121 Tauke Busuk Lebih Suka yang Baru daripada yang Lama?

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Salji putih yang halus bagaikan bulu pelepah turun dari langit dan melitupi seluruh istana diraja menjadi satu lapisan berwarna perak. Ia juga memberikan perasaan yang menyeramkan di dalam Dewan Utama yang hebat dan agung itu.

Ji Chengxue memakai jubah putih dan dia perlahan-lahan berjalan ke Dewan Utama. Rambutnya diikat dengan seutas tali dan dia tidak memakai begitu banyak perhiasan di badannya.

Salji yang menutupi jalan ke Dewan Utama telah dibersihkan oleh sida-sida istana diraja supaya orang lain boleh berjalan di atasnya dengan mudah. Walau bagaimanapun, semakin jauh Ji Chengxue berjalan, semakin lemas dia rasa.

Dia boleh melihat Dewan Utama di hadapan matanya apabila dia melalui Pintu Gerbang Dataran Misteri Menakjubkan. Selepas memanjat tangga batu, dia pun tiba di pintu masuk Dewan Utama. Sida-sida dan pelayan istana yang sibuk membuat persiapan di dalam dewan tersebut terus menyambut kehadirannya.

Ji Chengxue menganggukkan kepalanya dan mengarahkan mereka untuk meneruskan kerja. Dengan kedua-dua tangannya disilangkan di belakangnya, dia melangkah masuk ke dalam Dewan Utama, iaitu tempat yang selalu dikunjungi oleh ayahandanya semasa dia masih hidup.

Sekarang, lelaki yang terkenal dengan kekuatan dan keazamannya itu sudah tiada di dalam Dewan Utama itu. Ia hanya sebuah dewan kosong yang penuh dengan kehibaan dan kepiluan.

Lian Fu keluar dari bahagian belakang Dewan Utama dengan perlahan. Dia kelihatan agak letih dan kelihatan gegelung hitam di bahagian bawah matanya. Penampilannya semakin terserlah apabila seluruh rambut di kepalanya beruban.

"Lian Gonggong." Ji Chengxue tidak berani memandang rendah terhadap ketua sida-sida ini. Lagipun, dia merupakan Santo Pertempuran Kelas Ketujuh dan pembantu yang dipercayai oleh ayahandanya.

"Tuan Putera, kenapa Tuan Putera berada di sini?" Lian Fu berkata sambil mengayun-ayunkan cemeti ekor kudanya. Suaranya yang nyaring itu kedengaran agak letih dan wajahnya juga nampak sedih.

Kedua-dua Lian Fu dan Maharaja mempunyai hubungan yang erat dan mereka rupa-rupanya membesar bersama-sama. Memandangkan Maharaja Changfeng telah mangkat, tiada sesiapa yang lebih sedih daripada Lian Fu.

Ji Chengxue menarik nafas panjang dan memberi tunduk hormat di hadapan Lian Fu sambil berkata, "Lian Gonggong, Beta nak tengok ayahanda..."

Lian Fu memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama dengan lemah. Dia melihat Ji Chengxue sekilas lalu dan segera menolak permintaannya itu."Tak boleh, baginda dah bertitah bahawa tak ada seseorang pun yang boleh tengok jenazahnya sebelum pengebumian."

"Sebagai anakandanya, Beta memang tak boleh tengok ayahanda untuk kali terakhir?" Ji Chengxue bertanya dengan muka masam.

"Tuan Putera, sila beredar dari sini. Tuan Putera dah tahu hamba yang hina ini tak akan langgar perintah Maharaja, walaupun baginda sudah mangkat."

Apabila Ji Chengxue melihat sikap tegas Lian Fu itu, dia mengeluh dalam hatinya dan berhenti mengganggunya. Dia berpusing ke belakang dan beredar dari Dewan Utama.

Lian Fu melihat Ji Chengxue pergi dari tempat itu.

...

Bang bang bang!

Bunyi orang mengetuk pintu telah mengganggu Bu Fang yang sedang berlatih Teknik Ukiran Bintang Gayung Besar. Dia memusingkan kepalanya dengan tak berperasaan dan melirik ke arah palang pintu yang sedang bergoyang-goyang itu.

