57 Si Hitam yang Boleh Bercakap Seperti Manusia

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Senyuman di wajah Xiao Yue menjadi kaku dan perlahan-lahan hilang. Dia kemudiannya memandang Bu Fang penuh makna. Dia dapat merasakan yang Bu Fang tak bergurau disebabkan renungannya yang acuh tak acuh itu.

Bu Fang memandang Xiao Yue sepintas lalu kemudian menoleh ke arah orang ramai di luar kedainya yang penuh kehairanan.

Hun Qianduan memendam rasa terkejutnya dan memandang Xiao Yue yang semakin muram. Dia tak mampu menahan diri daripada mengecilkan mata dan merasakan keseronokan melihat Raja Pedang Pematah Hati Xiao Yue mengaku kalah di hadapan orang lain.

"Aku mengaku… Aku tersilap menilai, tapi adakah kau betul-betul rasa yang boneka ni mampu menghalang Xiao Meng dan Sida-sida Lian bersendirian?" Hun Qianduan berkata selepas bertenang. Xiao Meng dan Lian Fu merupakan dua orang yang paling kuat dalam bandar diraja. Tak mungkin boneka seperti itu boleh menyekat mereka berdua. 

"Kau rasa aku nak ke duduk dalam kedai ni selama-lamanya?" Xiao Yue berkata sambil menjeling Hun Qianduan dan hujung mulutnya naik sedikit.

Anak mata Hun Qianduan mengecil. Seperti dijangka, Xiao Yue pasti sudah memikirkan cara untuk membebaskan diri. Kalau Sekta Jiwa tak merosakkan rancangan mereka, sudah pasti mereka dapat capai apa yang Xiao Yue telah aturkan.

"Jadi, kamu ada muslihat rupanya. Padan pun Jeneral Xiao teragak-agak." Lian Fu menyindir sambil memicit ibu jari dan jari tengahnya bersama-sama. Matanya meneliti Si Putih dengan rasa ingin tahu. "Boneka ini memang agak berkuasa kerana berjaya mengalahkan lima Raja Pertempuran dengan satu gerakan."

Ouyang Zongheng turut merenung Si Putih. Dia tak sangka apa yang Xiaoyi cakap memang betul. Boneka ini lebih kuat daripada dirinya sendiri.

Ouyang Xiaoyi menarik perisai Ouyang Zongheng dan berkata dengan comel, "Ayah, tak payahlah bergaduh dengan Si Putih. Walaupun tauke busuk tu ketinggalan zaman, dia bukanlah jahat."

"Oh, anak perempuanku yang taat. Ayah akan ikut cakap kamu." Ouyang Zongheng mengecilkan matanya sambil tersenyum dan mengusap kepala Ouyang Xiaoyi.

"Tak mungkin aku akan berlawan dengan boneka tu… Lima Raja Pertempuran pun kalah dengan satu gerakan. Aku hanya Maharaja Pertempuran kelas keenam. Kalau aku ke sana, aku pasti kalah dengan mudah. Baik aku biarkan Si Tua Xiao dan sida-sida tu uruskannya. Aku hanya akan malukan diri sendiri saja kalau nak cuba."

Sambil dia memikirkan tentang perkara itu, Ouyang Zongheng memandang anak perempuannya dengan manja dan berkata, "Kalau itulah apa yang anak perempuan Ayah nak, Ayah tak akan turut serta." 

"Tauke Bu, betul ke kamu nak lindung penjenayah-penjenayah daripada sekta tu?" Xiao Meng berkata serius dengan suara rendah. Kalau Bu Fang betul-betul nak beri perlindungan pada Xiao Yue, dia terpaksalah pecah masuk.

"Saya bukan nak melindungi mereka. Kamu boleh masuk tapi jangan bertarung dalam kedai." Bu Fang membalas tanpa perasaan.

"Oh, jangan ingat yang kamu tu kebal hanya sebab boneka tu! Aku nak lihat apa muslihat lain yang kamu ada selain boneka tu!" Suara nyaring Lian Fu bergema di lorong itu sambil daya tulen memancar dari badannya.

