107 Mengkaji Hidangan Baru

Translator: EndlessFantasy Translation Editor: EndlessFantasy Translation

"Pagi ni, marquis dan Jeneral Ouyang menerima satu surat rahsia daripada Putera Mahkota. Dia memaklumkan yang dia mempunyai maklumat tentang lokasi kamu. Jadi, mereka berdua telah pergi ke istana Putera Mahkota." Luo Sanniang berkata dengan wajah yang kurang senang.

Yang Chen dan Ouyang Xiaoyi memahami kata-kata Luo Sanniang tetapi tidak bagi maksud di sebaliknya.

Bu Fang pula mengetahui serba sedikit tentang kisah itu tapi dia langsung tak berminat nak ambil tahu. Malah, sesiapa yang jadi maharaja pun sama saja pada dia kerana dia hanya mahu menjalankan perniagaannya di bandar diraja itu. Asalkan maharaja baru itu tak mengganggu dia, semuanya tak ada masalah.

"Baiklah, disebabkan kamu dah berjaya menghalau lelaki itu, kamu patut bawa budak berdua ni pulang." Bu Fang berkata kepada Luo Sanniang.

Luo Sanniang agak terkejut sebelum memandang Bu Fang dan mengangguk. "Dah lama saya dengar nama Tauke Bu. bila saya nampak sendiri depan mata tauke yang selalu disebut-sebut ni, memang betullah awak bukan orang biasa."

Kemahiran bertempur Bu Fang sememangnya menakjubkan. Dia hampir membelah tapak kaki seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam dengan satu serangan pisau dapur. Maharaja Pertempuran sudah dikira pakar tahap tertinggi dalam Empayar Bayu. Namun, halangan pelindung seorang Maharaja Pertempuran berjaya ditembusi sebilah pisau dapur yang dimiliki Semangat Pertempuran kelas keempat. Memang tak dapat dibayangkan oleh Luo Sanniang.

"Saya kawan baik dengan Yanyu, jadi saya banyak dengar cerita tentang Tauke Bu. Saya memang sentiasa mencari peluang untuk melawat restoran Tauke Bu untuk merasa hidangan lazat yang Yanyu selalu puji. Bila saya ada masa lain kali, saya akan datang ke sini." Luo Sanniang berkata dengan bersungguh-sungguh.

"Baiklah, kamu sangat dialu-alukan." Bu Fang mengangguk. Jadi, perempuan berdada montok di hadapannya ini kenal Xiao Yanyu. Padan pun dia menyapa seperti mereka kawan lama.

Luo Sanniang menggapai tangan Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen. Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada Bu Fang, dia segera beredar dengan budak-budak itu. Putera Mahkota pastinya merancang menggunakan maklumat tentang lokasi mereka untuk memaksa keluarga Ouyang dan keluarga Yang menyokongnya. Sebab itulah dia menghantar surat rahsia itu. Pastinya perkara ini akan membantunya mendapatkan takhta.

Namun, hakikatnya Ouyang Xiaoyi dan Yang Chen tidak berada dalam genggaman Putera Mahkota. Lebih tepat lagi, budak nakal berdua ni berjaya melepaskan diri tanpa disangka.

Disebabkan itu, situasi ini menjadi tidak tentu hala.

...

Pekerja-pekerja Restoran Phoenix Abadi sudah pun mengalihkan meja dan bahan-bahan yang digunakan untuk perlawanan itu. Bunga tauhu seribu lapis yang dibuat oleh Bu Fang pun diambil dengan berhati-hati oleh Qian Bao. Hasil kerja ini boleh dianggap satu karya agung teknik pemotongan dan juga teknik mengukir.

Lorong itu kembali lengang. Namun, berita tentang teknik pemotongan Bu Fang yang luar biasa tahap dewa itu sudah tersebar. Seorang cef daripada Restoran Phoenix Abadi kalah teruk kepada pemilik restoran yang tak berhati perut itu. Ini bukan iklan yang tak bermakna. Sekurang-kurangnya, ramai penonton yang mengikut Bu Fang dengan harapan dapat merasai kemahiran memasaknya.

Bu Fang kembali ke restoran tapi dia mula menutup pintu masuk dengan papan. Dia langsung tak menghiraukan orang ramai yang sedang berkumpul di luar.

"Tauke Bu, kenapa tutup awal sangat?" Seorang pelanggan berpotensi bertanya. Mereka sudah menyaksikan teknik pemotongan Bu Fang dan mahu merasai keenakan masakannya disebabkan mereka sudah berada di restoran itu. Mereka tak sangka langsung yang Bu Fang akan menutup restorannya.

"Waktu operasi hari ni sudah tamat. Kalau nak rasa masakan saya, datanglah awal esok untuk beratur." Bu Fang berkata dengan bersahaja dan langsung tak mengendahkan orang ramai di luar kedai yang semakin rasa tak puas hati.

"Awak ni tak patutlah buat macam ni. Bukannya kami tak nak bayar makanan tu. Kenapa tak beri kami masuk?"

"Bukan ke kau berniaga untuk dapatkan duit? Inilah masanya untuk kau buat duit tapi kau tak berminat? Kau ni bodoh ke?"

...

Rungutan orang ramai yang rasa tak puas hati itu kedengaran di lorong. Jelas sekali, keputusan Bu Fang untuk menutup kedai telah membuat mereka naik angin.

Bu Fang sedang bersandar di pintu masuk sambil memandang orang ramai dengan wajah selamba. Dia langsung tak berebut-rebut untuk membalas rungutan mereka. Dia sekadar memandang mereka tanpa perasaan sambil mendengar rungutan dan makian mereka.

