112 Sosej Daging Lembu Naga Kelana Goreng

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Peluh sejuk mula menitik di dahi Qian Bao. Dengan sebelah tangan sahaja, tiga Raja Pertempuran Kelas Kelima boleh tertiarap... Biar betul wanita cantik di hadapannya itu mempunyai kuasa yang kuat sebegitu?

Ketiga-tiga Raja Pertempuran Kelas Kelima ini merupakan pasukan pertahanan paling kuat di Restoran Phoenix Abadi. Puak yang menyokongnya hanya memperuntukkan tiga orang pakar ini untuk mengendalikan situasi-situasi kecemasan. Sebelum ini, kekuatan mereka sudah memadai. Walau bagaimanapun, pada hari itu, mereka telah bertemu dengan seseorang yang mampu menewaskan mereka bertiga.

Tang Yin yang sedang berdiri di belakang Ni Yan memandang ke arah tiga Raja Pertempuran Kelas Kelima yang berbaring di atas lantai itu dengan penuh simpati. Raja Pertempuran Kelas Kelima tak ada guna berbanding dengan Santo Pertempuran Kelas Ketujuh.

Ni Yan menarik tangannya dan senyuman tiba-tiba muncul di mukanya yang cantik itu. Dia pun bertanya, "Tauke Qian, kamu akan beri kami naik ke tingkat tiga sekarang, betul tak?"

Qian Bao sebenarnya mahu mengatakan tidak. Tapi, keupayaan yang ada pada wanita di hadapannya itu terlalu menakutkan. Dia rasa kalau dia menolak permintaan wanita itu, Restoran Phoenix Abadinya pasti akan dimusnahkan olehnya.

Qian Bao tertanya-tanya mengapa nasibnya begitu teruk sehari dua ini. Peraturan di tingkat tiga sudah dilanggar dua kali berturut-turut. Ini memang satu penghinaan ke atas Restoran Phoenix Abadi.

"Ya..." Qian Bao menjawab dengan penuh seksa. Dia mula berjalan menuju ke tingkat tiga dan tiga orang itu mengikutnya di belakang.

Ni Yan tiba-tiba tertawa dan mengangkat keningnya ketika dia mengikut Qian Bao.

Apabila mereka melangkah masuk ke tingkat tiga, bau kayu cendana yang harum dapat dihidu dan ia mewujudkan suasana yang tenang. Tingkat tiga itu dihiasi dengan pelbagai barang perhiasan antik yang cantik dan pemandangannya sungguh indah.

"Perabot di tingkat ini agak cantik." Ni Yan mengangguk sambil melihat persekitarannya. Tiba-tiba, matanya tertumpu pada sesuatu yang terletak jauh di tingkat itu. Dalam sebiji mangkuk kristal yang terletak di tepi sebuah meja, ada sekuntum bunga tauhu putih yang mekar dan kelopaknya halus bagaikan bulu.

"Ini... Adakah ini hasil kerja cef Restoran Phoenix Abadi?" Ni Yan berjalan ke arah bunga tauhu itu untuk melihatnya dengan penuh rasa kagum. Semakin lama Ni Yan perhatikan bunga tauhu itu, semakin hairan dia jadi. Dia mendapati bunga tauhu itu bukan dibentuk dengan dua atau tiga lapisan, tapi terbentuk dengan seribu lapisan yang bertindih...

Sudah tentulah seribu lapisan bukan bermaksud betul-betul ada seribu lapisan. Tapi, tauhu bunga yang lapisannya disusun dengan kemas itu tetap membuatkan Ni Yan tergamam.

Teknik pemotongan yang digunakan untuk mencipta hasil kerja ini memang luar biasa. Ni Yan sendiri pun mengaku yang teknik pemotongannya tidak setanding dengan teknik pemotongan yang digunakan pada tauhu bunga itu.

"Tak... Ini hasil kerja Tauke Bu." Qian Bao mengeluh panjang ketika dia melirik matanya ke arah bunga tauhu seribu lapis itu. Hasil kerja ini dibawa pulang oleh Qian Bao selepas perlawanannya dengan Bu Fang. Dia menyimpan bunga tauhu itu di dalam sebiji mangkuk kristal supaya ia kelihatan seperti satu karya seni yang cantik dan juga untuk memberikannya nilai perhiasan. Ini merupakan idea Qian Bao sendiri.

