77 Putera Mahkota dan Raja Yu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dalam cawan wain porselin, cecair yang jernih seperti mata air alp bergoncang dengan perlahan. Aroma pekat dalam cawan wain itu mengeluarkan bau yang boleh memabukkan.

Raja Yu menggoncangkan wain di dalam cawan itu dengan perlahan. Apabila dia mencuba wain itu, rasa matang dan pedas yang meletup di dalam mulutnya membuatkan pori-pori di seluruh badannya menggeletar. Itu kali pertama dia minum wain yang sungguh lazat. Ia jauh lebih enak daripada Wain Nektar Berhias Permata di istana diraja.

"Seperti yang Beta jangkakan daripada restoran yang dilawati Ayahanda sendiri. Wain ini saja boleh membuatkan pelanggan duduk lama di dalam restoran ni." Raja Yu mengeluh. Ini kali pertama dia datang ke restoran Bu Fang. Sebelum ini, dia hanya dengar khabar angin. Kali ini, selepas dia mengalaminya sendiri, akhirnya dia dapat merasai daya tarikan makanan istimewa di restoran itu.

Wainnya berkualiti. Sajian yang dihidangkannya juga lazat.

Warna kuning keorenan Tulang Rusuk Masam Manis, wapnya yang harum beserta dagingnya yang sedap diibaratkan seperti sebuah gambar yang cantik dan menawan.

Di pintu masuk lorong, Putera Mahkota berjalan dengan tangannya disilang di belakangnya dengan penuh keyakinan. Xushi seorang saja yang mengikutinya. Ekspresinya serius sambil membawa sebuah sangkar keluli yang besar dengan satu tangan.

"Hmm?" Bu Fang yang baru saja keluar dari dapur melihat ke arah pintu masuk dengan bingung. Dia melihat Putera Mahkota dan Xushi segera meletakkan sangkar keluli itu di atas tanah selepas memasuki restorannya.

"Tauke Bu, saya datang sekali lagi." Putera Mahkota berkata sambil ketawa apabila dia memandang ke arah Bu Fang.

Sekiranya Bu Fang dapat memasak Masakan Eliksir, kesihatan maharaja sepatutnya boleh pulih. Jadi, kalau dia menawarkan Masakan Eliksir, maharaja pasti akan lebih sedia untuk menerima Ji Chengan. Kedudukannya sebagai Putera Mahkota akan lebih terjamin dan dia akan mendapat lebih banyak kelebihan daripada adik-adiknya.

Semasa dia berfikir tentang semua ini, Putera Mahkota betul-betul menjadi penyokong kuat Bu Fang yang boleh memasak Masakan Eliksir.

Putera Mahkota mengangkat tangannya dan mengalihkan kain yang menutupi sangkar keluli itu. Apabila dia menyentak kain itu, bahagian dalam sangkar keluli pun terdedah.

Seekor Ayam Phoenix Merah Darah dengan bulu merah darah sedang diam berdiri di dalam sangkar keluli itu. Matanya pula berpusing-pusing.

"Ayam Phoenix Merah Darah?" Bu Fang agak terkejut. Kemudian, dia melihat Putera Mahkota dengan pelik. Dia memang tak harapkan langsung Putera Mahkota untuk bersusah-payah menangkap seekor Ayam Phoenix Merah Darah.

"Betul. Sememangnya Tauke Bu mengecam Ayam Phoenix Merah Darah. Tapi kamu ingat tak apa yang kamu katakan dulu?" Putera Mahkota berkata sambil tersenyum.

Bu Fang tak menunjukkan sebarang perasaan apabila dia berjalan di sekitar sangkar keluli itu. Dia memeriksa Ayam Phoenix Merah Darah itu dengan teliti dan secara tak sengaja, dia bandingkan ayam itu dengan ayam yang disediakan oleh sistem. Dia mendapati Ayam Phoenix Merah Darah yang disediakan oleh Putera Mahkota ini kurang baik mutunya berbanding dengan Ayam Phoenix Merah Darah yang disediakan oleh sistem.

'Kualiti bahan-bahan yang disediakan oleh sistem ialah sangat tinggi dan semuanya dipilih secara teliti. Semua bahan yang dipilih daripada jenis yang bagus-bagus belaka.' Suara sistem yang serius itu kedengaran di dalam kepalanya.

