60 Xiaoyi, Tolong Hidang Makanan Itu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Betul ke kamu datang nak beli makanan bawa pulang?" Ekspresi Ji Chengxue nampak pelik sambil dia memandang Lian Fu. Ada rasa lucu dalam pandangannya.

"Ya betul, Maharaja berkata dia mahu rasa makanan di tempat ni. Sebab itu Patik cepat-cepat datang ke sini, walaupun Patik rasa tak ada hidangan yang sedap pun di sini. Tak mungkin makanan di sini lebih sedap daripada Restoran Phoenix Abadi dan dapur diraja." Lian Fu berkata tanpa peduli sambil memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama-sama. Dia juga bermain-main dengan jambul rambut di dahinya.

Pada masa itu, Ji Chengxue sudah pun menghabiskan makanannya. Dengan tenang, dia berdiri dan berkata kepada Lian Fu, "Tak, gong gong, tak betul apa yang kamu cakap. Kemahiran masakan Tauke Bu memang yang terbaik dan setanding dengan harga makanannya."

Lian Fu agak terperanjat sambil berfikir, 'Tak sangka putera ketiga begitu menyanjungi kedai ni. Nampaknya kedai ni memang berpotensi.'

"Harapnya begitulah. Tuanku, bukankah Maharaja melantik Tuanku mengetuai kempen ketenteraan untuk melawan sekta? Bila Tuanku akan berangkat?" Lian Fu tiba-tiba teringat sesuatu dan bertanya kepada Ji Chengxue.

"Masih ada beberapa hari lagi." Ji Chengxue nampak tak berminat langsung menjawab pertanyaan itu sambil dia mengeluh dan menghentikan perbualan. Selepas membayar bil, dia membawa pulang Penkek Tiram sambil beredar.

"Gong gong nak makan apa?" Ouyang Xiaoyi bertanya dengan comel kepada Lian Fu.

Lian Fu jalan berlenggang dan mengambil tempat duduk. Dia menyilangkan kaki dan bertanya sambil tersenyum, "Apa… yang sedap di sini?"

"Gong gong, tengok di belakang. Ada menu di dinding." Ouyang Xiaoyi menunjuk ke arah dinding di belakang Lian Fu dan berkata dengan serius.

Lian Fu agak terkejut. Bila dia menoleh, dia terus nampak menu dan harga yang melampau tinggi.

"Oh Tuhan! Memang betullah kedai ini tak berhati perut seperti yang dikatakan. Sepinggan Nasi Goreng Telur berharga sepuluh kristal. Ini lagi dahsyat daripada pencuri." Lian Fu mengangkat keningnya dan suara nyaringnya itu seakan mengejek.

Bu Fang berjalan keluar dari dapur dan mengesat titisan air di tangannya. Dia memandang Lian Fu tanpa perasaan.

"Harganya sudah jelas dinyatakan dan pelanggan-pelanggan kami dilayan secara adil. Ikut kamulah nak makan atau tak." Kata Bu Fang. 

"Heh! Kau ni panas baran walaupun tak kuat langsung. Kau ingat aku ada masalah ke dengan harga tu? Aku ada banyak duit. Kalau nak beli sepuluh restoran kau pun, duit aku lebih daripada cukup!" Kata Lian Fu sambil mendengus.

"Tak, kedai ni tak boleh dibeli dengan duit kamu tu." Bu Fang membalas dengan serius.

"Aku malas nak bergaduh dengan budak hulu macam kau ni. Kau tahu ke banyak mana harta aku? Kalau aku tukar jadi syiling emas, boleh tindih kau sampai mati!' Lian Fu memicit ibu jari dan jari tengahnya sambil bermain dengan kukunya. Dia memandang Bu Fang dengan rasa meluat.

"Aku dah malas cakap apa-apa. Hidangkan saja makanan. Aku nak cuba semua sekali. Kalau sedap, bungkus setiap hidangan untuk aku."

"Restoran ni tak sediakan servis bawa pulang. Hanya ada satu saja hidangan yang boleh dibawa pulang." Bu Fang membalas tanpa perasaan.

Lian Fu agak terkejut sambil dia merenung Bu Fang. Bila dia mendapati yang Bu Fang serius dan tak menipu, dia terus rasa berang.

"Kalau aku suruh kau bungkus makanan tu, bungkus sajalah. Kenapa banyak songeh?" Lian Fu menegakkan kakinya. Lian Fu mendengus dan berkata sambil bercekak pinggang dan satu tangannya menunjuk ke arah Bu Fang.

"Hmm? Kamu cuba nak cari pasal ke?" Kata Bu Fang sambil mengerutkan dahi.

Badan Lian Fu kaku sambil dia menjeling ke arah Si Hitam yang berbaring di pintu masuk dan masih mengunyah Tulang Rusuk Masam Manis. Bila dia teringat saat menakutkan bajunya terbang ditiup anjing hitam itu dengan sekali hembus, badannya menggeletar.

"Aku bukan nak cari pasal. Hidangkan saja makanan itu dan biar aku rasa dulu." Mulut Lian Fu tersentap dan dia akhirnya mengalah.

"Kamu nak makan apa?"

"Bukankah aku sudah cakap? Aku nak semua hidangan." Lian Fu membalas dengan rasa tak sabar.

Bu Fang memandangnya tanpa perasaaan dan bertanya, "Betul ni?"

Bila Lian Fu tak membalas, Bu Fang mengangguk dan beredar ke dapur.

