Shi Feng memerhati persekitarannya selepas meninggalkan Si Hitam. Memandangkan tiada sesiapa yang memberi perhatian kepada kedatangannya yang tiba-tiba, dia cepat-cepat memasuki satu lorong sunyi.

Pasti kecoh kalau dia membuka sebuah Peti Harta Karun Emas-Tua.

Membuka dan menunjuk-nunjuk sebuah Peti Harta Karun Emas-Tua merupakan satu langkah yang berani. Hanya pemain baru akan buat begitu. Berbanding dunia sebenar, tiada had dalam dunia permainan. Sudah pasti kuasa-kuasa besar dalam permainan dahagakan harta karun hebat. Jika seseorang pemain tidak terdaya, salah satu senario yang terbaik ialah dibunuh hingga kembali ke Tahap 0 untuk harta karun tersebut. Walau bagaimanapun, jika harta karun gagal dikeluarkan… tahniah, anda hanya boleh tinggal di bandar sepanjang hayat. Sementara pemain lain sibuk menaik tahap dalam hutan, anda hanya boleh melepak dalam bandar. Selepas beberapa bulan, anda boleh dinaik pangkat dengan bangga ke 'Pemandu Pelancong Bandar'. Shi Feng bukanlah seorang Penyerang Hendap yang berupaya berjalan senyap, bersembunyi, dan membunuh secara hendap. Buat masa sekarang, dia tidak mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk membela dirinya, jadi bergerak secara tidak menonjolkan diri amat penting.

Dengan senyap, Shi Feng memerhati lorong kosong itu buat seketika. Setelah memastikan tiada sesiapa yang mengekorinya, dia menghunus pedang panjang hitamnya.

Dahi Shi Feng berkerut apabila melihat pedang tersebut.

[Bilah Jurang] (Senjata Sihir)

Syarat Pekerjaan: Pemain Pedang

Adakah anda mahu mengikat alat ini?

"Nak pakai ke tak nak?" Shi Feng menjadi kecewa apabila melihat Bilah Jurang.

Shi Feng dengan Senjata Sihir tidak asing lagi. Senjata Sihir berbeza daripada peralatan biasa. Tiada pangkat untuk membezakannya daripada peralatan lain, dan ia lebih jarang terjumpa daripada Peralatan Lagenda. Kuasanya tidak dapat disangkal lagi. Akan tetapi, Senjata Sihir ibarat pisau bermata dua; ia mempunyai kesan sampingan yang bergelar Pukul Balik. Jika pengguna Senjata Sihir tidak berhati-hati, sebarang kesilapan boleh melumpuhkan akaunnya.

Dalam hayat lampaunya, terdapat beberapa pakar di Kerajaan Bulan-Bintang yang menjadi pakar tahap teratas kerana Senjata Sihir. Walaupun semasa di puncak kekuasaannya, Shi Feng hanya boleh mengagumi mereka. Akan tetapi, setelah masa berlalu, dua daripada pakar tersebut melumpuhkan akaun mereka sebab gagal menyelesaikan masalah Pukul Balik dengan teliti; mereka terpaksa memulakan akaun baru. "Lupakan sajalah, ketepikan buat masa sekarang. Sekarang terlalu berisiko." Shi Feng menggeleng kepala sambil menyimpan Bilah Jurang. Dia harus meraih 16,000 Kredit dalam masa sepuluh hari. Tekanan ke atasnya sangat besar. Silap sedikit, segala usahanya akan sia-sia sahaja. Shi Feng mengeluarkan Peti Harta Karun Emas-Tulen.

Shi Feng melihat peti bersalut emas, gagal menahan rasa teruja di hatinya, "Peti Harta Karun Perak-Rahsia yang mereka keluarkan sebelum ni memang dah ada resipi Farmasi dan rekaan tukang besi. Peti Harta Karun Emas-Tulen pula boleh dapat apa, ya?"

Sudah sepuluh tahun Shi Feng bermain Kawasan Tuhan, dan jumlah Peti Harta Karun Emas-Tulen yang pernah dilihatnya tidak sampai dua puluh buah.

Perang telah tercetus akibat daripada setiap Peti Harta Karun Emas-Tulen. Shi Feng hanya boleh bermimpi untuk memiliki salah sebuah peti tersebut. Dengan perlahan-lahan Shi Feng membuka peti harta karun tersebut. Tiba-tiba, sinar cahaya emas memancar keluar dari peti tersebut, menerangi lorong kecil itu. Jika pada waktu malam, pasti mempesonakan dan menarik perhatian orang ramai.

