15 Selepas Kegembiraan, Datangnya Kesedihan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Masa berlalu, detik demi detik.

Shi Feng dan Si Hitam bukannya goyang kaki sahaja. Mereka sedang membunuh Gnome Mengembara Tahap 4 di sebuah tempat tidak jauh dari Lombong Bintang Merah.

[Gnome Mengembara] (Biasa)

Tahap 4

HP 400

Berbanding Kobold, Gnome Mengembara jauh lebih tangkas. Mereka sangat pandai mengelak. Akan tetapi, Serangan dan Perlindungan mereka bukanlah hebat mana.

Lebih-lebih lagi, Lembah Bulan belum lagi dimajukan. Makhluk-makhluk di sini lebih ramai, dan tiada pemain lain di sini untuk bersaing; tidak perlu bersusah-payah mencari makhluk untuk dibunuh.

Shi Feng kini merupakan Pemain Pedang Tahap 3, manakala Si Hitam merupakan Dukun Tahap 2. Setelah mengaktifkan Cepat dan Lincah, pisau Gnome Mengembara tiada peluang untuk menyentuh Shi Feng langsung. Si Hitam pula mempunyai daya kerosakan yang lebih menakutkan setelah meminum Bir Besi Hitam. Dengan Shi Feng menjerut Gnome dari depan, dan Si Hitam mendatangkan kuasa merosak dari belakang,tugas membunuh Gnome menjadi sangat mudah. Keberkesanan mereka lebih tinggi berbanding ketika melawan Kobold sebelum ini.

Di hadapan Lombong Bintang Merah, kumpulan-kumpulan Kobold berlegar kaku di pintu masuk lombong. Syiling-syiling Tembaga dan pelbagai jenis bijih berselerak atas lantai.

"Abang Harimau, tempat ini terlalu hebat. Belum sampai setengah jam, kita semua sudah sampai Tahap 2. Banyak pula duit kita dapat.

"Hahaha, teruskan usaha semua. Kamu bertiga, umpan makhluk lagi. Selagi kita terus dengan strategi ini, kita bakal sampai Tahap 3 dalam masa hanya tiga hingga empat jam."

Harimau Berapi mengarahkan tiga Pembunuh Hendap yang baru datang dengan penuh bersemangat. Para ahli sihir sudah pun sampai Tahap 2, jadi mereka mampu membunuh Kobold jauh lebih cepat dari sebelumnya. Mengumpan sekumpulan lebih tiga puluh Kobold tidak mencukupi untuk mereka.

"Abang Harimau, ada sesuatu jatuh di sana." Seorang Berserker menjerit sambil memegang sebuah buku.

"Bawa ke mari, bagi aku tengok." Harimau Berapi berkata sambil tersenyum. Dia menjilat bibir keringnya setiap kali dia melihat sesuatu barang tercicir.

Setelah Harimau Berapi mengambil buku tersebut, dia tiba-tiba ketawa terbahak-bahak.

"Hebat, sangat hebat! Bukan sahaja tempat yang budak tu jumpa lepas usahanya yang berat telah aku pegang, tapi kalau dia tahu sebuah buku Kemahiran Luar Biasa untuk Pemain Pedang sampai ke tangan aku? Aku betul-betul nak tengok muka menyesal budak tu."

"Abang Harimau, saya ternampak budak tu bila saya datang sini. Tadi mereka masih membunuh Gnome Mengembara berdekatan. Saya ingat diorang tak nak tinggalkan tempat ni, asyik fikir sini je. Apa kata kita pergi bunuh mereka? Usah pening kepala." Sinaran dingin memancar daripada mata Serigala Senyap. Kedua-dua matanya penuh dengan niat membunuh. Dia dikuasai dendam setelah dibunuh dua kali oleh Shi Feng.

Harimau Berapi melambaikan tangannya sambil tersenyum hina dan berkata," Biarlah mereka tengok. Tengok betapa lajunya kita naik pangkat dan mengumpul wang, dan tengok kita menjadi raja-raja Bandar Daun Merah. Sementara itu, mereka hanya boleh tengok dari tepi dengan hati mereka penuh kekesalan. Hahaha, sejuk hati aku memikirnya."

Walaupun Serigala Senyap masih menyimpan dendam terhadap mereka, apabila menggambarkan air muka menyesal Shi Feng dan keletihannya ketika melawan Gnome Mengembara, hati Serigala Senyap dilanda ombak keseronokan.

"Kau tunggu. Bila aku sudah sampai Tahap 6, kau pasti mati." Serigala Senyap tidak pernah melepaskan hajatnya untuk membunuh Shi Feng. Malah, apabila dia menggambarkan kegembiraan dalam hatinya selepas membunuh Shi Feng pada Tahap 6, dia tidak sabar menunggu detik tersebut.

