webnovel

Pertandingan Peralatan

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Hanya dua puluh minit yang singkat selepas Shi Feng meletakkan Plat Dada Berkerdip untuk dilelong, kesemua dua puluh buah telah habis dijual. Plat Dada Berkerdip jauh lebih popular daripada Perisai Garison.

Tidak kurang juga pemain yang mempamerkan pembelian mereka pada forum rasmi.

Sebelum ini, para pemain ini harus merayu, dengan pelbagai cara, untuk menyertai sebuah kumpulan. Namun kini, dengan peralatan mereka yang megah, satu jeritan sahaja sudah mencukupi untuk menarik berpuluh-puluh jemputan daripada kumpulan-kumpulan Elit untuk mereka pilih.

Berikutan kebangkitan populariti Plat Dada Berkerdip, para pemain yang gagal memdapatkan satu, kesemuanya memukul dada sendiri dalam kedukaan. Mereka membencikan diri sendiri kerana tidak meminjam wang untuk membeli peralatan tersebut terutamanya kini, ia tidak lagi dijual.

Sementara itu, Persatuan Penempaan di Bandar Pasir Emas dipenuhi orang.

Dewan yang luas itu diisi sepenuhnya dengan pemain-pemain. Mereka yang hadir merupakan jurucakap untuk pelbagai Kesatuan. Mereka hanya ke sini untuk satu tujuan; untuk menjemput Perdagangan Tukul ke Kesatuan mereka.

Antara Kesatuan yang hadir, ada segelintir yang agak terkenal. Tiada kekurangan jurucakap bagi Kesatuan-Kesatuan kelas ketiga. Pada waktu biasa, jurucakap-jurucakap ini akan bersikap angkuh dan sombong. Mereka akan mengamalkan sikap memandang rendah apabila berurusan dengan pemain Gaya Hidup. Sampaikan mereka menitiskan air mata sedih, berikrar kesetiaan mereka terhadap Kesatuan yang mereka pilih sambil menandatangani kontrak dengan pantas, untuk menyertai Kesatuan besar.

Namun, arah aliran permainan telah berubah. Golongan atasan para Kesatuan menekankan mereka, para jurucakap, diwajibkan menjemput Perdagangan Tukul. Jika tidak, mereka boleh mengemas barang mereka. Hal ini timbul kerana jurucakap-jurucakap Kesatuan ini umpama cucu-cicit yang patuh, hanya berdiri dan menunggu di dewan menanti panggilan Perdagangan Tukul.

Di dalam sebuah Bilik Penempaan Menengah pada tingkat kedua…

"Abang Tukul, hebatnya awak! Saya cukup mengagumi awak! Sebelum ini, Kesatuan-Kesatuan kelas ketiga memang tak akan merekrut awak. Sekarang, mereka seperti menunggu kamu dengan penuh harapan. Mereka tak akan pergi walaupun awak halau mereka," seorang paderi perempuan yang seksi berumur sekitar pertengahan dua puluhan memeluk lengan tegap Perdagangan Tukul, sambil bermanja dan bercakap dengan penuh kagum. Dadanya yang menonjol menggesek lengan Perdagangan Tukul.

Perdagangan Tukul mempunyai rupa yang sangat ganas. Dia mempunyai janggut yang tebal dan mata yang memerhati, dan warna kulitnya umpama lilin kuning. Apabila melihatnya, dia kelihatan seperti berumur lebih daripada tiga puluh tahun. Namun, tiada sesiapa yang tahu yang Perdagangan Tukul cuma seorang pelajar universiti dalam kehidupan sebenar. Umurnya baru melepasi dua puluh tahun.

"Hahaha, ini hanyalah hal kecil. Tetapi, saya kena berterima kasih kepada si dungu yang telah membuka jalan untuk saya dan telah menyembunyikan namanya. Dia telah menyebabkan kesemua Kesatuan mengenali kepentinganku," Perdagangan Tukul berkata sambil ketawa terbahak-bahak. Dia memuji kepandaian dan kebijaksanaannya secara tidak langsung kerana berjaya mengatur rancangan untuk mempergunakan kemasyhuran penempa yang tidak diketahui identitinya itu. Hal tersebut membuatkan nasib baiknya kini, dan menjadikannya idola bagi setiap pemain. "Tunggu sehingga saya masuk sebuah Kesatuan kelas pertama dan naik sampai ke bahagian atasan mereka. Tentunya hebat. Sekarang, saya baru menampakkan sedikit sahaja kebolehan saya. Biar Kesatuan-Kesatuan kelas ketiga itu terus menunggu di luar. Saya akan mempergunakan mereka untuk meningkatkan nilai dan kemasyhuran diri sendiri."

