846 Mereka Tak Boleh Dilahirkan, Kerana…

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Yu Lili mengambil gincu dan mencalitnya pada tangan, kemudian mengambil maskara sambil bertanya, "Apa yang kamu mahu cakap?"

"Saya ada dengar sedikit tentang kamu. Ou Ming ada perasaan yang sangat mendalam kepada kamu. Jika bukan kerana hal penting, dia tak akan pernah cari saya. Kamu patut jangan susahkan hati dia. Berbincang dengan dia dan semuanya pasti dapat diselesaikan."

Selesai memakai maskara, Yu Lili memandang Su Qianci sambil tersenyum penuh makna dan bertanya, "Kamu ingat saya sengaja susahkan hati dia?"

Su Qianci terkejut dan bertanya, "Bukankah?" Walaupun Ou Ming kelihatan sedikit tidak bermoral, namun lelaki itu bukan seseorang yang akan menyusahkan orang lain tanpa sebab.

Melihat riak wajah bingung Su Qianci, Yu Lili menarik nafas dan berkata, "Qianqian, saya dan Ou Ming dah putuskan hubungan kami empat tahun lalu. Sekarang dia benci saya dan mahu membalas dendam. Kamu tahu apa yang saya lakukan empat tahun lalu?"

"Apa?" tanya Su Qianci tanpa dapat menahan dirinya.

Yu Lili memandang Su Qianci dan memegang tangannya sendiri sebelum berkata, "Saya gugurkan anak dia."

Su Qianci pernah mendengar sedikit cerita tentang perkara itu. Dia memandang Yu Lili dengan pandangan serius dan bertanya, "Kenapa? Pasti ada sebab. Lili, saya bukan baru kenal kamu satu hari. Kalau kamu gugurkan kandungan itu, pasti ada sebabnya. Betul kan? Ceritalah kepada saya."

Tangan Yu Lili bergetar. Nafasnya tiba-tiba menderu laju dan matanya bertukar kemerahan.

Kalau kamu gugurkan kandungan itu, pasti ada sebabnya. Betul kan?

Ia ayat yang ringkas, tetapi seakan menarik keluar segala kesedihan yang tersimpan jauh di lubuk hati Yu Lili selama ini.

Satu-satunya orang yang bertanya soalan ini kepada saya ialah Su Qianci. Sebaliknya Ou Ming hanya berterusan membenci saya dengan kejam. Malah memalukan dan menghina saya. Lelaki itu tidak pernah bertanya saya soalan ini. Dia hanya sepenuhnya percaya kepada sebab yang saya beritahu pada empat tahun lalu.

Su Qianci dapat melihat dengan jelas perubahan emosi Yu Lili dan semakin tekad lalu bertanya, "Beritahu saya, Lili, apa sebabnya? Ada apa-apa masalah dengan kandungan kamu?"

Mata Yu Lili menjadi hangat dan air matanya terus menuruni pipi. Dia mula teresak-esak dan memeluk Su Qianci. Su Qianci terkejut dengan tangisan yang tiba-tiba itu dan melihat Yu Lili sudah menangis dengan penuh hiba.

Su Qianci menepuk-nepuk belakang sahabatnya itu dengan lembut dan turut berasa sedih. "Jangan menangis, nanti solekan kamu comot."

Yu Lili juga mahu berhenti menangis, tetapi tidak mampu melakukannya di dalam pelukan Su Qianci. Segala kekecewaan dan kesedihan yang dipendam jauh di lubuk hatinya seakan melimpah keluar dan tidak mampu dikawal. Yu Lili tidak mahu menahan dirinya lagi dan terus menangis dengan kuat. Selepas beberapa minit barulah dia sedikit tenang. Dia keluar dari pelukan Su Qianci dan berkata, "Qianqian, mereka anak pertama saya. Kamu tahu… mereka pasangan kembar, tapi… saya gugurkan mereka dengan ubat."

Kembar!

Mendengar perkataan itu, Su Qianci turut merasakan hatinya seakan dirobek.

"Sewaktu doktor beritahu kandungan saya kembar, saya hampir membunuh diri," kata Yu Lili dan hampir menangis kembali. Nafasnya terasa sesak. Dia menarik nafas dengan dalam sebelum menyambung, "Ou Ming… sangat menginginkan anak kembar. Tapi mereka tak boleh dilahirkan, kerana…"

Ketika itu juga, kedengaran bunyi tapak kasut kulit dari luar bilik.

avataravatar
Next chapter