69 Saya Beri Penilaian Rendah… untuk Semuanya!

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

'Eh… Macam mana dia boleh bercakap begitu dengan gaya tak bersalah walaupun dia datang untuk cari pasal? Memang sesuailah dengan perangai Tauke Bu.'

Xiao Xiaolong dan lain-lain semuanya terkesima. Mereka langsung tak faham kenapa Bu Fang nak cari kesalahan Restoran Phoenix Abadi.

"Tauke Bu… kamu berdendam ke dengan Restoran Phoenix Abadi?" Suara merdu Xiao Yanyu kedengaran sambil dia bertanya dengan lembut. Nampaknya bukan saja Xiao Xiaolong, malah seseorang yang bijak sepertinya pun tak faham apa yang Bu Fang hendak lakukan.

Bu Fang memandang Xiao Yanyu dan mata mereka bertemu. "Perlu ke saya cari sebab untuk cari kesalahan orang lain? Saya datang sebab saya rasa nak lakukannya."

'Baiklah… Jawapan tu memang tepat. Ia jawapan yang sesuai dengan Tauke Bu.' Fikir Xiao Yanyu.

Semua orang berhenti bercakap dan menunggu hidangan tiba dengan senyap. Kawasan umum itu agak bising dan dipenuhi pelbagai bau. Ada aroma wain tak berkualiti bercampur dengan bau makanan pelik dan menyebabkan bau busuk yang tak dapat ditahan.

Mata Xiao Xiaolong pun menunjukkan rasa meluatnya. Restoran Phoenix Abadi mungkin terkenal di bandar diraja tapi kawasan umumnya sangat teruk. Salah satu sebabnya, jumlah pelanggan yang terlalu ramai. Ini menyebabkan susah untuk memastikan tempat ini bersih.

"Sajian akan dihidangkan!" Suara pelayan dengan tuala putih di bahunya kedengaran. Dia perlahan-lahan tiba sambil membawa hidangan.

"Tetamu, inilah sajian kamu, Kepala Singa Masak Merah!" Pelayan itu tersenyum sambil meletakkan hidangan panas itu di atas meja Bu Fang.

Warna hidangan Kepala Singa Masak Merah yang tenggelam dalam sos merah itu sangat hebat. Baunya harum sambil wapnya tersebar di hadapan mereka.

"Kepala Singa Masak merah ni nampak sedap!" Xiao Xiaolong mengangguk dan berkata selepas memandang sekilas sajian itu.

Dia mengambil penyepitnya dan meluruskannya dengan mengetuknya sedikit di atas meja. Dia kemudian mengambil satu Kepala Singa yang disaluti sos merah.

Bu Fnag mengambil penyepitnya juga tanpa perasaan. Dia mengambil satu Kepala Singa dan memasukkannya ke dalam mangkuk. Dia bermula dengan mencucuk Kepala Singa itu untuk merasai kekerasannya. Dia kemudian menghidu bau sajian itu.

Seorang demi seorang, Ouyang Xiaoyi dan Xiao Yanyu turut menyuap hidangan itu. Rasanya agak sedap kerana ini antara sepuluh sajian istimewa di kawasan umum Restoran Phoenix Abadi. Walaupun ia tak dapat dibandingkan dengan hidangan Bu Fang, ia agak sedap berbanding sajian biasa.

Wajah cantik Ouyang Xiaoyi menjadi kemerah-merahan selepas dia menghabiskan Kepala Singa itu dengan rasa puas.

Xiao Xiaolong mengecap bibirnya dan meminum air. Dia meneruskan makan Kepala Singa itu. Sepinggan Kepala Singa Masak Merah itu hanya ada lima bebola daging dan dia sendiri makan dua.

"Tauke Bu, kamu patut cuba. Rasanya agak sedap. Cef Restoran Phoenix Abadi ini masih berbakat." Xiao Xiaolong berkata kepada Bu Fang sambil dia mengunyah Kepala Singa itu.

Bu Fang tak membalas sambil dia menggigit bebola itu. Bila sos itu masuk ke dalam mulutnya, ada sedikit rasa tajam. Selepas mengunyah beberapa kali, Bu Fang menelannya dan meletakkan penyepitnya tanpa perasaaan. Dia tak meneruskan makan.

Aksi Bu Fang menyebabkan Xiao Yanyu dan lain-lain memandangnya dengan pelik.

"Sos Kepala Singa Masak Merah ni terlalu masin. Banyak betul garam yang diletak. Satu lagi, gula dalam sos ini tak larut sepenuhnya jadi ada rasa tajam bila saya makan tadi. Lagipun, Kepala Singa, yang juga dikenali sebagai Bebola Daging Empat Kegembiraan, dibuat dengan menguli tepat tujuh puluh peratus daging tanpa lemak dan tiga puluh peratus daging berlemak. Ia perlu dicincang halus dengan tangan dan daging berlemak itu tak boleh terlalu berminyak. Kalau dilihat, daging cincang itu masih melekat-lekat, nampak sangat yang daging tanpa lemak itu tak dicincang halus. Daging berlemak yang digunakan pun berminyak dan menjejaskan rasanya. Saya bagi penilaian rendah."

Bu Fang menarik nafas dan berkata. Sambil Xiao Xiaolong dan lain-lain terkesima memandangnya, banyak yang dikatakan untuk mengkritik sajian Kepala Singa Masak Merah itu sehingga ia kedengaran tak bernilai langsung.

Xiao Xiaolong tak terkata apa sambil penyepitnya jatuh dari tangan ke atas meja. Selepas mendengar penilaian Bu Fang, Kepala Singa itu dah tak rasa sesedap tadi bila dia memandangnya lagi. Dia tak sangka bebola daging itu banyak kekurangan.

