45 Xiao Meng Sudah Datang Ke Restoran

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Percubaan pertama tuan gagal."

Suara sistem kedengaran dalam minda Bu Fang dan membuat dia terkejut. Kenapa dia gagal? Harumannya begitu kuat…

Bila Bu Fang mengalihkan periuk tanah daripada dapur dan membuka penutupnya, wap tebal bercampur dengan bau wangi ayam meresap keluar. Aroma Herba Sej itu pun bercampur dengan haruman itu juga. Bu Fang rasa sedikit mabuk sambil dia menghidu bau dengan gelojoh.

Dalam periuk tanah itu, daging ayam merah darah itu bergetar seperti jeli dan sup ayam itu masih menggelegak dan mengeluarkan bau harum. Jus berwarna ungu daripada Herba Sej itu bertukar kepada hijau kekuningan selepas mendidih. Ada lapisan buih kuning yang terapung di atas sup, hasil penghabluran esen herba semangat. 

"Hmm?" Bu Fang mengerutkan kening sambil merenung warna sup ayam itu. Selepas beberapa ketika, dia mengeluh panjang dengan wajah kesal.

Tak salah lagi. Bu Fang memang gagal. Kalau dia berjaya menyiapkan Sup Ayam Phoenix Herba Sej itu, warna sup tak akan jadi hijau kekuningan. Untuk mencapai keberkesanan sempurna, jus Herba Sej perlu betul-betul meresap ke dalam daging, dan warna sup perlu bertukar kepada kuning jingga.

"Cadangan sistem: Semasa proses memasak Masakan Eliksir, tuan boleh mempercepat proses resapan jus Herba Sej ke dalam daging ayam menggunakan daya tulen. Ini akan memastikan keberkesanan herba semangat dan menambah baik tekstur daging." Kata Sistem.

"Guna daya tulen untuk mempercepat proses?" Mata Bu Fang bersinar. Dia telah mengikut cara memasak yang betul tapi dia masih gagal. Dia memikirkan semula apa yang dia telah buat tapi dia masih tak dapat meneka apa yang salah. Selepas sistem mengingatkan dia, barulah dia sedar apa yang silap.

Dia memasak Masakan Eliksir menggunakan herba semangat yang sangat banyak. Untuk meneutralkan tenaga semangat bahan-bahan dan herba semangat itu, dia tak boleh mengharapkan peralatan dapur saja untuk memasak hidangan itu. Dia juga perlu menggunakan daya tulen untuk menyiapkan Masakan Eliksir.

Sebenarnya, Bu Fang bukan sekadar perlu menggunakan daya tulen untuk Masakan Eliksir. Pada masa akan datang, hidangan lain pun memerlukan dia berbuat demikian. Itu salah satu sebab kenapa sistem membantu Bu Fang menukar kristal kepada daya tulen.

Banyak bahan bergred tinggi memerlukan tenaga semangat yang banyak jadi tak cukup sekadar bergantung kepada peralatan dapur untuk mengendalikannya. Kalau dia tersilap langkah, mungkin akan berlaku letupan atau masalah-masalah lain. Bu Fang perlu mengambil kira perkara-perkara sebegini sebelum mula menggunakan bahan yang lebih tinggi daripada kelas kelima. 

"Huff~" Bu Fang menarik nafas dalam sebelum memanggil Si Putih untuk mengitar semula Sup Ayam Phoenix Herba Sej yang tak menjadi itu.

Dia meregangkan badan dan menguap. Sudah tiba masa untuk dia tidur. Sebagai anak muda yang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan, Bu Fang perlu mengawal masa bekerja dan berehat. Bila tiba masa untuk tidur, dia tak akan buat perkara lain.

Walaupun Bu Fang telah gagal percubaan pertama memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej, dia masih tenang seperti biasa.

Selepas mengusap perut Si Putih, Bu Fang kembali ke biliknya dan tidur dengan nyenyak.

