83 Peningkatan Tahap dan Pendedahan Fungsi Baru

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Tuan: Bu Fang

Tahap Kekuasaan Daya Tulen: Gred Ketiga (Telah mencapai keupayaan untuk menunjukkan daya tulen di luar tubuh badan. Sebagai Tuhan Memasak di dalam dunia fantasi, gunakan kekuasaan Semangat Pertempuran dalam daya tulen kamu untuk memperbaharui bahan-bahan. Terus berusaha, anak muda.)

Bakat Memasak: Belum didedahkan

Kemahiran: Teknik Pemotongan Meteor Tahap Satu (90/100), Teknik Ukiran Bintang Gayung Besar Tahap Satu (0/100)

Alat: Pisau Dapur Tulang Naga Emas (set Tuhan Masakan)

Penilaian Keseluruhan bagi Tuhan Masakan: Cef Muda (Berkebolehan dalam menggunakan daya tulen untuk memasak dan memproses bahan-bahan. Mula mempelajari Teknik Pemotongan Meteor dan Teknik Ukiran Bintang Gayung Besar. Jalan untuk mencapai Tuhan Masakan sudah terbuka luas. Terus berusaha, anak muda.)

Tahap Sistem: Empat Bintang (Nisbah pertukaran ialah sebanyak lima puluh peratus. Tuan dibenarkan untuk melaksanakan penangkapan bahan-bahan.)

Bu Fang menumpukan perhatian dan meneliti panel sistem yang muncul dalam fikirannya. Selepas dia menyelesaikan misi, tahap sistem akhirnya menjadi empat bintang dan nisbah pertukaran pula mencapai lima puluh peratus.

Ini juga bermakna kelajuan peningkatan tahap akan meningkat dengan banyak. Namun begitu, sepuluh ribu biji kristal diperlukan untuk dia menjadi Raja Pertempuran Kelas Kelima. Memandangkan nisbah pertukaran daya sistem ialah sebanyak lima puluh peratus, dia perlu mencari dua puluh ribu biji kristal untuk meningkatkan tahapnya...

Dua puluh ribu biji kristal… Bu Fang tak menunjukkan sebarang perasaan di wajahnya. Dia tergamam. Dengan harga sajiannya sekarang, berapa lama masa yang diperlukan untuk mencapai perolehan sebanyak dua puluh ribu biji kristal?

'Lupakan sajalah, tak guna pun fikir perkara sebegini. Lebih baik aku kaji sistem yang baru ditingkatkan ni.'

"Sistem, apa yang dimaksudkan dengan 'Tuan dibenarkan untuk melaksanakan penangkapan bahan-bahan'?" Apabila Bu Fang melihat maklumat terakhir itu, dia agak hairan dan terpaksa bertanya kepada sistem.

"Sebelum mendapat empat bintang, semua bahan yang digunakan oleh Tuan telah disediakan oleh sistem. Selepas mendapat empat bintang, Tuan sendiri boleh memilih untuk menangkap bahan-bahan itu. Sistem akan menetapkan harga sajian yang dimasak dengan bahan-bahan yang ditangkap oleh Tuan." Sistem itu menjawab dengan serius.

Eh... Ah? Bu Fang tergamam seketika. Bagaimana seorang tukang masak yang tak ada kemampuan untuk berlawan seperti dia boleh menangkap bahan-bahannya sendiri?

"Pisau Dapur Tulang Naga Emas daripada set Tuhan Masakan mempunyai kesan penindasan terhadap kebanyakan bahan. Saya percaya Tuan boleh lakukannya. Terus berusaha, anak muda!" Sistem itu berkata.

Bu Fang rasa yang perkara ini serius dan perlu difahami dengan teliti. Jadi dia terus bertanya lagi untuk menjelaskan keraguan yang timbul dalam fikirannya. "Sistem, ke mana sepatutnya saya pergi untuk menangkap bahan-bahan itu? Di sekitar empayar?"

"Sistem akan menyediakan fungsi teleportasi. Tuan akan dihantar ke lokasi pengumpulan bahan-bahan di sekitar Tanah Belantara."

Bunyinya macam susah. Betul ke sistem boleh menghantar dia ke lokasi pengumpulan bahan-bahan? Entah sebab apa, Bu Fang rasa tak selesa dengan perkara itu.

