47 Sistem dengan Lidah Beracun Tak akan Disayangi Tuannya

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Betul ke Jeneral Xiao Meng pergi ke restoran tu?" Putera mahkota, Ji Chengan bertanya kepada Xushi dengan penuh kehairanan.

Xushi mengusap janggut panjangnya dan hujung mulutnya tersenyum sambil dia mengangguk. Dia pun terperanjat kerana dia tak sangka yang seseorang seperti Jeneral Xiao Meng boleh muncul di restoran itu.

"Kamu tahu ke sebab Jeneral Xiao Meng muncul di restoran itu?" Putera mahkota itu bertanya sambil dia bangun dan berjalan mundar-mandir.

Xushi senyap seketika dan mengerutkan kening sambil membalas dengan ragu-ragu, "Mungkin Jeneral Xiao berminat dengan hidangan restoran itu…"

Putera mahkota itu menoleh dan merenung Xushi dan berpura-pura senyum. "Kamu rasa jawapan tu realistik ke? Jeneral Xiao tu Santo Pertempuran kelas ketujuh dan dia dah capai tahap yang dia tak perlu makan pun. Kalau dia tak ada nafsu makan, kenapa dia pergi ke kedai tu hanya kerana makanan yang sedap?"

Hujung mulut Xushi tersenyum. Dia percaya yang Jeneral Xiao pergi ke sana untuk makan. Putera mahkota tak pernah menikmati hidangan di restoran itu jadi dia tak faham. Dia tak akan persoalkan kalau dia sendiri pernah makan di situ walaupun sekali.

Apa-apa pun, Xushi merasakan yang restoran itu penuh keajaiban.

"Betul kata Tuanku. Patik akan pergi siasat sekarang." Xushi berkata sambil memberi tabik genggam tanpa membantah.

"Teruskan. Nampaknya kamu seronok makan di restoran itu. Sedap sangat ke?" Putera mahkota memandang Xushi dan bertanya. Dia mengetahui keberadaan Xushi selama ini.

"Memang betul, Tuanku. Terutama sekali Ikan Rebusnya… Sedap dan lembut!" Mata Xushi bersinar sambil dia membalas. Namun, dia baru teringat yang dia sedang bercakap dengan putera mahkota jadi cepat-cepat dia senyap dan menarik balik senyumannya.

"Ikan Rebus… Sedap bunyinya." Putera mahkota itu agak terperanjat tapi dia tersenyum.

Bila malam tiba, cahaya bulan bagaikan sekeping vel yang menghamparkan lapisan teja di sepanjang daratan.

Di dapur Restoran Fang Fang.

Bu Fang menarik nafas dalam dan mengeluarkan sangkar yang ada seekor Ayam Phoenix Merah Darah dari almari. Dia mengeluarkan ayam itu sambil tak mempedulikan bunyinya yang berkukur.

Selepas mencabut bulu merah darahnya dan mengeluarkan isi perutnya, Bu Fang mengikut arahan dalam resipi untuk memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej sekali lagi.

Dia memotong Herba Sej dan memerah jusnya ke dalam mangkuk kecil. Herba Sej itu kemudiannya dihiris dan dimasukkan ke dalam perut Ayam Phoenix Merah Darah itu bersama herba-herba semangat lain yang telah diproses. Seterusnya dia mengeluarkan periuk tanah dan mengisinya dengan mata air semangat sebelum meletakkan Ayam Phoenix Merah Darah ke dalamnya.

Periuk tanah itu dibiar atas api sehingga bau harum ayam meresap keluar. Bila Bu Fang membuka penutup, wap tebal yang bercampur haruman daging dan herba semangat meresap keluar dan memberikannya rasa segar. Dia menuang jus Herba Sej ke dalam periuk tanah dan menutupnya kembali. Kemudian, tiba masa untuk langkah paling penting.

"Sistem, bagaimana cara nak gunakan daya tulen untuk memasak? Adakah aku perlu sembur periuk itu dengan daya tulen?" Bu Fang bertanya kehairanan.

"Tenaga semangat kulinari: Cef menyuburkan bahan-bahan dengan daya tulen dengan meresapkannya ke dalam peralatan dapur. Kebolehan cef untuk memanipulasi daya tulen dan mengawal rasa hidangan akan diuji."

Bu Fang terperanjat mendengar penerangan yang diberi sistem. Sambil pandangannya fokus ke arah periuk tanah di atas api, dia nampak gelombang udara panas di atasnya.

"Sistem, kamu pasti ke? Kalau aku letakkan tangan atas periuk tanah ini, tangan aku tak terbakar ke?" Hujung mulut Bu Fang tersentap.

"Periuk tanah ini dibuat khas. Ia akan mengubah suhu secara automatik bila ia mengesan daya tulen. Tuan tak perlu risau." Sistem berkata dengan bersungguh.

Bu Fang rasa ragu-ragu sambil dia mengangkat tangan dan cahaya berkilau beredar di tapak tangannya. Nampak seperti ada vel yang membalutinya.

Maniak Pertempuran kelas ketiga berjaya menunjukkan daya tulen di luar badannya dan itu standard minimum bagi daya tulen kulinari.