"Bos, apa kita mahu buat tentang arahan-arahan yang kita dapat?" tanya seorang Pembunuh Hendap.

Perdagangan Tukul menjeling ke arah Pembunuh Hendap tersebut, sambil berkata dengan hina, "Siapa kisah? Saya rugi 2 Syiling Perak setiap peralatan. Ingat saya buat kerja amal ke? Matlamat saya sudah tercapai. Usah pedulikan pemain lain; cakap sahaja kita sibuk, tak ada masa."

Untuk mempergunakan Shi Feng sebagai batu loncatan, Perdagangan Tukul telah menghabiskan semua Syiling Perak kepunyaan rakan sekelasnya. Dia juga telah menghabiskan banyak Kredit untuk membeli bahan dan Syiling Perak yang banyak. Namun, dia hanya menempa lebih sepuluh Plat Dada Ganas daripada kesemua bahan tersebut. Jadi, menjual setiap satu buah pada harga maksimum 4 Syiling Perak sangat merugikannya. Akan tetapi, segala pengorbanannya berbaloi. Selagi dia direkrut sebuah Kesatuan kelas pertama, dia boleh mendapatkan sebanyak mana bahan yang diperlukan, gaji yang lumayan, serta barisan pemain perempuan yang menginginkan perhatiannya. Perdagangan Tukul berasa segar hanya memikirkan kesemua faedah ini.

Tiba-tiba, seorang Berserker memasuki Bilik Penempaan dengan air muka panik.

"Kenapa Hadron? Ligat nampak, golongan atasan Kesatuan kelas pertama sudah sampai ke?" tanya Perdagangan Tukul dengan nada gurau senda.

"Habislah! Banyak peralatan tingkat teratas tiba-tiba muncul di Rumah Lelong. Semua pemain di forum rasmi permainan sedang membincangkannya, dan bilangan klik naik melambung. Paparan itu dah mencapai lebih lima juta klik sekarang, banyak Kesatuan sudah melihatnya. Bukan itu sahaja, peralatan itu dijual oleh penempa tanpa nama yang sama. Harga peralatan itu ditetapkan pada minimum 4 Syiling Perak. Semua orang mula bertanya-tanya tentang identiti penempa yang bertanggungjawab, dan mereka tidak lagi mempedulikan awak, Bos."

"Ada lagi; sudah ada beberapa Kesatuan kelas pertama yang telah membuat pengumuman di forum itu. Mereka sanggup mengupah penempa itu dengan gaji tinggi dan menjadikannya Ketua Penempa Kesatuan tersebut. Beberapa wakil Kesatuan besar di bawah sudah pun mula bergerak ke Rumah Lelong."

Air muka Perdagangan Tukul kaku apabila mendengar kata-kata Hadron.

Dia hanya dapat menarik perhatian Kesatuan kelas pertama setelah bersusah-payah. Namun kini, penempa tak bernama itu telah mencuri impiannya. Jika dia tidak mencurinya kembali, Kesatuan-Kesatuan kelas teratas tersebut tentu melupakannya.

"Berani dia curi impian dan kedudukan aku. Jangan salahkan aku kalau aku tidak beradab. Membikin peralatan tahap teratas sebegitu menggunakan kos yang tinggi dan kadar kejayaan yang rendah. Kau jual dengan harga 4 Syiling Perak, aku jual dengan harga 3 Syiling Perak. Berapa banyak kerugian yang boleh kau serap?" Perdagangan Tukul bangkit dengan tiba-tiba. Dia mahu Shi Feng tahu dia pasti tidak akan melepaskan kedudukan Ketua Penempa, serta 'kegembiraan' masa depannya.

Dia sudah pun mengalami kerugian 2 Syiling Perak kerana menempa Plat Dada Ganas yang mempunyai Atribut yang rendah. Kemudian, Shi Feng bakal rugi sekurang-kurangnya 4 hingga 5 Syiling Perak atas setiap buah peralatan tingkat teratas yang dijual pada harga 4 Syiling Perak. Mungkin lebih. Perdagangan Tukul percaya dia boleh bertahan lebih lama daripada Shi Feng.

