92 Misi Selesai, Boleh Pulang

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Aura yang dipancarkan oleh Pisau Dapur Tulang Naga Emas merebak bagaikan riak. Ia mengembang dengan serta-merta dan menyebabkan semua binatang semangat terbaring di atas tanah. Semua binatang semangat bawah kelas kelima menggigil disebabkan oleh kesan aura itu.

Binatang semangat ialah spesies yang mempunyai hierarki yang sangat ketat. Mereka menyembah tetapi juga takut akan binatang semangat yang lebih kuat daripada mereka. Kesan penindasan oleh binatang semangat kelas tinggi terhadap binatang semangat kelas rendah sangat jelas. Dengan itu, binatang semangat membahagikan wilayah mereka di Tanah Belantara dengan jelas.

Inilah sebab mengapa pinggiran, lapisan dalam dan zon pusat wujud di sekitar Tanah Belantara.

Aura naga terkandung di dalam Pisau Dapur Tulang Naga Emas. Keturunan naga sentiasa berada di atas rantai makanan binatang semangat. Mereka memandang rendah terhadap binatang semangat. Mereka juga memerintah binatang semangat dan mempunyai kuasa untuk menindas mereka.

Bu Fang mengangkat Pisau Dapur Tulang Naga Emasnya dan memindahkan daya tulennya ke dalam untuk mengaktifkan bentuk Pisau Dapur Tulang Naga Emas yang terkini. Sinaran berwarna keemasan yang menyilaukan mata serta aura naga emas yang meluap-luap terus menyebabkan semua binatang semangat di Lembah Phoenix Rebah itu terbaring di atas tanah. Beruk Semangat dan Lembu Naga Kelana pun tak terkecuali.

Bu Fang sedang berdiri di tengah-tengah kawasan itu. Rambutnya tiba-tiba menggerbang ditiup angin kencang. Dia membawa Pisau Dapur Tulang Emas raksasa itu dengan kepala tegak dan memerhati semua binatang semangat yang berbaring terlentang di atas tanah dengan tak berperasaan.

Walaupun Lembu Naga Kelana itu merupakan binatang semangat kelas ketujuh, kesan penindasan Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu jauh lebih kuat terhadapnya berbanding dengan binatang semangat yang lain. Ini kerana ia mempunyai darah naga yang mengalir di dalam uratnya. Oleh itu, apabila ia berhadapan dengan aura tulen keturunan naga, ia mampu terbaring dan menggigil di atas tanah sahaja.

Tang Yin sudah menutup matanya kerana dia telah berputus asa. Tapi, dia tiba-tiba sedar yang keadaan sekelilingnya sudah menjadi tenang dan rempuhan binatang tidak berlaku. Dia pun membuka matanya dengan bingung dan terus melihat sesuatu yang dia tak akan lupa sepanjang hayatnya.

Wajah Lu Xiaoxiao juga penuh dengan ketakutan. Kesan tangisan masih boleh dilihat di wajahnya. Mulutnya ternganga sedikit apabila dia melihat ke arah Bu Fang yang berdiri jauh sambil memegang pisau dapur emas raksasa itu.

Kawasan di sekeliling mereka dipenuhi dengan binatang semangat yang sedang bersujud...

"Ini... Apa yang sedang berlaku sekarang?! Senior..." Mulut Tang Yin terasa agak kering. Apa yang dia sedang saksikan? Apa yang sedang berlaku sebenarnya?

Binatang semangat termasuk dua binatang semangat kelas ketujuh itu betul-betul bersujud di hadapan senior itu. Dia ni... memang kuat?!

Adakah dia telah menundukkan sekumpulan binatang semangat dengan bergantung kepada auranya sahaja? Adakah ini kekuatan sebenar senior itu?

Tang Yin menjadi semakin teruja. Dia hanya tahu yang Bu Fang seorang yang penuh misteri, tapi dia tak tahu yang Bu Fang lebih hebat daripada pemimpin sektanya sendiri... Pemimpin sektanya pun tak boleh menyuruh binatang semangat bersujud di kakinya.

Pada masa itu, Bu Fang yang hanya Semangat Pertempuran Kelas Keempat tiba-tiba nampak seperti Tuhan Pertempuran Kelas Kelapan di matanya.

Bu Fang memikul pisau dapur itu di atas bahunya dan matanya melirik ke arah Tang Yin yang mana ekspresinya asyik berubah-ubah. Dia mengerutkan dahinya dan berkata, "Kamu semua ni tak mahu larikan diri ke?"