Apabila Bu Fang baru hendak memikirkan masalah tersebut, daya tulen di dalam tubuhnya tiba-tiba meluap-luap. Matanya bersinar kerana dia tahu ini merupakan satu tanda kejayaan.

Perbezaan antara Maniak Pertempuran Kelas Ketiga dengan Semangat Pertempuran Kelas Keempat ialah kehadiran pusaran daya tulen daripada pusat dayanya1. Pusaran daya tulen ini setara dengan jiwa daya tulen. Ia mengawal kesemua peredaran daya tulen di dalam tubuh badan, jadi gred keempat adalah Semangat Pertempuran.

Pada masa itu, Bu Fang dapat merasai rasa hangat yang datang secara berterusan daripada pusat dayanya. Daya tulen di dalam tubuhnya dengan serta-merta berkumpul di lokasi itu dan perlahan-lahan membentuk sebuah pusaran. Apabila Bu Fang memeriksa bahagian dalam tubuhnya, dia melihat pusaran daya tulen itu menyerupai Bima Sakti yang berpusing-pusing di dalam pusat dayanya.

Tak ada ekspresi di wajah Bu Fang tapi perasaan bahagia di matanya tak dapat disembunyikan. Dia menghulurkan tangannya dan melambaikannya di udara. Semasa dia mengeluarkan kuasanya, satu letupan daya tulen melonjak keluar daripada pusaran daya tulennya.

Setelah menjadi Semangat Pertempuran, Bu Fang menjadi lebih mahir dalam pengawalan daya tulen.

Selepas bermain dengan daya tulennya untuk seketika, Bu Fang pun menjadi biasa dengan perubahan daya tulennya itu dan sekaligus menenangkan perasaan gembiranya. Kemudian dia menumpukan perhatiannya ke arah set Tuhan Masakan.

"Sistem, bagaimana pula dengan Pisau Dapur Tulang Naga Emas? Bagaimana saya boleh keluarkannya?" Bu Fang bertanya.

"Sistem sedang menghantar barang tersebut. Mohon sabar." Sistem itu menjawab dengan serius.

Bu Fang terus terdiam dan dia pun tak tahu bagaimana untuk menjawab sistem itu. Tapi satu tompok cahaya muncul di hadapannya dan ia mula bergerak sehingga susunan magik berlaku di udara.

Bunyi yang berdengung dapat didengari seperti ada sesuatu yang sedang muncul dari susunan magik itu.

Aum!!

Bu Fang melihat susunan magik itu. Tiba-tiba, kedengaran bunyi ngauman naga yang memekakkan telinganya dan bunyi itu memeranjatkannya sehingga gegendang telinga bergetar.

Di dalam susunan magik itu, sebilah pisau dapur yang berwarna hitam muncul dan terapung di udara. Seekor naga emas kecil sedang mengaum sambil berpusing-pusing di sekitar pisau dapur itu. Ngauman naga itu datang daripada mulut simulakrum dewa naga.

Aura yang menakutkan menyelubungi restoran dengan serta-merta. Tubuh dan fikiran Bu Fang terasa berat seolah-olah dia dihimpit gunung yang tinggi. Pernafasannya menjadi sukar.

Di luar restoran, Si Hitam sedang berehat apabila ia tiba-tiba membuka matanya. Ekspresinya sangat serius dan berjaga-jaga apabila ia melihat ke dalam restoran itu.

Walau bagaimanapun, ia seperti terfikirkan sesuatu. Ia menggulingkan matanya lalu baring dan kembali tidur.

Simulakrum dewa naga emas itu terbang dan menggigit pergelangan tangan Bu Fang dengan pantas sekali. Bu Fang terasa sakit sedikit di pergelangan tangannya dan setitis darah mengalir keluar daripada luka di tempat gigitan itu. Titisan darah itu kemudiannya menyaluti simulakrum dewa naga emas itu dan ia terbang ke arah pisau dapur dengan perlahan.

Akhirnya, darah Bu Fang ditelan oleh pisau dapur itu. Rasa tekanan yang tinggi menggunung tadi dan simulakrum dewa naga emas itu terus hilang.

Pada kesan gigitan di pergelangan tangannya, sebuah imej dewa naga muncul. Minda Bu Fang nampaknya telah bersambung dengan Pisau Dapur Tulang Naga Emas. Dengan kawalan mindanya, dia dapat menyimpan pisau dapur itu di dalam imej pada pergelangan tangannya dengan mudah.

