43 Misi Mendadak

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Gur gur gur.

Di dalam kedai yang sunyi, hanya kedengaran bunyi arak dituang ke dalam cawan. Kemudian, kedengaran bunyi seseorang yang sedang minum secawan wain sekali gus lalu menelannya.

Xiao Yue menghembuskan nafas dengan perlahan selepas menghabiskan Wain Jed Penyejuk Hati itu. Dia mengakui wain ini berkualiti tertinggi dan jauh lebih enak daripada Wain Nektar Berhias Permata.

"Tauke Bu, saya pergi dulu, saya hendak tempah Wain Jed Penyejuk Hati untuk esok juga," Xiao Yue berkata kepada Bu Fang sambil meletakkan lima belas kristal di atas meja. Kemudian, dengan senyuman lembut, dia memakai topi buluh dan mengangkat pedang dibalut dengan kain di belakangnya.

"Hmm, baiklah." Bu Fang mengangguk kepalanya.

"Xiao Yue! Kau nak beredar macam tu saja ke?!" Suara Xiao Yanyu kedengaran. Ia tidak lagi merdu seperti kicauan burung, tetapi bercampur dengan sedikit kemarahan dan niat membunuh.

Xiao Yue yang sudah sampai ke pintu masuk, berhenti sebentar dan berpaling ke belakang. Wajahnya yang kacak tersembunyi di belakang vel hitam pada topi buluh itu dan tidak dapat dilihat dengan jelas.

"Kenapa? Kau fikir kau boleh buat aku tinggal di sini?" Suara garau Xiao Yue seakan-akan mengejek. Nada menghina itu menyebabkan anak mata Xiao Yanyu sedikit mengecil dan rasa marah menyelubungi wajah cantiknya.

Xiao Xiaolong yang lebih panas baran daripada Xiao Yanyu, sudah tak dapat menahan kemarahannya lagi. Dia terus mengumpul daya tulen dan menyerang Xiao Yue.

"Ah! Celaka!" Xiao Xiaolong menjerit dengan matanya yang merah sambil menghayunkan penumbuknya.

Bang!

Xiao Yue dengan tenang mengangkat tangannya dan menangkap tangan Xiao Xiaolong dengan tapak tangannya. Namun, walaupun Xiao Xiaolong menggunakan begitu banyak kuasa, tangan Xiao Yue tidak bergerak sedikit pun.

"Maniak Pertemuran Kelas Ketiga? Bakat kau masih agak rendah berbanding kakak kau." Xiao Yue tersenyum sementara kuasanya keluar dari tapak tangan. Gelombang tenaga bertebaran ke semua arah dan menghentam badan Xiao Xiaolong sampai dia terpelanting.

Xiao Yanyu menangkap badan Xiao Xiaolong di udara dan ekspresinya kaku.

Zhao Ruge melihat Xiao Yue sambil matanya berkelip. Sebaliknya, tiga orang gasar keluarga Ouyang yang berdiri jauh itu menggelengkan kepala mereka sambil mengeluh ... Mereka tak berani masuk campur urusan keluarga Xiao.

Selepas meletakkan Xiao Xiaolong ke bawah, mata Xiao Yanyu seolah-olah menjadi kosong sementara rambutnya, didorong oleh satu kuasa dan mula melayang di udara.

Sejak kejadian pada tiga tahun yang lalu, dia telah berusaha bertapa dengan bersungguh-sungguh setiap hari untuk berdepan perkara sebegini. Dia bersedia untuk membunuh orang kejam yang menyebabkan ibu mereka menjadi koma.

Satu titik hijau pucat muncul di atas dahinya dan mula tersebar sambil garisan hijau beransur-ansur menutup seluruh wajah cantiknya.

"Teknik Kabus Kayu? Kau belajar teknik rahsia jenis ini yang mengurangkan tenaga hayat kau... Nampaknya kau benar-benar bencikan aku."

Ekspresi Xiao Yue di bawah topi buluh tak dapat dilihat tapi suaranya yang garau kedengaran di seluruh kedai.

Anak mata Zhao Ruge mengecil sambil berfikir. 'Teknik Kabus Kayu ialah teknik menakutkan yang mengubah tenaga hayat kepada satu kuasa yang luar biasa! Orang yang memilikinya juga boleh mencabar lawan yang bertahap lebih tinggi! Xiao Yanyu benar-benar belajar teknik seperti itu. Perempuan ini sudah gila!'

"Xiao Yue, sudah tiba masanya untuk kau mati!" Xiao Yanyu kini sudah tak berhati perut dan setiap kata-katanya terasa dingin seperti ais.

