendapati banyak komen yang menuduhnya:

[Anjingbujang+111]: Aku dah cakap si presiden wanita ini tak begitu baik. Sekarang dah jelas dia perempuan jalang talam dua muka [emoji ketawa]

[Raja jatuh cinta kepadaku 8]: Hebat Su Qianci, kamu berjaya menguruskan syarikat dan juga dua lelaki.

[Isteri Lu Yihan]: Kasihan Lu saya. Dia buta kerana cintakan perempuan ini [emoji menangis]

Pada masa yang sama, terdapat ramai juga netizen yang menyebelahinya:

[Su saya yang rendah diri]: Saya berjaya mengesan seseorang yang tidak bijak dan sedang mencari perhatian [emoji muntah]

[Tiada wang]: Otak penulis blog ini rosakkah? Bekas suami kepala hotak kau! Bila pula Li Sicheng ceraikan SuSu? [emoji ketawa] Kau mengada-adakan cerita. Lu yang jadi orang ketiga, okey? [emoji ketawa] Dia dah lama tergilakan SuSu. Kau nak salah SuSu sebab terlalu menarik? Cinta hati dia hilang selama empat tahun tetapi dia tetap setia. Sekarang Li Sicheng dah kembali dengan baik, kau rasa siapa dia akan pilih? Kau mesti sakit otak!

[Qianqian 520]: [Gambar] Mari sini, ini gambar kebenaran [emoji ketawa]

Gambar itu ialah tangkap layar satu artikel berita: "Sungguh Menyedihkan! Presiden LS, Su Qianci Menjerit Memanggil Nama Suaminya Di Taman Tema".

Next chapter