webnovel

Bermula daripada Kosong

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Sewaktu Shi Feng melangkah masuk dan berkata...

"Kau siapa?"

Wu Yi sedikit terperanjat, matanya meneliti Shi Feng. Shi Feng memakai pakaian sukan yang kelihatan murah berwarna putih-biru. Walaupun kelakuannya yang dingin itu membuatkan Wu Yi terasa sedikit gementar, namun selepas melihat yang Shi Feng langsung tidak memakai jam kuantum di pergelangan tangannya, satu perasaan keji mula terbit dalam mata Wu Yi. Pada zaman ini, orang kaya yang tahap biasa pun akan mempunyai jam kuantum. Wu Yi beranggapan yang Shi Feng tidak datang dari keluarga yang kaya dan dia sama taraf dengan Si Hitam.

"Abang Feng, kenapa kau di sini?" Wajah Si Hitam mula panik. Dia bimbang Shi Feng salah faham dan fikir yang dia mahu lompat kerja, "Abang Feng, aku tidak cari Bayang-Bayang pun. Ajakan mereka juga aku dah tolak, tetapi Wu Yi masih berdegil mahu memaksa aku."

Apabila rakan sekelas Si Hitam melihat Si Hitam mula panik dan menjelaskan situasi sebenar, mereka semua jadi keliru dengan identiti individu yang baru sampai itu.

Si Hitam sudah mencapai Tahap 5 dalam Kawasan Tuhan, jadi dia tentunya seorang pakar. Banyak Kesatuan bergaduh memahukannya, melayan Si Hitam sebagai tetamu kehormat. Sedangkan Bayang-Bayang turut menghantar seseorang untuk merekrut Si Hitam. Jika pihak atasan daripada Bayang-Bayang datang berjumpa dengan Si Hitam, mereka juga akan berkelakuan sopan dan melayan dia dengan baik.

Namun, Si Hitam memanggil orang asing itu dengan panggilan Abang Feng, mereka terus menjadi bingung. Mungkinkah orang di hadapan mereka itu seorang yang terkenal dalam sekolah? Walau bagaimanapun, tidak kira sekuat mana mereka fikirkannya, mereka langsung tidak dapat cam muka orang itu wujud dalam universiti ini.

"Saya tahu," Shi Feng memandang Si Hitam dengan reaksi wajah yang meminta dia bertenang. Shi Feng kemudiannya memandang lelaki yang bernama Wu Yi itu dan berkata sambil ketawa, "Nama aku Shi Feng dan akulah orang yang membangunkan Kesatuan yang kau baru sebut tadi. Tidakkah kau mahu tahu nama Kesatuan aku?"

"Aku boleh beritahu kau. Nama Kesatuan aku adalah Sayap Sifar. Ia bermakna semua yang berlaku harus bermula dari kosong barulah kami dapat melebarkan sayap dan melayang di angkasa. Jika kamu tiada sebarang masalah, tolong balik dan beritahu bos kamu jangan cuba memujuk mana-mana ahli kumpulan Persatuan lain. Lebih baik jaga urusan sendiri, jika dia tidak mahu persatuannya itu tiba-tiba musnah.

Mendengar kata-kata Shi Feng itu, Wu Yu tidak tahan lagi lalu terus mengejek sambil ketawa.

"Seperti yang dijangkakan, walau budak mentah mampu membina Kesatuan sendiri. Apa kata kau cermin diri kau dahulu? Adakah kau rasa kau mampu membina Kesatuan hanya dengan satu pengumuman?" Wu Yi mengenyitkan matanya, mengejek, "Kau tahu besar mana Kesatuan Bayang-Bayang kami? Adakah kau tahu berapa banyak ahli kumpulan Kesatuan Bayang-Bayang ada? Kau tahu siapa yang menyokong Kesatuan Bayang-Bayang? Kau tahu berapa banyak sudah Kesatuan kami laburkan? Kau masih fikir kami perlu mencuri pemain daripada Kesatuan sampah seperti kau?