Selepas seketika, bau harum Nasi Goreng Telur meresap ke tempat makan.

"Hidangan pertama, Nasi Goreng Telur Biasa. Xiaoyi, tolong hidang." Suara acuh tak acuh Bu Fang kedengaran dari dapur.

Xiaoyi berlari ke tingkap dapur dan membawa Nasi Goreng Telur yang harum itu kepada Lian Fu. dia meletakkan hidang itu di atas meja dan berkata dengan comel, "Ini adalah Nasi Goreng Telur. Selamat menjamu selera."

Lian Fu mengangguk. Sambil pandangan beralih ke arah Nasi Goreng Telur, matanya bersinar dan dia melihat sesuatu yang menakjubkan. Pinggan Nasi Goreng telur itu seakan-akan bercahaya.

Menggunakan sudu porselin untuk mencedok nasi, telur keemasan yang cair itu meleleh bila sudu diangkat. Bau harum yang kaya meresap keluar dan menyerang rongga hidung Lian Fu. Dia terus menghidu sedalam-dalamnya.

"Harum sungguh! Nampaknya dia memang berbakat." Lian Fu bergumam. Sambil dia menyuap Nasi Goreng Telur itu, rasa enak meletus di dalam mulutnya. Cecair telur yang lembut dan licin itu terus mengeras dalam mulutnya dan melekit bila dia mengecap mulutnya. Dia sudah tertawan dengan makanan itu.

"Se… Sedap!" Selepas satu suapan, dia tak mampu menahan diri lagi. Dia terus menyuap Nasi Goreng Telur itu berkali-kali.

Bila Ouyang Xiaoyi nampak keadaan Lian Fu, dia menutup mulutnya dan tertawa sambil berkata, "Gong gong, makan perlahan-lahan. Tak ada orang akan rampas makanan tu. Ada banyak lagi makanan lain sekejap lagi."

"Hmm… Se… Sedap!" Lian Fu mengangguk tanpa henti sambil dia membalas. Sebutir nasi keemasan itu jatuh di atas meja. Mata Lian Fu terus terbeliak sambil dia mengambil butiran itu dan menyuapnya.

"Hidangan kedua, Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Xiaoyi, tolong hidang." Suara Bu Fang kedengaran semula selepas siap satu lagi hidangan.

Bila Lian Fu menyuap Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, ekspresinya berubah. Dia tak sangka yang hidangan itu begitu padat dengan tenaga semangat. Ia seperti lebih berkesan daripada eliksir!

"Hidangan ketiga, Mi Campuran Kering dan Sayur Goreng."

"Hidangan keempat, Sup Tauhu Kepala Ikan. Xiaoyi, tolong hidang."

"Hidangan kelapan, Tulang Rusuk Masam Manis. Xiaoyi, tolong hidang." Suara Bu Fang kedengaran sekali lagi dan Ouyang Xiaoyi berlari dengan gembira untuk mengambil hidangan itu.

"Burp! Kenapa masih banyak lagi makanan… Harumnya… Burp!" Perut Lian Fu terlalu penuh sampai rasa nak pecah tapi mulutnya masih tak boleh berhenti makan. Dia baru saja menelan Shumai Keemasan yang begitu harum bila Tulang Rusuk Masam Manis itu dihidangkan.

Warna oren Tulang Rusuk Masam Manis begitu menyelerakan. Walaupun Lian Fu sudah makan banyak hidangan, dia masih lagi mencapai penyepitnya bila menghidu aroma itu.

Sambil Tulang Rusuk Masam Manis itu disuap, rasa sos yang memabukkan itu tersebar dalam mulutnya dan rasa daging yang kaya itu menawan hati Lian Fu.

"Gong gong masih rasa yang hidangan tauke busuk tak setanding Restoran Phoenix Abadi ke?" Ouyang Xiaoyi bertanya dengan tenang. Dia memandang Ketua Sida-sida Lian Fu yang sudah tertawan itu dengan perasaan bangga.

Lian Fu baru saja menghabiskan Tulang Rusuk Masam Manis dan mengesat bibirnya dengan sapu tangan. Pada masa yang sama, dia asyik bersendawa.

"Aku akui… Burp! Makanan di sini memang sedap dan setanding dengan harganya. Tambahan pula, hidangan-hidangan ni padat dengan tenaga semangat yang boleh meningkatkan pencapaian tahap pertapa. Harganya juga agak berpatutan." Lian Fu mengangguk dan berkata sambil mengecap bibir.

"Enak sungguh. Aku tak sangka tukang masak biasa macam kau ada bakat memasak yang hebat. Aku yang tersilap." Lian Fu memuji sambil memandang kagum ke arah Bu Fang yang baru berjalan keluar dari dapur.

Seperti biasa, Bu Fang senang hati menerima pujian orang terhadap kemahiran memasaknya.

"Baiklah, tukang masak, tolong bungkuskan setiap hidangan untuk aku." Lian Fu berkata sambil dia menggosok loket jed yang tergantung di pinggangnya. Tiba-tiba, kristal muncul dengan banyak.

"Restoran ini hanya membenarkan seorang pelanggan untuk memesan satu hidang makanan sekali sahaja dan tak boleh beli bawa pulang. Oh, ada satu hidangan yang boleh dibeli bawa pulang…iaitu Penkek Tiram."

Bu Fang memandang kristal di atas meja sambil berkata tanpa perasaan. 

avataravatar
Next chapter