"Ganjaran sistem: Peningkatan tahap Nasi Goreng Telur dan satu keping Set Cebisan Tuhan Masakan."

Sistem mengumumkan ganjaran Bu Fang dengan suara yang dingin.

Selepas mendengar pengumuman sistem, wajah Bu Fang yang gembira perlahan-lahan bertukar kepada tiada emosi.

"Kenapa Nasi Goreng Telur lagi? Apa bezanya Nasi Goreng Telur yang telah ditambah baik?" Bu Fang berasa sangat kecewa. Pada asalnya, dia ingat hidangan baru akan diperkenalkan, tidak sangka ia masih Nasi Goreng Telur. Walaupun ia telah pun ditambah baik… tetapi ia masih hanya Nasi Goreng Telur!

"Kelas Nasi Goreng Telur yang telah ditambah baik adalah lebih tinggi daripada Nasi Goreng Telur biasa dan ia menggunakan bahan-bahan asal yang berlainan. Pertapa di bawah tahap Maniak Pertempuran Kelas Ketiga tidak dibenarkan untuk memesan hidangan ini."

Sementara sistem menjelaskan perbezaan antara versi yang telah ditambah baik dengan versi biasa dengan serius, Bu Fang masih dalam keadaan terkejut dan tidak berfikir apa-apa mengenainya. Semestinya versi tahap tinggi ada kelebihannya tersendiri.

"Jadi, apakah Set Cebisan Tuhan Masakan?"

"Set Cebisan Tuhan Masakan: Tuan boleh menukar alat memasak baru melalui koleksi Set Cebisan Tuhan Memasak. Peralatan masakan yang tuan gunakan hanyalah alat biasa."

"Rasanya Set Tuhan Masakan ini bunyinya lebih menarik!" Bu Fang terkejut sambil mengelipkan mata. Senyuman juga mula muncul pada mukanya yang tiada emosi sebentar tadi.

Hidangan yang baru juga muncul pada menu restoran kecil itu dengan misteri bersama dengan harga yang terpapar tidak lama kemudian.

Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, sepuluh kristal.

"Sebagai seorang pemuda yang mengimpikan untuk menjadi Tuhan Memasak, mana boleh tiada matlamat jangka pendek? Misi sistem: sila kumpulkan keuntungan sekurang-kurangnya seratus kristal dan seribu syiling emas dalam masa seminggu."

Sistem menyampaikan misi kepada Bu Fang dengan serius.

Untuk mengutip keuntungunan sebanyak seratus kristal dalam masa seminggu, dia perlu menjual seratus mangkuk Nasi Goreng Telur biasa atau sepuluh mangkuk versi tahap tinggi. Selain itu, dia juga perlu menjual sepuluh pinggan Sayur Goreng atau Mi Kering Campur untuk seribu syiling emas ...

"Sistem, ini terlalu sukar! Aku hanya dapat menjual satu mangkuk Nasi Goreng Telur hari ini dan kau hendak aku jual seratus mangkuk Nasi Goreng biasa dalam masa tujuh hari... Mengapa kau tak bunuh aku sahaja!?" Bu Fang mengadu kepada sistem itu dengan sedih.

Namun, sistem dengan dingin pula menggalakkan Bu Fang. "Untuk menjadi seorang Tuhan Masakan, kau jangan takut kepada kesusahan. Semua kesusahan hanyalah batu loncatan untuk kau menjadi yang terbaik!"

Walaupun begitu, Bu Fang masih kekal tidak beremosi. Dia tidak mahu peduli dengan galakan sistem itu. Hakikatnya, jika sistem itu tidak bercakap dengan nada yang dingin, Bu Fang mungkin telah berjaya ditipunya.

Dengan keluhan, Bu Fang berbaring di atas katilnya dan menutup mata.

...

Xiao Xiaolong sudah pulang ke rumahnya di kediaman jeneral. Tetapi dia kelihatan sedikit bingung. Daya tulen di dalam tubuhnya masih dalam keadaan aktif dan membuatkan dia berasa segalanya tidak benar.

"Dengan hanya makan satu mangkuk Nasi Goreng Telur sudah boleh melepasi tahap cerutan, ini... Ini memang sukar dipercayai." Xiao Xiaolong kelihatan seperti mabuk selepas mengenangkan rasa Nasi Goreng Telur itu, seolah-olah dirinya terapung di dalam lautan aroma.

