webnovel

Isteri?

Sebaik mendengar jawapan Li Sicheng, lutut lelaki-lelaki sasa itu terus menjadi lemah. Jurulatih Jin menelan air liurnya dan tergesa-gesa menekan butang untuk menutup pintu lif. Melihat reaksi mereka yang pelik, Li Sicheng berasa ada sesuatu yang tidak kena dan mengerutkan dahinya. Tiba-tiba, dia mendengar satu bunyi yang kuat dan suara seorang wanita.

"Tolong..." Suara lemah Su Qianci kedengaran di telinganya.

Itu suara dia! Li Sicheng berjalan menuju suara itu, dan berasa sangat bingung.

Su Qianci berasa lega apabila menyedari keadaan sekelilingnya sudah menjadi tenang. Mereka benar-benar telah pergi. Namun, dia masih berasa sakit yang teramat. Kesakitan di bahagian bawah perutnya itu terasa tidak tertanggung lagi. Dia mengangkat tangannya dengan bersusah payah dan cuba mengambil telefon dari poketnya, tetapi gagal. Telefonnya terjatuh di atas lantai di sisi tubuhnya yang terbaring, tetapi dia tidak mampu mencapainya. Skrin telefon itu menyala. Dalam samar-samar, dia dapat melihat nama Lu Yihan pada skrin itu.

"Qianqian?" suara Lu Yihan kedengaran bimbang, "Jangan risau, saya sudah telefon polis. Mereka akan..." Su Qianci tidak lagi mampu mendengar apa yang dikatakan Lu Yihan. 'Adakah saya akan mati? Sakitnya…'

Li Sicheng menendang pintu bilik yoga itu sehingga terbuka dan terkejut melihat Su Qianci yang terbaring di atas tumpahan darah yang banyak. Hanya cebisan kecil bajunya yang telah koyak masih menutupi tubuhnya, dan sebahagian besar kulitnya terdedah. Tanpa berfikir panjang, Li Sicheng berlari untuk memeriksa keadaan isterinya itu.

"Su Qianci?"

Su Qianci sangat pucat sehingga wajahnya menjadi seputih kapas. Nafasnya sangat kencang dan dia dibasahi peluh. Matanya tertutup rapat, tetapi bulu matanya bergerak-gerak perlahan.

Wajah Li Sicheng yang kebiasaannya dingin berubah cemas melihat keadaan Su Qianci.

"Su Qianci, bangun!" Li Sicheng mendudukkan Su Qianci dan menepuk pipinya.

Su Qianci menangis, bibirnya menggeletar dan tangannya masih memegang bahagian perut yang sakit. Air mata mengalir di pipinya dan membuatkan Li Sicheng berasa hiba.

Su Qianci terasa dirinya hampir pengsan menahan kesakitan yang teramat. Tiba-tiba dia mendengar sesuatu dan merasakan dirinya dipegang seseorang. Dia cuba sedaya-upaya membuka matanya dan melihat seorang lelaki yang dikenali.

"Li Sicheng..." suaranya kedengaran lemah.

"Jangan risau. Aku akan terus bawa kau ke hospital." Suara lelaki itu dingin seperti biasa. Tetapi Su Qianci dapat mendengar ketakutan dalam suaranya itu… atau mungkin hanya ilusi? Apa yang lelaki itu takutkan? Takut saya akan mati? Su Qianci berasa takjub dengan apa yang difikirkannya itu, dan berasa sakit hati sebaik menyedari tidak mungkin ia benar.

Pernahkah Li Sicheng takut kepada sesuatu? Tidak, tidak pernah.

Itulah sikapnya dalam kehidupan yang lalu, jadi sudah tentu, tiada apa yang berubah dalam kehidupan sekarang ini. Su Qianci teringin melihat kelemahan lelaki itu jika ada. Tetapi dia sedar dirinya mungkin sedang menuju kematian...

Next chapter