Tidak sanggup mengambil risiko, Shi Feng segera mengambil segala isi peti tersebut. Cahaya yang berkilau tadi lenyap setelah peti itu dikosongkan.

Mujurnya, lorong tersebut kosong, jadi tiada sesiapa yang melihat cahaya tersebut.

"Tetapan untuk peti harta karun di Kawasan Tuhan memang celaka. Nasib baik waktu siang." Shi Feng menjeling peti harta karun di sisinya, lalu mengalih pendangannya terhadap tiga harta karun dalam tangannya.

Ada dua buah buku kuno dan perisai perang. Perisai perang tersebut merupakan Peralatan Perak-Rahsia. Lebih teruk daripada yang disangka.

[Perisai Langit] (Pangkat Perak-Rahsia)

Perisai Plat

Syarat Peralatan: Kekuatan 20

Tahap Peralatan: 5

Perlindungan +25, Kekuatan +6, Ketahanan +3, Ketangkasan +3.

Kelasakan 30/30

Sifat Tambahan: Pelemahan Kuasa. Kurangkan kerosakan fizikal yang diterima sebanyak 15% selepas melengkapi.

Shi Feng terkejut melihat sifat-sifat perisai perang tersebut. Walaupun tahap peralatan itu lebih rendah daripada yang dimiliki semasa hayat lampaunya, sifat-sifatnya bertahap teratas. Jika disarungkan oleh kelas Pahlawan, Perlindungan yang tinggi bercampur Pelemahan Kuasa membolehkannya berlawan Bos fizikal tanpa masalah. Jika dijual sekarang, harganya pasti lumayan. "Ini terlalu hebat. Sekarang aku ada perisai untuk Tahap 5." Shi Feng menyimpan Perisai Langit dengan ceria. Pemain Pedang juga memakai perisai plat. Apabila Shi Feng memakainya pada Tahap 5, pasti boleh menjadi Pahlawan Pelindung.

Shi Feng mengalih pandangannya ke dua buah buku kuno tadi, dan terkejut apabila melihat nama buku-buku tersebut.

[Buku Penjalinan] dan [Rekod Ubat]. Kedua-duanya sangat dihargai dan jarang dijumpai.

Semua orang tahu menjalin dan membuar Ubat amat susah untuk dipelajari. Setiap Pakar Penjalin dan Pakar Ubat merupakan simbol kekuatan sesebuah Kesatuan. Bayang-Bayang, sebuah Kesatuan yang memiliki sepuluh kotaraya, pun hanya ada dua Pakar Penjalinan dan lima Pakar Ubat. Setiap seorang dilayan seperti putera.

Dengan dua buah buku ini, Shi Feng dapat membentuk seorang Pakar Penjalinan dan seorang Pakar Ubat.

"Aku ingat ada Misi Tersembunyi di Lembah Bulan Gelap. Bukan sahaja ia boleh mengajar Penjalinan dengan percuma, ia juga boleh memberi Bakat Penjalinan. Kalau aku boleh dapatkan kedua-dua Bakat Penjalinan dan Buku Penjalinan, aku boleh naik cepat untuk menjadi seorang Pembantu Penjalinan Maju. Lepas tu aku boleh membikin Peralatan Gangsa dan membuat banyak duit." Shi Feng teringat akan seorang ahli Bayang-Bayang yang bergelar Kongsi Tukul. Beliau telah menjadi Pakar Penjalinan kerana beliau telah menyelesaikan Misi Tersembunyi tersebut. Lembah Bulan Gelap merupakan kawasan makhluk Tahap 4. Misinya pula sukar dan akan memakan masa.

"Nampaknya aku kena beli peralatan dan membuat persediaan rapi." Shi Feng menyimpan dua buku tersebut dan menghantar surat ke Si Hitam, yang mengarahkannya untuk berjumpa di Kawasan Perdagangan. Kemudian, Shi Feng ke sana, keseorangan.

Kini, terdapat ramai pemain di Kawasan Perdagangan. Pemain yang letih membunuh makhluk boleh datang sini untuk berehat, minum, dan berbual. Ada juga pemain yang menjual habuan-habuan mereka hasil usaha masing-masing.

Shi Feng mencari tempat kosong, lalu menutup lantai dengan sehelai kain putih. Dia meletakkan peralatan dan herba yang dikutip, dan membuka gerainya. Perisai Kain Biasa Tahap 4 dijual pada harga 1 Perak 20 Tembaga, manakala Pelindung Gangsa berharga 21 Perak. Harga ini berpatutan dan murah pada peringkat permainan kini.