Pada asalnya, dia masih berselera. Tapi sekarang, dia sudah tak ada keinginan untuk makan. Dia meluahkan separuh bebola yang sudah dimakan ke dalam mangkuk.

'Tauke Bu… Dia nampaknya memang datang cari pasal. Hidangan istimewa kawasan umum ini dikritik begitu teruk. Namun, dengan kemahiran masakannya, penilaian dia pasti tepat.' Fikir Xiao Xiaolong.

Sajian kedua, sepinggan Ikan Kukus, dihidangkan. Aroma segar terhasil dari ikan itu bersama-sama wap hangat.

Rupa Ikan Kukus itu nampak dijaga dengan baik. Ada beberapa potongan yang dibuat di badan ikan. Potongan itu terbuka bila dimasak dan menampakkan isi lembut di dalamnya. Sup yang agak jernih itu mengelilingi ikan di dalam pinggan.

Kali ini, tak ada sesiapa yang mengambil penyepit mereka. Mereka memandang dan menunggu Bu Fang untuk menilainya dulu.

Bu Fang mengangguk dan mengambil penyepitnya. Mula-mula, dia menekan insang ikan. Penyepitnya melantun sedikit dan Bu Fang mengangguk. Dia berkata dalam hati, 'Nampaknya, haba dikawal dengan agak baik semasa ikan ini dimasak.'

Dia mencelup penyepit ke dalam sup ikan dan mencuba rasanya. Ada sedikit rasa hanyir dan masin. Tapi rasa hanyir itu menyebabkan ekspresi Bu Fang seperti dia tak menyukainya.

"Rasa hanyir ikan ni pun tak dihilangkan. Baik jangan rasa sebab isi ikan ini pasti hanyir." Ekspresi Bu Fang nampak tak menyenangkan dan nada suaranya agak dingin bila dia memberi penilaian.

Xiao Xiaolong dan lain-lain terperanjat lagi. Bu Fang sudah menilai yang hidangan ikan itu gagal walaupun dia belum merasa ikannya… Xiao Xiaolong tak percaya jadi dia pun mengambil sedikit isi ikan itu dan menyuapnya.

Rasanya agak sedap. Rasa hanyir yang Bu Fang sebut tadi memang ada tapi tak begitu kuat. Namun begitu, ia masih boleh diterima.

"Kulinari mementingkan ketelitian. Kalau ada tersilap sedikit pun, ia pasti menjejaskan rasa makanan! Rasa hanyir tak sepatutnya ada. Disebabkan itu, hidangan ini gagal." Bu Fang mengkritik tanpa belas kasihan.

Xiao Xiaolong dan lain-lain mengangguk tanpa betul-betul memahami kata-katanya. Selepas seketika, pelayan menghidangkan sajian-sajian lain. Namun, bila pelayan itu nampak hidangan sedia ada, dia agak terkejut.

Kebanyakan hidangan itu tak berusik. Nampak jelas yang kebanyak sajian itu hanya dirasa sekali dan tak dihabiskan.

Ini sesuatu yang tak dijangka di Restoran Phoenix Abadi. Makanan yang dimasak oleh cef-cef di restoran itu sudah menawan ramai orang!

Bila pelayan membawa hidangan terakhir ke meja Bu Fang, dia memaklumkan Kak Chun apa yang berlaku di meja itu dan dia pun terperanjat. Wajahnya penuh rasa sangsi bila dia membawa hidangan terakhir ke meja Bu Fang.

Bila Kak Chun sampai ke meja dan nampak hidangan yang tak terusik, anak matanya mengecil sambil dia bertanya, "Oh Tuhan, Tuan Muda Xiao, kenapa tak makan? Tak kena selera ke?"

Angin Bu Fang tak begitu baik. Tapi, disebabkan dia tak dapat makan hidangan yang sedap, lagilah anginnya bertambah buruk.

Xiao Xiaolong menunjuk ke arah Bu Fang dengan rasa lemah dan berkata, "Tuan Muda Bu ini kata yang sajian ini tak dimasak… dengan baik, dan hampir tak tertelan."

"Apa? Tuan Muda Xiao mesti bergurau. Semua orang dalam bandar diraja tahu rasa sajian Restoran Phoenix Abadi. Walaupun ini kawasan umum, hidangan di sini pun tak setanding sajian di restoran besar lain!" Kak Chu tergelak kecil dan melambaikan tangannya.

Dia mengalih pandangan ke arah Bu Fang dan ekspresinya tak menyenangkan.

Bu Fang tak menghiraukannya dan mengambil penyepit untuk makan hidangan terakhir.

Selepas satu suapan, Bu Fang meletakkan penyepitnya. Dia menggelengkan kepala dan berkata, "Untuk sajian Udang Goreng Kilas dengan Pucuk Buluh, puluh buluhnya sudah terlalu masak, dan ada beberapa yang terlalu pahit dan susah nak dikunyah. Kualiti udang yang digunakan pun berbeza-beza. Ada udang segar dan ada udang yang dah mati. Beza rasanya terlalu banyak. Saya beri penilaian rendah."

Selepas mendengar penilaian Bu Fang, Kak Chun terus tergamam. Dia rasa terlalu geram sampaikan dadanya turun naik. Dia berkata dalam hati, "Muka zombie ni berani cari pasal! Berani dia mengkritik sajian istimewa kawasan umum ni dan mengatakan ia tak bernilai! Siapa dia untuk mengkritik kami begini?!"

Kak Chun mengurut dadanya yang berbonjol dan memandang Bu Fang dengan dingin dan berkata, "Nampaknya kamu pun seorang cef? Disebabkan itu, kamu patut faham… Siapa kamu untuk menilai hidangan Restoran Phoenix Abadi!"

avataravatar
Next chapter