37 Tulang Rusuk Masam Manis dan Teknik Pemotongan Meteor

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Tuan, tahniah kerana memperoleh lima ratus kristal dan menyelesaikan objektif jangka pendek. Tuan akan menerima ganjaran sistem dan ia sedang disediakan…"

Suara bersungguh sistem kedengaran dalam minda Bu Fang, mengejutkannya daripada rasa mabuk.

Dia tak sedar pun beberapa hari sudah berlalu dan dia sudah pun mendapat lima ratus kristal. Wajah Bu Fang yang tak ada perasaan pun tersenyum.

"Anak muda yang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan, tahniah kerana menyelesaikan misi jualan jangka pendek. Tuan telah maju selangkah lagi untuk mencapai matlamat. Ganjaran: Kaedah memasak Tulang Rusuk Masam Manis, kaedah latihan Teknik Pemotongan Meteor, dan satu bahagian Set Tuhan Masakan."

"Tulang Rusuk Masam Manis?!"

Bila Bu Fang terdengar suara sistem menyebut hidangan itu, dia menelan air liur tanpa sedar. Dia sudah biasa dengan hidangan itu kerana ia hidangan kegemarannya di Bumi.

Bu Fang gembira yang dia berjaya mendapat hidangan baru dan hidangan itu adalah Tulang Rusuk Masam Manis. Dia terasa sangat gembira seperti berjalan di atas angin.

Tulang Rusuk Masam Manis yang sedap mempunyai aroma yang kuat dan dagingnya berwarna oren. Rasanya masam-manis dan ia rangup di luar dan lembut di dalam. Bila daging digigit, haruman kaya daging itu menjadikan letusan aroma dalam mulut dan memukau mereka.

Tulang Rusuk Masam Manis sememangnya hidangan yang boleh menawan hati.

Bu Fang menahan keinginan untuk terus memasak Tulang Rusuk Masam Manis dan dia memilih Teknik Pemotongan Meteor. Sememangnya dia bukan seorang amatur dalam mengendalikan pisau. Lagipun, dia sudah memasak bertahun-tahun lamanya dan dia mempunyai teknik memotongnya tersendiri.

"Kaedah latihan Teknik Pemotongan Meteor: Sebagai anak muda yang bercita-cita menjadi Tuhan Masakan, tuan perlu ada teknik memotong yang hebat. Mod latihan teknik memotong telah diaktifkan. Dengan menyelesaikan latihan harian teknik memotong, tuan akan menerima mata pengalaman teknik memotong dan meningkatkan teknik pemotongan tuan. Bila tuan sudah memperoleh kecekapan Teknik Pemotongan Meteor, pisau tuan akan menjadi laju seperti meteorit sambil tuan memotong bahan dengan tepat dan sempurna kepada bahagian yang sama besar."

Bu Fang terkejut dan kemudian panel karakter terpampang dalam mindanya.

Tuan: Bu Fang

Tahap Kekuasaan Daya Tulen: Kelas Ketiga (Sudah mencapai kebolehan memperlihat daya tulen di luar badan. Sebagai Tuhan Masakan dalam dunia fantasi, kamu perlu menggunakan daya tulen semasa memasak. Teruskan usaha, anak muda.)

Bakat Memasak: Belum diketahui

Kemahiran: Teknik Pemotongan Meteor Tahap Satu (0/100)

Peralatan: Bahagian Set Tuhan Masakan (3/4)

Peringkat Keseluruhan Penilaian Tuhan Masakan: Cef Perantis (Kamu sudah boleh masak bahan menggunakan daya tulen. Latihlah teknik pemotongan dan perjalanan menjadi Tuhan Masakan akan terbuka. Teruskan usaha, anak muda.)

Tahap Sistem: Tiga Bintang (Nisbah penukaran ialah dua puluh lima peratus, pelanggan dibenarkan membawa bahan yang lebih rendah dari kelas keempat.)

Selepas Bu Fang selesai membaca panel yang dikemas kini itu, dia menarik nafas dalam dan menghembusnya untuk menenangkan rasa tak keruannya.

Sambil dia mengangkat tangan dan mencari kekuatan diri, dia merasakan letusan tenaga seperti ular yang mengalir dalam badannya dan keluar dari tapak tangannya seperti aliran gas putih.