"Berdasarkan fakta yang kamu semua masih menggunakan topi keledar percubaan untuk bermain permainan sudah jelas menunjukkan betapa miskinnya kamu. Kau fikir, dengan semangat sahaja, kau boleh membangunkan Kesatuan dalam Kawasan Tuhan dan menjana pendapatan? Semua Kesatuan yang cuba membangunkan diri mereka dalam Kawasan Tuhan mesti sekurang-kurangnya melabur beberapa juta Kredit. Sementara itu, kau tidak ada sebarang duit, tiada ahli kumpulan, tiada fasiliti dan juga insuran permainan yang paling asas. Jadi, apa hak kau untuk melawan kami, Bayang-Bayang?

"Kalau kau melutut sekarang dan merayu kepada aku, aku mungkin akan mengesyorkan kau kepada Abang Lan. Kalau kau bayar sedikit sepuluh atau dua puluh ribu Kredit, kau mungkin akan dapat masuk Kesatuan kami. Macam mana? Fikirlah masak-masak; ini peluang yang jarang berlaku untuk kau." Wu Yi tersenyum lebar. Dia kemudiannya menukar pandangan ke arah Si Hitam, berkata dengan kejam, "Bayang-Bayang sudah berikan kau satu penghormatan dengan menghantar aku ke sini untuk merekrut kau. Selagi kau ikut kami, kau akan dapat gaji bulanan paling kurang 5,000 Kredit dengan segera. Ia seratus kali ganda lebih baik daripada tinggal dalam Kesatuan yang dalam keadaan tidak stabil itu."

Sewaktu kawan sebilik Si Hitam melihat layanan itu, mereka semua nampak terkejut. Mereka tidak tahu pun yang bermain Kawasan Tuhan mampu memberikan duit sebanyak itu. Dibandingkan dengan pekerja pejabat, gaji Si Hitam lebih tinggi. Tiba-tiba pandangan yang selalu mereka guna terhadap Si Hitam mula berubah. Mereka tidak lagi memandang rendah kepadanya. Sebaliknya, pandangan mereka sekarang dipenuhi dengan rasa cemburu dan kagum.

Mereka hanya beberapa bulan lagi sebelum tamat pengajian mereka dalam universiti. Ketika ini, mereka masih pening kepala mencari kerja. Sementara itu, Si Hitam mendapat kunjungan terhormat secara peribadi untuk merekrutnya, malah orang itu turut menawarkan gaji bulanan sebanyak 5,000 Kredit. Seperti kata orang 'perbandingan akan sentiasa bawa masalah'.

Kalau mereka tahu hal ini lebih awal, mereka sudah tentu bermain permainan dengan betul dan mencuba Kawasan Tuhan. Mereka tentu boleh menjadi pakar. Mereka tidak perlu lagi mengejar gadis sepanjang empat tahun pengajian di universiti lalu dikecewakan sahaja oleh mereka. Kalau mereka berjaya mendapatkan duit yang banyak, gadis-gadis cantik mesti beratur dan mereka hanya perlu memilih.

Namun, selepas mendengar kata-kata Wu Yi, Si Hitam, terus ketawa. Wu Yi berani mengejek Kesatuan yang Shi Feng bina, panggil ia sampah, malah menyuruh Shi Feng melutut di hadapannya untuk masuk dalam Kesatuan Bayang-Bayang. Dia sudah terencat akal. Dewi Salji turut memberi perhatian kepada Shi Feng dan dia turut cuba untuk merekrut Shi Feng!

Siapa itu Dewi Salji?

Dia merupakan timbalan Kapten daripada salah satu Persatuan Kelas-Pertama, Ouroboros. Dia dikenali dengan panggilan Dewi dalam dunia permainan maya. Jika dibandingkan dengan Ouroboros, Kesatuan Bayang-Bayang langsung tidak layak diperkatakan.

Melihat wajah Wu Yi yang masam itu, Si Hitam mengejeknya dengan berkata, "Wu Yi, walau sekuat mana pun kau cuba, keputusan aku tetap sama. Walaupun Kesatuan Sayap Sifar baru nak membangun, aku yakin pencapaian kami di masa hadapan akan lebih hebat berbanding Bayang-Bayang. Aku nasihatkan kau tinggalkan Bayang-Bayang lebih awal dan sertai Kesatuan Sayap Sifar kami. Aku akan berbincang dengan Abang Feng. Kalau kau melutut dan meminta maaf kepadanya sekarang, siapa tahu, kau boleh menjadi ahli kumpulan Sayap Sifar!"