"Tauke Bu?" Ni Yan memandang Qian Bao dengan bingung.

Qian Bao mengangkat keningnya. Wanita yang gilakan makanan di hadapannya ini... tak kenal Tauke Bu? Adakah mereka dari luar bandar diraja?

"Tauke Bu ialah pemilik Restoran Fang Fang." Qian Bao memberitahunya dengan bersungguh-sungguh.

Tang Yin memang kenal Bu Fang itu siapa dan dia terus menjadi agak teruja. Seperti yang diharapkan... senior yang dia kenal itu bukanlah seseorang yang tidak terkenal di bandar diraja.

Restoran Fang Fang... Ni Yan mengecilkan matanya. Daripada kejituan teknik pemotongan tauhu bunga itu, dia tahu yang cef dari Restoran Fang Fang pastinya bukan orang yang biasa-biasa. Secara tidak sengaja, minat Ni Yan terhadap Restoran Fang Fang semakin kuat.

Di tingkat tiga Restoran Phoenix Abadi, Bu Fang sendiri pun sukar untuk mencari kesalahan yang ada pada tiga jenis sajian yang dihidangkan. Selepas penambahbaikan dibuat mengikut penilaian Bu Fang, sajian-sajian itu dikatakan sudah hampir sempurna. Oleh itu, Ni Yan menghabiskan tiga sajian yang lazat itu dengan senyap dan orang di sekelilingnya berasa sungguh gembira.

"Semua sajian di tingkat ni sangat lazat. Seperti yang diharapkan di tingkat tiga, cef-cef kamu memang berkeupayaan." Ni Yan memakai semula velnya untuk menyembunyikan wajahnya yang anggun itu. Dengan melambaikan tangannya, dia mengeluarkan beberapa keping syiling emas dan menyerahkannya kepada Qian Bao.

Qian Bao agak terkejut kerana dia tidak sangka yang Ni Yan masih mahu membayarnya... Dengan kekuatan yang dimiliki oleh wanita itu, Qian Bao memang tidak akan dapat menewaskannya walaupun wanita itu cabut lari selepas makan...

"Tolong cari seseorang untuk bawa kami ke Restoran Fang Fang. Saya nak tahu apa jenis sajian yang dihidangkan di sana oleh seorang cef yang mampu melakukan teknik pemotongan sebegitu." Ni Yan berkata.

"Sajian Tauke Bu memang lazat. Cuma harganya agak mahal, itu saja... "

"Duit? Duit bukan satu masalah. Kamu hanya perlu bawa kami ke sana." Lu Xiaoxiao yang sebelum ini senyap sahaja akhirnya mengeluarkan suaranya. Mereka memang kaya-raya.

Memandangkan tiga orang itu bersikap acuh tak acuh, Qian Bao sendiri membawa mereka ke restoran kecil yang terletak di lorong itu.

...

Angin meniup emping-emping salji yang turun dari langit ke seluruh bandar diraja sehingga bandar itu dilitupi dengan lapisan fros berwarna perak.

Ketika Bu Fang menanggalkan papan pintu, dia menggigil kesejukan apabila udara sejuk bersama-sama dengan emping salji bertiup masuk ke dalam restoran.

Selepas menyediakan Tulang Rusuk Masam Manis untuk Si Hitam, Bu Fang kembali ke dapur sekali lagi. Ada perkara penting yang dia perlu selesaikan pada pagi itu.

Raut wajah Bu Fang sangat serius apabila dia berhenti di hadapan almari yang penuh dengan sosej Lembu Naga Kelana yang sedang diawet kering. Ketika dia membuka almari itu dengan berhati-hati, aroma daging beserta bau ubat terus tersebar ke udara.

Bu Fang menghulurkan tangannya dan mencubit salah satu sosej itu. Dia dapat rasa yang tekstur sosej itu agak empuk. Ini bermakna sosej itu akhirnya sudah diawet kering ke tahap yang dimahukan olehnya. Kulit sosej itu agak keras dan teksturnya sedikit kenyal apabila dia mencubitnya. Ini bermakna sosej itu sudah selesai diawet kering.