Sementara itu, dalam hutan yang terletak 60-ela Selatan dari Lombong Bintang Merah, Shi Feng menggunakan sebatang pokok untuk bersembunyi sambil memerhati Harimau Berapi dan lain-lain.

"Abang Feng, kita berdua boleh hadap ke?" tanya Si Hitam dengan nada yang risau.

Kesemua 11 orang ini bukannya pemain-pemain biasa. Mereka merupakan pakar-pakar yang telah lulus dalam peperiksaan Persatuan Bayang-Bayang. Lebih-lebih lagi, terdapat dua perawat dalam kumpulan mereka. Mustahil untuk hanya dua orang membunuh mereka semua.

"Bertenang. Masanya kian hampir. Kita tonton saja persembahannya." Shi Feng melihat jam, sambil berkata acuh tak acuh, "Lepas ni, kau berdiri kat belakang. Bunuh sesiapa yang rendah HP; jangan bagi siapa pun lari."

"Masa kian hampir?" Si Hitam tidak faham.

Shi Feng menunjuk ke arah awan asap di hadapan pintu masuk Lombong Bintang Merah, dan berkata sambil tersenyum," Harimau Berapi mesti ingat nak bunuh makhluk bertahap lebih tinggi mudah. Bom Asap yang kita letak sebelum kita beredar ada had masa, hanya dua minit tinggal sebelum genap satu jam. Ingat diorang boleh terus bersuka-ria di tempat aku lepas mereka curi dari aku? Sekarang, aku ajar mereka jadi manusia yang beradab."

Baru Si Hitam sedar. Sanjungannya terhadap Shi Feng semakin meningkat.

"Abang Feng masih yang paling bijak. Budak-budak manja dari Bayang-Bayang pasti tumpas kali ini." Si Hitam kata sambil tersengih.

Punca mereka dapat melepasi tahap dan membunuh Kobold dengan selamat adalah Bom Asap. Tentu mereka buntu tanpanya. Jika tiada Bom Asap, akibatnya amat padah.

Dua minit kemudian, awan asap di hadapan Lombong Bintang Merah lesap dengan perlahan-lahan.

"Abang Harimau, kenapa awan asap itu hilang?" seorang Elementalist bertanya kepada Harimau Berapi setelah menyedari awan asap yang kini menghilang.

"Awan asap hilang? Tak mungkin." Harimau Berapi terkejut dari tidurnya dengan tiba-tiba. Apabila dia menoleh ke arah pintu masuk lombong, awan asap tersebut ternyata sudah hilang. "Kalau hilang, baguslah. Mungkin awan asap tu sekejap sahaja. Usah fikir benda itu, teruskan membunuh."

Sebaik sahaja Harimau Berapi selesai berkata, Kobold-Kobold yang biasanya bebal dan tidak bertindak balas tiba-tiba mengalihkan pandangan ke arah ahli-ahli Persatuan Bayang-Bayang dengan serentak.

Lebih empat puluh Kobold bermata merah. Mereka menderam marah setelah akhirnya menyedari orang-orang yang menyerang mereka. Tiba-tiba, mereka semua menerkam.

Ahli-ahli Bayang-Bayang tidak bertindak langsung. Dalam sekelip mata, mereka telah dikepung dan dibantai teruk oleh Kobold. Seorang pemain Tahap 2 tidak mampu menahan 3 das pukulan daripada seekor Kobold, apatah lagi sekumpulan Kobold.

Tujuh pemain mati dalam sekelip mata. Pemain-pemain barisan belakang mati akal dan lari menyelamatkan diri masing-masing.

Walau bagaimanapun, para Kobold sangat pantas. Sekejap sahaja mereka telah mengejar ahli-ahli sihir yang cuba melarikan diri. Setiap satu ahli sihir dihadiahkan pukulan tukul pada kepala. Mereka terlantar di lantai, dan tidak bergerak lagi.

"Sial, apa ni? Macam mana Kobold ni tiba-tiba jadi gila?" Harimau Berapi mencarut. Dia terus membelakangi mereka dan melarikan diri sebaik sahaja situasi menjadi gelap.

Mereka telah naik ke Tahap 2 setelah usaha yang berat. Walaupun begitu, kematian ini menyebabkan mereka semua jatuh ke Tahap 1 semula. Ada juga tiga Pembunuh Hendap bertahap 0. Mereka kalah teruk. Dengan penurunan sebegitu, impian menjadi raja-raja Bandar Daun Merah juga pudar. Sebaliknya, ahli-ahli Bayang-Bayang kini tidak setanding dengan pemain biasa-biasa pun. Mereka kini lebih jauh daripada Kesatuan-Kesatuan yang lain.

Hati Harimau Berapi berdarah kesakitan.