Bu Fang meletakkan tapak tangannya di atas penutup periuk dengan wajah bersungguh. Terasa kehangatan pada tapak tangannya tapi ia tak sepanas yang dijangka.

"Hebatnya." Kata Bu Fang penuh terkejut.

Dia kemudian menutup matanya dan memanipulasi daya tulen dalam badannya. Perlahan-lahan dia mengalirkan daya tulen itu melalui periuk tanah kepada bahan-bahan di dalamnya. 

Resapan yang tidak boleh dilihat itu seakan-akan bayu musim bunga pada waktu malam.

Melalui penutup periuk itu, Bu Fang dapat rasakan perubahan bahan-bahan di dalam periuk. Bahan-bahan itu menyerap tenaga semangat melalui penyuburan daya tulen dan jus Herba Sej itu pun meresap masuk ke dalam daging ayam.

Selepas setengah jam mengalirkan daya tulen, Bu Fang menarik kembali tangannya dan berhenti.

Dahinya berpeluh-peluh. Kehilangan daya tulen menyebabkan dia berasa agak letih.

Bu Fang duduk sebentar untuk merehatkan badan selama setengah jam sebelum meneruskan kulinari daya tulen itu. Daya tulen dalam badannya dikawal mengikut kehendaknya sendiri sambil ia mengalir masuk ke dalam periuk dan menyuburkan bahan-bahan.

Selepas setengah jam, Bu Fang menarik tangannya semula. Nafasnya begitu berat dan dia mengambil tuala untuk mengesat peluh di dahinya.

Pada masa yang sama, dapur itu dipenuhi bau harum. Ada campuran bau wangi daging ayam, herba semangat dan Herba Sej.

Jika dibandingkan hari sebelumnya, bau harum ini lebih menarik perhatian. Kalau haruman sebelum ini membuatkan seseorang rasa seperti berada dalam anak sungai, haruman kali ini membuatkannya terasa seperti berada dalam sungai yang deras.

Bu Fang pun berkali-kali menghidu bau yang kaya dan memabukkan itu. Ini rupanya hasil daya tulen. Ia tak setanding kulinari biasa dan rasanya pasti lebih baik.

Daya tulen bertindak seperti perasa. Selepas ditambah dalam bahan masakan, ia menjadi pemangkinan istimewa yang menambah rasa bahan. Selain itu, tenaga semangat dalam bahan itu sendiri pun tersebar dengan sekata kepada setiap bahagian.

Selepas merebus bahan-bahan dan memasak menggunakan daya tulen selama setengah jam sebanyak dua kali, Sup Ayam Phoenix Herba Sej itu pun siap. Bu Fang juga menjadi sangat lapar bila menghidu bau hidangan itu.

Dia membawa periuk tanah itu ke meja dan membuka penutupnya. Bau harum yang kaya terus meresap keluar. Wap panas bercampur haruman itu tersebar di udara.

Selepas menghirup bau, Bu Fang memandang isi kandungan periuk tanah itu.

Saat dia memandangnya, kegembiraan jelas kelihatan pada wajahnya. "Aku berjaya!"

Ayam Phoenix Merah Darah itu kekal dalam periuk. Dagingnya yang jernih bak jeli itu sedikit bergetar kerana menggelegak. Sup itu berwarna kuning jingga dan tiada esen yang terapung di atasnya seperti hari sebelumnya. Jelas sekali yang esen itu telah meresap sepenuhnya ke dalam sup ayam kerana dia memasak menggunakan daya tulen.

Perut Bu Fang berkeroncong. Daging Ayam Phoenix Merah Darah itu nampak menawan seperti hasil seni dan begitu menyelerakan.

"Sistem, Sup Ayam Phoenix Herba Sej ini boleh dikira berjaya bukan?" Bu Fang bertanya kepada sistem dengan rasa bangga. Dia seorang genius. Susah sangat ke kulinari daya tulen?

"Ia tidak menepati kriteria kelayakan. Adakah tuan mahu sistem menilai Sup Ayam Phoenix Herba Sej kali ini?" Sistem bertanya bersungguh-sungguh.

Bu Fang terkesima. Sebelum dia sempat memberi reaksi, sistem mengumumkan keputusannya.

"Tuan tak berjaya mengekalkan Ayam Phoenix Merah Darah semasa memprosesnya dan kulit ayam itu rosak sedikit. Jus Herba Sej ditambah terlalu awal dan hirisan Herba Sej tak seragam dan tak cukup nipis. Pengawalan semasa proses kulinari daya tulen dan tahap daya tulen terlalu lemah. Tahap keseluruhan: Sup Ayam Phoenix Herba Sej yang tak berapa layak."

Bu Fang memandang sup ayam itu tanpa perasaan. Sup yang dirasakan sempurna itu nampaknya tak begitu sempurna lagi. Harumannya pun semakin hilang.

"Sistem dengan lidah beracun tak akan disayangi tuannya!"

Bu Fang rasa kecewa. Dia buat keputusan untuk minum semangkuk sup ayam untuk menenangkan dirinya dan fokusnya berubah kepada Sup Ayam Phoenix Herba Sej itu.

Dia rasa agak teruja kerana ini kali pertama dia rasa makanan yang dimasak menggunakan daya tulen.

avataravatar
Next chapter