"Ah?!" Tang Yin menjawab dengan bingung.

"Kalau saya jadi kamu, saya akan lari dari sini dengan pantas sekali. Saya akan lari sejauh yang saya boleh." Bu Fang berkata tanpa ekspresi.

Tang Yin tiba-tiba sesak nafas. Dia segera memahami maksud Bu Fang. Senior mereka dah memberikan mereka peluang untuk melarikan diri! Kalau tak, dengan tahap pertapa senior mereka yang tak diketahui itu, dia pasti dah membunuh semua binatang semangat di situ! Dia tak ada masa nak ambil peduli tentang mereka berdua!

Perasaan yang dia rasa di dadanya tak dapat digambarkan!

Tang Yin mengetap giginya dan menolong Lu Xiaoxiao yang berasa bingung naik ke atas. Dia menyembah sujud di hadapan Bu Fang dengan penuh hormat dan berkata dengan serius, "Senior, saya tak akan dapat balas jasa kamu selepas kamu selamatkan kami pada hari ni. Senior... tolong jaga diri!"

"Baiklah, cepat berambus dari sini. Oh, jangan lupa untuk lawat ke Restoran Fang Fang dalam Empayar Bayu kalau kamu berpeluang. Sajiannya lazat dan harganya sangat berpatutan." Bu Fang berkata dengan acuh tak acuh.

Tang Yin terkejut seketika, kemudian mengangguk kepalanya dengan bersungguh-sungguh. Dia pun beredar dari tempat itu sambil menarik Lu Xiaoxiao bersama dengannya.

"Ah! Abang... Abang, bagaimana dengan Herba Darah Phoenix?!" Lu Xiaoxiao baru sedar daripada perasaan terkejutnya tadi. Apabila dia melihat Tang Yin betul-betul menarik tangannya, dia segera bertanya dengan cemas.

"Kamu masih fikir tentang Herba Darah Phoenix tu? Kamu mahu mati ke?" Tang Yin sangat berang! Senior mereka sangat berhati mulia kerana membenarkan mereka melarikan diri, tapi junior perempuannya masih berfikir tentang Herba Darah Phoenix itu! Sikapnya memang... tak masuk akal!

Pada masa itu, Lu Xiaoxiao akhirnya memahami situasi yang telah berlaku. Seluruh badannya menggeletar apabila dia melirik ke arah Bu Fang yang tak berperasaan itu. Kemudian, tanpa berkata apa-apa, dia pun beredar dari tempat itu bersama Tang Yin.

Apabila Bu Fang melihat mereka berdua telah meninggalkan Lembah Phoenix Rebah, pandangannya sekali lagi beralih ke arah binatang semangat di hadapannya. Daya tulen di dalam tubuhnya yang digunakan untuk mempertahankan bentuk terkini Dapur Tulang Bulu Emas itu semakin berkurang...

Bu Fang tak teragak-agak lagi. Dia menggenggam pemegang pisau dapur yang mempunyai ukiran kepala naga yang jahat itu dan terus menekannya ke bawah. Aura yang meluap-luap di dalamnya dibebaskan sekali lagi.

Semua binatang semangat yang terbaring di atas tanah menggigil...

Bu Fang mengacu pisau dapurnya ke arah Beruk Semangat dengan kepala tegak sambil berkata dengan acuh tak acuh, "Kamu tak sesuai dijadikan bahan saya. Jadi... berambuslah kamu dari sini!"

Tubuh Beruk Semangat itu menggeletar dan ia segera menyeringaikan taringnya ke arah Bu Fang. Walau bagaimanapun, matanya masih penuh dengan ketakutan dan keengganan.

Herba Darah Phoenix dah matang. Kalau terus putus asa... Sebagai Binatang Semangat Kelas Ketujuh yang baru sahaja mendapat kesedaran, ia enggan untuk terus menyerah kalah.

"Hmm? Kamu memang tak mahu berambus dari sini?" Bu Fang mengerutkan keningnya. Dia mengayunkan pisau dapurnya beberapa kali dan berjalan ke arah Lembu Naga Kelana.

Seluruh kepala Lembu Naga Kelana terbenam di dalam tanah dan ekor naganya melingkar. Ia tak bergerak seinci pun. Sebagai pemilik bagi keturunan naga, ia ditindas sepenuhnya.

Bu Fang tak berkata apa-apa apabila dia memandang ke arah Beruk Semangat dengan acuh tak acuh. Kemudian dia mengayun pisau dapurnya dan memotong tanduk Lembu Naga Kelana seperti memotong tauhu...