Namun, apabila dia hendak menyerang, tangannya yang langsing tiba-tiba mendarat di atas bahunya dan satu suara yang luar biasa kedengaran dari belakangnya.

"Maafkan saya, tapi tak dibenarkan buat kecoh dalam kedai ini. Jika kamu mahu bertarung, sila lakukannya di luar. Terima kasih."

Semua orang terkejut melihat tangan Bu Fang yang masih di atas bahu Xiao Yanyu - ekspresinya aneh muncul pada wajah mereka. Budak ini ... Dia tidak takut mati ke?

Dengan suasana suram, sesiapa saja dapat mengesan niat pembunuhan itu. Memang jelas yang satu pertempuran sengit akan berlaku. Kenapa Maniak Pertempuran Kelas Ketiga ini masuk campur?

Anak mata Xiao Yanyu berwarna hijau gelap berubah sedikit dan pandangannya yang dingin itu tertumpu pada muka Bu Fang yang tak berperasaan.

"Kamu nak menghalang saya ke?" Suaranya dingin seperti gunung ais dan angin sejuk dan boleh menyebabkan sesiapa yang mendengarnya menjadi takut. Bu Fang pun mengerutkan kening bila mendengarnya. Dia merenung titik hijau gelap di atas dahi Xiao Yanyu dan dia dapat merasai daya hidup yang kuat yang sedang meruap.

Hum!

Satu gelombang tenaga yang kuat menghentam lengan Bu Fang sementara Xiao Yanyu tidak mengendahkannya dan mengambil langkah ke hadapan. Hujung tapak kakinya mengetuk tanah dan dia meluncur ke arah Xiao Yue.

Bu Fang berundur belakang dan memanggil, "Si Putih."

Ketika Si Putih muncul di sebelah dengan perutnya yang besar, Bu Fang menepuk perut Si Putih dan berkata, "Hentikan mereka."

Mata mekanikal Si Putih memancar. Dia kemudian hilang dari tempat ia berdiri dan serta-merta muncul di sebelah Xiao Yanyu.

"Ke tepilah!" Wajah Xiao Yanyu tiba-tiba menjadi ganas ketika dia melepaskan tenaga tulen dari tangannya ke arah Si Putih yang sedang menghalang laluannya. Dia telah memutuskan untuk membunuh Xiao Yue pada hari ini, jadi tiada sesiapa pun dapat menghentikannya!

Mata mekanikal Si Putih berkedip dengan warna merah dan mengangkat tangannya.

Bang bang!

Si Putih tak mengendahkan letusan daya tulen dan tangannya mendarat di atas badan Xiao Yanyu lalu menggetarkan seluruh tubuhnya. Xiao Yanyu tercampak ke belakang dan mendarat di sebelah Xiao Xiaolong. Titik hijau gelap di dahinya hancur menjadi cebisan kaca dan satu bunyi nyaring kedengaran.

Teknik rahsianya telah dilenyapkan dengan satu serangan dari Si Putih!

Xiao Yue mengecilkan matanya sambil memandang ke arah Si Putih dan berfikir. 'Boneka ini agak menarik. Dia dapat menghilangkan teknik Xiao Yanyu dengan satu serangan. Ia mesti sangat kuat.'

"Tauke Bu, saya pergi sekarang, jangan lupa simpan satu balang wain untuk saya." Xiao Yue tersenyum sambil berkata kepada Bu Fang. Kemudian dia berpaling dan menghilang di dalam lorong itu.

"Pembuat masalah, kamu akan dibogelkan sebagai contoh kepada orang lain." Ketika Xiao Yue beredar, suara mekanikal Si Putih berteriak dan mengejutkan semua orang.

"Tauke Bu, kakak saya tidak menimbulkan masalah! Dia benar-benar tidak ... Bukankah dia telah berhenti sebelum dia sempat menyerang?" Ekspresi Xiao Xiaolong mula berubah dan segera dia memeluk tubuh Xiao Yanyu dengan cemas, dan berkata kepada Bu Fang.

Berani betul! Tak mungkin Xiao Xiaolong boleh membenarkan orang lain menanggalkan baju kakaknya dan mencampak dia keluar. Bukan saja orang akan bercerita, tapi gegak gempitalah bandar diraja ini.

Bu Fang juga teragak-agak kerana dia merasakan apa yang dikatakan oleh Xiao Xiaolong itu betul.

"Disebabkan teknik rahsia orang ini telah dimusnahkan, tenaga hayatnya hilang teruk dan membahayakan nyawanya. Memandangkan Si Putih telah mencederakan Xiao Yanyu kerana perintah tuan, maka misi mendadak akan dikeluarkan."