"Jeneral Xiao, halang boneka tu sementara aku tangkap iblis-iblis daripada sekta!"

Dengan ibu jari dan jari tengahnya yang dipicit bersama, cemeti ekor kuda itu memanjang ke arah musuhnya.

Dengan pergerakan yang tak dapat dijangka dan terlalu pantas, Lian Fu terlebih dahulu menyerang dengan mengayunkan cemeti ekor kudanya ke arah Si Putih. Bulu-bulu pada ekor kuda itu tiba-tiba memanjang dan mengeras seperti jarum keluli dengan bantuan daya tulen.

Ekspresi Xiao Meng berubah. Dia terpaksa bertindak kerana tiada pilihan lain. Perisainya berlanggaran dan menghasilkan bunyi bergema. 

Sementara Xiao Meng menghalang Si Putih, serangan Lian Fu mampu mengelakkan Si Putih daripada memintas. Sasarannya adalah Xiao Yue dan Hun Qianduan yang bersembunyi di dalam restoran itu.

Ekspresi Xiao Yue dan Hun Qianduan terus berubah. Situasi paling buruk telah berlaku. Walaupun Si Putih sangat berkuasa, dia hanyalah boneka tahap Santo Pertempuran. Dengan bantuan Xiao Meng, Sida-sida Lian yang juga seorang Santo Pertempuran boleh menguruskannya dengan mudah.

Bu Fang menyilangkan tangan di dadanya sambil dia memandang acuh tak acuh ke arah Sida-sida Lian yang semakin hampir. Dia nampak tak risau dan berdiri di situ tanpa berbuat apa-apa.

Xiao Yue berasa kecewa. Tapi dia tak boleh mengalah sekarang. Dia bertungkus lumus untuk mencapai tahapnya sekarang. Jadi dia tak boleh biarkan Sida-sida Lian menangkap dia begitu saja! Kalau dia tertangkap, mahkamah diraja pasti akan menjatuhkan hukuman mati kepadanya.

Mata Hun Qianduan juga nampak berputus asa. Dia sudah cedera teruk, jadi tak mungkin dia boleh berdepan Sida-sida Lian yang berkeadaan sempurna.

Adakah dia akan mati di sini? Dia tak boleh terima!

Cemeti ekor kuda Lian Fu kini setajam pisau sambil ia menghala ke arah Xiao Yue. Daya tulen yang sangat tajam dan menakutkan itu seolah-olah mampu mengoyakkan semua benda.

"Aku tak boleh mati macam ni! Aku tak boleh mati!" Mata Xiao Yue bertukar merah sambil wajah tampannya herot berot.

Dia memandang Bu Fang tapi lelaki itu memang tak peduli.

Tak guna!

'Seperti aku jangkakan, hanya aku yang boleh bantu diri sendiri!' Xiao Yue berkata dalam hati sambil memekik. Bila dia membuka mulutnya, satu cahaya terang mengembang dalam tekaknya.

Satu tenaga pedang yang teramat kuat mula memenuhi restoran itu. Keazaman pedang itu seolah-olah menembusi keseluruhan kedai.

Boom!

Perlanggaran di antara daya tulen membunuh yang tersembunyi dalam mulut Xiao Yue dan serangan Sida-sida Lian mengakibatkan satu gelombang kejutan menakjubkan.

Bu Fang mengerutkan keningnya sambil dia merasakan satu penghadang muncul di luar badannya dan menghalang hentaman tenaga yang bertubi-tubi.

Satu letusan angin berkuasa meniup asap dan debu lalu mendedahkan keadaan sebenar dalam restoran itu.

Jika diambil kira kuasa gelombang kejutan mereka berdua, restoran itu sudah pasti hancur musnah. Lagipun, ia pertembungan antara Maharaja Pertempuran yang terdesak dan Santo Pertempuran yang bertungkus lumus. Hasil pertembungan ini cukup untuk memusnahkan segala benda dalam lingkungan sepuluh batu.

