webnovel

Langit sudah gelap dan cahaya bulan menyinari seluruh Kubur Bulan Gelap.

Berbeza dengan Mod Biasa Kubur Bulan Gelap, di sini terdapat kabus yang tebal menyelubungi kawasan lapang. Bukan sahaja menganggu penglihatan semua pemain, bahkan ia juga membawa satu aura pembunuhan yang tiada penghujung. Seperti keadaan di medan peperangan; perasaan yang tertekan dan menakutkan mengalir ke seluruh kawasan lapang, lalu membuatkan badan seseorang untuk berasa rimas.

"Jadi inilah rupa bentuk Mod Neraka Kubur Bulan Gelap?" Salji Lembut terus menyelidik kawasan sekitar, lalu tersenyum acuh tak acuh.

Dia mendapati yang kabus di sini seakan-akan bernyawa dan dia merasakan seperti dia sedang diperhatikan dari jauh. Tambahan pula, di sini terdapat banyak mata-mata merah menyala, terapung-apung di udara, berkemungkinan besar mata-mata merah berdarah Kobold-Kobold.

Bilangan raksasa yang wujud di sini juga jauh melebihi Mod Biasa. Ditambah lagi dengan kabus tebal yang mengehadkan penglihatan seseorang, menambahkan lagi kesukaran pertempuran di sini.

"Ye Feng, apa yang kamu cuba lakukan di sini? Kenapa kamu bawa kami ke Mod Neraka?" Zhao Yueru memandang Shi Feng, cuba menyiasat niat sebenar Shi Feng.

Selepas berhadapan dengan keganasan Mod Biasa, orang bodoh pun tahu bagaimana keadaan Mod Neraka ini. Di sini bukanlah tempat untuk manusia datang. Ketika ini, mereka langsung tidak berupaya meneroka Mod Biasa, jadi melangkahkan kaki ke dalam Mod Neraka hanya menempah maut sahaja.

Salji Lembut turut tertanya-tanya mengapa Shi Feng berbuat demikian. Melihat pada kelakuan Shi Feng, dia bukannya manusia terencat akal.

Sedangkan kumpulan Shi Feng sendiri berasa curiga. Mereka sudah bersetuju untuk masuk ke dalam Dungeon Mod Biasa, namun, mengapa pula mereka masuk ke dalam Mod Neraka?

"Saya ketua pasukan sekarang. Kata-kata saya muktamad. Disebabkan saya sudah memilih Mod Neraka, sudah tentu saya mempunyai sebab tersendiri. Kamu semua boleh meninggalkan pasukan ini kalau tidak setuju dengan perbuatan saya ini, saya tidak akan halang," Shi Feng berkata sambil tersenyum.

Semua perbuatan ada akibatnya.

Sebelum ini, dia hanya mampu mengikut kata-kata Zhao Yueru kerana dia tidak boleh mendedahkan niat sebenarnya. Sekarang ini mereka sudah masuk ke dalam kawasannya, sudah tentu, dia tidak akan tunduk kepada sesiapa lagi.

"Kau... Kau pembuli!" mata Zhao Yueru membulat seperti kacang badam ketika dia merenung Shi Feng, dua puncak berkembarnya bergegar dengan kuat. Dia menghentak tanah di bawah kakinya, tidak mampu mencari kata-kata untuk dibalas. Dia mengetap giginya, lalu memalingkan kepalanya pergi dan tidak lagi memandang Shi Feng.

Perbalahan ini sebenarnya sengaja diundang semata-mata untuk menyangkal kata-katanya sebelum ini dan digunakan untuk membuat dia marah, kerana langsung tidak berbudi bahasa. Apabila semua sudah berakhir, dia pasti akan menghormati Shi Feng.

Pada mulanya, Si Hitam ingin meleraikan mereka berdua. Namun, selepas melihat Zhao Yueru yang mula terdiam seribu bahasa, dia senyap-senyap mengangkat ibu jarinya kepada Shi Feng.