"Misi Mendadak: Tuan perlu belajar 'Masakan Eliksir', kaedah memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej dalam masa tiga hari dan menyelamatkan nyawa gadis cantik ini yang sedang nazak."

(Sejak zaman purba, nasib gadis cantik berakhir dalam kesengsaraan. Anak muda, gunakan tangan lincah kamu untuk menyelamatkannya.)

Ganjaran Misi: Roti Tiram yang boleh dibeli untuk dibawa pulang.

Suara sistem yang serius itu tiba-tiba kedengaran di dalam fikiran Bu Fang, menyebabkan dia termenung.

Misi mendadak? Selamatkan nyawa gadis cantik itu?

"Peraturan ini ditetapkan oleh sistem!" Bu Fang sedikit terkejut sambil hujung mulutnya tersentap.

"Selepas membuat analisis, didapati yang tindakan Xiao Yanyu tidak cukup teruk untuk dianggap sebagai pembuat masalah." Sistem itu menjawab dengan serius.

Bu Fang merasakan seolah-olah dadanya ditikam oleh anak panah yang tidak kelihatan...

"Baiklah, cara berniaga sememangnya bergantung pada kelakuan sistem."

"Tauke Bu! Kakak saya ... Dia ... Apa yang telah berlaku kepada dia!" Suara Xiao Xiaolong yang ketakutan menyedarkan Bu Fang kembali.

Bu Fang berjalan menuju ke arah Xiao Yanyu. Wajahnya pucat dan bibirnya yang cerah telah hilang seri. Nampak seperti tenaga hayatnya semakin berkurang.

Sistem itu memang tidak berbohong kepadanya. Nyawanya dalam bahaya selepas diserang Si Putih.

"Tak mengapa. Dia hanya kehilangan tenaga hayat yang tak begitu teruk. Seseorang mungkin akan mengalami keadaan seperti ini selama beberapa hari dalam sebulan. Bawa dia semula ke sini dalam masa tiga hari dan saya akan sediakan masakan berubat untuknya. Dia akan pulih selepas makan." Bu Fang berkata sambil cuba menyembunyikan rasa bersalah.

Xiao Xiaolong dan lain-lain itu terkejut. Mereka berfikir, 'Betul ke… dia tak apa-apa? Wajahnya pucat lesi!'

"Percayalah, dia baik-baik saja. Tapi ingat, bawa dia ke sini dalam masa tiga hari," Bu Fang berkata dengan bersungguh-sungguh.

"Tuan Muda Xiao, kamu perlu bawa Cik Yanyu kembali ke kediaman dan biarkan Jeneral Xiao memeriksanya dulu. Dengan kebolehan Jeneral, dia sepatutnya dapat merawatnya," tiga orang gasar keluarga Ouyang mengingatkan Xiao Xiaolong.

Xiao Xiaolong segera tersedar selepas terdengar peringatan itu dan meninggalkan restoran dengan segera sambil memangku Xiao Yanyu.

Zhao Ruge dan yang lain-lain juga beredar. Kejadian hari ini memberikan kesan yang agak besar kepada mereka.

Hakikatnya, Raja Pedang Pematah Hati telah muncul di dalam bandar diraja ialah suatu maklumat penting. Lagipun, seseorang yang begitu berbahaya telah muncul dalam tempoh yang amat sensitif ini.

"Tauke busuk, memang Kak Yanyu tak apa-apa ke?" Ouyang Xiaoyi melihat Bu Fang dengan ragu-ragu dan bertanya.

"Dia tak apa-apa. Kamu pulang rumah dulu ya." Bu Fang berkata sambil mengusap kepala Ouyang Xiaoyi.

Setelah semua orang beredar, Bu Fang menutup kedai dan mengakhiri perniagaan untuk hari itu.

"Sistem, apa yang akan berlaku jika aku tak dapat belajar memasak Sup Ayam Phoenix Herba Sej dalam masa tiga hari?" Bu Fang secara senyap bertanya kepada sistem.

Sistem menjawab dengan bersungguh, "Ada kemungkinan sebanyak sembilan puluh sembilan peratus yang tuan akan dihancurkan oleh Xiao Meng yang merupakan Santo Pertempuran kelas ketujuh."

"Uh, sistem, demi menyelamatkan gadis yang cantik yang masih muda itu, aku akan bekerja keras! Cepat beritahu cara memasak masakan berubat itu! Cepat!" Bu Fang mengumumkan dengan hormat.

avataravatar
Next chapter