Rakan sebilik Si Hitam terkejut mendengar kata-katanya. Kenyataannya membuatkan mereka sangat keliru. Akhirnya, kesatuan mana yang lebih hebat sebenarnya?

Mungkin, pada waktu ini, memilih Kesatuan yang tidak mampu membeli satu topi keledar rasmi permainan merupakan pilihan yang tepat?

"Kau... Kau sangat mendukacitakan!" Wu Yi hampir terdiam kerana marah. Si Hitam menggunakan kata-katanya sendiri untuk mengejeknya. Jika bukan disebabkan arahan Abang Zhang untuk merekrut Si Hitam, dia sudah lama meninggalkan tempat ini. Dia tidak menyangka yang Si Hitam mempunyai masalah mental, menolak mentah-mentah masa hadapan yang cerah dan masih ingin tinggal di tempat yang tiada masa hadapan. "Si Hitam, aku hanya berikan peringatan kepada kau sebab aku sangat menghargai bakat kau. Bayang-Bayang kami kini sedang bertungkus lumus untuk memotong Kesatuan di tangga ke-45 dalam Bandar Jin Hai, Kesatuan Serigala Lapar. Apabila Bayang-Bayang sudah berjaya memotong mereka, kami akan menjadi Kesatuan kedudukan teratas di seluruh Bandar Jin Hai. Kalau kau terlepas peluang ini, tiada lagi peluang kedua nanti."

Wu Yi menjeling Shi Feng, berkata dengan kejam, "Sementara itu, kesatuan kau langsung tidak mampu membeli topi keledar rasmi permainan. Macam mana kau nak main Kawasan Tuhan nanti? Lebih baik kau sertai Bayang-Bayang. Masa depan yang cerah menanti kau di sana."

Berhadapan dengan cara yang berani untuk mencuri pemain, walaupun Shi Feng bersifat tenang, dia masih terasa sedikit marah.

Disebabkan mereka ditakdirkan untuk bersemuka antara satu sama lain, dia bertekad untuk bertarung!

"Siapa kata kesatuan kami tidak mampu membayar topi keledar rasmi permainan?" Shi Feng mengeluarkan 20,000 Kredit dari dalam poketnya, mencampak ke atas meja sambil berkata, "Aku baru sahaja pasang niat untuk menubuhkan kesatuan dan tidak mampu memutuskan topi keledar yang mana patut aku beli. Oleh itu, aku hanya gunakan topi keledar percubaan untuk sementara waktu. Namun, hari ini, aku mahu berikan Si Hitam duit untuk membeli topi keledar permainan paling canggih.

"Tapi betul ke, bukannya aku mahu mengkritik Bayang-Bayang, tetapi kamu semua menyedihkan sangat sampai mencuri pemain lain? Gaji yang aku beri kepada Si Hitam tidak kurang daripada 20,000 Kredit. Kesatuan kamu sangat kaya dan telah banyak melabur, namun, gaji yang kamu tawarkan hanya 5,000 Kredit?"

Sewaktu Si Hitam melihat duit Kredit yang bercahaya atas meja, dia memandang mata Shi Feng yang menakjubkan. Tiada siapa yang lebih berpengetahuan tentang keadaan kewangan Shi Feng melebihi dirinya sendiri, jadi bagaimana tiba-tiba dia boleh mencampakkan 20,000 Kredit secara tiba-tiba? Mungkinkah... Shi Feng merompak bank?

Orang lain dalam asrama itu menelan air liur mereka sewaktu melihat Kredit yang bersepah atas meja itu.

Selalunya, Si Hitam akan berdiam diri dan tidak menampakkan sebagai seorang yang istimewa. Mereka tidak tahu pula yang gajinya boleh mencapai 20,000 Kredit. Tidak hairanlah mengapa dia tolak pelawaan Kesatuan Bayang-Bayang. Lagipun, Bayang-Bayang hanya menawarkan 5,000 Kredit, empat kali ganda lebih sedikit berbanding pendapatan yang sekarang. Orang bodoh sahaja yang tidak tahu pihak mana yang lebih menguntungkan.

Apa yang lebih tidak masuk akal adalah Shi Feng, yang hanya memakai pakaian sukan yang murah, sebenarnya seorang hartawan.

Next chapter