Di Jalan Panjang di bandar diraja, salji tebal turun dari langit dan menyelimuti jubin kuarzit hijau di sepanjang jalan itu. Khemah-khemah yang didirikan oleh penjual di tepi jalan turut dipenuhi salji.

Angin yang dingin bertiup menyebabkan pejalan-pejalan kaki yang memakai baju tebal berlapis-lapis itu menggigil. Kelihatan wap putih berhembus sambil mereka meneruskan perjalanan.

Luo Sanniang berjalan perlahan bersama-sama Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen di Jalan Panjang bandar diraja itu. Mereka terlindung daripada angin dan emping salji yang sedang turun disebabkan oleh penghalang daya tulen yang dihasilkan oleh Luo Sanniang.

Sambil mereka bertiga berjalan, Luo Sanniang masih membebel kepada Yang Chen. Yang Chen pula nampak begitu sengsara dengan wajahnya yang berkerut. Di sebelah mereka, Ouyang Xiaoyi ketawa berdekit-dekit sambil melihat wajah Yang Chen.

Tiba-tiba, salji tebal itu berhenti turun dan seluruh jalan itu menjadi sunyi. Anak mata Luo Sanniang mengecil. Dia langsung tak dapat mendengar apa-apa kecuali nafasnya sendiri.

Dengan susah payah, dia memalingkan mukanya dan memandang Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen. Mulutnya yang kecil itu terbuka dan tertutup, seolah-olah dia sedang berkata sesuatu. Namun, Luo Sanniang tak mampu mendengar apa-apa.

Di hujung jalan itu, seorang lelaki yang memakai kot luar dengan jahitan gambar burung jenjang, berjalan dengan santai sambil menyilangkan tangan di belakangnya.  

Dengan setiap langkah yang diambil, Luo Sanniang dapat merasakan tekanan pada badannya meningkat. Pemandangan di kawasan itu nampak suram dan dia hanya mampu melihat lelaki yang sedang berjalan dengan santai itu.

"Zh… Zhao Musheng?!"

Bibir merah Luo Sanniang terbuka sedikit sambil dia menyebut nama itu dengan rasa terpegun. Namun, suaranya tak berbunyi. Badannya sedikit menggeletar. Tekanan itu menyebabkan dia langsung tak mampu menggerakkan ototnya.

Zhao Musheng meneruskan berjalan dengan gaya santai itu sehingga dia sampai di hadapan Luo Sanniang. Anak matanya berubah-ubah seperti lautan luas. Nampak seolah-olah aura Buddha sedang beredar di dalam matanya dan kedengaran seperti sutra sedang diulang-ulang.

Luo Sanniang merenung kosong ke arah Zhao Musheng yang tersenyum sambil berjalan di hadapannya. Zhao Musheng menarik tangan Yang Chen dan Ouyang Xiaoyi, dan mereka pun meninggalkan Jalan Panjang bandar diraja itu...

Bang!

Mata Luo Sanniang terbeliak sambil dia jatuh melutut dengan tak bermaya. Dadanya yang montok kembang kempis sambil dia bernafas tercungap-cungap.

Bunyi bising di bandar itu dan deruan angin musim salji kembali kedengaran. Satu emping salji turun dan jatuh di rambut hitam Luo Sanniang. Halangan daya tulennya sudah hilang tanpa disedari.

Seluruh bandar diraja berasa terkejut. Keluarga ternama, Ouyang dan Yang, telah menyatakan sokongan mereka untuk membantu Putera Mahkota naik takhta. Berita ini seolah-olah menyebabkan gempa bumi berlaku di bandar diraja yang sudah kacau bilau itu.

Keluarga-keluarga kaya dan berpengaruh yang pada asalnya tak dapat membuat keputusan kini sudah memilih siapa yang mereka ingin sokong. Kebanyakan daripada mereka memilih Putera Mahkota, Ji Chengan.