Penyataan daya tulen! Itu pernyataan daya tulen! Mulut Bu Fang ternganga luas kerana terperanjat. Dia merasakan yang dia seperti pakar dalam novel dan dia rasa penuh tak percaya.

Untuk menjadi Maniak Pertempuran Kelas Ketiga, dia memerlukan tenaga seratus kristal dan dia telah mendapat lima ratus kristal. Nisbah penukaran ialah dua puluh peratus semasa sistem berada pada tahap Dua Bintang. Selepas ditukar, daya tulen yang dia dapat bernilai seratus kristal. Jadi, dia berjaya menjadi Maniak Pertempuran.

Bu Fang baru saja menjadi Mahaguru Pertempuran Kelas Kedua beberapa hari lepas, dan sekarang, dia sudah berjaya mencapai satu lagi kejayaan. Dia sendiri pun rasa susah nak percaya.

Kalau orang lain yang menyaksikan semua ini, mereka pasti lebih hairan.

Namun, kehairanan Bu Fang tak bertahan lama dan dia kembali tenang. Dia lain daripada yang lain. Walaupun daya tulennya ialah kelas ketiga, kalau dia bertarung dengan Xiao Xiaolong, dia akan kalah dengan mudah. Walaupun pencapaian tahap pertapanya tinggi, kebolehan bertarungnya tiada nilai.

"Tapi, kalau aku tak boleh bertarung pun, aku masih ada Si Putih," fikir Bu Fang.

"Sistem, berapa banyak daya tulen yang aku perlukan untuk capai kelas keempat?" tanya Bu Fang.

"Semangat Pertarungan Kelas Keempat memerlukan seribu kristal. Raja Pertempuran kelas kelima memerlukan sepuluh ribu kristal. Mahajara Pertempuran kelas keenam memerlukan seratus ribu kristal." Balas sistem dengan bersungguh kepada Bu Fang.

Bu Fang memegang dadanya untuk menahan daripada keinginan untuk muntah darah… Sungguh menghampakan! Berapa banyak pinggan Nasi Goreng Telur yang perlu dia jual untuk dapatkan seratus ribu kristal? Sampai ke tua dia perlu berniaga.

"Nampaknya harapan aku sudah hancur untuk berpura-pura sombong dengan pencapaian tahap pertapaan di masa akan datang…" Bu Fang berkata sambil mengeluh penuh penyesalan.

"Kalau Maharaja Pertempuran kelas keenam perlukan seratus ribu kristal, Santo Pertempuran kelas ketujuh pasti memerlukan sejuta kristal… Oh tuhan, sejuta kristal! Kalau dikumpul menjadi gunung, mati aku akan dihempap."

"Kalau aku terus mengira, Tuhan Pertempuran kelas kelapan… Oh Tuhan!"

Bu Fang menggigil dan tak berani untuk terus memikirkannya. Dia bertenang. Kelas ketujuh dan kelapan sememangnya tiada kaitan dengan dia buat masa ini. Tak perlulah dia fikirkan tentang itu sekarang. Bu Fang merasakan yang hidupnya sekarang tak begitu teruk.

Selepas waktu operasi tamat, Bu Fang terus menutup pintu masuk kedai dan masuk ke dapur untuk membuat kajian tentang Tulang Rusuk Masam Manis.

Dewan Besar istana Diraja.

Pintu Dewan Besar yang megah itu dibuka luas sambil berbaris-baris gadis istana yang kurus dan cantik masuk membawa hidangan yang sedap ke dalam dewan.

Sambil bunyi pipa1 berkumandang, ia dibalas bunyi se2.

Suasana dalam Dewan Besar meriah dengan perayaan.

Di tempat tertinggi Dewan Besar itu, maharaja bersemayam di atas kerusi kayu zen3 berwarna emas. Meja di hadapannya dipenuhi hidangan enak sementara dua gadis istana mengipasnya.

Duduk di bahagian kiri bawah maharaja adalah Jeneral Besar Xiao Meng yang kacak dan berbakat dan putera mahkota yang tersenyum, Ji Chengan. Di bahagian kanannya ialah putera kedua, Raja Yu dan putera ketiga, Ji Chengxue; mereka berdua nampak agak dingin dan kekok.

