48 Zat Terlalu Banyak Menyebabkan Hidung Berdarah

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Gelombang udara panas yang padat meresap keluar dari periuk tanah dan menyelubungi Ayam Phoenix Merah Darah yang jernih bak kristal dengan daging yang bertekstur seperti jeli. Sup ayam jernih yang berwarna kuning jingga itu tidak mengandungi sebarang sisa kekotoran dan sangat beraroma. Di bawah cahaya, minyaknya berkilauan seolah-olah Sup Ayam Phoenix Herba Sej ini disemat dengan batu permata berkilauan.

Warna, bau, dan rasa ialah kriteria untuk menilai sama ada sesuatu hidangan memenuhi standard tertentu. Walaupun Sup Ayam Phoenix Herba Sej mendapat kritikan sistem berdasarkan ketiga-tiga kriteria tersebut, ia tetap satu makanan istimewa yang sukar didapati.

Daging ayam seperti jeli itu kelihatan sangat menyelerakan dan Bu Fang sudah tak sabar mencubanya.

Dia mengeluarkan sebiji mangkuk porselin kecil yang berwana biru dan putih dan menuang sup ayam menggunakan sudu porselin ke dalamnya sehingga setengah penuh. Aroma sup ayam berwarna kuning jingga itu bermain-main di hujung hidung Bu Fang sehingga dia menjilat mulutnya tanpa sedar.

Untuk sup seperti Sup Ayam Phoenix Herba Sej, terdapat cara makan tertentu. Pertama sekali, kamu tidak boleh bermula dengan dagingnya. Kamu harus minum sesudu sup terlebih dahulu dan biarkan rasanya meliputi seluruh mulut dan perut.

Sebaik saja perut kamu diliputi oleh sup yang suam itu, barulah kamu boleh meneruskan dengan dagingnya. Dengan cara itu, barulah kamu dapat menikmati rasa dan kelembutan setiap cebisan daging ayam.

Ketika dia meminum sesudu sup berwarna kuning jingga itu, wangiannya yang kaya meletup seperti bom di dalam mulutnya dan menguasai seluruh deria rasanya. Haruman dari Ayam Phoenix Merah Darah, aroma Herba Sej, dan wangian herba semangat yang lain juga meletus pada masa yang sama.

Bu Fang merasakan seolah-olah dia sedang berkeliaran di sebalik belukar herba berubat di atas gunung. Sambil tumbuhan berubat bergoyang bersama angin, satu aroma tebal melayang ke arahnya. Ayam Phoenix Merah Darah yang berwarna merah itu mengepak sayapnya di atas belukar itu dan merantau sepuas-puas hati.

"Sedap!"

Bu Fang memuji selepas meminum sup dan memandang daging Ayam Phoenix Merah Darah yang diidamkan selama ini.

Kulit ayam itu menjadi kenyal selepas dimasak dengan menggunakan daya tulen. Ketika Bu Fang merobek salah satu paha ayam, kepingan kulit panjang dari bahagian lain juga ditarik sama. Kulit ayam itu kelihatan agak jernih.

Walaupun dagingnya berwarna merah darah, tiada sebarang rasa darah pun semasa dia memakannya. Berbanding daging ayam biasa, ia lebih lembut dan mudah ditelan tanpa perlu banyak mengunyah.

Bu Fang memegang paha ayam dan mengunyah dengan penuh nikmat. Tak lama kemudian, seluruh paha ayam itu habis dimakan dan mulutnya penuh berminyak.

Tulang Ayam Phoenix Merah Darah juga telah diserap warna merah darah dan memancarkan wangian yang berbeza dari dagingnya.

Sekali lagi dia mengisi semangkuk sup ayam dan perlahan-lahan Bu Fang menikmati rasa itu sambil berlingkar di atas kerusi dengan selesa. Perasaan dapat makan dengan puas memang cukup mengagumkan.

Walaupun Bu Fang tergoda untuk menghabiskan keseluruhan ayam itu sendiri, dia tidak dapat melakukannya. Ayam Phoenix Merah Darah itu ialah ramuan binatang semangat yang kaya dengan tenaga semangat. Tambahan pula, ia dimasak dengan herba semangat yang amat berharga termasuk Herba Sej Syurgawi. Hidangan ini sangatlah berkhasiat.

Bu Fang hanya dapat makan sebanyak itu walaupun ada bantuan sistem untuk menyekat kesannya. Sekiranya dia terus makan, perut dia mungkin akan meletup walaupun dengan bantuan sistem.

Malah, selepas Bu Fang berhenti makan, dia masih rasa seolah-olah seluruh badannya terbakar dan keluar api dari matanya.

Bu Fang berhembus kuat dan sambil dia bangun, darah mengalir keluar dari hidungnya.

Sup itu terlalu berkhasiat ... sehingga hidungnya berdarah

Mimik muka Bu Fang kelihatan tidak berperasaan. Pada asalnya, dia bercadang membuang daging ayam yang masih ada ke dalam perut Si Putih untuk dikitar semula. Namun, selepas merenung seketika, dia pun membawa Ayam Phoenix Merah Darah itu kepada Si Hitam sambil mengepit hidungnya.

"Mari sini, Si Hitam. Masa untuk makan lewat malam," Bu Fang berkata dengan suara perlahan dan meletakkan Ayam Phoenix Merah Darah itu di hadapan Si Hitam.

Si Hitam, yang sedang berbaring di atas lantai dengan mata tertutup, tiba-tiba membuka mata. Mata anjingnya bersinar terang seperti hujan meteor.

"Owooo ~" Si Hitam melolong dengan gembira sambil berfikir. 'Manusia, akhirnya kamu cukup bijak dan sedar untuk tunjuk hormat kepada orang tua kamu!'