Jumlah orang-orang kaya dan ternama yang menyokong Raja Yu juga telah banyak berkurangan. Dengan sokongan keluarga Ouyang dan keluarga Yang, penabalan Putera Mahkota sememangnya hampir menjadi kenyataan. Bila dia menjadi maharaja, tak ada peluang untuk Raja Yu bangkit semula.

Hanya ada satu sahaja lagi keluarga ternama dalam bandar diraja, iaitu keluarga Xiao. Jeneral Xiao Meng sudah mengumumkan awal-awal lagi yang dia hanya akan menyokong maharaja. Ini bermaksud, dia tak akan menyokong Putera Mahkota atau Raja Yu melainkan ada sesuatu yang berlaku.

Kediaman Raja Yu.

Wajah Raja Yu, Ji Chengyu, muram sambil dia mengetuk meja dengan tapak tangannya, dan menyebabkan meja itu hancur berkecai. Aura yang terbit dari badannya menjadi semakin lemah.

"Zhao Musheng tak guna! Orang tua ni memang licik! Dia tak ada melakukan apa-apa jadi Beta ingat dia hanya akan jadi penonton! Beta tak sangka yang dia akan buat begini! Celaka! Celaka kau!"

Dalam bilik itu, Hun Qianyun yang berjubah hitam tersenyum kecil sambil dia memandang Raja Yu yang sedang naik angin. Dia berkata, "Raja Yu tak perlu marah-marah. Manusia sememangnya akan buat silap. Zhao Musheng itu sangat licik. Itulah sebabnya dia berjaya menjadi Menteri Kiri. Tapi, walaupun Putera Mahkota berjaya mendapat sokongan keluarga Ouyang dan keluarga Yang, itu tak bermaksud kita sudah kalah."

Raja Yu menghela nafas dalam dan menahan rasa marahnya. Dia memandang Hun Qianyun dan memberi isyarat untuk meneruskan kata-katanya.

"Kita sudah dapat sokongan daripada ramai pegawai kerajaan, termasuk Menteri Kewangan sendiri. Dengan bantuannya, kita boleh mengawal keseluruhan ekonomi bandar diraja. Selain itu, Istana Tulang Putih dan Sekta Penyatuan Menggembirakan daripada empat sekta terhebat Laluan Heterodoks telah menghantar pakar-pakar mereka untuk menyokong Raja Yu. Dari segi kebolehan bertarung, asalkan Xiao Meng tak masuk campur, kita ada kelebihan berbanding Putera Mahkota." Hun Qianyun berkata.

"Istana Tulang Putih dan Sekta Penyatuan Menggembirakan?" Raja Yu merenung tajam ke arah Hun Qianyun.

Sebaliknya, Hun Qianyun nampak sangat tenang sambil dia membalas pandangan Raja Yu.

"Bila masa Beta sebut yang Beta perlukan bantuan Istana Tulang Putih dan Sekta Penyatuan Menggembirakan? Keempat-empat sekta Laluan Heterodoks itu sangat rapat…" Raja Yu berkata sambil mengejek.

Hun Qianyun tertawa kecil sambil dia menggelengkan kepalanya. "Kami bukan lagi empat sekta-sekta Laluan Heterodoks itu. Istana Jiwa Maut sudah dimusnahkan oleh Maharaja Changfeng, jadi mereka tak lagi dikira sebagai sebahagian empat sekta Heterodoks terhebat. Namun, dengan bantuan sokongan tiga sekta Heterodoks yang masih ada, adakah Raja Yu masih belum yakin mendapatkan takhta itu?"

"Kamu memang pandai meyakinkan diri sendiri." Raja Yu berkata sambil mengecilkan matanya.

"Patik rasa kita berdua sama." Api semangat dalam lesung mata Hun Qianyun menyala-nyala.

...

Bu Fang mengupas lapisan luar usus Lembu Naga Kelana dengan berhati-hati. Lapisan luar usus kecil yang lut sinar dan kenyal itu sangat sesuai dijadikan kulit sosej.