Bu Fang mengangguk kepalanya. Dia percaya yang bahan-bahan yang disediakan oleh sistem ialah yang terbaik.

Dia sebenarnya dah bersetuju yang dia sendiri akan memasak Sup Ayam Phoenix Berempah Sej untuk Putera Mahkota jika bahan-bahannya disediakan.

"Bagaimana dengan Rempah Sej dan bahan-bahan perubatan yang lain?" Bu Fang bertanya.

Mata Putera Mahkota terus bersinar. Dia melambaikan tangannya dan sebuah beg kulit yang dipenuhi dengan bahan-bahan perubatan muncul di tangannya dan dia menyerahkan beg itu kepada Bu Fang.

Rempah Sej Syurgawi itu tersimpan di dalam sebuah kotak kayu yang cantik dan dia menyerahkannya kepada Bu Fang dengan berhati-hati.

Herba Sej Syurgawi itu sangat mahal dan nilainya setanding dengan Ayam Phoenix Merah Darah. Lagipun, Herba Sej Syurgawi itu amat sukar dituai kerana ia hanya tumbuh di kawasan Tanah Belantara. Kawasan itu sangat mengerikan kerana didiami oleh binatang semangat kelas tertinggi yang tak terkira banyaknya. Santo Pertempuran Kelas Ketujuh pun mungkin akan terkorban apabila dia menjelajah kawasan Tanah Belantara itu.

Tapi oleh sebab Herba Sej Syurgawi itu hanyalah herba semangat kelas kelima, ia terletak di luar sempadan kawasan Tanah Belantara. Jadi, Putera Mahkota masih dapat memperolehnya dengan menghabiskan sejumlah besar wangnya.

Bu Fang menerima Rempah Sej yang tak seberapa cantik itu. Dia mengangguk kepalanya dan hanya berkata, "Masa untuk Sup Ayam Phoenix Berempah Sej ni agak lama. Waktu operasi hari ni pun dah nak tamat. Datang ke sini semula pada awal pagi esok untuk ambil Masakan Eliksir. Memandangkan kamu sendiri yang sediakan bahan-bahannya, kamu dibenarkan untuk bawa pulang hidangan ni."

Senyuman di wajah Putera Mahkota membeku dan dia berkata di dalam hatinya, 'Kau tak nak masak hari ni? Hanya sebab waktu perniagaan kau dah tamat?'

"Tauke Bu, Beta betul-betul perlukan Sup Ayam Phoenix Berempah Sej ni. Kamu tak boleh ke masaknya sekarang?" Putera Mahkota bertanya sambil mengerutkan keningnya. Sejumlah besar wang simpanannya telah digunakan untuk membeli bahan-bahan ini. Dia sendiri mahu lihat Bu Fang memasak sajian itu. Kalau tak, dia akan rasa tak senang.

Bu Fang melirik ke arah Putera Mahkota dan berkata, "Masakan Eliksir tak semudah yang Tuan Putera fikirkan. Banyak teknik yang perlu dilakukan dan Patik perlu tumpukan perhatian semasa memasaknya. Sekiranya Tuan Putera tak percayakan Patik, Tuan Putera boleh pergi dan tanya cef diraja.

"Secara jujurnya, kualiti bahan-bahan yang Tuan Putera sediakan ni biasa saja. Patik sebenarnya tak berminat pun nak menggunakannya. Tapi Patik sangat benci bila orang lain meragui Patik. Ini kali pertama, jadi Patik akan maafkan Tuan Putera. Tapi kalau Tuan Putera datang ke sini lagi nanti, bawa balik sajalah bahan-bahan ni." Bu Fang berkata tanpa ekspresi ketika dia melihat Putera Mahkota dengan acuh tak acuh.

Ji Chengan naik berang! Siapa yang berani bercakap dengan dia seperti itu dalam empayar ini! Lagi-lagi mengancam dia!

"Kamu..." Putera Mahkota menarik nafas panjang. Apabila dia berfikir tentang latar belakang restoran dan kemahiran masakan Bu Fang serta Masakan Eliksir yang ajaib itu, dia melemparkan senyuman sambil menahan kemarahannya.

"Beta tak meragui Pemilik Bu pun. Baiklah, Beta akan hantar seseorang untuk mengambilnya esok. Beta harap Tauke Bu tak akan kecewakan Beta." Putera Mahkota berkata.

