74 Pergi Bunuh Pemilik Kedai Itu

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Dengan skaf yang dililit di tengkuknya, Bu Fang berjalan keluar dari Restoran Phoenix Abadi. Saat dia berjalan keluar dari bangunan yang hangat itu, angin sejuk bertiup di mukanya dan menyebabkan badannya menggeletar. Dia terpaksa berjalan sambil memeluk tubuh.

Namun, walaupun suhu agak rendah, Bu Fang berasa agak bersemangat tak seperti biasa. Ini kerana sistem baru saja mengumumkan dalam mindanya yang dia berjaya melengkapkan misi dan akan menerima ganjaran.

Sepuluh peratus peningkatan pertapaan daya tulen dan kaedah memasak tahap tinggi bagi salah satu hidangan Restoran Phoenix Abadi merupakan hadiah yang begitu hebat. Bu Fang berasa sangat gembira.

Xiao Xiaolong dan lain-lain berjaya mendapatkan Bu Fang dan berjalan bersamanya. Ouyang Xiaoyi dan Xiao Xiaolong berborak tanpa henti dan berterusan memuji kemahiran Bu Fang yang mistik dan menakjubkan. Dia berjaya membuatkan cef Restoran Phoenix Abadi senyap tak terkata hanya dengan merasa hidangan itu sekali.

Xiao Yanyu sekali lagi memakai velnya dan menutup wajahnya yang cantik. Dia nampak tenang dan elegan sambil dia berjalan bersama mereka dengan senyap.

Keempat-empat mereka mengucapkan selamat tinggal bila mereka tiba di jalan masuk lorong itu. Xiao Xiaolong dan lain-lain balik ke rumah manakala Bu Fang masuk ke lorong dan kembali ke kedainya.

Di pintu masuk kedai, Si Hitam sedang tidur meniarap. Walaupun Bu Fang sudah pulang, dia masih tidur nyenyak.

"Ganjaran misi telah tersedia. Sepuluh peratus peningkatan pertapaan daya tulen telah diterima. Sistem kini akan memilih secara rawak hidangan yang telah dinilai." Suara bersungguh-sungguh sistem kedengaran dalam minda Bu Fang.

Bu Fang agak terkejut. Matanya mengecil sambil dia menenangkan fikirannya. Dia terus tertanya-tanya apakah hidangan yang akan terpilih.

Sudah pasti, hidangan yang dia tak ingin dapat adalah Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis kerana sudah ada hidangan Tulang Rusuk Masam Manis dalam menunya.

Dalam fikirannya, pelbagai nama sajian yang muncul dan ia sentiasa berubah-ubah. Ini proses pemilihan rawak yang dijalankan oleh sistem...

Lama kelamaan, penukaran sajian itu semakin perlahan dan berhenti. Akhirnya, nampak jelas dalam minda Bu Fang apa yang terpilih.

"Sajian Ketam Bunga Goreng telah terpilih. Untuk tahap tingginya, ia kini dikenali sebagai Ketam Bunga Zalim Goreng."

Bu Fang teringat Ketam Bunga Goreng yang menggiurkan dan air liurnya meleleh. Jika dibandingkan dengan Tulang Rusuk Mabuk Masam Manis, Ketam Bunga Goreng boleh dikira agak sedap.

Disebabkan ada papan tanda di pintu masuk yang menyatakan restoran ditutup, ramai pelanggan datang dan pulang dengan kecewa. Contohnya, Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya yang menunggu lama dan pulang dengan penuh rasa kesal selepas menyedari yang restoran itu memang tak dibuka.

Pelanggan-pelanggan lain pun mengalami situasi yang sama.

Selepas Bu Fang kembali ke restoran, dia tak berniat untuk berniaga kerana sudah lewat. Selepas menukar bajunya, dia masuk ke dapur dan mula belajar cara memasak Ketam Bunga Zalim Goreng.

Restoran Phoenix Abadi.

Qian Bao duduk tegak di kerusinya sambil menongkat dagu dengan muka berkerut. Dia nampak seperti sedang memikirkan sesuatu.

