webnovel

Dunia Gila

Editor: EndlessFantasy Translation

Li Sicheng berasa seolah-olah hati dan matanya tertusuk pedang melihat darah Su Qianci yang tidak henti mengalir. Dia hanya terfikir satu kemungkinan: keguguran. Jantungnya berdegup kencang. Dia menutup tubuh Su Qianci dengan jaketnya lalu mengangkat isterinya itu. Serentak itu, dia ternampak telefon bimbit Su Qianci di atas lantai dan membaca nama yang terpapar pada skrin telefon itu.

Lu Yihan…

Pada saat paling terdesak dan tidak berdaya dalam hidupnya, orang yang dia hubungi dengan serta merta ialah Lu Yihan... Li Sicheng mengambil telefon itu lalu bergegas turun sambil mengangkat Su Qianci. Fikirannya terasa kosong. Dia tidak mahu memikirkannya… tentang mengapa dia menelefon Lu Yihan dan bukan suaminya, tentang mengapa pil Plan B itu tidak berkesan... Hatinya seolah-olah diseksa oleh satu perasaan yang dia sendiri tidak dapat fahami. Dadanya terasa sesak.

Sebaik sampai ke bawah, dia melihat dua kereta polis berada di hadapan pintu dengan lelaki-lelaki yang ditemuinya tadi berada di dalamnya. Namun, ada seseorang yang hilang. Ketua mereka tidak ada di situ.

Ambulans telah tiba. Fikiran Li Sicheng melayang dan dia sendiri tidak sedar bila dia masuk ke dalam ambulans dan sampai di hospital. Hanya kata-kata doktor yang masuk ke dalam fikirannya, "Janin itu berusia kurang dari satu bulan. Pesakit mengalami pendarahan terlalu banyak dan sangat berisiko jika mahu menyelamatkan bayinya. Apa hubungan kamu dengan pesakit?"

"Saya… suaminya."

"Baik, tanda tangan di sini dan bayar bil. Kita tidak ada banyak masa."

Li Sicheng akur. Selesai menandatangani kertas itu, dia bertanya, "Dia sudah ambil pil elak hamil, jadi kenapa…"

"Pil elak hamil?" Suara doktor itu kedengaran marah. "Itu cara paling tidak selamat untuk mengelak kehamilan. Adakah kamu boleh mati jika guna kondom? Ya Tuhan!"

Melihat Li Sicheng masih kebingungan, dia menempelak, "Kenapa kamu masih tercegat di sini? Cepat!"

Li Sicheng mengangguk dengan fikiran yang masih bercelaru dan bergegas pergi untuk membayar bil.

Ketika itu, Cheng You, pembantu peribadi Li Sicheng baru sahaja tiba setelah bergegas datang sebaik mendengar berita itu. Dia terkejut dan berasa sedikit malu melihat situasi di hadapan matanya. 'Ya Tuhanku, adakah ini CEO yang saya kenal? Dia ditengking oleh doktor tetapi langsung tidak marah?' fikirnya di dalam hati.

Dunia ini memang gila.

Cheng You berasa simpati melihat keadaan bosnya yang berlumuran darah. Dia mengambil bil dari tangan Li Sicheng dan berkata, "Tuan Li, biar saya yang pergi."

Ketika Lu Yihan sampai di hospital, dia melihat Li Sicheng sedang duduk di hadapan bilik kecemasan.

"Encik Li."

Sebaik mendengar suara Lu Yihan, Li Sicheng memandang ke arahnya dengan renungan tajam. Lu Yihan kelihatan sangat bimbang apabila melihat darah yang banyak pada tangan dan pakaian Li Sicheng. "Qianqian..."

"Dia ada di dalam," suara Li Sicheng dingin.

"Saya sudah tangkap penjahat-penjahat itu. Tapi ada seorang sempat melarikan diri. Mereka kata dia dalang di sebalik semua ini."

Mata Li Sicheng tiba-tiba membesar ketika dia bertanya, "Mana mereka?" Bangsat-bangsat itu hampir meragut nyawa Su Qianci!

Lu Yihan berasa gementar mendengar nada suara lelaki itu. "Di balai polis."

Sebelum Li Sicheng sempat berkata apa-apa, pintu bilik kecemasan itu terbuka. "Pembedahan telah berjaya. Siapa ahli keluarga dia?"

Lu Yihan mahu menjawab, tetapi Li Sicheng lebih pantas. Dia segera bangun dan berkata, "Saya suaminya."

Doktor itu mengeluh dan berkata, "Janin itu gagal diselamatkan. Tolong beri perhatian kepada emosi pesakit. Saya rasa dia belum tahu dirinya hamil. Seboleh mungkin, cuba untuk tidak beritahu dia."