"Tapi bos, kita tidak ada banyak Syiling Perak yang tinggal. Paling banyak pun kita mampu menempa lagi sepuluh Plat Dada Ganas," kata Hadron dengan cemas.

"Takut apa? Aku masih ada dana. Paling teruk sekalipun, aku akan membelanjakan lebih banyak Kredit untuk membeli bahan dan Syiling-Syiling Perak. Aku percaya aku boleh menghalau anak haram itu. Bagi setiap satu peralatan yang anak haram itu jual, dia akan rugi sekurang-kurangnya dua atau tiga kali lebih daripada kita. Mahu takut apa?" Perdagangan Tukul berkata dengan yakin. Dia meyakinkan dirinya yang Shi Feng juga sedang cuba untuk menarik perhatian Kesatuan-Kesatuan kelas pertama dengan menjalankan perniagaan yang begitu merugikan. Namun, dia pasti muncul sebagai juara akhirnya.

Sejam kemudian, paparan baru muncul pada forum rasmi permainan.

Demi kebaikan orang ramai, saya, Perdagangan Tukul, telah memutuskan untuk menjual Plat Dada Ganas pada harga 3 Syiling Perak setiap satu. Saya akan menentang penempa zalim ini sampai habis! Sokonglah saya! Galakkanlah saya!

Tiba-tiba, segelombang pemain mengikuti paparan tersebut, lalu menghantarnya ke bahagian teratas forum. Setiap seorang menyokong tindakan Perdagangan Tukul yang baik hati itu.

Hasil daripada peristiwa ini, kesemua Bandar Sungai Putih menjadi ceria. Semua orang memahami ini merupakan pertandingan antara dua penempa yang mampu menempa Peralatan Gangsa. Setiap pemain di Bandar Sungai Putih menonton dengan penuh harapan. Mereka yang untung daripada perlawanan ini, kerana mereka juga adalah para pemain. Tentu tidak lama lagi mereka akan mampu membeli Peralatan Gangsa pada harga yang rendah.

Kesatuan-Kesatuan yang pelbagai juga mula menonton dari sisi, tidak lagi menyuarakan apa-apa niat mereka. Mereka semua menunggu pemenang akhir untuk membeli kesemua peralatan dan membangunkan kekuatan Kesatuan mereka.

Namun, Shi Feng sendiri tidak mengetahui hal ini. Dia baru selesai membeli Batu dan Batu Keras. Sebaik sahaja memasuki Rumah Lelong, dia mendapati bilangan pemain di sana semakin meningkat. Hanya pada saat itu dia mendapat tahu akan peristiwa ini.

"Mahu gaduh?" Shi Feng teesenyum sedikit, "Jadi, marilah."

Dia menaikkan interface kawalan Rumah Lelong, dan meletakkan kesemua Plat Dada Berkerdip untuk dilelong. Dia memasang dua puluh buah untuk dijual setiap jam, jumlahnya 120 buah Plat Dada Berkerdip. Bilangan sebegitu pasti cukup untuk menyeksa Perdagangan Tukul.

Kemudian, Shi Feng menggunakan wang daripada menjual Plat Dada Berkerdip untuk membeli Batu-Batu Keras dan Set-Set Kad. Setelah membeli kesemua peralatan ini, Shi Feng tiba-tiba mendapati dia memiliki hanya sedikit lebih daripada 1 Syiling Emas.

Dari masa ke masa, Shi Feng akan menerima notifikasi daripada Sistem. Ia menyatakan lagi satu Plat Dada Berkerdip telah dijual, dan beberapa Syiling Perak telah dimasukkan ke dalam begnya.

Shi Feng rasa, lebih banyak Syiling Perak yang dia belanjakan, lebih banyak Syiling Perak yang dia akan miliki. Jumlahnya nampaknya tidak berkurangan walau sedikit pun…

Shi Feng mempertimbangkan untuk menjual beberapa Syiling Perak di Pusat Perdagangan1, untuk ditukarkan dengan mata wang di kehidupan nyata. Lebih baik daripada terus menyimpan Syiling-Syiling Perak ini lama-lama.

Next chapter