_Seperti yang dijangkakan! Abang Feng berani mencabar gadis jelita itu depan-depan!_

Jika dia berada di tempat Shi Feng, dia tidak berani berbuat demikian.

"Ye Feng, adakah kamu yakin boleh menguasai Mod Neraka? Kamu patut tahu, walaupun kepayahan di sini hanya dibezakan sebanyak 2 tahap pada dasarnya, hakikatnya Mod ini sepuluh kali ganda lebih susah. Keperluan peralatan, kerjasama dan kepimpinan turut bertambah beberapa tahap. Saya tidak mahu ahli pasukan saya mati sia-sia." Salji Lembut berkata dengan lembut.

Walaupun denda kematian di dalam Dungeon Pasukan lebih kecil berbanding denda kematian dalam Dungeon Kumpulan, mereka masih akan kehilangan 5% pengalaman. Lagipun, Mod Neraka sangat berbeza dengan mod-mod yang lain. Kehilangan pengalaman dalam Mod Neraka selepas satu kali mati sebanyak 10%. Tanpa kadar kejayaan sebanyak 70% ke atas, kebanyakan pemain tidak sanggup meneroka Dungeon Mod Neraka.

"Tiada masalah. Namun, kita masih perlu berusaha sebelum tahu hasilnya." Shi Feng masih lagi tidak menunjukkan niat sebenarnya. Berdasarkan komposisi dan peralatan kumpulannya, Shi Feng sangat yakin untuk menakluk Kubur Bulan Gelap Mod Neraka. Jika tidak, dia tidak akan memilih Mod Neraka sejak dari mula lagi.

Dalam kehidupan Shi Feng yang lepas, selepas berhadapan dengan banyak penghapusan seluruh kumpulan dan ditambah lagi dengan pengalamannya, dia menemui beberapa cara untuk melepasi Kubur Bulan Gelap Mod Neraka. Jika dia membiarkan Salji Lembut terkapai-kapai maju ke hadapan, siapa tahu berapa lama dia perlu tunggu atau berapa banyak penghapusan seluruh kumpulan yang perlu mereka lalui sebelum mereka berjaya melepasi Dungeon ini.

Melihat kelakuan Shi Feng yang tenang itu, selepas berfikir seketika, Salji Lembut bertekad untuk menyokong keputusan Shi Feng. Inilah peluangnya yang terbaik untuk memerhatikan sejauh mana kebolehan Shi Feng. Jika dia menunjukkan prestasi yang baik, sangat bertuah untuk mengajaknya masuk ke dalam Tentera Pembunuh-Tuhan.

Salji Lembut mengangguk. Pada waktu ini, walaupun ahli yang lain masih ragu-ragu, mereka tiada pilihan lain selain mengikut arahan yang Shi Feng berikan. Namun, bukan disebabkan mereka percayakan Shi Feng, sebaliknya mereka percaya dengan keputusan Salji Lembut.

Selepas itu, Shi Feng mula membahagikan tugas. Secara keseluruhan, susunan yang dibuatnya menyamai susunan Salji Lembut. Cuma bezanya, dia meletakkan tiga Elementalis dalam Pasukan Belati dan memansuhkan Pasukan Pemerhati untuk meletakkan ahli-ahli asal pasukan itu ke dalam Pasukan Pertahanan, yakni untuk mempertahankan penyembuh.

"Selepas masuk ke dalam kawasan kabus, kedua-dua MT aktifkan kemahiran keselamatan nyawa dan ikut aku tanpa henti. Namun, siap sedia untuk mengelak sebarang serangan. Semua orang di belakang kena ikut dan ingat, tidak kira apa yang terjadi, jangan hentikan langkah. Penyembuh hanya perlu menggunakan kemahiran jampian-pantas untuk menyembuhkan kedua-dua MT sahaja. Yang lain perlu menggunakan ubat penyembuhan kamu sendiri," Shi Feng menerangkan. "Sekiranya kamu semua sudah faham, semua orang gunakan Skrol Kelajuan sekarang."