"Herba luar biasa, peralatan tahap tinggi, yang berminat sila mari lihat." pekik Shi Feng.

Terdapat beberapa pemain di Kawasan Perdagangan. Akan tetapi, kebanyakan daripada mereka menjual barangan seperti herba, bijih, dll. Sehingga sekarang, tiada seorang pemain pun yang menjual peralatan. Jeritan Shi Feng terus menjadi perhatian.

"Tak mungkin. Ada peralatan nampaknya! Pelindung Gangsa pun ada!"

"Pelik betul nasib aku. Peralatan Biasa pun aku belum ada, tapi dia ni dah ada Peralatan Gangsa?"

"Peralatan Tahap 5 ni. Buat lawak ke? Ni bukan ilusi kan?"

"Apalah yang hebat sangat? Jangan lupa, ada pakar yang membunuh Datuk Bandar. Dia Tahap 15 Elit. Sekarang semua pun tak boleh terima misi daripada Datuk Bandar. Yang dapat Misi Datuk Bandar pun berang; mereka semua nak makan si pakar itu hidup-hidup."

"Dua puluh satu Perak, mahal sangatlah. 1% daripada harga tu pun saya tak ada." Pemain-pemain sekeliling semua terkejut. Kawasan Tuhan dibuka tidak sampai 10 jam, tetapi sudah ada seorang yang boleh memiliki peralatan tahap teratas sebegini. Lebih-lebih lagi dijual. Biasanya kebanyakan Kesatuan dan Persatuan akan memakai sahaja peralatan yang diperoleh, meningkatkan kelebihan mereka semampu boleh. Sudah pasti takkan jual. Kini, tahap purata pemain ialah Tahap 1. Peralatan Tahap 5 tidak dapat dibayangkan, apatah lagi Pelindung Gangsa Tahap 5. Walaupun begitu, 21 Perak terlalu mahal. Pendapatan purata pemain tidak sampai 20 Tembaga, dan 21 Perak bersamaan 2100 Tembaga. Mustahil untuk mereka tanggung. Shi Feng tersenyum dengan senyap sambil melihat gelagat para pemain yang semakin ramai berkerumun.

Bukannya dia harapkan pemain biasa-biasa untuk beli pun. Yang dia mahu ialah pengiklanan.

Sekejap sahaja sudah sampai sekumpulan pemain yang tergesa-gesa. Seorang Pahlawan Pelindung mengetuai mereka.

"Beri laluan, beri laluan. Memandangkan kami, Bayang-Bayang, sudah tiba, kami akan membeli segala yang ada di gerai ini. Yang lain boleh berambus." Ahli-ahli kumpulan tersebut membikin laluan untuk Pahlawan Pelindung itu. Shi Feng memandang mereka sepintas lalu, dan menyedari Pahlawan Pelindung ini merupakan seseorang yang dikenalinya. Lelaki ini digelar Harimau Terbakar; dia merupakan Ketua Pasukan Bayang-Bayang di Bandar Daun Merah. Dalam hayat lampaunya, Shi Feng sentiasa dipergunakan sebagai makanan meriam, dan hal ini menyebabkannya sukar untuk naik cepat. Harimau Terbakar bertanggungjawab ke atas tiga persepuluh 'usaha' itu. Shi Feng tidak pernah menyangka akan terjumpa dengan lelaki ini di sini.

"Kau pemilik gerai?" Harimau Terbakar teruja melihat pelindung berbentuk salib itu. Dia memandang Shi Feng. Dia tidak mempunyai kebolehan [Mata Memerhati], jadi dia tidak dapat melihat tahap Shi Feng. Walau bagaimanapun, Shi Feng hanya memakai peralatan orang baru, dan tiada apa-apa tanda Kesatuan padanya. Mesti pemain biasa-biasa sahaja. Kalau dapat peralatan sebegini, tentunya bernasib baik.

Shi Feng mengangguk. "Betul."

"Baik, aku nak segala di sini untuk 1 Perak." ujar Harimau Terbakar dengan angkuh.

Dia berkata begitu seolah-olah segala di gerai tersebut hanyalah sampah jalanan, dan 1 Perak lebih dari mencukupi.

"Saya tak main tawar-menawar. Tolong jangan kacau perniagaan saya dengan perangai sebegini." Shi Feng tidak marah, malah tidak mempedulikan Harimau Terbakar. Muka Harimau Terbakar menjadi bengis. Dia menjeling Shi Feng, lalu berkata dengan dingin, "Kau pasti nak melawan kami, Bayang-Bayang? Aku bagi kau peluang terakhir, fikir masak-masak sebelum buka mulut."

