webnovel

Menghalau Shen Manting

Editor: EndlessFantasy Translation

Pengawal keselamatan itu mengerutkan dahi dan bertanya, "Siapa orang yang kamu maksudkan?"

"Ou Ming."

Ou Ming ialah nama yang paling terkenal di kejiranan itu. Sudah tentulah pengawal keselamatan itu pernah mendengar namanya, namun dia tidak pernah melihat Shen Manting.

Pengawal keselamatan itu teragak-agak seketika. Dia mengeluarkan walkie- talkie dan memanggil rakan sekerjanya. "Pak Li, tolong periksa jika penghuni tingkat 28 dah balik atau belum. Cik Shen datang untuk jumpa dia."

Sementara itu, Yu Lili keluar dari lif dan membuka pintu menggunakan kata laluan. Kedengaran loceng berbunyi tidak henti dari dalam rumah. Ia panggilan dari pagar. Yu Lili menekan satu butang dan wajah pengawal keselamatan muncul pada skrin.

"Maafkan saya. Seorang wanita bernama Shen datang untuk jumpa kamu." 

Shen?

Yu Lili mendengus sinis kerana dia dan Ou Ming baru sahaja bercakap tentangnya. Pantas betul perempuan ini datang kepadanya.

Adakah Shen masih memerhatikan saya?

Walau bagaimanapun, Yu Lili berpura-pura tidak mengenalinya dan berkata, "Shen? Saya tak kenal sesiapa bernama Shen. Mungkin dia salah orang?"

Mendengar kata-kata Yu Lili, pengawal keselamatan itu memandang Shen Manting dengan pelik lalu berkata, "Cik Shen cakap dia tunang Encik Ou."

"Dia pasti bergurau! Jika semua perempuan yang mengaku sebagai tunang Ou Ming berkata benar, Ou Ming pasti sangat sibuk." Yu Lili berpura-pura agak marah dan acuh tidak acuh. "Jangan hubungi saya lagi jika kamu berhadapan situasi begini. Biarkan sahaja. Saya pergi dulu," katanya sambil menguap.

Selepas mengatakannya, Yu Lili terus menamatkan panggilan. Dia berasa amat puas hati terhadap dirinya sendiri. Hatinya amat teruja sehingga dia melompat-lompat keriangan sambil berjalan ke bilik sebelah.

Dia menyambung tablet grafik terpakai yang dibelinya semalam ke komputer Ou Ming.

Yu Lili membuka photoshop dan mula melukis. Dahulu, dia selalu melukis watak-watak di dalam drama atau permainan. Sekarang dia berasa amat teruja kerana mempunyai sebab untuk mencipta wataknya sendiri. Dia membayangkan lukisannya dijual, penerbit membeli hak cipta daripadanya dan dia mendapat banyak dan menjadi terkenal dengan lukisannya.Hatinya berasa amat gembira! 

...

Pada masa yang sama, mood Shen Manting sangat tidak baik.

Selepas dihalau oleh pengawal keselamatan itu, dia berasa amat berang.

Shen Manting terus menelefon Ou Ming sebaik masuk ke dalam keretanya. Namun bukan Ou Ming yang menjawab panggilannya, sebaliknya pembantu Ou Ming iaitu Xu Cheng.

Xu Cheng berkata dengan nada hormat, "Selamat tengah hari, Cik Shen."

Shen Manting berasa jengkel dan menjerit, "Mana Ou Ming?"

"Encik Ou sedang sibuk sekarang. Dia sedang berbincang tentang kontrak dengan klien dari luar negara. Pelaburan luar negara sedang berada di tahap kritikal. Jika Cik Shen tiada apa-apa yang tidak penting, tolong jangan ganggu Encik Ou." Xu Cheng mengatakannya dengan nada yang biasa, tetapi perkara yang mahu disampaikannya amat jelas.

Mendengar kata-kata Xu Cheng, Shen Manting membentak marah, "Macam ini kah caranya kamu bercakap dengan bakal isteri bos kamu?"

Xu Cheng ketawa di dalam hati, tetapi mengekalkan tona suaranya, "Cik Shen, Encik Ou benar-benar sedang sibuk sekarang. Kalau Cik tak percaya, saya boleh hantar video."

Shen Manting bertambah jengkel. Dia berkata dengan sinis, "Okey, hantar video kepada saya!"

Xu Cheng memutuskan talian lalu menghantar satu video kepada Shen Manting. Video itu menunjukkan keadaan di dalam pejabat Ou Ming. Shen Manting melihat Ou Ming sedang berbual dengan seorang orang asing dan mereka kelihatan sedang dalam perbincangan yang serius.