webnovel

Jangan Ajar Perkara Bukan-Bukan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Su Qianci memandang sekeliling. Nasib baiklah anak-anak mereka sedang bermain di luar rumah dan orang-orang tua mereka tiada di situ. Dia menyiku Li Sicheng dan berkata dengan nada tidak senang, "Biar kamu kebuluran saja. Makanlah sendiri."

"Kejamnya," keluh Li Sicheng. "Saya nak makan daging."

Su Qianci berpura-pura tidak mendengar apa-apa. Tetapi Li Sicheng masih tidak bergerak lalu dia menolak suaminya itu. "Pergilah."

"Saya sangat lapar sehingga tiada tenaga."

"Jangan kacau saya." Su Qianci menolak suaminya itu, kemudian mengambil sepotong daging dan menghulurkannya.

Li Sicheng tersenyum nakal lalu membuka mulutnya dan mengigit daging itu. "Sedapnya."

Su Qianci membuat riak wajah marah, tetapi bibirnya mengukir senyuman.

"Mama Papa, dah habis makan? Kita kena pergi ke Ocean Park!" Li Jianyue berlari masuk ke dalam rumah dan ternampak ibunya sedang menyuapkan ayahnya, lalu matanya terbeliak. "Papa budak kecilkah? Kenapa Mama suap Papa?"

Wajah Su Qianci mula kemerahan, tetapi belum sempat dia berkata apa-apa, Li Sicheng segera memintas, "Mama sayang Papa, jadi dia kena suap Papa."

Wajah Su Qianci bertambah merah dan dia menjeling tajam suaminya. "Jangan ajar dia perkara yang bukan-bukan."

"Tapi betullah," kata Li Sicheng dengan tenang. "Saya nak ikan."

"Makanlah sendiri!"

"Saya tak dapat capai sebab jauh sangat."

Su Qianci bangun dan mengambil pinggan itu lalu meletakkannya di hadapan Li Sicheng. "Makan sendiri!"

Li Jianyue yang masih belum faham bertanya, "Kenapa Mama perlu suap Papa sebab Mama sayang Papa? Saya pun sayang Papa. Mari saya suap Papa!"

Pasangan itu ketawa dan Li Sicheng berkata, "Ersu, pergi main dengan abang-abang kamu. Mama dan Papa akan bawa kamu keluar lepas kami kenyang."

"Oh!" Li Jianyue menggoyangkan gaun puteri yang dipakainya dan berjalan ke luar kembali sambil tersenyum lebar.

Li Jianqian dan Li Mosen sedang bermain catur di halaman rumah. Mereka melempar dada dan mengira petak. 

Li Jianyue muncul dari dalam dan menjerit, "Abang, Abang, bila giliran saya?"

Li Jianqian berkata tanpa mendongak, "Mosen dah gerakkan untuk kamu."

"Oh." Li Jianyue duduk di kerusi kecil. Wajahnya kelihatan merah jambu dan comel. "Dah sampai giliran saya?"

"Ya, giliran kamu." Li Mosen menghulurkan dadu kepada Li Jianyue. "Lemparlah."

Li Jianyue melempar dadu itu dan bersorak apabila mendapat 6. Jarak sehingga penamat ialah 5 langkah, jadi dia berundur selangkah.

Kemudian dia melempar dadu itu sekali lagi dan mendapat 1.

"Wah, saya menang, saya menang!!" Li Jianyue melompat turun dari kerusinya dengan gembira. Kemudian dia berlari ke dalam rumah dan menjerit, "Mama, Mama, saya menang, saya menang!"

Namun ibu dan ayahnya tiada di ruang tamu.

Ketika Li Jianyue mencari-cari mereka, tiba-tiba kedengaran suara ayahnya, "Ersu, suruh seseorang bawa kereta ke pintu!"

Gadis kecil itu segera berlari keluar dan memanggil, "Pak Cik, cepat bawa kereta ke pintu!" Kemudian dia berpaling ke belakang dan melihat ayahnya sedang membawa moyangnya.

Li Jianyue melihat perkara itu dengan terkebil-kebil sebelum menjerit, "Tok Ayah!"

Walau bagaimanapun, mata lelaki tua itu tertutup dan tangan tuanya terkulai layu ke bawah. Dia tidak membuka matanya walaupun setelah dipanggil cucu kesayangannya.

Su Qianci hampir menangis ketakutan. Li Jianyue berlari ke arah ibunya dan bertanya, "Mama, kenapa dengan Tok Ayah?"

"Tok Ayah akan baik-baik saja," kata Su Qianci lalu mendukung anak perempuannya itu. Kemudian dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi Li Xiao. Sebaik sahaja panggilan itu dijawab, Su Qianci berkata sambil menangis, "Ayah, balik cepat. Atuk pengsan."

Next chapter