Tiba-tiba, kesemua lima ahli Bayang-Bayang mengepung Shi Feng. Shi Feng melirik matanya ke arah Harimau Terbakar, sambil berkata secara selamba, "Bodoh."

Beraninya dia mencabar Shi Feng di Bandar Daun Merah. Dia tak tahu ke, bertindak dalam bandar diharamkan?

"Kau cari nahas!" Harimau Terbakar berang, kedua-dua matanya menjadi rabak seakan darah. Dia tidak sabar untuk membunuh Shi Feng sekarang juga.

"Hahaha, sungguh menarik. Pelindung Tahap 5. Macam mana kami, Perikatan Pembunuh Hendap boleh dilupakan."

Sejurus kemudian, lagi satu kumpulan melebihi sepuluh pemain datang. Kesemua mereka memakai tanda Perikatan Pembunuh Hendap. Orang yang bersuara tadi merupakan Menusuk Jantung. Dia terkejut apabila melihat pemilik gerai. Tak sangka boleh terjumpa dengan Shi Feng, pakar yang telah melepasi Cabaran Hadiah Gangsa pada cubaan pertama. Pelindung Gangsa Tahap 5 pun kini dimilikinya sekarang, bermaksud dia tentunya sudah membunuh seekor makhluk Elit bertahap tinggi. Hal ini menyebabkan Menusuk Jantung lebih menghormati Shi Feng lagi.

"Nah, ini 24 Perak, aku nak semuanya. Mari kita berkawan. Lain kali ada barang baik, kau kena ingat kami, Perikatan Pembunuh Hendap." Menusuk Jantung menyerahkan 24 Perak tersebut tanpa ragu-ragu. Walaupun bukan mudah untuk Kesatuan itu untuk mengumpul 24 Perak ini, mesti berbaloi kalau dia boleh berkawan dengan seorang pakar seperti Shi Feng. "Baiklah, memandangkan kau sangat berterus-terang, aku takkan minta 50 Tembaga itu lagi. Lain kali aku panggil kau." Shi Feng memahami niat Menusuk Jantung. Tidak rugi jika boleh bekerjasama dengan sebuah Kesatuan besar.

Sementara itu, pemain-pemain sekeliling terkejut dengan kesombongan Perikatan Pembunuh Hendap, yang menyerahkan 24 Perak tanpa was-was. Inilah Kesatuan yang betul-betul besar. Tindakan tersebut menyebabkan ramai pemain ingin menyertai Kesatuan tersebut. Berbanding Perikatan Pembunuh Hendap, tiada masa depan jika menyertai Kesatuan seperti Bayang-Bayang. Semua memandang hina terhadap mereka.

Setelah dihina oleh Shi Feng, kemudian ditampar oleh Perikatan Pembunuh Hendap, muka Harimau Terbakar kemerahan kerana terlampau marah. Matanya hampir penuh dengan rasa marah. Dia memanggil seorang Pembunuh Hendap, lalu berkata dengan dingin, "Serigala Senyap, kamu perhatikan budak ni. Nanti dia akan sedar akibat melawan Bayang-Bayang." Shi Feng pula telah lama meninggalkan tempat itu. Dia kini membeli-belah di sekitar Kawasan Perdagangan.

Kini dia memiliki 24 Perak. Jumlah tersebut lebih banyak daripada jumlah kekayaan Kesatuan biasa. Memandangkan Shi Feng kini seorang usahawan berjaya, dia membeli macam-macam tanpa was-was. Dia membeli 20 botol Bir Besi Hitam, dengan harga 25 Tembaga untuk satu.

Dia membeli 30 Bom Asap, dengan harga 20 Tembaga untuk satu. Dia membeli 100 Pai Epal, dengan harga 5 Tembaga untuk satu. Memakannya memulangkan 30 HP kepadanya setiap saat, dan ia bertahan selama 10 saat.

Shi Feng membelanjakan sebahagian besar kekayaannya dengan cepat, dan dia hanya tertinggal 3 Perak.

"Abang Feng, akhirnya awak datang juga. Kita nak buat apa sekarang?" Sudah lama Si Hitam telah menunggu di Kawasan Perdagangan. Mukanya muram, dan matanya menunjukkan kekesalan. Kawasan Tuhan kini telah dibuka selama lebih 9 jam kini. Selain meraih pangkat [Pengembara], Si Hitam tidak memperoleh apa-apa. Dia hampir mati kemurungan.

"Mari, kita lawan makhluklah." Shi Feng senyum, dan menghantar Si Hitam permintaan kumpulan.

avataravatar
Next chapter