Sememangnya Bu Fang bercadang membuat sosej, sejenis makanan yang sangat digemarinya semasa di bumi. Aroma kaya sosej sebenar yang dibuat dengan baik sudah pasti akan membuatkan sesiapa pun terliur.

Namun, sosej yang dibuat oleh Bu Fang kali ini bukan seperti yang biasa. Ramuannya saja pun tidak ternilai berbanding sosej biasa. Hanya Bu Fang saja yang sanggup membazirkan daging Lembu Naga Kelana untuk membuat sosej.

Bila kulit sosej itu sudah disediakan, Bu Fang mengetepikannya dan mengambil daripada ruang simpanan sistem beberapa herba semangat yang dipetik semasa melawat Lembah Phoenix Rebah. Herba-herba semangat ini tidak sehebat Herba Darah Phoenix. Namun, herba-herba itu masih bernilai dan penuh dengan tenaga semangat.

Pisau Dapur Tulang Naga Emas berpusing-pusing di tangan Bu Fang seperti meteor, dan menukarkan herba-herba semangat itu menjadi serbuk halus. Disebabkan ciri-ciri istimewa Pisau Dapur Tulang Naga itu, khasiat berubat herba-herba semangat ini masih terpelihara. Selepas mencampurkan serbuk itu dengan daging cincang, dia berhenti untuk berehat seketika. Setelah itu, dia menambah perisa sebelum mengambil kulit sosej.

Dia mengeluarkan gula batu yang dibuat khas dan disediakan oleh sistem. Setiap ketulan gula batu itu cantik bagaikan permata. Tetapi, Bu Fang menghancurkannya menjadi serbuk menggunakan pisau. Selepas mencampurkan serbuk gula batu tadi, Bu Fang mula memasukkan daging cincang ke dalam kulit sosej.

Dengan bantuan daya tulen, dia dapat menyumbat inti daging itu dengan mudah. Bu Fang hanya perlu mengalirkan daya tulen ke dalam kulit sosej untuk mengembungkannya. Dengan itu, dia dapat memasukkan daging cincang itu dengan mudah. Bila kulit sosej itu sudah penuh berisi, dia menggunakan katgut1 untuk membahagi-bahagikan sosej itu

Bila Bu Fang melihat sosej yang gebu itu, kelihatan tenaga semangat mengalir keluar dari kulitnya. Bau enak sosej itu sudah dapat dihidu walaupun belum dimasak.

Bau enak itu bukannya aroma daging tapi bau herba semangat yang bercampur dengan daging cincang.

Bu Fang berpuas hati melihat sosej yang ada dalam dua puluh bahagian itu. Jumlahnya tak banyak. Kalau makanan itu habis terjual, tak akan ada lagi sosej selepas ini.

Dia hanya ada seekor Lembu Naga Kelana kelas ketujuh dan lembu itu pun hanya ada satu usus kecil...

Bila Bu Fang membayangkan bau enak yang terhasil daripada sosej itu bila dia menggorengnya, mulutnya terus berair. Dia sudah tak sabar-sabar nak memasaknya segera.

Namun, tak ada guna Bu Fang rasa tak sabar-sabar. Selepas sosej itu disediakan, dia masih perlu membiarkannya untuk diawet kering selama beberapa hari. Dengan itu, Bu Fang menggantung sosej di dalam almari yang disediakan sistem. Almari itu mampu mempercepat proses awet kering. Prinsip yang sama digunakan semasa dia mempercepat proses penapaian dalam Sembilan Kaedah Membru.

Selepas menutup almari itu, Bu Fang menghembus nafas panjang. Dia tak sabar ingin tahu apa hasilnya. Lagipun, ini kali pertama dia masak sesuatu yang tak ada dalam menu sistem.

"Sistem, berapakah anggaran harga sosej saya selepas dimasak?" Bu Fang bertanya dengan penuh minat.

avataravatar
Next chapter