Bu Fang menenangkan fikirannya dan mengeluarkan dua puluh satu ketul sosej dari almari itu. Selepas memotong salah satu sosej itu, dia menyimpan sosej yang selebihnya di dalam peti sejuk.

Sudah lama Bu Fang menanti-nantikan saat untuk memasak sosej itu. Walau bagaimanapun, dia masih perlu membuat sedikit persiapan sebelum memasaknya.

Mula-mula, dia menuangkan minyak ke dalam sebuah kuali dan menunggu sehingga minyak itu menjadi panas. Kemudian, dia memasukkan sosej itu ke dalam minyak.

Apabila sosej itu masuk ke dalam minyak, bunyi desir terus kedengaran dari kuali itu. Ombak putih menyelubungi sosej itu dan ia terus menggelagak di sekeliling sosej itu seperti emping-emping salji yang halus.

Aroma minyak dan daging yang harum serta-merta merebak dari kuali itu ke seluruh dapur. Bau herba semangat bercampur dengan aroma minyak dan daging itu membentuk satu aroma yang boleh menyebabkan seseorang hilang kawalan diri apabila mereka menghidunya.

Baunya terlalu wangi. Bu Fang sendiri pun terliur.

Dia membuat keputusan untuk tidak merumitkan proses masakan sosej itu. Ini kerana dia telah menyediakan apa yang diperlukan untuk sajian itu. Sekarang, dia hanya perlu menunggu sosej itu untuk siap dimasak.

Memandangkan kulit sosej itu dibuat daripada submukosa Lembu Naga Kelana kelas ketujuh, minyak biasa tidak boleh digunakan untuk menggoreng sosej itu kerana ia tidak cukup panas. Oleh itu, semasa proses memasak, Bu Fang memancarkan daya tulennya ke dalam minyak itu dengan berhati-hati supaya sosej itu boleh meresap haba daripada daya tulen itu.

Sebaik sahaja aroma yang tersebar dari dalam kuali itu mencapai tahap yang tertentu, Bu Fang menggunakan penyepitnya untuk mengangkat sosej itu dari kuali dengan cepat. Selepas minyak pada sosej itu ditapis, sosej yang berwarna merah jambu dan berkilauan itu dihidangkan di hadapan Bu Fang.

Aroma daging dan ubat-ubatan tersebar daripada sosej itu dan menusuk hidung Bu Fang. Sebelum Bu Fang dapat merasai sosej itu, tunas rasanya sudah diselubungi oleh aroma yang lazat itu.

Asap hijau keluar daripada pergelangan tangannya seketika dan Pisau Dapur Tulang Naga Emas muncul di tangan Bu Fang. Dia memotong sosej itu menjadi tiga bahagian dengan berhati-hati. Sewaktu kulit sosej itu dipotong, aroma daging yang terkandung di dalam sosej itu meletup seperti satu bom. Baunya lebih kuat daripada sebelum ini dan tersebar ke seluruh restoran.

Di pintu masuk, Si Hitam yang sedang melahap Tulang Rusuk Masam Manisnya sambil mengibas-ngibaskan ekornya tiba-tiba berhenti. Kemudian, matanya berkedip-kedip. Ia mengangkat kepalanya dan mula menghidu aroma itu... Bau apa itu? Lazatnya!

Qian Bao, Ni Yan dan pengikut-pengikutnya baru sahaja tiba di restoran Bu Fang. Sebelum mereka melangkah masuk ke dalam, aroma daging yang kuat itu menusuk hidung mereka dengan serta-merta. Mereka menjadi sangat terpesona dengan aroma itu.

Tidak kisahlah sama ada Qian Bao yang mempunyai tahap pertapa yang paling rendah atau Ni Yan yang merupakan Santo Pertempuran Kelas Ketujuh, mereka semua terpesona dengan aroma daging itu.

Hanya dengan memotong sosej yang besar itu, seluruh Jalan Panjang itu berbau sungguh lazat.

avataravatar
Next chapter