93 Mi Beras Gulung yang Harum, Licin dan Lazat

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

Empayar Bayu, kota diraja, Restoran Fang Fang.

Satu tompok cahaya muncul di dalam restoran. Kemudian, cahaya tersebut terbang dengan cepat di udara sambil melakukan susunan magik. Angin tiba-tiba bertiup dengan kencang dan seorang lelaki muncul di dalam susunan magik itu.

Bu Fang kembali ke restorannya dalam keadaan bersawai. Dia pening-pening lalat lalu jatuh terduduk dan tercungap-cungap menarik nafas.

"Tuan dah kembali ke restoran. Ganjaran sistem akan diberikan sekarang." Suara sistem yang serius itu bergema dalam fikiran Bu Fang.

Tapi, Bu Fang mengabaikan mesej sistem itu. Pandangannya terpaku pada herba yang merah menyala dalam genggamannya. Herba itu terasa panas ketika dia memegangnya. Rasanya seperti memegang seketul batu magma.

'Nasib baik aku sempat tangkap herba ni. Aku dah gigih berusaha mencarinya, memang rugilah kalau aku tak sempat tangkap herba semangat kelas ketujuh ni.' Senyuman kecil terukir di wajah Bu Fang yang serius itu.

Seluruh Herba Darah Phoenix itu berwarna merah. Selepas proses kematangan, herba ini menjadi lebih cantik seperti ia diukir daripada batu akik merah. Di permukaannya, ia dipenuhi dengan bintik-bintik merah tua seolah-olah ia berlumuran darah.

Apabila dia menggenggam herba itu, dia terasa sangat panas. Tapi, rasa panas ini bukan di kulitnya tetapi di dalam mindanya.

Selepas mencari sebuah kotak jed, dia meletakkan Herba Darah Phoenix itu di dalamnya. Dia memilih untuk tidak menyimpannya di dalam beg dimensi yang disediakan oleh sistem, sebaliknya dia menyimpannya di dalam almari.

Dia juga mengeluarkan Herba Sej yang dituai olehnya dari dalam beg dimensi itu. Herba Sej yang segar ini mengeluarkan bau yang sungguh harum.

Bu Fang menahan dirinya supaya tak tergoda. Dia pun meletakkan Herba Sej itu ke dalam kotak jed sebelum menyimpannya di dalam almari.

Setelah siap, barulah Bu Fang dapat bernafas dengan lega. Ketika dia meregangkan badannya, kedengaran bunyi meletup-letup dari sendi-sendi di dalam tubuhnya. Bertentangan daripada apa yang dijangka, penangkapan bahan pertamanya merupakan pengalaman yang bermakna baginya.

'Seperti yang diharapkan daripada set Tuhan Masakan. Tanpa Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu, aku pasti tak boleh buat apa-apa. Patutlah sistem suruh aku dapatkan set Tuhan Masakan dulu sebelum memulakan misi penangkapan bahan.' Bu Fang meregangkan lehernya yang tegang sambil memanjat tangga.

Bu Fang pun pergi mandi. Rambutnya dilepaskan dan air masih menitik-nitik dari hujung rambutnya ketika dia kembali ke biliknya. Badannya kini terasa lebih segar.

Bu Fang berasa letih selepas memburu bahan-bahan selama dua hari. Tiba masanya untuk dia mendapatkan tidur yang secukupnya.

Namun begitu, sebelum dia tidur, dia perlu mengetahui lebih lanjut tentang ganjaran misi yang baru dikeluarkan oleh sistem.

'Teknik memasak Mi Beras Gulung?' Bu Fang mengecilkan matanya. Dia sebenarnya sangat teruja dengan sajian baru ini. Sebagai seorang cef, dia dah biasa dengan Mi Beras Gulung ini. Lagipun, ia merupakan sarapan yang sungguh enak.

Mi Beras Gulung ialah sejenis makanan yang dibuat daripada beras. Ia juga dikenali sebagai mi beras stim, jyu cheung fan dan chee cheong fun. Sajian ini boleh dikatakan senang untuk dimasak. Aspek penting bagi sajian ini ialah kulit nipisnya dan ia dibuat dengan mengukus susu beras dan kemudian membungkus inti yang digoreng, dengan kulit nipis itu.

Ketika Bu Fang sedang berfikir tentang kaedah memasak Mi Beras Gulung, dia tiba-tiba mahu cuba membuatnya. Dia tak sabar untuk memasak dan mencuba sajian baru ini. Tapi, selepas berfikir seketika, dia membatalkan niatnya.

Sebab utamanya ialah dia berasa agak letih dan tak bermaya kerana dia telah menggunakan daya tulennya dengan banyak. Selain itu, Mi Beras Gulung ialah sejenis sarapan jadi lebih baik kalau dia memasaknya pada awal pagi.

Dengan itui, Bu Fang menahan dirinya daripada terus berlatih memasak. Dia berbaring di atas katilnya lalu tidur dengan nyenyak.

Malam bertukar menjadi siang.

Keesokan harinya, Bu Fang bangun daripada tidur apabila matahari terbit dan dia meregangkan tubuhnya. Selepas mandi, dia pergi ke dapur dan mula berlatih teknik memotong. Teknik Pemotongan Meteor Tahap Satunya hampir sampai ke paras kemuncak. Dia mungkin akan mencapai paras kemuncak kalau dia berlatih selama sehari lagi.

Selepas selesai latihan teknik pemotongannya, Bu Fang memasak sepinggan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis. Ini merupakan sajian harian Si Hitam dan Bu Fang sangat mahir memasak sajian ini. Tak lama kemudian, aroma daging yang lazat keluar dari arah dapur.