'Tuan Muda Bu sebenarnya pemilik restoran tak berhati perut tu? Dia berani datang ke Restoran Phoenix Abadi dan mengkritik semua hidangan kami. Dia rasa dia tu siapa? Berani dia memandang rendah kepada kami!' Qian Bao menggenggam penumbuknya dan mengerutkan kening dengan marah.

Tiba-tiba dia melepaskan genggamannya dan mengeluh. "Tapi, walaupun begitu… Tahap Tauke Bu ni memang tinggi."

"Dia berjaya menganalisa sesuatu hidangan hanya dengan sekali rasa. Menakutkan!"

Pada asalnya, dia mahu cef-cefnya mencabar restoran Bu Fang. Tapi, nampak gayanya, lebih baik mereka tak pergi. Kalau tak, habislah reputasi mereka. Memang jelas yang terdapat perbezaan ketara antara kebolehan Bu Fang dan cef-cef di Restoran Phoenix Abadi.

Namun, Qian Bao tak boleh mengalah dan biarkan perkara ini berterusan. Bukanlah cara dia mengendalikan masalah hanya dengan menahan rasa marah.

Tunggu sekejap! Mata Qian Bao bercahaya seolah-olah dia telah terfikirkan sesuatu.

"Aku boleh suruh cef aku bertanding teknik pemotongan dengannya! Kalau tak cukup masa, susah untuk seseorang menguasainya! Walaupun kami tak boleh bertanding dengan Tauke Bu dari segi kaedah memasak, kami boleh kalahkannya dengan kemahiran yang memerlukan masa untuk dikuasai!"

Qian Bao mengetuk meja sambil tersenyum dan dia akhirnya tertawa dengan kuat. Kemudian, dia mengarahkan orang bawahannya mengumpulkan semua cef. Dia perlu memilih cef yang paling handal menggunakan pisau.

Qian Bao sudah melihat sendiri kefahaman Bu Fang terhadap sajian dan kaedah memasak. Oleh itu, dia hanya boleh memilih aspek teknik pemotongan.

Sementara Qian Bao sibuk mengumpulkan cefnya dan bersedia memilih cef dengan teknik pemotongan paling handal, seekor Ayam Phoenix Merah Darah telah dihantar secara rahsia ke istana putera mahkota.

Dalam istana megah putera mahkota itu, Ji Chengan berdiri sambil menyilangkan tangan di belakangnya. Dia memandang dengan rasa ingin tahu ke arah sangkar logam di hadapannya yang diperbuat daripada besi bermutu. Dalam sangkar itu, seekor ayam berkilau berwarna merah darah terperangkap di dalamnya.

"Inikah binatang semangat kelas kelima, Ayam Phoenix Merah Darah? Rupanya memang pelik." Ji Chengan mengangguk dan berkata sambil tersenyum.

Xushi yang berdiri agak jauh dengan penuh hormat berkata, "Ayam Phoenix Merah Darah ini binatang semangat kelas kelima yang tangkas. Walaupun kebolehan bertarungnya paling lemah di antara binatang semangat kelas kelima yang lain, ia masih setanding Semangat Pertempuran kelas keempat. Jadi, mereka mengambil masa agak lama untuk menangkapnya."

"Bagus, Xushi," Putera mahkota tu berkata penuh emosi sambil dia memusingkan badan dan memandang Xushi.

Xushi tunduk sekali lagi dan tak berkata apa-apa.

"Ayam Phoenix Merah Darah dan Herba Sej semuanya tersedia. Ramuan berubat yang bernilai pun turut dikumpulkan. Sekarang, kita hanya perlukan Tauke bu untuk memasak Masakan Eliksir. Kalau Masakan Eliksir ni boleh meningkatkan kesihatan Ayahanda, kedudukan Beta sebagai maharaja… pasti selamat." Putera mahkota berdiri sambil menyilangkan tangan di belakangnya sambil dia memandang dengan seronok ke arah Dewan Besar di kejauhan. Banyak yang bermain di mindanya.