Keesokan paginya, dia bangun dan memulakan perniagaan selepas membersihkan diri.

Dia berlatih Teknik Pemotongan Meteor seperti biasa dan menyiapkan misi untuk hari itu. Dia kemudian menggunakan lobak putih untuk berlatih memasak Nasi Goreng Telur Lobak Putih.

Selepas Bu Fang mencuba dan berpuas hati dengan rasanya, dia memberikannya kepada Si Hitam yang sedang tidur di pintu masuk.

Restoran itu pun semakin terkenal. Paling tidak pun, bila dia mulakan perniagaan setiap pagi, segerombolan lelaki-lelaki gemuk akan setia menunggu di luar. Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya datang setiap hari tanpa mengira cuaca.

"Tauke Bu, saya nak sehidang Shumai Keemasan! Oh, Tulang Rusuk Masam Manis rupanya berharga lima puluh kristal! Disebabkan ia mahal, saya nak sehidang juga!" Si Gemuk Jin berkata sambil tertawa dan lemak di mukanya bergetar.

Lelaki-lelaki gemuk lain pun memesan hidangan mereka dan Bu Fang mula sibuk bekerja. Ouyang Xiaoyi pun sudah sampai. Selepas beberapa hari bekerja, dia lebih berpengalaman dan lebih mahir melakukan tugasnya.

Semasa waktu berniaga, Bu Fang akan bekerja seperti biasa. Dia tak ada masa memikirkan cara memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej dan dia nampak sangat tenang.

Xushi dengan segera masuk ke dalam restoran. Sejak putera mahkota mengarahkan dia memeriksa tempat itu, dia sudah tertawan dengan makanan yang sedap itu dan datang hampir setiap hari.

"Cik, saya nak sehidang Ikan Rebus!" Xushi mengangguk ke arah Ouyang Xiaoyi.

Ikan Rebus ialah hidangan kegemaran Xushi. Dia sukakannya lebih daripada Ikan Perap Bijian Wain Beras dan Sup Tauhu Kepala Ikan. Rasa enak setiap kepingan ikan yang lembut dan licin itu memabukkan dia.

Selepas menerima pesanan, Bu Fang mengangguk dan pergi ke tangki ikan. Tangannya dengan pantas menyambar seekor ikan hitam dari dalam tangki. Ia sejenis ikan air tawar dan grednya lebih rendah daripada Ikan Kap Perak Guruh. Tapi, tekstur dagingnya lebih lembut daripada Ikan Kap Perak Guruh itu.

Bila Bu Fang meletakkan ikan yang sedang bergelut itu di atas papan pemotong, ia meludah keluar air ke arahnya dan menyebabkan baju Bu Fang basah sedikit.

Tanpa perasaan, Bu Fang mengetuk kepala ikan dengan pisau. Dia kemudian membuang sisik dan perut ikan dengan mahir. Teknik pemotongannya semakin hebat selepas beberapa hari berlatih dan kelajuannya menghiris ikan pun bertambah.

Bila ikan sudah dihiris, langkah seterusnya lebih mudah. Selepas sayur semangat disiang, ia diletakkan dalam satu periuk untuk direbus. Bila baunya terbit, dia memasukkan hirisan ikan yang dipanaskan sedikit dengan halia untuk menghilangkan bau hanyir. Selepas merebus seketika, masakan itu sedia untuk dihidangkan.

Ikan Rebus yang harum dan berkilat itu dihidangkan di hadapan Xushi dan menyebabkan matanya bersinar dengan ekspresi penuh bersemangat.

Mungkin putera mahkota pun tak sedar yang penasihat nombor satunya ini kaki makan.

Dada.

Seorang lelaki pertengahan umur dengan wajah tampan bak marmar yang diukir masuk ke dalam restoran sambil menyilangkan tangan di belakang. Renungannya tajam dan dingin sementara auranya mencemaskan.