Dia membawa Tulang Rusuk Masakan Masam Manis itu ke ruang makan. Sebaik sahaja dia membuka pintu masuk, angin yang sejuk bertiup ke dalam restoran dengan serta-merta. Musim sejuk dengan rasminya melanda kota diraja dalam Empayar Bayu. Langit mendung seolah-olah memberi petanda yang salji akan turun dengan lebat.

"Si Hitam, masa untuk makan." Bu Fang berjalan ke arah Si Hitam dengan membawa sepinggan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis. Anjing yang gelojoh itu terus melompat-lompat kegirangan dan memandang ke arah sajian di tangan Bu Fang itu dengan teruja sambil menjelirkan lidahnya.

'Aku tak makan langsung selama dua hari... Tuan segala anjing kamu ni hampir mati kebuluran!' Si Hitam berkata dalam hatinya dan pandangannya terpaku pada Tulang Rusuk Masakan Masam Manis itu.

Aroma lazat yang keluar daripada daging itu hampir menyebabkan Si Hitam menjadi lemah. Apabila Bu Fang meletakkan Tulang Rusuk Masakan Masam Manis di hadapannya, ia terus melahap daging itu dengan pantas sekali.

Resepi dan rasanya masih sama! Inilah... rasa Tulang Rusuk Masakan Masam Manis!

Bu Fang memancarkan senyuman di wajahnya apabila melihat Si Hitam memakan sajian itu sambil menggoyang-goyangkan ekornya. Dia berpusing dan masuk ke dapur semula. Dia akan mula memasak Mi Beras Gulung.

Pertama sekali, dia mengambil susu beras yang disediakan oleh sistem. Susu beras itu berwarna putih seperti susu biasa dan baunya agak wangi. Jelas ternyata beras yang digunakan bukan jenis beras yang biasa.

Dia menuangkan susu beras itu ke dalam dulang yang direka khas untuk sajian ini. Dulang itu tak dalam, jadi lapisan susu beras itu tak akan menjadi tinggi. Kedalamannya lebih kurang dua milimeter. Selepas menuang susu beras itu, Bu Fang meletakkan dulang itu di atas rak stim untuk mengukusnya.

Ketika susu beras itu sedang dikukus, Bu Fang mula menyediakan initi yang diperlukan untuk sajian Mi Beras Gulung itu.

"Daging babi atau lembu, udang, sawi putih, serbuk lobak putih kering..." Bu Fang menggumam pada diriniya sendiri ketika dia menyediakan bahan-bahan itu.

Tapi, semasa dia hendak mengambil daging babi yang disediakan oleh sistem itu, dia tiba-tiba terhenti seketika. Sebuah idea tercetus dalam fikirannya.

"Sistem, bagaimana kalau saya mahu ganti daging babi ini dengan daging Lembu Naga Kelana... boleh atau tak?" Bu Fang bertanya.

"Boleh. Tapi, memandangkan bahan akan diganti, harga sajian akan berubah." Sistem itu menjawab dengan serius.

"Hmm? Besar tak perbezaan harganya?" Bu Fang bertanya dengan rasa ingin tahu.

Suara sistem yang serius itu bergema dalam fikirannya sekali lagi. "Inti asal Mi Beras Gulung menggunakan daging babi semangat kelas ketiga. Selepas tuan menggantikan bahan itu dengan Lembu Naga Kelana gred ketujuh, harga Mi Beras Gulung akan meningkat daripada sepuluh biji kristal menjadi enam puluh biji kristal bagi setiap hidangan."

Daripada sepuluh biji kristal menjadi enam puluh biji kristal... Mata Bu Fang berkedip-kedip. Dia berkata dalam hatinya, 'Seperti yang diharapkan daripada bahan gred ketujuh, rasanya pasti tak akan mengecewakan. Tapi, mesti tak ada orang yang sanggup makan Mi Beras Gulung yang mahal.'

"Sistem, bolehkah kamu jadikan Mi Beras Gulung dengan inti daging Lembu Naga Kelana sebagai versi Mi Beras Gulung tahap tinggi?"

"Boleh." Sistem itu menjawab. Sajian ini sebenarnya sama dengan Nasi Goreng Telur dan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi.

Bu Fang mengangguk kepalanya. Asap hijau keluar dari sekitar pergelangan tangannya dan Pisau Dapur Tulang Naga muncul di tangannya. Dia mula menyediakan inti sajian itu. Mula-mula dia memasak daging babi semangat kelas ketiga sebagai persediaan untuk membuat Mi Beras Gulung versi biasa. Selepas dia selesai menyiapkan inti itu, dia mengeluarkan seketul daging Lembu Naga Kelana yang kecil. Memandangkan Lembu Naga Kelana itu bersaiz besar, tak ada masalah pun kalau dia menggunakan sedikit daging lembu itu.

Apabila kedua-dia inti telah siap, susu beras juga siap dikukus.

Ketika Bu Fang mengeluarkan dulang itu, wap putih naik ke udara. Wap yang keluar dari susu beras itu berbau sungguh lazat.

Dia mengeluarkan kepingan bergelatin kukus daripada dulang itu. Kepingan itu jernih seperti batu jed dan licin bagaikan cermin. Ia kelihatan sungguh cantik.

Pisau Dapur Tulang Naga di tangan Bu Fang berputar beberapa kali dan kepingan bergelatin itu dibelah menjadi kepingan-kepingan segi empat tepat.

Bu Fang pun meletakkan inti yang dibuat daripada daging babi semangat kelas ketiga, udang dan serbuk lobak putih kering ke atas salah satu kepingan segi empat tempat itu. Kemudian dia membungkusnya dengan kemas. Mi Beras Gulung yang "putih seperti salji, nipis seperti kertas, berkilauan, harum, licin dan lazat" sudah selesai dibuat.

avataravatar
Next chapter