Orang-orang yang berkumpul di luar restoran menelan air liur sambil mereka manyaksikan kejadian itu dengan rasa tak percaya.

Restoran itu masih kekal sempurna tidak seperti apa yang mereka jangka.

Gelombang kejutan serangan-serangan itu seolah-olah bagaikan angin bertiup.

'Hmm?! Apa yang sedang berlaku?' Fikir Lian Fu.

Bila Sida-sida Lian memandang sekeliling, anak matanya mengecil. Bila dia mendapati yang tak ada satu pun kesan kemusnahan di sekelilingnya, kelopak matanya bergetar.

Seluruh badan Xiao Yue berlumuran darah dan tubuhnya merah dari hujung rambut sampai hujung kaki. Dia tertawa pahit tapi cahaya dalam matanya menjadi semakin terang.

"Saya sudah katakan… Dilarang membuat kecoh dalam restoran ini! Tak faham ke?" Dia berkata tanpa perasaan kepada Xiao Yue dan Lian Fu. Penghadang itu sudah tiada dan susuk tubuh Bu Fang yang suci murni kelihatan.

Xiao Meng menolak Si Putih ke tepi dengan satu hentaman dan melangkah ke belakang. Melihat keadaan dalam restoran itu, dia berasa tak senang hati.

Penyebab rasa tak senang hatinya… Hampir gugur jantung Xiao Meng bila dia menoleh dan melihat ke arah anjing hitam yang selalunya berbaring di pintu masuk.

Pada ketika itu… anjing hitam itu bangun!

"Hmm? Si Hitam bangun?" Bu Fang memandang Si Hitam dengan rasa takjub bagaikan dia baru menemui satu benua baru. Anjing malas tu… bergerak!

Berjalan dengan elegan seperti seekor kucing, Si Hitam tiba di kaki Sida-sida Lian.

Matanya memandang ke atas sambil dia melihat sida-sida itu sepintas lalu. Lian Fu agak terkejut sambil berkata dalam hati, 'Dari mana datangnya… anjing hitam ni?'

"Shoo… Pergi main jauh-jauh! Jangan datang dekat!" Lian Fu menutup hidungnya dengan rasa menyampah dan melambai-lambaikan tangannya untuk menghalau Si Hitam. Dia paling benci anjing!

Si Hitam memandang dengan rasa bengang dan berkata dalam hati, 'Tuan segala anjing ni pun paling bencikan sida-sida!'

Selepas menjeling ke arah sida-sida itu, Si Hitam berjalan seperti kucing ke sisi Bu Fang. 

"Dia sudah kata jangan buat kecoh dalam restoran ni… Tak faham ke?"

Si Hitam menoleh dan memandang Xiao Yue dan Lian Fu. Ia membuka mulutnya dan bercakap seperti manusia.

Bu Fang terkesima dan melompat seolah-olah dia baru nampak hantu sambil dia memandang Si Hitam.

"Oh Tuhan… Anjing malas ni boleh bercakap?"

Si Hitam memandang Bu Fang sepintas lalu tapi dia malas cakap apa-apa. Dia menolehkan kepalanya ke arah mereka bertiga dan suara maskulin dan acuh tak acuh itu kedengaran sekali lagi, "Aku nak pinjam kata-kata bongkah besi tu… Si pembuat masalah akan dibogelkan sebagai pengajaran kepada yang lain."

Lian Fu, Xiao Yue dan Hun Qianduan semuanya terkesima…

Di depan mata mereka, anjing jinak dan malas itu tiba-tiba membuka mulutnya. Ia menjadi semakin besar sehingga ia nampak seperti mulut binatang liar.

"Gong!"

Bunyi salakannya berbunyi seperti ngauman bengis binatang zaman purba yang menakutkan. Ia seolah-olah taufan luar biasa yang menyusup keluar dari mulut anjing itu.

avataravatar
Next chapter