Semua orang mula sangsi apabila mendengar arahan Shi Feng itu. Apa yang dia cuba lakukan, menyuruh mereka bunuh diri? Malah dia turut memerintahkan mereka menggunakan Skrol Kelajuan. Adakah dia mahu kita mati awal?

Tambahan pula, mereka mampu memperoleh keuntungan yang banyak dengan hanya masuk ke dalam Dungeon ini sahaja. Jumlah mereka semua sebanyak dua puluh orang, ini bermakna mereka akan menghabiskan dua puluh Skrol Kelajuan serentak. Berapa banyak kerugian yang akan mereka alami?

"Baiklah, semua orang gunakan Skrol Kelajuan kamu," apabila terlihat perasaan berat hati ahli-ahli pasukan yang lain, Salji Lembut terpaksa menyokong arahan tersebut.

Semua orang nampak tidak berdaya. Skrol Kelajuan sangat mahal dan setiap daripada mereka hanya ada dua. Namun, sebelum sempat mereka membunuh mana-mana raksasa, mereka sudah perlu menggunakan salah satu daripadanya.

Walau bagaimanapun, arahan itu tidak mengejutkan kumpulan Shi Feng. Skrol Kelajuan sudah lama menjadi barang wajib untuk mereka memburu raksasa, jadi mereka sudah menyediakan enam atau tujuh setiap seorang.

Selepas semua orang menggunakan Skrol Kelajuan, mereka terus mengikut Shi Feng pergi ke pintu masuk kawasan pagar sesat.

"Ikut rapat-rapat. Jangan sampai kamu tertinggal di belakang," Shi Feng mengingatkan mereka menerusi ruangan perbualan pasukan.

Mendengar kata-kata Shi Feng tersebut, semua orang menjadi gementar. Jika mereka tertinggal jauh ke belakang, tidak perlu dikatakan lagi, mereka sudah tentu mati.

"Lari!" Selepas melihat ahli-ahli pasukannya sudah pun bersedia, Shi Feng mengaktifkan gelarannya, Kekuatan Seribu Orang, meningkatkan Atribut mereka dengan sangat banyak. Dengan itu, kelajuan mereka turut meningkat.

Sebelum mereka dikejutkan dengan peningkatan Atribut mereka, Shi Feng sudah pun hilang ke hadapan. Setiap seorang daripada mereka penat mengejarnya, yang jauh menghilang ke dalam kawasan kabus.

Di dalamnya, kabus yang tebal itu mengehadkan penglihatan semua orang dengan sangat teruk. Mereka bersusah-payah hanya untuk berjalan sejauh 5 ela sahaja.

Selepas berlari untuk satu masa yang lama, Shi Feng tiba-tiba berkata, "MT, gunakan kemahiran keselamatan nyawa. Penyembuh, sedia untuk menyembuh."

Mendengar arahan daripada Shi Feng, kedua-dua MT itu mula mengaktifkan kemahiran penyelamat nyawa. Penyembuh turut menggunakan kemahiran penyembuhannya pada kedua-dua MT tersebut.

Selepas itu, satu sinaran hitam mula memancar keluar daripada kabus. Sinaran itu menembusi kedua-dua MT mereka, menyebabkan kemusnahan yang sangat menggerunkan. Nasib baik, penyembuh berterusan menyembuhkan nyawa mereka untuk mengisi semula nyawa yang dikurangkan tadi. Tambahan pula, kedua-dua MT tersebut mempunyai kelajuan pergerakan yang pantas, mengurangkan peluang untuk sinaran hitam itu terkena mereka.

Dengan kedua-dua MT itu menadah penuh kemusnahan, ahli pasukan yang lain di belakang tidak perlu bimbang.

Dengan cara itu, semua orang berlari ke arah Shi Feng selama sepuluh minit, berpusing-pusing dan mengelak sepanjang masa. Dalam pada itu, mereka menggunakan lagi satu Skrol Kelajuan. Jika penyembuh kekurangan Mana, mereka akan minum Posyen Penambah Mana. Situasi tersebut merisaukan ahli-ahli kumpulan Ouroboros. Bagaimana situasi ini dikatakan serbuan Dungeon? Mereka hanya melakukan pembaziran!