Kemudian, Si Hitam mula melahap Ayam Phoenix Merah Darah itu.

Bu Fang kembali ke dapur dan mengelap hidungnya yang berdarah. Dia berasa seluruh badannya dipenuhi tenaga tanpa had dan dia langsung tak mengantuk. Maka, dia pun mengambil sebuah pisau dapur berat yang dibuat khusus dan beberapa ribu batang lobak putih. Dia pun mula menghiris.

Dia langsung tak boleh berhenti...

Keesokan harinya, Bu Fang masih bertenaga meskipun dia telah memotong lobak putih sepanjang malam tadi. Dia membuka restorannya hari ini dan mula berniaga.

Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya datang tepat pada waktunya untuk makan.

"Tauke Bu, kenapa saya rasa ada aura pembunuh pada kamu hari ini?" Si Gemuk Jin bingung memandang Bu Fang.

Bu Fang menjeling Si Gemuk Jin dengan muka tidak beremosi. Dia menjilat sedikit bibirnya dan bertanya, "Betul ke?"

"Alamak...." Si Gemuk Jin tiba-tiba gementar sambil memandang Bu Fang dengan bingung. Dia berfikir, 'Tadi Tauke Bu menjilat bibir ke? Kenapa dia jilat bibir?'

Selepas Bu Fang menghidangkan semua makanan yang dipesan Si Gemuk Jin, dia kembali ke dapur. Selepas menghiris lobak putih sepanjang malam, memang patut pun keluar aura membunuh...

Si loli kecil, Ouyang Xiaoyi melangkah masuk ke dalam kedai dengan gembira. Hari ini hari terakhir dia bekerja sebagai pelayan dan dia akan bebas untuk pergi selepas hari ini.

'Tapi... kenapa saya rasa sedikit enggan?' Xiaoyi berfikir sambil menelengkan kepalanya.

"Xiaoyi, hidangkan makanan itu."

Jeritan Bu Fang menyebabkan Ouyang Xiaoyi berhenti memikirkan masalahnya.

"Ya, saya datang." Ouyang Xiaoyi cepat-cepat berlari ke arah tingkap sudah biasa dilihatnya dan mengangkut hidangan harum yang dimasak Bu Fang.

Selepas setiap pelanggan setia mereka tiba dan beredar, waktu perniagaan pada hari itu pun hampir berakhir.

Ji Chengxue juga datang pada hari itu. Dia masih kelihatan bersopan santun dan lemah lembut seperti biasa dan dia langsung tak terkesan dengan percubaan membunuhnya tempoh hari. Setelah sekian lama dia tak datang, dia ternampak pula banyak hidangan baru yang ada. Dia memesan setiap hidangan baru itu dengan seronok dan meninggalkan restoran dengan puas hati selepas makan.

Sekretariat Besar Su pula datang dengan tergesa-gesa. Dia sangat menggemari Nasi Goreng Telur dan hanya memesan itu saja.

Xiao Yue datang dan pergi dengan senang lenang seperti biasa. Dia hanya memesan sebotol Wain Jed Penyejuk Hati sebelum menempah wain itu untuk keesokan harinya.

"Saya sangat letih." Ouyang Xiao berasa letih sambil dia duduk di atas kerusi dan mencungap. Disebabkan restoran ini menjadi semakin terkenal, jumlah pelanggannya pun meningkat. Rasa agak letih jugak sepanjang hari ini. Walau bagaimanapun, Ouyang Xiaoyi rasa berpuas hati dengan pencapaiannya.

"Tauke busuk, saya sudah hampir mencecah Maniak Pertempuran kelas ketiga! Bila tiba masanya, saya akan pesan dan cuba banyak hidangan di sini, terutama sekali Sup Tauhu Kepala Ikan." Ouyang Xiaoyi berkata kepada Bu Fang sambil mata besarnya itu berkedip .

"Oh, baiklah. Saya akan tunggu kamu." Bu Fang juga duduk bersama sambil menjawab tanpa perasaan.

Ouyang Xiaoyi bercakap banyak pada hari ini dan berbual dengan Bu Fang tanpa henti. Sebaliknya, Bu Fang tetap acuh tak acuh dan kadang-kadang dia mengangguk dan membalas dengan "oh" sahaja.

"Tauke busuk, boleh tak kamu selamatkan Kak Yanyu esok? Saya selalu percaya kepada kamu." Ouyang Xiaoyi tiba-tiba menjadi muram.

"Tak perlu risau, kamu percayalah." Bu Fang terhairan seketika. Kemudian dia mengusap kepala Ouyang Xiaoyi dan cuba untuk senyum kecil.

"Tauke busuk, senyuman kamu ini hodoh betul!" Ouyang Xiaoyi membuat muka pada Bu Fang.

Muka Bu Fang terus kaku dan kembali ke wajah tak berperasaan itu sekali lagi.

"Tauke busuk masih nampak lebih tampan dengan muka yang serius." Ouyang Xiaoyi berbisik sambil melangkah ke arah pintu masuk kedai.

"Tauke busuk, esok saya akan datang lagi. Kamu mesti selamatkan Kak Yanyu ya. Saya percayakan kamu!"

Bu Fang menatap bayangan Ouyang Xiaoyi yang semakin lenyap, dan matanya bersinar lembut. Dia mengusap rambutnya yang diikat dengan tali dan kembali ke dapur.

"Bagaimana saya boleh gagal dengan muka setampan saya ini?" Bu Fang mengomel sendiri.

Untuk menyelamatkan Xiao Yanyu esok, dengan pengalaman memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej, dia yakin yang dia tak akan gagal.

Dia tenang sebab dia rasa yakin.

avataravatar
Next chapter