Bila semua orang sudah penat, Bu Fang bangun dan mengambil kepingan papan terakhir untuk pintu itu. Dia berkata, "Saya cakap waktu operasi dah tamat. Kalau nak makan di sini, datang awal esok untuk beratur. Restoran ini tak menyediakan apa-apa servis di luar waktu operasi."

Selepas Bu Fang habis bercakap, dia menutup pintu dengan papan terakhir dan ia menghasilkan bunyi yang kuat.

Semua orang terkejut. Tak sangka ada juga tauke yang pelik dan dan degil macam ni? Dia langsung tak berminat nak dapatkan duit?!

"Ptui! Restoran ni macam sampah! Kau ingat kau tu siapa?! Aku dah tak berminat nak makan di sini lagi" Salah seorang daripada penonton tadi meludah marah dan memusingkan badan dengan niat untuk beredar.

Namun, belum sempat dia melangkah, dia merasakan satu tekanan yang begitu kuat. Dia tersungkur dan terjatuh betul-betul di tempat dia meludah. Selepas badannya mengesat air ludah itu, barulah tekanan yang dirasai itu hilang.

Wajahnya penuh rasa takut sambil dia bangun dan bergegas lari dari lorong itu. Ada sesuatu yang pelik di situ!

Mereka yang lain tidak merasai tekanan itu jadi mereka rasa pelik melihat orang itu lari lintang pukang.

Disebabkan pintu masuk restoran sudah ditutup, mereka tidak lagi memaksa dan seorang demi seorang pergi meninggalkan lorong itu. Keadaan kembali aman seperti sediakala.

Si Hitam menjelingkan matanya sambil berbaring di pintu masuk restoran. Dia menggerakkan kepalanya dan mengubah kedudukannya sebelum sambung tidur. Berani orang itu meludah di sini... Tak mungkin Si Hitam akan biarkan dia pergi tanpa membersihkannya dulu.

Bu Fang mengambil kot luarnya bila dia masuk ke dalam restoran. Dia meregangkan badannya dan berjalan menuju ke dapur.

Ganjaran sistem sudah pun diberikan, tapi nampaknya Bu Fang tak begitu menghiraukannya. Misi sistem kali ini nampak seperti membalas dendam dan membuatkan Bu Fang rasa terhibur. Dia tak sangka yang sistem tahu buat perangai.

Di dapur, asap hijau melingkari tangan Bu Fang dan Pisau Dapur Tulang Naga yang begitu tajam itu pun muncul.

Pisau Dapur Tulang Naga yang hampir membelah tapak kaki seorang Maharaja Pertempuran kelas keenam masih nampak biasa. Langsung tak ada kesan habuk mahupun darah padanya.

Namun, Bu Fang masih menggunakan mata air yang disediakan sistem untuk membasuh bilah pisau itu seperti biasa. Lagipun, sebagai seorang cef, Bu Fang memang taksub dengan kebersihan.

Selepas Pisau Dapur Tulang Naga Emas itu, Bu Fang mengibaskan tangannya dan pisau itu menjadi asap hijau sebelum kembali menjadi tanda di pergelangan tangannya. Dia kemudiannya tergamam seketika sambil merenung papan pemotong di hadapannya.

Bu Fang tiba-tiba hilang keinginan untuk memasak sajian dalam menu restoran itu. Dia sudah rasa penat memasak benda yang sama setiap hari. Setiap manusia ada rasa malas dan Bu Fang pun seorang manusia juga.

Dia terasa hendak masuk ke biliknya dan tidur tapi masih terlalu awal untuk berbuat demikian.

Disebabkan itu, Bu Fang rasa keliru apa yang hendak dilakukan.

Tiba-tiba, dia mengecilkan matanya dan mengambil satu bahagian daging Lembu Naga Kelana daripada ruang penyimpanan sistem. Daging yang diambil daripada bahagian kaki Lembu Naga Kelana itu penuh dengan tenaga semangat.

Bu Fang mengusap dagunya sambil memandang daging paha itu. Tiba-tiba, dia rasa teringin memasak hidangannya sendiri dan bukannya sesuatu daripada menu.

Mencipta dan mengkaji masakan baru ialah minat seorang cef. Bu Fang juga tak terkecuali.

Lembu Naga Kelana ialah seekor binatang semangat kelas ketujuh. Dagingnya sangat keras dan tak boleh dipotong dengan pisau biasa. Jadi, Bu Fang perlu menggunakan Pisau Dapur Tulang Naga sekali lagi dan mencincang daging Lembu Naga Kelana itu.

Melihat daging cincang itu, Bu Fang tiba-tiba teringat satu hidangan yang lazat. Namun, untuk memasak hidangan itu, banyak persediaan dan proses yang perlu dibuat. Cara-cara memasaknya juga agak rumit.   

Tapi, bila dia teringat rasa makanan itu, minda Bu Fang yang keletihan terus menjadi bertenaga.

Dia mengambil usus Lembu Naga Kelana dari ruang simpanan sistem dan membasuhnya berkali-kali untuk membersihkan darah. Dia menggunakan mata air yang disediakan sistem bagi memastikan tenaga semangat dalam usus itu terpelihara.

Selepas membersihkannya, Bu Fang mengasingkan lapisan luar usus itu, iaitu lapisan submukosa.

Submukosa ialah bahan penting dalam makanan yang Bu Fang akan sediakan.

avataravatar
Next chapter