Tambahan pula, mereka sudah perasan yang banyak raksasa mula menghampiri mereka. Raksasa-raksasa tersebut mula mengaum dan sebaik sahaja mereka menghentikan langkah, raksasa tersebut akan membunuh mereka.

Nasib baik, tempat ini berliku-liku seperti pagar sesat. Banyak laluan untuk mereka lalu. Lebih-lebih lagi, laluan ini sangat sempit, yang bermakna hanya satu raksasa sahaja boleh lalu pada satu masa. Akibatnya, raksasa tersebut sukar untuk mengejar mereka.

"Belok ke kiri di hadapan dan masuk ke dalam laluan kecil. Selepas semua sudah masuk, MT perlu halang pintu masuk laluan tersebut dan gunakan kemahiran keselamatan nyawa. Penyembuh, terus menyembuh mereka. Si Hitam siap sedia menggunakan Api Neraka. Apabila MT tidak lagi mampu bertahan, tiga orang Elementalis perlu menggunakan Bintang Beku untuk menahan kemaraan raksasa. Sekiranya MT mati, semua pemain jarak dekat perlu tampil ke hadapan dan halang pintu masuk, tetapi jangan seorang pun membuat serangan!" Shi Feng segera berteriak dalam ruangan perbualan sewaktu dia melihat laluan kecil di depan matanya.

Berikutan dengan itu, mereka semua dengan cepat masuk ke dalam laluan sempit itu. Kedua-dua MT mereka terus menahan laluan masuk.

Apabila kedua-dua MT sudah dalam posisi masing-masing, mereka dikenakan satu serangan yang sangat kuat, satu serangan demi satu serangan, berterusan sehinggakan membuatkan mereka berundur kebelakang sedikit. Kemusnahan muncul di atas kepala mereka tanpa henti. Sebelum sahaja mereka berdua melayang ke belakang akibat daripada serangan bertubi-tubi tersebut, Shi Feng meletakkan kedua-dua belah tangannya pada belakang mereka, menahan pengunduran mereka. MT tersebut merasakan yang mereka sedang bersandar pada dinding, dimana badan mereka langsung tidak bergerak walau sedikit pun.

"Si Hitam, lekas! Elementalis, sediakan Bintang Beku!" Shi Feng dengan tergesa-gesa memberi arahan.

"Sudah sedia!" Si Hitam sudah habis menjampi baris terakhir jampiannya.

"MT, berundur! Elementalis, gunakan Bintang Beku!" Shi Feng berteriak.

Selepas itu, satu Bintang Beku tersembur keluar menyeliputi semua raksasa yang ada, membuatkan mereka menjadi beku dan menghentikan pergerakan mereka. Lebih dua puluh mata kemusnahan muncul di atas kepala raksasa-raksasa tersebut.

"Sangat kebal dengan elemen ais..." Zhao Yueru sedikit terkilan. Dia langsung tidak puas hati dengan kemusnahan yang dia berikan.

Pada waktu ini, api berwarna hijau berbentuk tiang ditembak pada kawasan yang dipenuhi raksasa, menyebabkan kemusnahan melebihi -300 mata kepada semua raksasa itu. Api berbentuk tiang itu bertahan selama 5 saat dan pada tempoh masa ini, HP raksasa tersebut jatuh secara mendadak. Situasi ini mengejutkan semua orang.

Malahan Si Hitam sendiri, terpegun. Bukankah kemusnahan ini terlalu tinggi? Lagipun, semua raksasa itu merupakan Elit dan Elit Istimewa. Dapat melakukan kemusnahan lebih -100 sangatlah bertuah.