"Hahaha!"

Setelah Putera Mahkota habis bercakap, kedengaran bunyi ketawa mengejek berhampiran dengan mereka.

Berkerut dahi Putera Mahkota apabila dia melihat ke arah gelak tawa itu dan dia serta-merta nampak Raja Yu.

Raja Yu mengangkat cawan ke mulutnya dan meminum wain sampai habis. Kemudian dia berdiri dan berjalan menuju ke arah Putera Mahkota dengan senyuman di bibirnya seperti seorang cendekiawan yang berpekerti halus.

"Paduka kekanda yang dikasihi, tak sangka yang kita akan bertemu di sini. Ish, ish, ish. Adakah Kekanda datang ke sini untuk suruh Tauke Bu masak Masakan Eliksir? Ini untuk memanjangkan... hayat Ayahanda, bukan?" Raja Yu berkata dengan acuh tak acuh dengan senyuman di wajahnya.

Anak mata Putera Mahkota dan Xushi mengecil. Sebelum ini, perhatian mereka difokuskan kepada Bu Fang, jadi mereka tak sedar yang Raja Yu pun turut berada di dalam restoran itu.

'Bagaimana dia boleh berada di sini?!' Putera Mahkota runsing dan geram!

Putera Mahkota tiba-tiba melirik ke arah Xushi dengan pandangan yang bermakna di matanya. Tubuh Xushi menggigil dan dia mengambil satu langkah ke belakang dengan ketakutan dan menundukkan diri di hadapan Putera Mahkota.

"Hahaha! Memang kebetulan, Paduka Adinda. Nampaknya Adinda pun suka makan sajian Tauke Bu." Senyuman terukir di wajah Putera Mahkota ketika dia mengangguk ke arah Raja Yu.

Raja Yu, Ji Chengyu merupakan Raja Pertempuran Kelas Kelima peringkat tertinggi. Dia sedikit lagi akan menjadi Maharaja Pertempuran. Antara tiga orang putera itu, tahap pertapanya dialah yang paling tinggi.

Walaupun kedua-dua Putera Mahkota, Ji Chengan dan putera ketiga, Ji Chengxue merupakan Raja Pertempuran Kelas Kelima, mereka hanya berada di peringkat awal. Berbanding dengan Raja Yu, mereka lebih teruk daripadanya.

"Betul, sajian Tauke Bu benar-benar lazat dan wainnya terbaik di dunia. Kekanda, cubalah wain ini kalau berpeluang." Raja Yu tertawa dan dia meletakkan beberapa biji kristal di atas meja dan berjalan keluar dari restoran itu dengan perlahan.

Senyuman di wajah Putera Mahkota semakin pudar apabila dia melihat Raja Yu beredar dari lorong itu dengan wajah suram.

Dengan tahap pertapanya yang tinggi bersama sokongan daripada separuh kerajaan diraja, adiknya, Ji Chengyu pesaing utama Putera Mahkota dan juga sumber kegelisahannya.

"Tauke Bu... Kamu betul-betul tak boleh masak sajian tu hari ni?" Putera Mahkota berpaling ke arah Bu Fang dan bertanya.

"Tak boleh." Bu Fang menjawab dengan selamba. Dia berpusing ke belakang dan duduk di atas kerusi. "Satu lagi, caj perkhidmatan untuk masak sajian ini ialah lima puluh biji kristal. Jangan lupa bayar."

"Lima puluh biji kristal?" Putera Mahkota mengecilkan matanya. Dia melambaikan tangannya dan meletakkan kristal di atas meja. Kemudian, dia berpusing ke belakang dan beredar dari tempat itu dengan marah. Sebagai seorang Putera Mahkota, dia tak kekurangan wang.

Xushi mengeluh dan mengikut Putera Mahkota sambil mengerutkan dahinya.

Tak lama kemudian, mereka pun turut beredar dari lorong itu.

"Baiklah, Xiaoyi, waktu perniagaan hari ni dah tamat." Bu Fang berdiri dan mengusap kepala Ouyang Xiaoyi. Setelah melihat Xiaoyi beredar, dia mengambil sangkar keluli itu dan masuk ke dapur.

avataravatar
Next chapter