Siapalah yang mengetuk pintu pada awal pagi ini?

Bu Fang mencuci tangannya yang putih melepak dan halus itu. Kemudian, dia mengelap titisan air pada tangannya sebelum berjalan ke pintu masuk dan menanggalkan palang pintu.

Di hadapan matanya ialah seorang wanita cantik yang memakai vel. Mata wanita itu melihat Bu Fang dengan penuh rasa teruja.

"Tauke Bu, akhirnya kamu buka pun pintu ni! Cepat beri saya masuk ke dalam!" Ni Yan berkata dengan tidak sabar.

Namun begitu, Bu Fang tidak bergerak dari depan pintu masuk itu. Dengan menggunakan tubuhnya untuk menghalang Ni Yan masuk ke dalam, dia memandangnya dan berkata dengan acuh tak acuh, "Restoran ni belum buka lagi. Kenapa kamu datang awal sangat?"

Ni Yan terkejut seketika. Dia segera mengangkat bahan-bahan di tangannya ke arah Bu Fang dan berkata, "Banyak manfaat saya dapat daripada sajian kamu semalam, jadi saya nak tunjukkan kemahiran saya pada kamu."

Ni Yan memang yakin dalam kemahiran masak-memasaknya. Semua orang di dalam Sekta Cakerawala Rahsia menyanjung sajian-sajian lazat yang dimasak olehnya.

Bu Fang mencebik sambil berkata dalam hatinya, 'Ada sesuatu yang tak betul dengan perempuan ni... Dahlah dia datang sini awal pagi, kemudian dia kata dia nak masak untuk aku. Dia ni nak pinjam dapur aku ke?'

"Saya tak nak tengok kemahiran kamu dan saya tak akan pinjamkan dapur saya." Bu Fang berkata dengan selamba.

Ni Yan terdiam. Dia memang bercadang untuk meminjam dapurnya. Bagaimana dia hendak memasak tanpa dapur?

Apabila dia melihat Bu Fang hendak meletakkan semula papan pintunya, Ni Yan terus menjadi cemas. Daya tulen terpancar dari tubuhnya dan dia terus menahan papan pintu yang sedang dipegang oleh Bu Fang itu.

"Tunggu sekejap!" Ni Yan menjerit.

"Kamu nak buat kacau ke?" Bu Fang bertanya kepadanya dengan acuh tak acuh sambil merasa gelombang daya tulen yang terpancar dari tubuh Ni Yan. Selepas itu, satu sinaran cahaya merah terpancar di sebelahnya dan badan Si Putih yang besar itu pun muncul.

"Orang yang suka buat masalah akan dihukum untuk dijadikan contoh kepada orang lain." Si Putih berkata dengan suara mekanikalnya dan matanya bersinar.

"Aduh... Tak sensitif betul kamu ni. Saya betul-betul nak untuk masak untuk kamu, tapi kamu nak halau saya pula! Bagaimana kamu boleh layan wanita yang cantik ini dengan teruk sekali!" Mata Ni Yan mula bergenang dengan air mata seolah-olah dia hendak menangis.

Ni Yan dapat merasakan bahaya yang serius dari Si Putih. Dia berkata dalam hatinya, 'Seperti yang diharapkan daripada seseorang yang mempunyai Herba Darah Phoenix...'

"Apa objektif kamu? Jangan nak cakap berbelit-belit." Bu Fang berkata sambil mengerutkan keningnya apabila dia melihat Ni Yan.

Sebaik sahaja kata-kata itu diujarkan, air mata Ni Yan dengan serta-merta hilang dan penampilannya kembali seperti biasa.

"Saya nak belajar teknik kamu untuk kekalkan tenaga semangat di dalam daging binatang semangat." Ni Yan berkata dengan terus terang.

Bu Fang memandang wanita itu dengan tenang. Ni Yan pun tidak mahu mengalah, jadi dia memandang Bu Fang kembali. Mereka berdua bertentang mata tanpa segan silu.

"Bang!!"

Akhirnya, Bu Fang menyerah kalah. Pandangan wanita ini terlalu tajam, jadi Bu Fang pun meletakkan palang pintunya semula di pintu masuk itu.