"Jumpa lagi, 'Abang Hartawan,'" kata Shi Feng sambil tersenyum acuh tak acuh. Dia menghalang jalan keluar Harimau Berapi.

"Kau pasti mati, budak. Berani kau rancang melawan aku. Kalau aku gagal bunuh kau sampai kau jatuh balik ke Tahap 0, nama aku pasti terbalik." Bulu-bulu roma Harimau Berapi meremang kemarahan. Dia mengangkat pelindungnya dan menghayunkannya ke arah Shi Feng.

Berbanding ahli lain Bayang-Bayang, kemahiran Harimau Berapi jelasnya satu tahap lebih tinggi.

Dengan sebelah tangan, dia menggunakan pelindungnya untuk menghalang penglihatan, manakala lagi sebelah menikam pedang pendeknya terhadap titik kelemahan Shi Feng. Mudah, tetapi jahat, dan sangat sukar untuk dihentikan.

Akan tetapi, pukulan yakin Harimau Berapi hanya terkena angin.

"Mana dia?" Harimau Berapi memasang pandangannya ke hadapan. Tetapi, bayang-bayangnya pun tidak tertangkap.

"Sinilah." Shi Feng berdiri di belakang Harimau Berapi pedangnya menghayun ke bawah.

Chop!

Kerosakan -36 muncul di atas kepala Harimau Berapi. HP-nya terus menjunam daripada 220 ke 184.

Apabila Harimau Berapi ditetak, dia terus berpusing dan menggunakan [Pukulan Pelindung].

Akan tetapi, Shi Feng sudah lama membaca pergerakan Harimau Berapi. Dia mengambil selangkah ke belakang dan memusing badannya, berselindung di sisi pelindung itu. Kemudian Shi Feng kembali membelakangi Harimau Berapi semula, menetaknya lagi sekali.

Tanpa menggunakan apa-apa kemahiran, Shi Feng hanya mampu mengeluarkan 23 kerosakan ke Pahlawan Pelindung yang mempunyai ketahanan yang tinggi.

"Pengecut! Jangan sembunyi kalau kau tak cukup pandai. Bila-bila aku boleh bunuh kau!" Harimau Berapi tidak berjaya mengenakan sebarang pukulan pada Shi Feng yang tangkas. HP-nya semakin menurun, dan hanya 83 mata masih ada kini. Dia tidak mampu membalas serangan Shi Feng, jadi dia cuba mengejeknya dengan niat menghasutnya, supaya mendapat peluang membunuh Shi Feng.

"Baiklah, aku berdiri sahaja di sini. Mari serang aku." Shi Feng tidak teragak-agak.

Harimau Berapi senyum senyap-senyap. Dia tidak menyangka Shi Feng begitu bodoh, memakan umpan dengan hanya sedikit sahaja tekanan.

"Tengok macam mana aku main-main dengan kau sampai kau mati." Harimau Berapi mengangkat pelindungnya dan menggunakan [Serangan Ganas]. Jika Shi Feng gagal mengelak, dia hanya mampu menyerap kuasa penuh serangan tersebut. Dari segi Kekuatan Harimau Berapi tidak mungkin kalah dengan Shi Feng.

Akan tetapi, hanya kekecewaan menunggunya.

Sebaik sahaja Harimau Berapi sampai 2-ela dari Shi Feng, Shi Feng terus mengeluarkan Panahan Kilat.

Tiga coretan kilat meluru melepasi pelindung Harimau Berapi, tepat-tepat terkena pada badannya. Tiga kerosakan tinggi muncul di atas kepalanya, -28, -35, -41, dan HP-nya menjunam ke 0.

"Kau… Keji!" Harimau Berapi menjegil ke arah Shi Feng. Tahap berangnya hingga meludah keluar darah. Jika dia tidak meluru ke arah Shi Feng sendiri, dia tidak akan terkena setiap serangan kemahiran tersebut.

"Adakah awak dalam keadaab baik, Abang Hartawan? Saya cakap tadi saya akan berdiri di sini tanpa mengelak, tapi saya tak pernah kata saya takkan gerakkan tangan saya. Tak sangka awak begitu mudah tertipu, sampai boleh serang saya seorang-seorang." Shi Feng mendepakan tangannya, menyedari silapnya, dan berkata, "Oh, ya. Saya harus berterima kasih kepada Abang Hartawan kerana memberi saya begitu banyak bijih. Awak telah menjimatkan masa saya."

Harimau Berapi menuding ke arah Shi Feng, dan cuba berkata. Akan tetapi, badannya sudah pun bertukar menjadi cahaya bintang dan lenyap. Sepatah pun dia tidak sempat berucap, dan dia hanya meninggalkan selonggok bijih dan sebuah buku.

avataravatar
Next chapter