Lembu Naga Kelana itu berasa terkilan dan berkata dalam hatinya, 'Kalau kau mahu dia pergi dari sini, bukan ke kau yang patut kacau dia? Kenapa kau buli lembu ni? Kau ingat lembu senang dibuli...'

Sebagai musuh lama Lembu Naga Kelana, Beruk Semangat tahu betapa keras dan tajam tanduk lembu itu... Namun begitu, tanduknya boleh dipotong dengan sekali ayun sahaja oleh seorang manusia dengan aura yang menakutkan ini... Beruk itu berkata dalam hatinya, "Baiklah, monyet yang baik ni tak akan cari pasal dengan manusia yang licik seperti kamu!"

Dengan jeritan yang memekikkan telinga, Beruk Semangat kelas ketujuh itu melompat keluar dari lembah itu dengan perasaan berat hati. Ia pun hilang dari tempat itu dengan serta-merta.

Binatang semangat yang lain juga mengikut Beruk Semangat itu seperti air pasang.

Dia menggunakan kaedah yang sama untuk mengusir binatang semangat di belakang Lembu Naga Kelana. Akhirnya, hanya Bu Fang seorang sahaja yang tinggal di seluruh lembah itu. Dia memikul Pisau Dapur Tulang Naga Emas di atas bahunya dan Lembu Naga Kelana yang hilang sebatang tanduk itu...

Bu Fang mengusap tubuh raksasa Naga Lembu Kelanda sambil mengklikkan lidahnya. Dia berkata dengan gembira, "Boleh tahan, bahan ni jauh lebih hebat daripada Babi Semangat Api Kilat."

Lembu Naga Kelana itu berasa ragu-ragu... Bahan? Bahan apa?

Tiba-tiba, mata Lembu Naga Kelana terbeliak dan saiz Pisau Dapur Tulang Naga Emas menjadi semakin besar... dan besar... sphhhlt.

Daya tulen dalam tubuh Bu Fang akhirnya habis dan dia tak mampu untuk mengekalkan bentuk terkini Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu. Ia berubah menjadi bentuk asalnya yang biasa dan terus lenyap selepas ia bertukar menjadi asap hijau.

Bu Fang mengusap tubuh raksasa Lembu Naga Kelana itu sekali lagi. Apabila dia mengayunkan tangannya, dia pun menyimpan lembu itu ke dalam beg dimensi yang disediakan oleh sistem.

"Tahniah kepada tuan kerana berjaya selesai misi mengejut: pelaksanaan penangkapan bahan pertama. Ganjaran sistem akan diberikan sekarang. Dalam masa seminit, teleportasi pulang akan dilaksanakan. Mohon tuan bersiap sedia." Bunyi suara sistem itu bergema dalam fikiran Bu Fang, sama seperti mayat Lembu Naga Kelana yang disimpan olehnya.

Bu Fang terkejut. Dalam masa seminit? Herba Darah Phoenix masih belum dituai!

Di atas kepala Bu Fang, setompok cahaya sudah muncul. Cahaya tersebut sedang melakukan susunan magik yang penuh misteri dengan perlahan. Bu Fang sudah biasa dengan susunan magik itu.

Bu Fang tak teragak-agak dan terus berpusing ke belakang. Dia berlari menuju ke sebuah bukit kecil. Di atas kepalanya, tompok cahaya itu masih melakukan susunan magik. Apabila masa berlalu, susunan magik itu hampir siap dilaksanakan.

"Sepuluh saat lagi sebelum tuan pulang. Hitung undur bermula. Sepuluh... Sembilan..."

Wajah Bu Fang masih tak ada ekspresi, tapi matanya penuh dengan rasa bimbang. Dia semakin menghampiri Herba Darah Phoenix itu, tapi hitung undur juga hampir tamat...

'Beri aku satu saat lagi... Aku boleh belah seluruh lembah ni!' Bu Fang menjerit dalam fikirannya apabila dia melompat dan menggapai Herba Darah Phoenix yang sedang naik ke atas langit seperti seekor burung phoenix. Rasa sakit di telapak tangannya terus naik ke mindanya!

Tapi, sebelum dia dapat menjerit kesakitan, susunan magik pun telah siap. Angin yang kencang tiba-tiba bertiup dan kemudian hilang dengan sekelip mata...

Lembah Phoenix Rebah kembali tenang. Air terjun terus mengalir laju. Segala-galanya kembali seperti biasa.

avataravatar
Next chapter