"Saya tak akan ajar kamu."

Selepas palang itu diletakkan, suara Bu Fang yang acuh tak acuh itu masuk ke dalam telinga Ni Yan dan dia termenung di hadapan pintu masuk itu.

...

Selepas sekian lama, Bu Fang akhirnya menamatkan latihan paginya. Dia membawa sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis sambil menanggalkan palang.

Ni Yan yang memakai jubah panjang sedang bertinggung di hadapan pintu masuk. Apabila dia melihat Bu Fang, dia terus berdiri dengan penuh rasa teruja.

Bu Fang menjadi pening apabila dia berkata dalam hatinya, 'Kenapa perempuan ni masih ada di sini...'

"Si Hitam, masa untuk makan." Bu Fang berkata dengan lemah lembut sambil membuat tidak peduli terhadap wanita itu. Dia meletakkan Tulang Rusuk Masam Manis itu di hadapan Si Hitam dan mengusap bulu lembutnya sebelum dia melangkah masuk ke dalam restorannya semula.

Waktu operasi restoran pun bermula.

"Tauke Busuk, saya dah kembali!"

Bu Fang mendengar bunyi tapak kaki berlari dan suara Ouyang Xiaoyi dari lorong itu.

Bu Fang baru sahaja meletakkan sajian di hadapan Si Gemuk Jin apabila dia melihat Ouyang Xiaoyi yang telah hilang sejak beberapa hari lalu masuk ke dalam restorannya.

Dengan melihat ekspresi gembira di wajahnya, dia kelihatan seperti dia baru sahaja dibebaskan... walaupun Ouyang Xiaoyi memang baru dibebaskan.

Ketika Ouyang Xiaoyi melangkah masuk ke dalam restoran, dia melihat seorang wanita yang memakai vel dan jubah longgar mengikut di belakang tauke busuk itu. Matanya terbeliak dan dia bertanya dengan bingung, "Kamu ni siapa?"

'Tauke Busuk dah jumpa pelayan baru ke? Adakah dia sudah bosan dengan aku?' Ouyang Xiaoyi berkata dalam hatinya.

"Siapa pula budak nakal ni?" Ni Yan berkata sambil mendengus selepas melihat Ouyang Xiaoyi sekilas lalu dan terus mengikut di belakang Bu Fang.

Bu Fang berjalan ke dapurnya. Ni Yan juga mahu masuk ke dalam, tetapi Si Putih menghalangnya dengan kejam sekali.

Kalau Ni Yan tidak boleh merasai kuasa penindasan daripada boneka keluli ini, sudah lama dia menjahanamkannya...

Ouyang Xiaoyi mencebik. Hatinya sangat sakit sehingga dia tidak boleh bernafas. Tauke busuk itu lebih suka yang baru daripada yang lama dan dia dah mendapat pelayan baru. Dia tiba-tiba merasakan seolah-olah seluruh dunia telah meninggalkannya.

"Xiaoyi, tolong hidangkan sajian tu."

Air mata Ouyang Xiaoyi yang bergenang itu baru sahaja hendak jatuh ke pipinya, tapi dia terdengar suara Bu Fang yang tak berperasaan itu dari dapur.

Ouyang Xiaoyi terkejut seketika. Dia menarik nafas lega dan mukanya bersinar dengan serta-merta. Dia berlari ke arah tingkap dapur dengan tidak sabar-sabar. Tauke busuk itu tak menukar pelayannnya!

Selepas memberikan sajian kepada Ouyang Xiaoyi yang ceria itu, Bu Fang memandang ke arah Ni Yan dan bertanya dengan bingung, "Kamu tak penat ke ikut saya?"

"Kalau kamu ajar saya teknik untuk mengawal tenaga semangat di dalam daging binatang semangat, saya tak akan ganggu kamu lagi." Ni Yan berkata sambil mendengus.

Selepas berfikir seketika, Bu Fang dengan serius berkata, "Kalau begitu, pergi dan masak sajian kamu yang paling sedap. Kalau kamu dapat memuaskan saya, saya akan ajar kamu. Kalau tak, jangan ganggu saya lagi selepas ni."

avataravatar
Next chapter