Bila dia menghidu bau harum dalam restoran itu, timbul sedikit rasa kagum pada wajahnya.

Lelaki pertengahan umur itu terperanjat sekali lagi bila melihat Ouyang Xiaoyi dan bertanya, "Hmm? Xiaoyi? Apa kamu buat di sini?"

Bila suaranya kedengaran, Xushi yang baru saja nak menyuap sekeping Ikan Rebus, terus menggeletar menyebabkan ikan itu jatuh ke dalam mangkuk. Akibatnya, sos dalam mangkuk itu terpercik ke janggutnya.

"Jeneral… Jeneral Besar Xiao Meng?" Bila Xushi menoleh dan nampak Jeneral Xiao, dia terus berdiri dan memberi tabik genggam. Pada masa yang sama, dia terfikir. "Oh Tuhan, Jeneral Besar Xiao Meng pun datang ke restoran kecil ini? Maklumat ini penting. Aku mesti sampaikan kepada putera mahkota."

Xiao Meng mengangguk. Dia sememangnya dapat mengecam penasihat nombor satu putera mahkota. Dia menghargai kebolehan Xushi merangka strategi dan merancang, dan jeneral itu mengakui kebolehannya.

"Pakcik… Pakcik Xiao, kenapa pakcik datang sini?" Ouyang Xiaoyi masih rasa takut dengan Xiao Meng. Lagi pun, pakar nombor satu bandar Diraja itu memang berprestij.

"Disebabkan pakcik datang ke restoran, sudah tentulah pakcik nak makan." Xiao Meng membalas mudah dan menoleh ke arah menu. Harga yang melambung tinggi dalam menu itu langsung tak memeranjatkannya dan ekspresi wajahnya tak berubah langsung.

Seperti dijangka, Santo Pertempuran kelas ketujuh memang seorang yang tenang.

Xushi mengangguk secara sembunyi dan mengucapkan tahniah kepada Xiao Meng dalam fikirannya.

"Tulang Rusuk Masam Manis, Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi, Ikan Perap Bijian Wain Beras, Shumai Keemasan… dan satu balang Wain Jed Penyejuk Hati." Xiao Meng membaca senarai hidangan dengan tenang sambil berdiri dengan menyilangkan tangannya di belakang.

Selepas mengambil pesanan, Ouyang Xiaoyi kembali ke dapur dan menyampaikan hidangan itu kepada Bu Fang.

Bu Fang agak terkejut sambil berfikir, 'Nampaknya ada orang suka berbelanja datang. Hidangan-hidangan ini berharga banyak kristal…' Selepas mengangguk tanpa perasaan, Bu Fang mula memasak.

Selepas Xushi habis makan Ikan Rebus, dia mengucapkan selamat tinggal kepada Xiao Meng dan terus beredar. Dia perlu segera menyampaikan maklumat itu kepada putera mahkota. 

Disebabkan Jeneral Besar Xiao sedang melawat restoran, ini peluang baik untuk putera mahkota memenangi hatinya.

Tak lama selepas Xushi beredar, Ouyang Xiaoyi menghidangkan pesanan Xiao Meng dengan rasa takut.

Setiap hidangan berbau harum. Orang yang tenang seperti Xiao Meng pun rasa terperanjat… Rasa hidangan itu lebih sedap daripada apa yang dijangka.

Ia lebih hebat daripada hidangan di restoran nombor satu di bandar Diraja iaitu Restoran Phoenix Abadi.

Pesanan terakhir iaitu Wain Jed Penyejuk Hati dihidangkan sendiri oleh Bu Fang. Sambil dia keluar dari dapur, Xiao Meng terus memandangnya.

Xiao Meng meletakkan penyepitnya, memandang Bu Fang dengan senyuman yang dibuat-buat dan berkata, "Kamu pemilik restoran ini? Tauke Bu yang mencederakan anak perempuan aku dan berjanji menyembuhkannya?"

avataravatar
Next chapter