Keluasan Kediaman Jeneral adalah sangat besar. Ketika Xiao Xiaolong melepasi hamba yang sedang sibuk di sepanjang jalan, mereka terkejut sambil menutup mulut selepas melihat rupa dia.

"Kenapa dengan tuan muda Xiao?"

"Wajah muka dia sungguh menyeramkan!"

"Bleh! Menakutkan betul! Imej sempurna tuan muda Xiao telah musnah dalam hati saya, dia adalah cinta pertama saya!"

...

Perbualan antara hamba telah mengejutkan Xiao Xiaolong dari lamunan. Renungan mereka yang menyebabkan dia melajukan langkahnya dan menghilangkan diri dari pandangan.

Xiao Xiaolong sedang duduk bersila di dalam bilik yang kelihatan sederhana dengan matanya tertutup. Daya tulen sedang beredar di dalam tubuhnya dan kulitnya berkilau, menyebabkan dia kelihatan bercahaya suci.

Satu letupan daya bergegas keluar dari teras tenaga Xiao Xiaolong menuju ke kaki dan seluruh titik akupunturnya. Daya tulen itu lembut seperti sungai yang mengalir dan menyuburkan semua benda yang dilaluinya, seperti diurut dengan tangan gadis dengan lembut.

Tepat lima belas minit kemudian, wajah Xiao Xiaolong menjadi merah dan matanya tiba-tiba terbuka. Tenaga yang dihasilkan oleh tubuhnya semakin meningkat, matanya bersinar dan mulutnya dibuka sambil meletuskan satu tenaga yang keruh.

Apabila had ekstrem telah dicapai, tiba-tiba ia berundur sepenuhnya dari tubuhnya seperti ia tidak pernah wujud.

Sambil Xiao Xiaolong berdiri, bunyi tulang-tulangnya bertembung di seluruh badannya bergema. Daya tulen muncul dan berlingkar di tengah tapak tangan semasa dia mengangkat tangannya.

"Haha! Manifestasi daya tulen! Saya memang benar telah mencapai Maniak Pertempuran Kelas Ketiga!"

Xiao Xiaolong ketawa dengan gembira.

"Zhao Ruge! Sekarang, aku adalah Maniak Pertempuran Kelas Ketiga! Aku sudah tidak takut kepada kau!" Mulut Xiao Xiaolong melebar dan ketawa tidak henti.

Namun, tiba-tiba pintu biliknya dibuka sebelum dia habis ketawa. Daya tulen yang dia gunakan untuk mengunci pintunya dipecahkan oleh satu daya tulen yang lebih kuat.

"Xiao Xiaolong! Kau mesti sudah sangat berkebolehan sekarang, berani kau bertaruh kakak kau dalam perjudian dengan Zhao Ruge!"

Sementara pintu dipecahkan, satu kelibat yang anggun melangkah ke dalam bilik diiringi dengan suaranya yang indah.

"Eh? Ah... Kakak!

Xiao Xiaolong terkejut apabila dia melihat penceroboh itu dan seluruh badannya menggigil.

Penceroboh itu adalah seorang gadis yang cantik. Kulitnya cerah dan lembut seperti salji. Dia berpakaian jubah salji putih dipadankan dengan kot hijau yang nipis. Rambutnya yang seperti sutera dibiarkan terurai bebas di belakang bahunya.

Xiao Yanyu memandang Xiao Xiaolong dengan keningnya yang dikerutkan. Dia berasa marah kerana adiknya yang suka berfoya-foya, berani menggunakan dia sebagai barang pertaruhan.

"Kakak, dengar cakap saya dahulu. Saya termakan muslihat Zhao Ruge! Jangan risau, saya pasti akan menang! Tengok, saya sudah menjadi Maniak Pertaruhan Kelas Ketiga!"

Dengan cepat Xiao Xiaolong katakan dengan tangannya diangkat diikuti dengan satu bebola daya tulen yang berlingkar di atasnya.

Walaupun Xiao Yanyu masih marah tetapi dia juga terkejut. Dia sedar kemampuan adiknya yang sudah agak lama tersekat di puncak Guru Perjuangan Kelas Kedua. Tiada sebarang tanda penemuan yang baru semalam, bagaimana dia berjaya dengan tiba-tiba?