"Pisau Dapur Tulang Naga Emas (set Tuhan Masakan) telah dihantar. Sila terima penghantaran ini." Sistem itu berkata.

Bu Fang menumpukan perhatiannya ketika dia mengambil Pisau Dapur Tulang Naga Emas tanpa corak yang sedang terapung di udara. Perasaan gembira tiba-tiba terbik dari lubuk hatinya. Apabila Bu Fang mengayunkan pergelangan tangannya, dia boleh menterbalikkan pisau dengan hebat sekali.

Senyuman yang lebar terukir di wajah Bu Fang apabila dia memegang pisau dapur itu. Seperti yang diharapkan daripada set Tuhan Masakan, ia mudah untuk digunakan.

Pada mulanya, Bu Fang menganggap Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu sebilah pisau yang mempunyai warna yang terlalu terang dan diperbuat daripada tulang naga emas. Dia tak sangka pisau itu sebenarnya pisau keluli tahan karat yang biasa saja.

"Pisau Dapur Tulang Naga Emas: Sebahagian daripada set Tuhan Masakan. Ia diperbuat daripada tulang dewa naga emas dan memiliki aura dewa naga yang menakutkan. Aura tersebut mempunyai kesan penindasan terhadap semua binatang semangat dan mempunyai kesan pelaksanaan hukuman mati terhadap semua binatang semangat bawah kelas ketujuh. Tuan boleh mengubah bentuk pisau dapur dengan menggunakan separuh daripada daya tulen kamu. Pisau dapur ini boleh meransang tenaga semangat apabila memproses bahan-bahan dan ia juga boleh menghalang kehilangan tenaga semangat bahan." Sistem itu berkata.

"Bentuknya pun boleh berubah?" Bu Fang agak terkejut. 'Ia sebahagian daripada set Tuhan Masakan. Seperti yang dijangka, ia memang luar biasa. Aku tak boleh anggap pisau dapur ni seperti pisau dapur yang lain.'

Bu Fang juga berkata dalam hatinya, 'Sistem ni membenarkan aku pergi ke Tanah Belantara untuk tangkap bahan-bahan aku. Ini semua mesti ada kena-mengena dengan set Tuhan Masakan yang aku dapat ni.'

Dengan Pisau Dapur Tulang Naga Emas ini, dia boleh membunuh mana-mana binatang semangat bawah kelas ketujuh. Walaupun dengan keupayaan melawannya, dia tak dapat dikalahkan apabila berhadapan dengan mana-mana binatang semangat bawah kelas ketujuh selagi dia memegang pisau dapur ini.

'Selepas sistem dah tingkatkan tahap kepada empat bintang, aku berjaya mengumpul empat cebisan set Tuhan Masakan dan memperoleh Pisau Dapur Tulang Naga Emas... Selepas itu, aku dibenarkan untuk tangkap bahan-bahan aku sendiri. Tak sangka betul, ada sebabnya semua perkara itu berlaku pada aku.' Bu Fang tertawa.

Penangkapan bahan-bahan secara sendiri ialah latihan yang penting bagi seseorang cef. Cef itu dapat memasak sajian yang lebih lazat apabila dia lebih mempunyai pemahaman yang mendalam terhadap bahan-bahannya.

Bu Fang tahu yang sistem itu hanya wujud untuk membantunya. Ia hanya membuka pintu untuk dia menjadi Tuhan Masakan. Tapi, Bu Fang masih perlu berusaha keras untuk menjadi Tuhan Masakan di bahagian rantai makanan yang paling atas di dalam dunia fantasi. Dia perlu berlatih Teknik Pemotongan Meteor dan Teknik Ukiran Gayung Besar demi mencapai matlamatnya itu.

Selepas mengosongkan fikirannya, wajah Bu Fang menjadi tak berperasaan semula. Pisau Dapur Tulang Naga berputar dengan laju di telapak tangannya. Kemudian, ketika dia menumpukan perhatiannya dan mengeluarkan kuasanya, Pisau Dapur Tulang Naga itu bertukar menjadi asap hijau dan mengalir masuk ke dalam tanda pada pergelangan tangannya.

"Aku akan cuba sajian yang diberi oleh sistem dulu. Daging masak merah... Daging masak merah yang disediakan oleh sistem mesti lain daripada yang lain." Bu Fang menggumam selepas menyimpan Pisau Dapur Tulang Naga itu.

avataravatar
Next chapter