Demi menjadi maharaja, dia telah melakukan bermacam-macam cara. Setiap langkah yang diambil begitu berisiko. Ini kerana, dia risau yang kalau dia tersalah langkah, adik kesayangannya akan mengesan kelemahan yang boleh memusnahkannya.

"Xushi, tolong buat persediaan. Beta sendiri akan pergi ke kedai Tauke Bu esok. Kita perlu pastikan yang Masakan Eliksir akan dihasilkan." Putera mahkota itu berkata dengan bersungguh-sungguh, "Sebelum kita berjaya, maklumat mengenai Masakan Eliksir ini perlu dirahsiakan. Jangan biar orang bawahan Raja Yu dapat tahu tentangnya."

"Baik, Tuan Putera!" Xushi berkata dengan hormat.

Kediaman Raja Yu.

Dalam kamar rahsia, Raja Yu, Ji Chengyu, membuka matanya dan tenaga keruh terkeluar dari mulutnya. Daya tulen di luar badannya meluap-luap seperti air mendidih. Selepas beberapa ketika, ia mula menjadi tenang dan masuk balik ke dalam badannya.

"Maharaja Pertempuran kelas keenam sangat susah untuk dicapai. Beta sudah tersekat di sini selama lebih setahun." Raja Yu menghembus nafas dengan berat dan rasa tak bermaya. Namun, dia tahu yang dia tak boleh terburu-buru dalam soal pertapaan kerana dia sendiri tiada penyelesaiannya.

Pintu kamar pertapaan dibuka. Satu susuk tubuh berpakaian jubah hitam berdiri di pintu masuk dan satu suara garau kedengaran. "Tuanku nampaknya terganggu disebabkan perihal pertapaan. Sebenarnya, Tuanku boleh menggunakan kaedah pertapaan Sekta Jiwa kami. Tak menjadi masalah untuk Tuanku meningkat kepada Maharaja Pertempuran kelas keenam."

Raja Yu memandangnya sekilas dan mencemuh. "Selepas itu, Beta akan bertukar menjadi raksasa yang tak menyerupai manusia atau hantu seperti kamu? Beta yang akan menjadi maharaja. Takkanlah Beta nak biarkan rupa Beta jadi buruk macam kamu?"

Kata-kata Raja Yu agak pedas tapi itulah cara biasa dia bercakap. Ketua Sekta Jiwa, Hun Qianyun, tidak marah walaupun dia yang mendapat sindiran itu. Dia cuma tertawa dengan menakutkan.

Tiba-tiba, satu kelibat datang dari pintu dan memberikan surat rahsia kepada Ji Chengyu.

Ji Chengyu mengangguk dan tanpa berselindung, dia membuka surat itu dan mula membacanya. Sambil dia membaca, ekspresinya menjadi suram.

"Kekandaku ini memang bekerja keras untuk menjadi maharaja. Kaedah sebegini pun dia nak gunakan. Semua orang pun menyedari tahap kesihatan Ayahanda. Dah sememangnya tiada penawar pun pada tahap ini. Boleh pula dia letakkan harapan pada Masakan Eliksir kedai kecil itu? Kelakar sungguh."

Sambil letusan tenaga mengalir dari tapak tangannya, surat di tangan Raja Yu terus hangus terbakar. Akhirnya, ia menjadi abu dan terbang ke udara.

Matanya begitu dingin sambil dia bercakap dengan suara dingin, "Hun Qianyun, ini masanya untuk kamu tunjukkan kebolehan kamu. Disebabkan Kekanda Beta ini cuba memanjangkan umur Ayahanda… jadi Beta akan hentikannya. Malam ini, bawa orang kamu ke Restoran Kecil Fang Fang dan bunuh pemiliknya. Ingat, pembunuhan ini mesti dilakukan dengan senyap. Lagipun, restoran itu luar biasa mengikut khabar angin."

Hun Qianyun mula tertawa dengan suara garaunya. "Kalau mengenai pembunuhan… jika Sekta Jiwa mengatakan yang mereka berada di tempat kedua, tak ada sesiapa pun dalam dunia ni yang berani mengaku mereka di tempat pertama. Raja Yu, nantikan saja berita baik."

avataravatar
Next chapter