"Kakak! Walaupun ada kemungkinan Zhao Ruge juga adalah Maniak Pertempuran Kelas Ketiga, tetapi awak harus percaya pada adik awak! Saya pasti akan kalahkan dia!" Xiao Xiaolong berkata sambil ketawa.

Kecantikan Xiao Yanyu sangat terkenal di dalam bandar diraja. Sudah sekian lama Zhao Ruge mengagumi kecantikanya. Tetapi, dia adalah anak perempuan Jeneral Besar Xiao Meng, maka Zhao Ruge tidak berani melakukan apa-apa, meskipun dia adalah anak kepada Menteri Kiri.

Jika Xiao Yanyu adalah anak perempuan kepada orang biasa, kemungkinan besar dia sudah menjadi gundik Zhao Ruge sekarang.

"Kakak, awak tidak rasa pelik dengan bagaimana saya boleh meningkat?" tanya Xiao Xiaolong dengan penuh godaan.

Xiao Yanyu mengangkat kainnya sedikit dan duduk di atas kerusi. Matanya yang cerah memandang Xiao Xiaolong dan berkata, "Mula cerita, saya dengar."

Xiao Xiaolong tersengih, dia tahu kakaknya mesti dapat mengesan penemuan ini adalah sesuatu yang pelik.

Xiao Yanyu seorang yang sangat pintar dan dikenali sebagai gadis yang berbakat luar biasa di dalam Empayar Dayu. Dia pasti kakaknya akan berasa pelik.

Dengan itu, Xiao Xiaolong berbisik ke telinga Xiao Yanyu dan berkata dengan sangat serius, seolah-olah dia sedang memberitahu satu rahsia.

Xiao Yanyu terkejut sebentar dan berfikir, "Nampaknya rahsia ini sesuatu yang luar biasa. Adik saya yang biasanya bersikap sambil lewa pun menjadi serius tentang hal ini. Saya mesti dengar betul-betul."

"Kakak! Rahsia penemuan saya... sebenarnya disebabkan oleh... satu mangkuk Nasi Goreng Telur!"

"Rupanya Nasi Goreng Telur! Eh? Huh? Nasi Goreng Telur?!"

Wajah Xiao Yanyu yang cantik itu membeku dan bertukar menjadi merah cerah. Budak ini, berani dia mempermainkan kakaknya!

Dengan cepat, jari Xiao Yanyu yang putih dan panjang memutar telinga Xiao Xiaolong. Dengan ketawa yang dingin dia berkata, "Saya rasa, kau semakin berkebolehan untuk mempermainkan kakak kau. Kau ingat Nasi Goreng Telur adalah eliksir? Ia juga boleh bantu kau tingkatkan tahap? Merepek!"

Xiao Xiaolong merasakan seolah-olah satu anak panah yang tidak kelihatan telah menusuk ke dadanya. "Saya bercakap jujur, mana kepercayaan antara adik beradik?"

Sambil berkerut, Xiao Xiaolong menceritakan seluruh proses penemuannya. Dalam penerangannya, restoran kecil di lorong itu adalah tempat yang penuh misteri.

"Jadi, maksudnya awak telah gunakan satu kristal untuk makan satu mangkuk Nasi Goreng Telur?!"

Mata Xiao Yanyu menjadi besar sambil memandang adiknya yang berkelakuan seperti pemenang, tiba-tiba dia rasa mahu mencabut telinga budak ini.

"Kakak! Jika awak tak percaya, saya akan bawa awak ke restoran kecil itu esok, awak pasti rasa gembira. Rasa Nasi Goreng Telur itu, aroma itu... Ohh, seolah-olah kenangan zaman kanak-kanak saya telah dibangkitkan. "

Mata Xiao Xiaolong dipenuhi dengan rasa kagum.

Walau bagaimanapun, Xiao Yanyu masih tidak percaya dan berfikir, "Budak ini pasti sudah kena sihir yang pelik. Hanya satu mangkuk Nasi Goreng Telur sahaja, betapa lazatkah ia?

Hmph! Kita akan lihat esok, wajah sebenar Nasi Goreng Telur misteri ini!"

avataravatar
Next chapter