Namun, apa yang Si Hitam tidak tahu Kobold yang tinggal di Kubur Bulan Gelap tinggal dalam kesejukan dan suasana yang gelap selama bertahun-tahun. Mereka suka akan kesejukan tetapi takut pada api. Oleh itu, kemusnahan daripada magis berunsur api akan berlipat kali ganda. Lebih-lebih lagi kepada Zombi Kobold, kerana mereka yang paling takut dengan api.

Selepas Api Neraka tamat, kedua-dua MT mengambil satu langkah ke hadapan sekali lagi untuk menahan raksasa. Disebabkan jalan yang sempit itu, hanya dua atau tiga raksasa yang mampu menyerang pada satu masa. Jika Kobold itu bersaiz besar, hanya seekor daripada mereka sudah pun memenuhi ruang yang ada. Tambahan pula, Zombi Kobold tidak mampu menyerlah dengan kekuatan mereka pada tempat yang sempit. Paling tidak pun, satu atau dua serangan sahaja yang boleh dikenakan pada MT, sungguhpun demikian, MT itu berkongsi kemusnahan antara satu sama lain. Akibatnya, Zombie Kobold menjadi tidak berbahaya.

Selepas lebih sepuluh minit berlalu, Api Neraka Si Hitam memusnahkan Kobold yang sedang bergegas ke arah mereka. Pengalaman semua ahli pasukan bertambah dengan banyak dan ada di kalangan raksasa yang mati itu menjatuhkan beberapa barangan.

Ahli-ahli Persatuan Ouroboros terpaku. Walaupun magis Si Hitam mampu mengejutkan mereka, namun strategi Shi Feng telah membuatkan mereka terpaku. Dia boleh memikirkan satu strategi dan menemui lokasi yang baik ini. Minda dan persepsinya sangat bagus.

Ahli-ahli Ouroboros menghormati pemain yang handal. Akibatnya, setiap daripada mereka sekarang berasa malu dengan fitnah yang dilemparkan terhadap Shi Feng.

Sedangkan Zhao Yueru pun terdiam selepas melihat kepimpinan Shi Feng. namun, dia masih membenci Shi Feng dalam hatinya. Dia senyap-senyap meratapi kebodohan dirinya pada raksasa-raksasa ini.

"Seperti yang dijangkakan, dia memang memiliki kemahiran yang luar biasa. Padanlah dia sudah mencapai Tahap 6 dengan sangat laju." Salji Lembut mula mengira semula kekuatan Shi Feng. Dia tidak terbayang yang Shi Feng mampu melakukan semua ini. Bukan sahaja dia memiliki Gelaran yang mampu menaikkan Atribut pasukan, malah dia turut memiliki persepsi yang menggerunkan. Prestasinya sudah melebihi jangkaan Salji Lembut. Jika pasukannya mendapat individu sepertinya pada masa hadapan, mereka pasti lebih senang meneroka Dungeon.

"Sejumlah dua puluh peralatan dijatuhkan. Antaranya, terdapat sembilan peralatan Besi-Misteri, manakala yang lain cuma Peralatan Gangsa. Kita akan mengagihkan semua ini berdasarkan Kerjaya." Shi Feng menyusun rampasan perang itu dan mengagihkannya. Dia mengagihkannya mengikut kelas dan pemain yang mempunyai Kerjaya yang sama perlu bergantung kepada nasib untuk mendapatkan peralatan tersebut, dimana pemain yang dapat nombor yang lebih besar akan memperoleh peralatan tersebut.

Mendengar laporan daripada Shi Feng itu, semua orang menghirup nafas dalam-dalam. Mereka tidak mampu berkata-kata kerana berasa sangat gembira.

Kini, Peralatan Besi-Misteri dianggap peralatan tahap-tinggi.

Sebelum ini, mereka telah membunuh banyak raksasa di Kubur Bulan Gelap Mod Biasa, namun, hanya memperoleh beberapa keping peralatan Gangsa. Sekarang ini, mereka baru membunuh satu gelombang raksasa, tetapi sudah mampu mendapatkan banyak Peralatan Besi-Misteri dan Peralatan Gangsa.

Kadar jatuhan ini sangat menakjubkan.

Next chapter