Jauh di bawah mereka ialah pegawai kerajaan Empayar Bayu dan tetamu kehormat yang dijemput ke jamuan itu.

Ahli keluarga Xiao dan Ouyang duduk bersama-sama. Ouyang Xiaoyi duduk di sebelah Xiao Yanyu dan berborak dengannya.

Xiao Xiaolong pula seronok memandang balang nilam yang berisi wain, Nektar Berhias Permata.

Seperti Xiao Xialong, tiga orang gasar keluarga Ouyang menjilat bibir sambil memandang balang wain itu.

Ada persamaan antara kedua-dua keluarga itu dan ia hidangan di hadapan mereka yang tak terusik. Pemandangan itu agak pelik dalam Dewan Besar itu.

Kesemua hidangan itu disediakan cef dapur diraja. Rasanya memang sedap dan boleh dikatakan itulah makanan paling sedap dalam Empayar Bayu. Namun, adik beradik Xiao dan Ouyang masing-masing berhenti makan selepas sekali suap.

"Makanan ini tak sedap. Lagi teruk daripada rasa makanan tauke busuk…" Ouyang Xiaoyi berkata sambil dia menggunakan penyepit untuk bermain-main dengan seketul ikan. Dia tak ada selera langsung.

Walaupun Xiao Yanyu yang cantik turut membuat muka terhadap makanan itu, tak ada tanda pun penyepitnya akan digunakan. Dia hanya melihat suasana dalam Dewan Besar itu dengan tenang.

"Satu-satu sebabnya kita di sini adalah Wain Nektar Berhias Permata. Kalau tak kerana restoran Tauke Bu tak ada wain, aku malas nak datang ke jamuan ni. Hidangan ini tak setanding Nasi Goreng Telur Tauke Bu!" kata Xiao Xiaolong sambil mengeluh.

Bila tiga orang gasar keluarga Ouyang mendengar tentang itu, mereka mengangguk laju dan Ouyang Zhen berkata, "Ikan Perap Bijian Wain Beras Tauke Bu sangat sedap. Orang seperti kami yang tak ada deria rasa pun boleh tertawan!"

"Tch! Kau membesarkan cerita saja. Tak mungkin kedai buruk macam tu boleh ada hidangan sedap." Zhao Ruge sedang duduk berhampiran dengan elegan. Bila dia terdengar perbualan itu, dia terus mengejek mereka.

"Apa yang kau ketawakan? Kalau aku kata sedap, sedaplah!" Ouyang Zhen berkata sambil memandang Zhao Ruge dengan marah.

"Cef dapur diraja dipilih khas oleh Tuanku dari kalangan cef tersohor dalam empayar ini. Mereka perlu ditapis dengan ketat sebelum dapat menjadi cef diraja. Macam mana cef biasa dari restoran lorong boleh menandingi mereka? Kalau kau puji dia, adakah maksudnya kau menghina kebolehan Tuanku untuk memilih bakat?" Kata Zhao Ruge.

Walaupun Ouyang Xiaoyi merasakan yang tauke busuk ialah orang yang menyakitkan hati, dia tak suka bila orang mengatanya. Matanya yang bulat memandang Zhao Ruge sambil dia berkata dengan muncung, "Kau pernah makan ke hidangan tauke busuk? Kalau tak pernah, tolong senyap!"

Ekspresi Zhao Ruge kaku dan dia merasakan seperti ada anak panah menusuk dadanya.

"Hidangan seterusnya, Wain Nektar Berhias Permata!"

Sejenak sebelum Zhao Ruge melawan balik, suara sida yang tajam kedengaran. Kemudian, semua tetamu bersorak kerana kemuncak jamuan akhirnya telah tiba.

Zhao Ruge mendengus, kemudian menunjuk ke arah balang nilam yang disusun sekali, "Kau nampak Wain Nektar Berhias Permata ini? Wain ini sudah cukup untuk menandingi semua hidangan dalam restoran itu!"

Wain Nektar Berhias Permata itu wain nombor satu dalam Empayar Bayu… Dia yakin tentangnya! 

avataravatar
Next chapter